Engagement Fund ;)

Tuesday, 8 November 2016

Baru Nak Tumbuh?

Selepas hampir seminggu menahan sakit, hari ni ke hospital jua akhirnya. Kronologi cerita dia bermula dari hari Isnin malam lagi dan bukan hanya sakit satu tempat, tapi sampai tiga tempat. Itu pun gigih lagi makan macam-macam.

Sakit yang mula-mula adalah sakit tekak sebab salah teknik lontaran suara. Tak tahulah kenapa semangat sangat aku bercakap dalam kelas yang cuma ada 15 orang murid sampai lagi 5 minit nak habis kelas tu, macam dah tak boleh keluar bunyi dah.

Dahlah bercakap dua jam tanpa henti, lepas tu tak reti pulak nak teguk air ke apa, padahnya seminggulah juga peti suara ni tercedera. Patutnya dah tahu kecederaan tu, bawa-bawalah elak makan pedas dan makanan berminyak, tak insaf juga. Kebetulan keluar dekat FB, status salah seorang pensyarah dekat U dulu yang mengalami masalah sama; teruslah ikut saranan yang diberikan dekat kotak komen.

Bila Google, punyalah banyak jenis sakit tekak. Tapi sebab aku dah agak yang ini bukan sebab tonsil atau batuk, maka senanglah kerja. Rupanya kalau peti suara tercedera, tak boleh minum campuran air lemon dan madu sebab lemon tu akan buat tekak lagi kering. Mujurlah tak buat. Cuma boleh minum air suam campur madu sahaja. Selain tu, boleh juga buat teknik pernafasan yang membantu pemulihan selain banyakkan minum air kosong.

Aku buat dua je, minum air madu dan amalkan teknik bernafas. Kalau penyanyi memang kena belajar teknik ni sebab diorang banyak guna suara dalam pelbagai nada. Aku rasa cikgu-cikgu pun wajib tahu juga benda ni untuk kesejahteraan di masa hadapan. InshaAllah lama lagi nak berkhidmat ni. Tapi memang rasa lega bila minum air madu tu. Bolehlah cuba ye.

Seterusnya, sakit gigi. Kalau tak silap, sebelum berangkat ke Korea haritu dah pernah sakit juga tapi malas nak pergi klinik sebab rasa macam tak ada yang serius. Lagipun skala kesakitan tu tak seteruk yang sekarang dan kejap je dah hilang. Kali ni sebenarnya masih boleh je tahan sakit tu walaupun memang sakit yang sakit tapi sebab risau, aku gagahkan juga diri ke klinik gigi kerajaan.

Alhamdulillah urusan semua mudah dan staf semua muka manis serta peramah; doktor pun tak garang. Masa menunggu pun tak lama macam kalau tunggu dekat Jabatan Pesakit Luar. Bila doktor tengok, dia cakap gigi semua okey, tak ada masalah. Cuma bahagian yang sakit tu adalah sebab gigi geraham bongsu baru nak tumbuh. La, ye ke? Aku ingatkan gigi berlubang ke apa.

Lepas doktor tengok dan periksa, dia tanya umur dulu. Dalam hati dah pelik dah kenapa kena tahu umur bagai? Rupanya simptom ni biasanya berlaku pada awal 20-an. Makna kata, aku masih muda la ni? Hahaha.. Doktor kata macam ada nanah sikit dekat bahagian tu dan dia bagi antibiotik untuk dihabiskan dalam masa lima hari.

Yang jadi seram tu bila doktor sambung, "Kalau masih sakit lagi lepas ni, kita akan rujuk pada doktor pakar untuk buat x-ray dan kalau perlu kena buat pembedahan untuk buang gigi tu." Pergh! Bahagian bedah tu yang kecut perut sikit. Paling penting kena sentiasa jaga kebersihan doktor kata. Sebelum ni waktu tengah sakit tahap Power Rangers aku kumur-kumur air garam je lepas tu sapu IV Mist dekat pipi tempat yang sakit. IV Mist tu tak tahulah berkesan ke tak, aku belasah je sebab sakit sangat. Hahaha.. Tapi kumur air garam tu macam bagi kelegaan juga.

Hari ni dah boleh kunyah makanan dengan tenang. Minggu lepas, aku kunyah makanan sambil air mata mengalir. Yelah, boleh guna bahagian belah kanan je lepas tu macam ada mata ikan pula dekat bahagian tu. Memang dugaan sungguh. Tapi makan tetap makan cuma ambil masa satu jam jelah nak habiskan sepinggan nasi. Bila cerita dekat jiran-jiran dekat pejabat ni, semua gelak sebab awat lambat nau gigi geraham kau nak tumbuh ni? Hahaha..

No comments: