Engagement Fund ;)

Wednesday, 9 November 2016

SAN 2016 - Episod 5: Gwanghwamun Square Pada Hujung Minggu dan Solat di KTO

Hajatnya nak sambung cerita di Korea hujung minggu sudah, tapi talian internet semputlah pulak. Hari ni baru dia muncul balik. Marilah sambung kisah Seoul Autumn Noob ni semula.

Dari Gyeongbokgung nak ke Gwanghwamun Square, tak jauh pun. Melintas jalan besar dan dah sampai. Ini salah satu tempat wajib pergi kalau sampai Seoul. Dekat dataran ni ada tugu King Sejong dengan Admiral Yi Sun Shin. King Sejong merupakan pengasas kepada tulisan hangul manakala Admiral Yi Sun Shin terkenal dengan kebijaksanaan menyusun strategi dan keberaniannya menentang penjajahan Jepun dalam beberapa siri peperangan.

Masuk jugalah ke muzium bawah tanah tu sebab nak bagi peluang dekat Aten, Radin dan Hani tulis nama dalam hangul. Kalau masa banyak, memang aku nak pusing dan teliti satu persatu maklumat yang dipamerkan walaupun dah pernah baca sebab bab-bab sejarah ni tiba-tiba dah jadi minat sejak dua menjak jadi cikgu sejarah separuh masa ni.
Ini pemandangan dari pintu masuk ke muzium bawah tanah tu. Nun jauh di sana tu adalah Gyeongbokgung tadi.

Pinjam gambar ye Din. Ini adalah laluan masuk untuk ke ruang pameran. Turun je dari tangga, mesti jumpa laluan ni dulu.

Replika singgahsana di kawasan pameran King Sejong. Dua tahun lepas gambar aku dekat sini gegar sampai nampak entiti je, kali ni dengan 'uniform' sama, gambar cantik. Terima kasih kepada jurugambar pada waktu itu, Radin.

Sempatlah tengok separuh daripada tayangan mengenai Admiral Yi Sun Shin sebelum menemui tempat untuk menulis nama dalam hangul. Mula-mula cari tak jumpa dan dah nak keluar dah, sekali tu bila pusing dekat kawasan kedai cenderahati barulah nampak dinding penuh dengan tampalan kertas bertulisan hangul. Kebetulan tak ada orang langsung dekat situ, maka seronoklah main tulis-tulis pakai berus dan dakwat celup.

Kali ni rasa ralat sebab staf yang jaga bahagian tu cuma suruh sebut nama dan dia terjemahkan dalam hangul; makanya ada yang dia silap dengar dan silap terjemah. Dari Radin, jadi Aradin. Kikiki.. Maaf Din, terketawa pulak. Kalau dulu memang dia suruh kita tulis nama kita atas kertas siap nama negara, baru dia terjemahkan.

Ini adalah salah satu ciptaan Admiral (Laksamana ke ek dalam Bahasa Melayu?) Yi Sun Shin yang paling terkenal, Turtle Ship.

Dakwat dan berus yang disediakan

Nama Tuan Tanah dalam tulisan hangul

Hani, Radin dan Yours Truly bersama tulisan masing-masing. Fatin mana fatin?

Bersungguh-sungguh menulis pakai berus.

Penat menulis, duduk berehat kejap dekat kerusi unik ni.

Dah tulis nama, marilah ke Bangunan Korea Tourism Organisation yang terletak tidak jauh dari Gwanghwamun Square untuk solat. Dalam perjalanan ke sana, kami bertemu dengan khemah yang didirikan sempena majlis peringatan mangsa-mangsa feri Sewol yang karam pada tahun 2014. Selain majlis peringatan, mereka juga mohon orang ramai untuk menandatangani petisyen supaya siasatan terhadap kejadian itu dibuat untuk membongkar kebenaran. Peristiwa ni memang masih panas waktu aku ke Korea dua tahun lepas; memang sepanjang kami di sana, Korea sedang berkabung hinggakan semua rancangan hiburan di tv dihentikan. Itu yang asal tengok tv je, keluar berita tentang kejadian feri karam. Boleh tekan entri lama untuk baca kisah kembara Korea tahun 2014 ye.

Selain dari khemah peringatan mangsa feri karam tu, ada juga persembahan jalanan di satu bahagian terbuka selepas tugu Admiral Yi Sun Shin. Lama juga kami berhenti dan menonton persembahan tu sebab macam tak berapa nak faham apa yang cuba disampaikan. Aku agak, dia ala-ala pantomim tapi versi tarian.

Berlatarbelakangkan tugu dua tokoh terkenal. Kalau hari minggu, memang raaaamai polis berkawal dekat dataran ni. Sebabnya takut Admiral Yi Sun Shin dengan King Sejong tu lari masuk istana.

Sampai di KTO, memang terus buat macam rumah sendiri. Selesa sangat-sangat suasana dekat K-Style Hub tu sampai kalau nak tidur sambil baring pun boleh. Kali ni, mereka sudah menambahbaik kemudahan yang ada. Dulu tu kami sampai sini sebab ikut je pemandu pelancong tapi kali ni datang sendiri, dah tentulah lebih peka dengan keadaan sekeliling.

K-Style Hub ini merupakan satu tempat tarikan yang mengenengahkan budaya dan gaya semasa Korea. Ada empat tingkat yang dibuka untuk lawatan pengunjung. Tingkat pertama iaitu aras kedua adalah tingkat yang menempatkan kiosk-kiosk yang menawarkan pelbagai maklumat pelancongan di Korea. Di sini juga anda boleh bergambar dengan artis-artis terkenal Korea. Kwon Sang Woo dah tak ada. Sob..sob..sob.. Yang ada cuma G-Dragon dengan Big Bang je. Elok-elok tak minat dia, tetiba macam terminat pulak. Eh!

Ini rupa Cheonggyecheon pada hari Sabtu. Tak pasti pula apa temanya.

Surau juga terletak di tingkat yang sama. Kali ini, suraunya telah ditambah baik; jauh lebih selesa berbanding yang dulu. Dulu cuma hanya ada satu bilik dan perlu bergilir antara lelaki dan perempuan; sekarang dia dah buat dua bilik berbeza untuk lelaki dan perempuan. Jadi boleh jimat masa walaupun cuma muat dua orang untuk satu-satu masa. Tingkat-tingkat seterusnya akan diceritakan kemudian sebab kami ke sini sebanyak tiga kali sepanjang lapan hari di sana. Jatuh cinta betul dengan K-Style Hub ek?

Pandangan hadapan surau. Belah kanan yang tertutup pintunya tu adalah surau wanita.

Ini pula pandangan surau lelaki dari pintu yang terbuka tu; rekaannya sedikit berbeza dari surau wanita. Kalau surau wanita, tempat untuk wudhuk dan solat terlindung dari pandangan luar. Maknanya, kalau pintu terbuka pun, orang takkan nampak la dari luar melainkan orang tu jenguk kepala sampai dalam.

Lama juga kami lepak di K-Style Hub tu sebab dah penat kaki melangkah maka ambil peluanglah untuk luruskan sendi-sendi kaki. Selesai solat dan segarkan diri, kami pun sambung perjalanan ke destinasi seterusnya. Ke mana kita? Tunggu sambungan episod terakhir untuk hari pertama. Tata..

No comments: