Engagement Fund ;)

Wednesday, 21 December 2016

SAN 2016 - Episod 14: Bermain Dengan Bayang-bayang di Menara Namsan

Seperti yang dijanjikan, entri ini adalah sambungan kisah percutian Geng Bilik Prep dengan tema, Seoul Autumn Noob (SAN). Ini dah masuk hari keempat. Hari keempat ni kami berjalan dalam Seoul saja sebab semalamnya dah jalan jauh. Konsepnya kalau jalan dalam Seoul, boleh keluar lambat. Lepas subuh boleh sambung golek-golek lagi. Hehehe..

Keluar rumah dah pukul 10.30 pun sebab dah makan nasi siap-siap sebab cadangnya nak makan street foods je dekat Gwangjang nanti. Kalau ikut rancangan asal, hari keempat ni kami akan ke Menara Namsan kemudian ke Gwangjang dan makan malam di Dongdaemun. Macam biasa, rancangan berubah. Pagi tu dari Hyehwa, dah tak ingat naik bas ke naik subway untuk ke Myeongdong. Pergi Myeongdong dulu sebab dekat sana baru boleh jumpa bas yang terus ke Namsan.

Sementara menanti bas 05 ke Namsan. Bas yang mempunyai laluan ke tempat-tempat tarikan pelancong biasanya bernombor kecil dan berwarna merah.

Kami turun dari bas di Namsan dalam pukul 11.00++ dan dari perhentian bas, kenalah mendaki untuk sampai ke kaki menara. Asalnya nak naik kereta kabel tapi lepas tambah tolak darab bahagi, tak jadi. Naik bas jelah senang. Kali kedua sampai sini, tak terasa pula kecuraman puncak gunung ni. Oh ye, turun bas je serbu kedai serbanika depan perhentian bas tu cari kudap-kudap. Hehehe.. Dalam kamus pelancong, N Seoul Tower ni adalah tempat wajib pergi kalau sampai buat pertama kali. Aku dengan Mada dah pernah pergi dulu jadi kali ni bawa 3 orang lagi geng yang pertama kali ke Seoul.

Laluan yang perlu didaki untuk tiba ke puncak gunung, kaki menara. Faham tak?

Berhenti sebentar mengambil gambar berlatarbelakangkan menara di celah-celah dahan.

Kali ni, tak naik pun ke dek pemerhatian puncak menara sebab dah pernah naik dulu. Lagipun tak ada apa pun, sekadar nak tengok bandaraya Seoul jelah. Kalau dulu, dekat sini ada Alive Museum; waktu naik ke menara dulu beli tiket sekali dengan tiket masuk Alive Museum tu tak silap. Kali ni tak buat kajian sangat pun pasal apa yang ada di N Seoul Tower ni. Bila tengok di sini, rasanya macam dah tak ada Alive Museum tu tapi ditukar dengan tarikan lain.

Meh la cerita sikit tentang N Seoul Tower yang biasanya dipanggil Namsan Tower oleh pelancong. Nama asal dia adalah Seoul Tower dan fungsinya awal-awal dulu hanyalah sebagai menara pemancar untuk siaran radio dan televisyen. Hanya bermula pada tahun 1980 menara ni dibuka untuk kunjungan orang ramai dan pada tahun 2005, namanya ditukar dari Seoul Tower kepada N Seoul Tower. N melambangkan dua perkara, New dan Namsan. Begitulah serba sedikit sejarah N Seoul Tower ni. Cikgu Sejarah separuh masa kan? Kenalah rajin cerita sikit-sikit sejarah sesuatu tempat. Maklumat lain sila Google sendiri ok?

Jadi, apa je ada dekat sini? Sebenarnya kalau nak menikmati kehijauan alam pun boleh juga dekat Namsan ni tapi dengan syarat jangan naik bas atau kereta kabel untuk sampai ke puncak. Jalan kaki dari kaki gunung sampai atas. Sepanjang jalan nak ke atas tu memang ada beberapa tempat untuk bersantai menikmati keindahan alam. Kalau di kaki menara ni, tarikan utamanya adalah di Teres Bumbung (Roof Terrace) dimana tempat ini adalah merupakan kawasan untuk menzahirkan rasa cinta dalam hati dengan mengunci mangga pada pagar dan tembok di sekeliling kawasan ni. Selain tu, boleh juga lihat pemandangan kotaraya Seoul dari sini.
Sebaik saja tiba di puncak, akan jumpa dataran ni dulu. Landskap di sini cantik dan ada banyak bangku serta pokok. 

Bergambar di sini sebab nampak daun pokok tu dah mula bertukar warna. Kalau tak silap, macam pokok gingko.

Di kawasan teres bumbung

Antara mangga yang ada. Dua tahun lepas, harga mangga warna-warni ni kalau tak silap 12 000 Won. Tahun ni tak pasti berapa. 


Kami berlima dan mangga cinta orang lain

Kami berlima dan menara

Salah satu tempat menarik untuk bergambar di kawasan teres bumbung.

Bayang-bayang kami berlima. Salji tak ada, kita manfaatkan cahaya terik mentari. 


Berempat

Jurugambar tak rasmi Tuan Tanah yang sporting dan memahami kerenah kawan dia yang boleh tahan sawan kamera juga. Hahahaha.. Terima kasih Ten, jasamu dikenang :)

Tuan Tanah dan peti surat. Tak pasti peti surat ni hiasan je ke atau memang berfungsi.

N Seoul Tower

Sebelum meninjau kotaraya, bergambar dulu

Pemandangan yang boleh dinikmati dari teres bumbung N Seoul Tower

Kawasan mangga cinta tu bukan hanya di kaki menara sahaja tetapi juga di beberapa tempat berdekatan juga. Kalau tak naik ke puncak menara pun, masih lagi berbaloi datang berkunjung ke sini. Dekat aras 5 kaki menara ni juga ada ruang pameran lain juga. Kalau tengok dari laman web rasmi N Seoul Tower, ada Hello Kitty Island dan juga Ssentoy Museum & Showroom. Tapi mungkin nak masuk dalam dua tempat ni ada bayaran lain. Waktu kami pergi tu, aku dengan Radin turun ke bahagian bawah kaki menara untuk tengok apa yang ada.

Nama tempat ni adalah Seoul Tower Plaza. Dekat sini ada pameran seni pancaran cahaya OLED. Ada satu skrin besar gabak yang memaparkan video pendek mengenai hidupan di bumi dalam bentuk animasi. Untuk kesan yang dramatik, kena pakai cermin mata khas yang disediakan. Ala, macam tayangan 3D kot sebab bila pakai cermin mata tu, terasa macam kita berada dalam video tu. Layan juga dekat situ, sama naik dengan budak umur 5 tahun yang teruja tengok skrin dekat sebelah kanan kitorang. Hahaha.. Tapi best la dekat situ walaupun benda tu macam biasa-biasa je. Bolehlah letak #mudahterhibur untuk kami. Kehkehkeh..
Ini laluan dalam Seoul Tower Plaza. Dekat bahagian atas tulah skrin yang menggunakan OLED dan gambarnya bertukar-tukar. Cantik wei!

Ini tangga dari teres bumbung tadi. Tema dekat sini semuanya cinta dan kasih sayang jadi boleh nampak perkataan Love dan simbol cinta tu di mana-mana. Kerusi tu betul-betul depan tangga yang Radin berdiri.

Keluar dari Seoul Tower Plaza ikut laluan lain dan jumpa dengan deretan 'pokok mangga'.

Habis menjelajah, kami kembali ke tangga di dataran depan menara sebab janjinya berkumpul di situ. Tapi cuma ada Hani je, Aten dengan Mada tidak kelihatan di mana-mana. Dalam pada nak mencari mereka berdua, sampailah kami ke kawasan lain yang juga merupakan tempat untuk letak mangga. Dekat sini pun boleh nampak pemandangan kota Seoul dan redup sebab dikelilingi pokok-pokok. Waktu nilah terserempak dengan satu keluarga pelancong dari Malaysia. Lama juga borak-borak dengan akak yang berasal dari Kedah tu.
Salah satu pondok bercirikan ukiran tradisi di kawasan dataran. Siapa pernah tengok Running Man episod awal-awal dulu, ada sekali tu dia buat penggambaran dekat sini.

Laluan untuk ke kawasan lain yang juga tempat mengunci mangga. Tempat ni jauh sikit dari kawasan menara tadi; kena turun tangga sikit untuk sampai.

Taraaa! Inilah tempat yang dimaksudkan. Ini salah satu ruang bergambar yang 'panas' juga. Jadi, sila beratur untuk bergambar di sini.

Bila dah cukup geng, barulah kami bergerak turun ke tempat menunggu bas. Masa ni matahari terik betul dan bas masih berkunci. Rasanya dia tunggu orang dah ramai baru boleh masuk. Waktu menunggu, ada sekumpulan ahjumma yang sama-sama duduk di situ. Kalau tak silap, dia cakap pasal tudung/selendang yang kami pakai; yippeoyeo katanya. Hehehe.. Lepas tu ada lagi benda dia sembang dan bagi pihak kami, Mada yang bersuara. Itu pun mana yang boleh jelah sebabnya kitorang faham apa yang dicakapkan cuma bila nak balas tu, kosa kata terhad.
Okey, marilah pulang. Lapar dah ni.

N Seoul Tower dari perhentian bas. Semoga jumpa lagi, annyeonghigyeseyeo!

Memandangkan bas yang kami naiki tu akan lalu di Sindangdong, maka rancangan untuk makan rabuki berjaya dilaksanakan. Kalau masih ingat, patutnya kami ke Sindangdong ni pada hari pertama tapi sebab tak sempat, rancangan dibatalkan. Batal ye, bukan tunda. Kebetulan bila tengok laluan bas ke Menara Namsan ni, nampak ada Sindangdong, teruslah pakat-pakat jadi singgah makan rabuki. Cerita makan rabuki episod akan datang ye. Daaaa...

No comments: