Engagement Fund ;)

Thursday, 29 December 2016

Moga 2017 Membawa Rezeki Yang Berkat

Tinggal beberapa hari lagi sebelum 2017 menjengah. Sebelum 2016 melabuhkan tirai, harus aku catatkan pahit manis suka duka sepanjang tahun ini secara ringkas untuk bacaan sendiri di kemudian hari nanti. Terlalu banyak perkara berlaku sepanjang tahun ini, baik yang dijangka mahupun yang tidak terjangka.

Salah satu perkara yang tidak terjangka adalah percutian ke luar negara yang djangkakan berlaku tahun depan. Alhamdulillah, diberi rezeki dan dipermudahkan cara untuk kembali semula ke Seoul dan kali ini, bergerak sendiri sahaja bersama-sama Geng Bilik Prep. Nak capai hasrat tu pun boleh tahan banyak drama juga tu. Hehehe..

Percutian Geng Bilik Prep, Seoul Autumn Noob 2016. Pulau Nami. 5.10.2016

Tahun ini juga diberi peluang untuk ke utara tanah air atas sebab tugas dan sekali lagi, atas sebab bercuti. Merasalah memandu sendirian ke satu destinasi paling jauh setakat ini. Terlalu banyaklah benda berlaku yang melibatkan pelbagai kategori.

Perkara yang paling tidak terjangka adalah bila perkhidmatan tidak akan disambung semula bermula tahun depan atas sebab-sebab yang tidak dapat diceritakan di sini. Memang Allah nak makbul hajat yang berulang kali terdetik dalam hati. Lepas ni akan kembali aktif mencari kerja baru semula.

Bila orang tanya apa perancangan masa hadapan, susah nak bagi jawapan. Kadang-kadang tu sebelum jawab sampai terfikir samada nak bagi jawapan yang jujur atau jawapan yang diharapkan oleh orang yang bertanya. Buat yang bertanya, perancangan dalam masa terdekat ni nak rehat dulu stabilkan emosi dan susun semula perancangan hidup. Dalam masa yang sama, berbakti pada Abah dan Nenek sementra masih tinggal sebumbung ni; sambil-sambil tu teruskan mengajar tuisyen juga untuk menampung kehidupan.

Diambil dari laman IG Mada. Pernyataan yang sungguh benar.

Perancangan utama dah tentulah mencari kerja baru dan tamatkan pengajian. Tentang pengajian ni, nanti inshaAllah aku karang satu entri khas sebab sekarang ni pun tengah kelam-kabut nak selesaikan apa yang patut. Terakhir, harapnya dapat langsaikan hutang-hutang yang ada. Nak langsaikan hutang, kena niat sungguh-sungguh nak langsaikan biarpun belum mampu.

Azam tahun baru? Nak baiki diri menjadi lebih baik lagi. Nak baiki solat, nak tambah nilai diri dan kurangkan baran. Nampak macam sopan tapi baran juga orang-orang sopan ni. Hehehe.. Niat nak menjadi baik perlu sentiasa ada dan seterusnya kenalah usaha untuk menjadi baik. Selain itu, nak banyakkan membaca juga sebab tahun ni rasanya terlalu sedikit buku yang dibaca.

Akhirnya, moga-moga kita semua sentiasa berada dalam rahmat Allah,
diberi kekuatan untuk mendirikan solat sekurang-kurangnya 5 waktu sehari,
diberi kekuatan untuk mengaji Quran setiap hari,
diberi peluang untuk berbakti kepada keluarga, 
dan dibukakan pintu rezeki. 

Fikir yang baik-baik, mudah-mudahan jadi baik. Duduk dalam kalangan orang-orang yang positif, moga-moga kita juga sentiasa bersifat positif. Selamat tahun baru! 

No comments: