Engagement Fund ;)

Thursday, 17 November 2016

Marah, Jangan Sampai Benci

Baru-baru ni, banyak betul isu tentang cikgu dibangkitkan dalam media sosial. Memandangkan aku tidaklah mengajar di sekolah, tak boleh nak komen lebih-lebih. Lebih molek kiranya bertanya kepada orang yang mengalaminya. Berhenti kejap entri ukur jalan dan sukat tanah dekat Korea, hari nak coret sikit tentang kerja. Mungkin ini coretan terakhir sebelum dunia baru muncul.

Sesi pengajian kali ini pun dah hampir sampai ke penghujungnya. Sekarang ni kalau nak ikutkan kena habis silibus dah dan alhamdulillah, kali ni cepat pula aku habis silibus. Cuma tinggal nak tanda kertas-kertas tugasan yang berbaki dan masukkan markah ke dalam sistem nanti.

Kali ni, aku tukar strategi untuk sem 1 iaitu aku mula dengan bab yang biasanya ambil masa dan agak rumit. Jadi, minggu ni masuklah topik kemahiran mendengar. Gigihlah aku sediakan aktiviti selain terangkan nota yang disediakan. Kalau setakat dengar aku je cakap, memang tak layanlah.

Aktiviti pertama dengar lagu dan seronok-seronok dulu borak-borak pasal lagu tu. Patutnya lepas tu ada aktiviti lagi berkaitan lagu tu, tapi bila dah habis ulang lagu dua kali, baru perasan yang aku salah pasang lagu. Hahahaharu.. Patutnya lagu lain sebab latihan yang disediakan tu berdasarkan lagu satu lagi. Takkan nak cakap, "Alamak, saya salah pasang lagu rupanya. Patutnya bukan lagu ni." Tak profesional namanya. Walaupun gelabah, aku teruskan je dulu dengan penerangan nota.

Ngam soi habis terangkan, tamatlah separuh masa pertama. Bagilah diorang rehat 5 minit sebab kebetulan minggu ni aku ambil dua slot kelas. Tak rehat kang, merudum tumpuan diorang kang. Waktu rehat tulah aku pergi masuk pejabat, pindahkan lagu yang betul. Berjayalah aku menjalankan aktiviti yang dirancang. Tapinya, dua-dua pendrive yang ada telah selamat dijangkiti virus short-cut yang memang berleluasa dekat pejabat tu. Choi! Sebab laptop yang aku pinjam tu ladang ternakan dia, memang tak boleh tidak, terjangkit sekali. Nasib badan. Sesi pengajaran untuk sem 1 berjaya ditamatkan tanpa sebarang insiden tragis yang kelihatan di mata kasar.

Esoknya, kelas sem dua pula. Seperti yang dimaklumi oleh semua pengajar yang pernah dan sedang mengajar sem dua, mereka ni kurang usaha dan selalu ambil mudah perkara berkaitan pelajaran. Semester ni aje, berapa kali dah kena bebel dalam kelas aku. Diorang ni bukan tak boleh buat, cuma kena lebihkan usaha. Sepanjang sem, dua kali diorang kena ulang buat tugasan yang diberikan sebab bila disemak, memang rasa nak koyak dua je kertas tu sebab tak nampak langsung usaha nak lengkapkan tugasan tu. Padahal dah bagi contoh, dah bagi sumber untuk rujukan dan terangkan langkah demi langkah. Memang menguji kesabaran.

Cuma, untuk tugasan terakhir yang merupakan pembentangan berkumpulan ni, aku memang kagum dengan perubahan dan usaha yang ditunjukkan. Dari mula masuk kelas, dah nampak diorang bersedia nak bentang dan memang jelas perubahan dari segi kesungguhan nak lengkapkan tugas tu. Berbunga-bunga dalam hati ni sebab walaupun nak berubah tu ambil masa nak dekat setahun, tapi akhirnya ada kemajuan. Maknanya, walaupun penguasaan bahasa tu mungkin agak lemah, tapi bila banyak buat rujukan dan bersedia dari awal, boleh je buat pun kan? Sebagai pemangkin semangat supaya mereka terus jadi rajin macam ni, memang kena puji banyak-banyak walaupun sebelum ni jarang sangat nak dapat pujian tu.

Setiap sem, mesti akan ada tak kurang dari dua orang yang tanya perkembangan budak-budak yang ambil subjek umum. Biasanya aku akan jawab, kena tengok budak. Sebabnya prestasi cemerlang atau tidak seseorang pelajar tu bukan bergantung sepenuhnya pada cikgu tapi bergantung pada pelajar. Berdasarkan pengalaman, budak-budak kemasukan Julai lebih tekun dan minat nak belajar berbanding yang kemasukan Januari. Itu pentingnya untuk menganalisis anak murid masing-masing.

Kalau nak tengok perangai diorang satu satu, memang kadang tu urut dada dan berasap telinga juga. Tak dinafikan, ada saatnya memang diorang kena bebel dan kadang-kadang kena marah juga. Cumanya sebagai pendidik, kena berpada-padalah nak marah pun. Waktu marah, kena kawal emosi juga; bimbang nanti asalnya nak menyedarkan tapi pengakhirannya jadi benci. Kena pasak dalam otak, marah untuk mendidik.

Betul, kalau ikut geram, memang sampai sudahlah rasa sebal tu tertinggal dalam hati dan kesannya, bukan hanya pada pelajar tapi pada kita juga. Beza sangat budak-budak zaman sekarang dengan waktu kita budak-budak dulu, tak boleh sentiasa nak samakan keadaan. Lepas marah, kena ambil hati balik dan paling penting, jernihkan suasana semula. Kalau asyik nak menjerit dan tunjuk yang kita ni betul, memang lama-lama rasa hormat mereka pada kita hilang. Itu yang bahaya.

No comments: