Engagement Fund ;)

Tuesday, 22 November 2016

Seoul Autumn Noob 2016 - Episod 7: Mencari Samgyetang di Itaewon

Annyeong! Ini sambungan cerita hari kedua di Korea. Cuaca hari kedua suram dan sejuk. Pun begitu, pengembaraan wajiblah diteruskan. Tentatif untuk hari ini dimulakan dengan menyusur kedai dan jalan di Hyehwa iaitu kawasan kejiranan kami. Tapi disebabkan hujan, maka tidaklah kami jalan jauh-jauh; cuma menghabiskan masa di Daiso membelek barang yang ada dan kembali kepada niat asal iaitu membeli payung.

Habis membelek dan melihat barang-barang yang ada, kami terus menuju ke stesen subway untuk ke Itaewon. Memandangkan hari ini adalah hari minggu, maka keadaan di dalam subway lengang dan tidak perlu biarkan beberapa gerabak berlalu pergi dek kerana terlalu padat hingga tak boleh nak menyelit pun.

Ada dua cara untuk sampai ke Itaewon dari Hyehwa. Kalau tak silap, kami ada bertukar laluan sekali. Drama pertama bermula sebaik saja sampai di stesen Itaewon dimana eskalator tidak berfungsi. Ya ampun, mintak nyawa mendaki tangga untuk sampai ke permukaan! Berdasarkan pemerhatian, tangga di sinilah paling tinggi. Habis sengal-sengal betis peha semua. Lepas tu berlagak tak nak berhenti kejap ambil nafas waktu mendaki tu kan? Kahkahkah.. Padan muka.

Itu baru drama pertama. Drama pendakian diteruskan lagi waktu nak sampai ke Muree. Kawasan Itaewon ni memang berbukit-bukit keadaan muka buminya lebih-lebih lagi laluan untuk ke Seoul Central Mosque. Mendakilah lagi sekali. Dekat kawasan Itaewon ni memang baaaaaaaanyak kedai halal. Bukan hanya restoran, malahan juga kedai keperluan harian dan juga bakeri.

Dekat depan Muree

Dari Exit 3, memang akan lalu Salam Bakery dulu sebelum jumpa simpang nak ke Muree. Tapi tak singgah pun sebab memang nak makan nasi dulu. Waktu sampai dekat Muree, cuma ada satu meja je berpenghuni. Mungkin sebab masih awal, jadi kedai lengang lagi. Seperti biasa, duduk je dia terus bagi gelas dan air kosong sementara nak pilih makanan untuk dipesan. Macam biasa juga, bila ada buku menu, semua jadi rambang mata dan tamak haloba. Itu nak, ini nak, eeehh, nak semualah! Hahaha.. Itu yang lama nak buat keputusan tu.
Sebelum buat benda lain, macam biasa kena bergambar berlima

Okey, tiba masa update status. Internet dimana-mana.

Sekarang, bincangkan apa yang perlu dilakukan seterusnya.

Sementara menanti makanan sampai, macam-macam aktiviti kami buat. Mula-mula bergambar pelbagai gaya dan posisi. Lepas tu hadap telefon sebab internet laju dan percuma. Lepas tu barulah menghadap muka orang dan mula berbual sambil membincangkan apa yang perlu dilakukan selepas makan memandangkan tiada tanda-tanda hujan akan berhenti. Mengikut rancangan, lepas berlegar di Itaewon kami akan terus ke Yeouido untuk melawat KBS On dan bersantai di taman awam berdekatan KBS sebelum meneruskan perjalanan ke Banpo Bridge.

Bincang punya bincang, takpelah, kita makan dulu baru otak boleh berfungsi dengan sempurna. Hahaha.. Agak lama juga menanti makanan tapi berbaloilah masa menunggu tu sebab bila sampai semuanya sedap. Pada akulah. Orang lain ada juga komen kekurangan pada beberapa hidangan.

Tak menyabar nak ambil gambar bulgogi Hani, nampak kelabu jelah. Hahaha..

Samgyetang Tuan Tanah punya. Menggelegak lagi ko!

Radin dan Mada beserta pesanan masing-masing. Mada pesan galbi tang kalau tak silap. Kalau orang Malaysia cakap, sup tulang.

Kimchi jjigae Radin.

Dak galbi Aten

Samgyetang Tuan Tanah. Memang dari kunjungan dua tahun lepas lagi teringin nak makan sup ni tapi tak dapat. Kali ni wajiblah kena makan. Diorang cakap ini makanan kegemaran Joong Kook. Rasa sup dia beza sikit dengan sup kita; sup dia jernih dan tak berminyak sangat serta tidak rasa rempah. Sedap la pendek katanya. Jenuh nak perabis sebab ayam dia separuh.

Banchan sedap. Ada kimchi, eomuk dan sambal ikan bilis.

Orang lain dah habis makan, tinggal aku jelah gigih nak habiskan suku lagi ayam tu. 

Jumlah makanan untuk hari tersebut adalah yang paling tinggi sepanjang kami di Korea iaitu 92 000 Won kalau silap untuk lima orang. Mana taknya, setiap orang pesan satu set hidangan beserta air minuman, memang mahal jadinya. Kalau cuma minum air kosong, boleh murah lagi. Tapi takpe, sebab boleh ambil duit dari sampul yang dilebihkan duitnya untuk tampung bajet.

Habis makan, kami terus ke masjid untuk solat dan melepaskan penat. Tandas paling selesa di Korea adalah di masjid ini sebab ada tandas cangkung dan juga paip air dalam tandas. Nikmat! Tempat wudhuk perempuan terletak di bahagian belakang masjid jadi kalau sampai ke sini, boleh buka kasut dan stokin dulu di pintu masuk ke tempat solat dan pakai selipar yang disediakan untuk berwudhuk. Tempat solat wanita pula di bahagian atas dan ada disediakan telekung. Agak lama juga kami di sini; Hani siap sempat tidur lagi sementara tunggu semua siap solat.

Ruang solat wanita di tingkat atas. Bila ke sini, mesti aku teringat dekat Masjid Unisel sebab reka bentuk dalamannya sama macam ni cuma yang ni, kecil sikit ruang solatnya

Tempat wajib untuk bergambar, depan masjid. Gigihlah berdiri tengah jalan dalam hujan yang semakin melebat. 

Ini pula dekat laluan masuk ke kawasan masjid. Dari pintu pagar utama nak sampai ke masjid kena daki laluan yang agak curam. Tapi bila dah sampai kali kedua ni, takde rasa curam pun.

Masih di tempat sama, tapi posisi berbeza. Belakang sana tu adalah jalan yang menempatkan deretan kedai.

Semua dah segar balik, marilah kita bergerak ke lokasi seterusnya. Tapi sebelum tu singgah beli roti dulu dekat Salam Bakery untuk bekalan ke Korean Folk Village esoknya. Masuk dalam bakeri pun masalah juga sebab semua nampak sedap belaka. Tapi tak adalah ikut nafsu pun beli apa yang nampak sedap di mata. Cuma beli sebuku roti untuk bekalan dan dua jenis manisan. Nama manisan, jangan tanya sebab dah tak ingat. Satu manisan daripada kulit pastri dan ada kekacang dekat atasnya, satu lagi ala-ala donat teksturnya tapi rupa dia macam churros dan disira gula.
Masing-masing tengah tamak teruja tengok roti dan manisan yang pelbagai.

Boleh tahan banyak juga pilihan roti di sini. Yang belah kanan tu adalah manisan tradisi masyarakat timur tengah yang pelbagai. Kalau tak kuat iman, memang terbeli juga haritu. Beli sebab cantik.

Habis membeli, terus jalan ke stesen subway untuk ke destinasi seterusnya. Tapi sebelum tu aku dengan Aten berhenti kejap dekat satu kedai tepi jalan nak beli cermin mata hitam. Tak sempat nak beli dekat Malaysia sebab tak jumpa yang murah. Cerita untuk destinasi seterusnya kena tunggu entri lain. Babai..

No comments: