Engagement Fund ;)

Friday, 11 November 2016

SAN 2016 - Episod 6: Misi Makan dan Makan di Myeongdong Bermula

Okey, ini episod akhir untuk hari pertama. Sebelum nak mula baca, eloklah korang bertenang dulu. Pergi ambil Mister Potato dulu ke atau bolehlah masak Maggi dulu sebab sambil baca sambil makan sebab entri panjang. Hehehe..

Dari KTO, kami bergerak ke Myeongdong pula. Asalnya Myeongdong ni dimasukkan dalam jadual untuk membeli belah sahaja tetapi disebabkan Myeongdong adalah salah satu tempat terbaik untuk merasai makanan tempatan, maka kami masukkan Myeongdong dalam jadual untuk hari pertama. Kalau pergi waktu siang, tak dapatlah merasa suasana pasar malam Korea.

Pemandangan di salah satu lorong di Myeongdong. Makin malam, makin ramai.

Bila dah balik sini, antara soalan panas yang ditanya adalah; "Makan dekat sana macam mana?" Jangan bimbang ye tuan-tuan dan puan-puan semua, kami terlebih makan waktu di sana. Walaupun negara asing dan makanan halal tidak mudah untuk ditemui, rajin-rajinkan diri untuk membuat kajian dan tambahkan ilmu. Tapi kalau di Seoul, tak perlu risau sangat sebab boleh dikatakan mudah juga nak cari tempat makan halal.

Nak jumpa logo halal Malaysia memang tak dapeklah. Logo halal Korea pun tak banyak; hanya di kawasan-kawasan tertentu sahaja. Cumanya bila berjalan di tempat asing, kena peka, rajin bertanya dan yakin. Kalau tak yakin tak boleh makan. Kebetulan beberapa hari sebelum berangkat, Halal Korea di FB berkongsi satu kad yang boleh membantu para pelancong untuk tahu isi kandungan dalam makanan yang dijual. Sungguh sungguh berguna kad itu pada kami.

Kad Makanan dari laman Facebook Halal Korea. Sebelum beli, tunjukkan pada pekedai dan mereka akan cakap samaada makanan tu selamat atau tak selamat untuk dimakan. Alhamdulillah mereka pun faham dan terus terang cakap kalau ada unsur-unsur yang tak selamat.

Tujuan ke Myeongdong kali pertama memang nak makan. Memang beli makanan sesaja. Ke ada juga yang beli benda lain ek? Lupa sudah. Sampai je, terus teruja dengan deretan gerai yang menjual pelbagai jenis makanan jalanan termasuklah tteokboki. Tapi kami tak beli tteokboki di sini sebab ada campuran soondae. Beli makanan dari gerai-gerai di Myeongdong ni guna duit sendiri. Macam biasa, seorang beli satu jenis makanan dan kemudian kongsilah beramai-ramai; rasa sorang sikit.

Kentang goreng. Tak beli pun sebab dekat pasar malam Malaysia pun banyak.

Scallop Berkeju Bakar. Ini Hani beli. Sedap juga tapi gaya yang tukang jual macam gangster. 

Lempeng Pisang dengan Nutella. Ini Faten yang beli tak silap. Sedap tapi manih letting.

Sotong Kering Bakar. Ini aku beli sebab aku memang suka sotong kering. Ada lebih dari empat jenis sotong kering untuk dipilih dan harga sebungkus adalah 6000 Won. Bila kita dah pilih nak sotong yang mana, dia akan panggang semula. Syarat nak makan, kena makan panas-panas sebab kalau dah sejuk dia bukan sotong tapi selipar. Hahaha.. Liat oi!

Keledek Goreng Sira Gula. Ini Radin yang beli, pun sedap. Tapi kena makan waktu panas juga sebab bila sejuk kemanisan dia begitu terserlah dan jadi muak bila makan.

Gambar gerai jus Mada je tak jumpa dalam simpanan. Kitorang semua beli makanan, Mada beli jus asli yang memang 100% diperah dari buah sebenar tanpa campuran gula. Selain nak merasa makanan ala-ala pasar malam, sebenarnya nak cari Chungmu Kimbap. Jadi sambil membeli dan makan, sambil mencari arah ke Chungmu Kimbap. Tapi dalam pencarian tu, terjumpa dulu Hello Kitty Cafe. Makanya, kami singgah ngopi dulu di kafe terkenal ni. Bagi aku, kafe ni jadi luar biasa sebab bertemakan karakter Hello Kitty.

Hiasan dalaman kafe ini agak meriah dan ada sudut khas untuk para pengunjung bergambar dengan Kitty. Kalau korang memang peminat Hello Kitty ni, bolehlah beli cenderahati yang dijual. Macam-macam barang ada; dari patung sampailah ke pemegang kunci. Syarat nak lepak di sini adalah setiap orang kena beli satu jenis makanan atau minuman. Kalau nak beli buat syarat, belilah minuman paling murah iaitu latte kalau tak silap. Jangan beli Americano pulak sebab nanti tak ada muka Kitty dekat permukaan air.
Nampak tu? Satu orang, satu cawan.

Lepas buat pesanan, dapatlah seketul button badge tu dan buzzer.

Pesanan kami: ada dua cawan kopi, satu cawan air perisa keledek (nama sebenar tak ingat) dan yang ada sudu tu aiskrim perisa keledek kalau tak silap. Hani je tak beli apape dekat sini; okeylah tu kan sebab dah ada empat cawan atas meja, tak adalah nampak sangat masuk sini sebab nak melepak.

Gambar penuh ehsan orang meja sebelah. Agaknya dia kesian tengok kitorang berusaha gigih cari sudut terbaik untuk memuatkan lima muka dalam kamera dengan cara wefie, terus dia bangun dan sukarela nak tolong ambilkan gambar. Terima kasih banyak-banyak.

Ini sudut bergambar yang disediakan.

Okey, jom sambung cari Chungmu Kimbap

Selesai ngopi, sambung pencarian Chungmu Kimbap. Mengikut maklumat dari blog-blog lain, ada dua cawangan Chungmu Kimbap di Myeongdong ni tapi dah lupa kami pergi yang mana satu. Chungmu Kimbap ni adalah salah satu kedai wajib pergi. Menunya cuma nasi yang digulung dengan rumpai laut, sotong pedas, dan kkakdugi. Setiap orang akan dapat juga sup kosong panas yang menjadi talian hayat untuk yang tak tahan pedas.

Nak cari kedai ni, macam mudahlah juga sebab warna tema kedai ni meriah iaitu kuning. Cumanya kebanyakan kedai dekat Seoul ni memang kecil-kecil dan sempit-sempit belaka. Kenalah pandai-pandai bawa diri ketika berada di dalam kedai. Jangan sampai terseret kerusi orang lain pula sebab tak perasan tali beg tersangkut. Heee.. Kedua-dua kedai Chungmu Kimbap di Myeongdong ni dua tingkat, jadi boleh pilih nak duduk bahagian atas atau bawah. Macam kitorang, naik atas terus dan pilih meja dekat tingkap; sambil makan sambil jeling kedai-kedai mana nak terjah lepas makan. Mari layan gambar.

Pemandangan di hadapan kedai

Huiyo, meja dia ada laci! Dalam laci ni ada garfu, chopstick dan tisu. Pandai-pandailah ye.

Lif untuk menghantar makanan ke tingkat atas

Dua set chungmu kimbap untuk kami. Satu set kalau tak silap harganya 7000 Won, ada 10 ketul kimbap. Mula-mula ingatkan satu pinggan ni untuk satu set, kitorang dah berpandangan sesama sendiri sebab banyaknya! Rupanya dia kasi satu pinggan terus untuk kedua-dua set.

Now you see..

..now you don't!

Perut kenyang, muka ada senyum

Cuba kalau belum makan, memang taklah nak senyum lebar macam ni; grumpy je masing-masing. Kahkahkah..

Selesai makan, kami menyinggah juga kedai-kedai yang dilalui untuk mencari kenderaan pulang ke rumah. Kalau tak silap, kami menaiki subway untuk kembali ke Hyehwa pada hari pertama tu. Dalam perjalanan nak cari laluan ke stesen, terjumpa satu gerai jual bungeoppang. Salah satu street food wajib makan ni, maka berhenti kejap dan beli. Intinya adalah kacang merah dan harganya kalau tak silap, 1000 Won untuk dua ketul.
Ahjumma dengan ahjussi nilah satu-satunya gerai yang kami jumpa ada jual bungeoppang. Selain tu dia ada juga jual gyeranppang tapi tak belilah sebab perut dah penuh.

Bungeoppang

Dari Myeongdong nak ke Hyehwa, kami naik subway dan dalam perjalanan, wajiblah singgah convenient store beli susu pisang yang wajib minum tu. Fuhhh, siap juga cerita hari pertama di Seoul. Cerita hari kedua sambung tahun depan. Kahkahkah.. Okey, tak tak. InshaAllah akan dikongsikan dalam masa terdekat ni juga. Terima kasih kerana sudi membaca. Entri diakhiri dengan halwa mata ketika berada dalam convenient store dan juga sebotol susu pisang.

Sebagai seorang pencinta kopi, aku isytiharkan bahawa ini adalah pemandangan terindah dalam kedai serbanika di Korea.

Susu pisang sedap. Wajib minum hari-hari waktu di Korea. Tapi bila tengok bil dalam RM, pengsan! Lima hengget sebotol.

No comments: