Engagement Fund ;)

Saturday, 26 November 2016

Seoul Autumn Noob 2016 - Episod 8: Menjadi Pembaca Berita di KBS On

Sambungan kisah hari kedua di Korea. Dari Itaewon, kami baik subway untuk ke KBS. Ada dua cara, satu adalah turun di Yeouido dan kena jalan dalam 15 minit dari stesen nak sampai ke KBS. Dua, kena tukar laluan tak silap dari Yeouido dan berhenti di National Assembly dan jalan kaki dalam 4 minit untuk sampai sana. Kalau tak silap, kami pilih cara kedua sebab tak payah jalan lama-lama sebab kaki dah penat.

Pemandangan sebaik saja keluar dari stesen subway bawah tanah.

Bangunan utama KBS yang kelihatan sewaktu berjalan dari stesen tadi.

Keluar dari stesen, boleh nampak ada papan penunjuk arah untuk ke KBS On. Maka, menapaklah kami dalam hujan sambil menahan kesejukan kaki sebab kasut dah basah lencun. Mula-mula akan jumpa bangunan utama KBS yang tidak dibuka untuk kunjungan awam. Disebabkan macam tak nampak bayang pintu masuk, kami tanya pada pengawal keselamatan KBS. Alhamdulillah, dia tak garang walaupun nampak macam garang. Hahaha.. Dan, agak fasih juga berbahasa Inggeris. Dia kata, jalan terus dan belok kanan; nanti ada nampak maskot warna kuning depan bangunan. Okey, terima kasih.

Lepas meredah hujan selama beberapa minit lagi, sampailah kami di KBS On tu. Kalau dari bangunan utama KBS, pintu masuk adalah dihujung sana. Pintu masuk pertama adalah ke kafe dan ada tempat duduk untuk bersantai. Memandangkan hujan dan memang pengunjung yang ke sini semua berpayung, sebelum masuk ke dalam bangunan tu kena tutup payung dan masukkan dalam plastik yang disediakan dihadapan pintu masuk. Dekat Malaysia tak pernah jumpa, jadi aku jakun kejap. Hahaha.. Ada dua jenis plastik; satu untuk payung panjang dan satu lagi untuk payung pendek. Bukan dekat bangunan je, dekat stesen subway pun ada juga.

Dekat sini, Hani tak nak ikut masuk sebab nanti dia tanya soalan; "Yoo Si Jin who?" Hahahaharu.. Nak kata, antara kami berlima, Hani yang paling tak minat bab-bab K-Pop ni. Jadi dia duduk lepak dekat bahagian kafe tu sementara kami berempat menjelajah bahagian pameran.

Maklumat waktu lawatan yang tertera di pintu masuk

Disebabkan kami sampai agak lewat, maka dah tak orang pun dalam tu. Seronok juga sebab tak payah nak segan-segan bergambar atau berebut tempat baca berita dengan orang lain. Hehehe.. Pada pendapat aku, tempat ni salah satu tempat yang tak rugi dimasukkan dalam senarai kalau ke Seoul. Sebelum masuk, aku rasa tak perlulah nak letak harapan tinggi pada tempat ni. Tapi, selepas habis menjelajah, rasa sangat seronok dan berbaloi datang ke sini.

Apa ada dekat sini? Masuk je ke dalam lobi dewan pameran, dah ada Kapten Yoo Si Jin tunggu. Yelah, DOTS kan drama paling meletup awal tahun haritu, wajiblah watak dia tercongok dekat situ mengalu-alukan kedatangan pengunjung. Lepas tu ada juga beberapa sudut untuk bergambar dan ada satu skrin besar yang memaparkan trailer drama terkini terbitan KBS. Waktu nilah aku tersampuk dengan drama Love in the Moonlight.
Aku dan Yoo Si Jin

Berlatarbelakangkan skrin besar di lobi

Dekat dalam pula, susunan maklumat yang dipaparkan ala-ala dekat muzium dan dibahagikan kepada beberapa bahagian. Ada bahagian yang fokus untuk drama, filem, rancangan realiti, rancangan sukan, berita dan lain-lain. Semuanya disusun ikut tahun. Selain tu, ada juga tempat untuk acah-acah jadi pengacara rancangan tv. Ini yang menarik sebenarnya sebab tak pernah jumpa kan? Boleh juga acah-acah jadi pembaca berita dan deejay radio atau alami sendiri macam mana suara direkodkan untuk rancangan kartun. Selebihnya, terdapat pameran mengenai sejarah dunia penerbitan serta perkembangan alat-alat yang digunakan dari dulu sampai sekarang.

Revolusi kamera yang digunakan untuk rakaman

Perubahan rupa radio dan televisyen

Tempat rakam suara untuk rancangan kartun KBS. Dialog semua disediakan tapi sebab dalam hangul, jenuh nak mengeja. Hahaha.. Buat dialog sendiri sudahnya.

Kawasan skrin biru, tempat semua orang naik sheikh! Bolehlah perasan jadi pengulas kaji cuaca atau rancangan hiburan. Dekat belah kiri tu ada satu skrin untuk pilih kita nak jadi pengulas atau pengacara rancangan apa. 


Ini salah satu hasil yang terpapar pada skrin.

Ini di kawasan konti radio. Bolehlah acah-acah jadi deejay kejap

Salah satu laluan dalam dewan pameran

Acah-acah jadi pembaca berita. Tempat ni pun merupakan salah satu tempat kegemaran kami di sini. Ada satu skrin yang memaparkan teks berita tapi macam biasa, dalam hangul. Mada bolehlah juga baca teks tu tapi sangkut-sangkut juga. Kalau aku yang baca, memang ke laut sebab bukan baca, tapi eja. Akhirnya, buat berita sendirilah sebab nak tunggu eja baca teks, sampai esok pun berita tak habis. Kahkahkah..

Lagi satu gambar dari sudut lain. Nampak tak kamera gabak tu?

Belah kiri tulah teks berita yang diberikan. Pendek je pun.

Satu-satunya gambar berempat dalam KBS On

Ini dekat kawasan rancangan hiburan yang diterbitkan KBS. Walaupun tak tengok 1 Day 2 Nights, tapi aku kenal la dengan Cha Tae Hyun tu.

Okey, deejay baru nak mulakan tugas.

Action!

Kurang lebih satu jam juga dalam tu; kami selesai menjelajah je waktu melawat pun tamat. Sementara menanti hujan reda, kami duduk melayan perasaan di pintu masuk sambil berkira-kira bagaimana mahu pulang atau terus dengan rancangan asal. Akhirnya, rancangan untuk ke Banpo Bridge ditangguhkan kerana kami risau hujan berterusan. Kalau tak silap, kami cari jalan pulang menggunakan Pakcik Google. Pilihan utama dah tentulah bas. Kalau ikut petunjuk, kena jalan jauh pusing taman depan KBS untuk sampai perhentian bas yang ada bas 162 sebab bas tu akan lalu di Hyehwa.

Sementara menanti hujan reda, mari duduk dan bergambar di bangku comel ni.

Dekat sebelah bangku comel tadi, ada tempat bergambar dengan patung hero dan heroin drama yang sedang ditayangkan ketika itu iaitu Love in the Moonlight yang mana heronya adalah Park Bo Gum. 

Jalan punya jalan, macam tak bertemu penghujung jalan dan hujan makin lebat. Maka kami pun berpatah balik dan menapak menuju perhentian bas yang ada betul-betul di depan bangunan KBS tu. Waktu nak melintas, ada pula bas 162 berhenti dekat situ. Apalagi, masing-masing terus lari-lari anak kejar bas dalam hujan. Boleh buat video muzik Hindustan dah gayanya sebab berlari dalam hujan. Rupanya ada je bas 162 lalu depan tu. Kelam kabut kejar bas sampai ada yang tergelincir. Jalan licin.

Laluan untuk bas 162

Alhamdulillah, bas kosong. Makanya dapatlah duduk sampai ke Hyehwa. Jauh juga perjalanan, kalau tak silap nak dekat sejam juga. Biarlah lama asalkan tak payah turun naik tangga atau tukar-tukar subway. Memang kami lebih selesa naik bas sepanjang di sana. Konsep naik bas kami adalah cari dan cuba-jaya. Kalau perhentian bas yang ini tak ada bas yang kami cari, jom melintas tengok perhentian bas seberang tu. Kalau tak ada juga, marilah jalan ke depan sana untuk cari bas yang dikehendaki. Gitu. Baik berjalan dipermukaan rata daripada mendaki tangga. Hehehe..

Sebelum masing-masing melelapkan mata, bergambar dulu sekeping dalam bas 162 ni.

Dalam bas, mata kuyu dah masing-masing. Maklumlah cuaca sejuk dan seharian berjalan, syok sangatlah layan mata. Tambahan pula perjalanan jauh, memang ada masa nak lelap kejap. Tapi aku tak berani lelap lama-lama sebab takut terlepas stesen. Sampai dekat Hyehwa, penat terus hilang bila nampak kedai-kedai yang meriah di sepanjang jalan nak balik ke rumah. Dasar wanita kaki membeli-belah sungguh! Hahaha..

No comments: