Engagement Fund ;)

Thursday, 28 April 2016

Okey ke memandu sendirian?

Sebelum kongsi cerita tentang hotel tempat aku menginap minggu lepas, nak kongsi cerita memandu secara solo untuk satu jarak yang jauh. Rasanya inilah jarak paling jauh aku memandu sendirian. Sebelum ni pun kalau memandu jauh mesti ada yang teman. Biasanya Kak Chik la sebab kalau memandu jauh ni kerana memenuhi undangan walimah kawan-kawan universiti yang bertebaran di seluruh Malaysia. Satu Malaysia gituu!

Memandangkan ini kali pertama, cuak tu memang ada. Mula-mula tanya Aten okey ke kalau aku memandu sendiri ni? Dia macam tak yakin. Lepas tu tanya Kak Chik, dia jawab okey sangat. Hahahaha... Tahap keyakinan dia melebihi tuan badan. Aku pulak 50:50 sebab tak pernah sampai kan? Paling jauh ke arah Utara adalah Changkat Jering; itupun dengan Kak Chik.

Mula-mula ajak juga Abah ikut tapi sebab dapat memo pun beberapa hari sebelum kejadian, memang taklah. Lagipun Abah kata aku boleh je nak memandu jauh-jauh ni sebab kalau jalan-jalan satu keluarga pun aku yang banyak memandu. Orang cakap, apsal tak naik kapal terbang je? Bab-bab pengangkutan awam ni memang aku tak pandai; biarlah sesat memandu daripada cuak mencari hala tuju dekat lapangan terbang. Kalau ada orang temankan, takpe.

Akhirnya, boleh je pun sampai dengan selamat. Yang penting yakin dan tawakal. Bak kata Kak Chik, kalau cuak, jadilah cuak kuasa dua. Sepanjang jalan tak tekan laju pun, biasa-biasa je cuma bila perjalanan jarak jauh ni memang sahih akan mengantuk maka waktu berhenti dekat R&R Jejantas Sg. Buloh waktu pergi, aku beli gula-gula dengan badam untuk kunyah-kunyah; air kosong sebotol wajib.
Botol air hijau tu beli waktu nak ke Korea dulu dan sampai sekarang suka bawa juga kalau jalan jauh-jauh..

Waktu pergi berhenti dua kali; sekali untuk makan tengah hari dan lagi sekali solat jamak takhir. Sengaja buat jamak takhir sebab bila wudhuk kan jadi segar sikit dan bolehlah kurangkan rasa ngantuk.

Baliknya pulak berhenti dua kali juga; sekali untuk makan dan lagi sekali untuk makan jugak. Hahahaha... Dah balik santai-santai je memandu sebab tak kejar masa dan hari pun cerah lagi. Pertama kali berhenti dekat R&R Gunung Semanggol untuk sarapan. Mahal harga nasi lemak lauk ikan keli; sepinggan berharga tujuh hengget dua puluh sen. Lepas tu ronda-ronda sekitar R&R cari buah tangan untuk bawa balik. Dari Pulau Pinang, kenalah bawa balik jeruk kan?

Kali kedua berhenti sebab memang suka berhenti dekat R&R yang satu ni iaitu di Tapah. Kalau lalu, memang wajib singgah sebab dekat sini ada baaaaaaaanyak makanan sedap. Makan lagi? Mestilah! Hehehehe... Kali ni tak makan berat pun sebab macam kenyang lagi untuk nasi. Jadi, cuma beli buah potong dan manisan.
Peach tart enam hengget sembilan puluh sen yang sedap gila hoi dari Quick Bytes kot nama kedai tu..agak besar tart ni dan boleh makan dua orang kalau kau rasa berdosa sebab makan benda manis banyak sangat...

Buah-buahan potong yang dah naik harga jadi tiga hengget satu bekas...layan jelah, tinggal nak kunyah kan?

Ni pun dari kedai sama dengan tart tadi; pun sedap gila hoi! Silalah beli ikan ni sebab dia sedap...dalam dia ada inti custard dan ikan tu rasa macam waffle dan tak manis sangat..enam ketul harga dia RM 5.30 termasuk GST...

Beli beli beli dan masuk kereta makan dalam kereta. Lepas tu stress sebab asam dekat jambu tu berterbangan sampai kena dekat gear dan kusyen. Ceh! Salah siapa? Salahkan diri sendiri. Inilah pengalaman memandu paling jauh sendirian pertama kali. Cuak tetap ada tapi tenang-tenang aja dan sentiasa waspada. Sebelum keluar kereta waktu nak berhenti kena perhati kawasan sekeliling. Kalau ada yang mencurigakan, jangan keluar.

Sunday, 24 April 2016

Salah Tengok Tapi Tak Salah Makan

Alhamdulillah semalam selamat sampai rumah pukul 3.30 petang selepas menempuh perjalanan selama 6 jam. Perjalanan pun lancar je, tak macam waktu pergi yang tiba-tiba berlaku kesesakan teruk sampai ada masa tak bergerak. Nak lagi best, dekat kawasan berbukit dan hala naik; jenuh main brek tangan dengan kaki. Ada sekali tu hujan terlalu lebat sampai tak nampak jalan langsung, berdebar gila waktu tu sebab kiri kanan kawasan hutan dan kereta pun tak banyak waktu.

Itu perjalanan pergi, perjalanan balik semuanya baik-baik. Cuaca cantik, jalan lapang. Cuma speed trap la bersepah. Strategi memandu jarak jauh, pecut selagi boleh pecut dekat kawasan yang tak 'mencurigakan'. Kalau nampak ada flyover dari jauh, turunkan kelajuan mengikut had laju yang ditetapkan sebab biasanya polis-polis ni duduk dekat bawah flyover tulah.

Entri sebelum ni aku cakap tol keluar di E158 adalah hampir 70 hengget kan? Rupanya salah tengok. Hahahaha... Itu baki kad sebenarnya. Senget dah sebab lama sangat atas jalan dan hari pun dah senja waktu tu. Ada sorang tu dari Melaka, dia cakap tol dia 40 ++ je dan aku pun cakaplah dengan yakin apsal tol aku mahal sangat? Rupanya bila nak balik tu tengok kad, baki banyak lagi. Hahahaha... Memang 40 hengget lebih je pun. Malu ai! Heeee...

Itu bab tol, ni nak kongsi bab makan. Hari Khamis malam tu ikut diorang pergi makan burger ayam goreng paling sedap katanya. Sebabkan orang yang ajak dan tak perlu memandu, maka setuju aje. Lepas maghrib gerak dari hotel ikut jambatan kedua. Dalam setengah jam jugalah nak sampai kedai burger tu. Terpengaruh tu sebab dengar diorang cerita tak boleh blah sedapnya sampai nak ulang makan sebab diorang dah pergi dah semalamnya, kira ni ulangan la.

Kedai burger ni biasa je macam warung tepi jalan, tapi dia punya beratur, perggh! Habis masa dekat beratur je sebenarnya. Beratur kemain lama tapi makannya tak sampai 15 minit. Dekat sini memang jual burger ayam goreng yang macam Zinger KFC tu dengan ayam goreng macam KFC jugak. Ada la beberapa pilihan untuk bun dia tapi aku tak tahu menunya sebab tugas aku adalah jaga tempat duduk. Harga pun tak tahu berapa hengget sebab orang belanja. Hehehe...

Rupa burger beserta 'senjata' nak makan..kalau tak mengenangkan datang dengan orang-orang yang tak biasa, dah lama aku guna tangan je tapi sebab segan dengan diorang yang pakai pisau dengan garfu bagai, layankan jelah...

Keratan rentas burger yang mempunyai sekeping daging ayam dan telur goreng dan kobis dan juga bawang..macam yang ni diorang pesan kuah banjir maka memang banjir lah dengan mayonis dan sos lada hitam..

Tapi memang berbaloi sangat datang makan sini sebab berkali ganda sedap dari Zinger dan tak masin macam Zinger. Nak tambah sos ke mayonis ke, pun boleh. Mengikut kata yang tukang bawa tu, dia memang akan beroperasi tepat-tepat jam 7.00 malam sampai habis. Kalau nak datang jangan datang awal sebab kena 'halau' dan jangan datang lewat sangat sebab dah habis. Dalam pukul 10.00 macam tu dah tak ada benda dah diorang cakap. Tempat dia tak jauh pun dari jambatan kedua tu; kalau nak cari, boleh cari Burger Ayam Goreng Njoy.

Hari terakhir mesyuarat, makanan tengah hari dibungkus jadi ada sebablah aku nak cari nasi kandar. Yeay! Tak lengkaplah datang Pulau Pinang kalau tak makan nasi kandar kan? Diorang cakap satu lagi yang wajib makan adalah ikan bawal goreng bawah pokok. Asalnya nak cuba ke sana tapi sampai sesat-sesat jalan keluar lebuhraya bagai, patah balik cari kedai Nasi Kandar Ahmad.

Berdasarkan maklumat dari hasil carian Google, kedai ni adalah salah satu kedai nasi kandar yang terkenal di Simpang Ampat. Bila tengok lokasi dekat Google Map, 1 km++ je dari hotel, wajiblah aku cari walaupun Pakcik Google cakap 'The restaurant might be closed for one hour when you arrived." Yelah, solat Jumaat kan? Tapi aku cuba je nasib pergi tengok. Alhamdulillah rezeki nak rasa nasi kandar yang difahamkan adalah air tangan orang Melayu.

Aku rasa itu keistimewaan kedai ni sebab bisanya kalau nasi kandar kan mesti mamak? Jadi, kena singgah sini kalau kebetulan berada di Simpang Ampat okey? Kedai dia dekat Taman Kasawari dan dari jalan besar, ada papan tanda. Kalau guna Google Map pun lagi mudah sebab memang dia bawa sampai depan kedai; taip je Nasi Kandar Ahmad.

Sampai sana dalam pukul 1.00++ tapi kedai meriah! Yeay, kedai buka! Pusing dua kali juga cari parking sebab memang penuh parking kiri kanan. Dah dapat parking, terus turun dan ke kedai. Tempat ambil makanan betul-betul depan pintu masuk dan susunannya sistematik; kalau nak makan sana pergi beratur sebelah kiri dan kalau nak bungkus, masuk barisan belah kanan. Nanti pekerja dia akan tanya nak lauk apa dan kuah macam mana.

Waktu aku sampai tu pekerja dia memang semua perempuan dan laju gila buat kerja. Zap zap zap, siap! Aku minta nasi separuh je dan lauknya tipikal lauk nasi kari yang biasa aku makan, ayam goreng, kuah campur dan sayur kobis. Paling win adalah dia bungkus pakai kertas, bukan polisterin. Memang daebak! Nasi kari atau nasi kandar ni kalau dibungkus pakai polisterin, hilang rasa sedap dia dan kurang feel. Siap bungkus, boleh terus ke kaunter untuk bayar.
Nampak tak tu, dibungkus dengan kertas?

Taraaa...! selepas dikuis...


Sampai hotel, buka air-cond, buka tudung, tarik kerusi, terus buka bungkusan nasi kandar tadi. Sedap gila hoi dia punya kuah campur tu! Rasa berempah tapi tak melekat macam mamak punya kuah campur; ayam goreng dia pun ngam soi rasa kunyitnya. Pendek kata, sedap dan berbaloi sangat dengan harga RM 4.40. Panjang kata kenalah pergi rasa kalau dah sampai di Simpang Ampat. Waktu operasinya adalah dari 7.30 pagi sampai 3.30 petang. Sekian...

Thursday, 21 April 2016

Langsung dari Utara

Currently in Penang for English cluster meeting. I was hoping that the meeting would take place somewhere near my office but unfortunately this time the location changed.  Previously it was in Malacca and I have no problem driving there alone because I'm already familiar with the routes. Dan dan kau cakap omputih dekat sini. Cakap omputih dekat rumah lagi satu laaa...

Sebenarnya ada satu lagi blog yang memang guna medium Inggeris tapi jarang update. Buat tu pun masa praktikal dulu, konon-konon jurnal harian la. Wujud lagi cuma jarang tulis; kalau hebat pergi cari mana tahu jumpa ke kan? Hehehe...

Bajet ketat sungguh ni bila kena datang mesyuarat ni sebab belanja besar sebab lokasi jauh. Tol je dah dekat 70 hengget. Tanjat mak incik bila imbas kad Touch n Go semalam; nasib baik dah isi duit siap-siap. Minggu depan datang sini lagi sebab memang dah rancang nak bercuti dengan Geng Bilik Prep.

Mada cakap aku tak payah baliklah, duduk sini tunggu diorang sampai. Hahahaha... Kelas hari Rabu siapa nak ganti Mada oi? Semalam pun aku habiskan kelas dulu baru gerak sebab kalau tak masuk kelas, memang hangus tak boleh nak minta orang lain gantikan dulu.

Sebelum pergi kena tanya dulu boleh buat tuntutan ke tidak sebab kalau tak boleh memang tak pergilah kan walaupun dalam kumpulan WhatsApp kena marah dengan otai-otai yang ada. Sebab boleh tuntut elaun perjalanan bagai, maka selamatlah saya sampai di sini buat pertama kalinya.

Okeylah, nanti sambung lagi kemudian. Ni pun nak tunggu makanan turun je ni sebelum tidur. Alhamdulillah rezeki orang bawa pergi makan  burger sedap dan siap belanja lagi. Segan mak incik dibuatnya. Asalnya rancang pergi berempat tapi lagi sorang tu tak dapat ikut, maka jadilah bertiga.

Ingat malas nak ikut tapi lapar la pulak;  jadi malu dan segan tu tolak tepi. Nak memandu sendiri memang sekian terima kasihlah. Pemandu dekat sini macam hape je. Semuanya guna kuasa psikik langit ketujuh tahap dewa punya waktu memandu. Stress haku! Dari sekecik-kecik motor, sampai sebesar-besar lori. Cemana nak memandu dekat sini ni Ten minggu depan?

Tuesday, 19 April 2016

Kimchi Lagi

Semalam buat satu lagi batch kimchi untuk mereka yang nak diposkan. Kalau nak pos, memang aku akan buat hari Ahad supaya kimchi tu dapatlah diperam dalam perjalanan sewaktu diposkan. 

Bahan utama yang aku guna..serbuk cili memang guna yang import dari Korea sebab texture dia lain sikit dari yang tempatan dan warna dia lagi merah dan haruslah lebih pedas...

Bila mula jual kimchi ni, kadang tu risau rasa dia lain setiap kali buat sebab walaupun ikut resepi, banyak lagi benda yang aku sukat ikut hati. Ikut hati = agak-agak. Aku suka kalau rasa halia dengan bawang putih tu kuat sikit dan memang macam tulah aku buat pun tapi ada yang komen cakap rasa bawang putih agak kuat. 

Entah, tekak dan lidah aku memang gagal bab-bab merasa ni; bak kata Kak Chik, "Awak punya rasa sedap tu tak boleh pakai!" Hahaha... Sebabnya bagi jelah apa jenis makanan pun, sedap ke tak sedap ke, tetap habis dan sangat sangat jaranglah kata tak sedap. Rezeki tu wei, jangan nak komen lebih-lebih sangat.

Kkakdugi yang rangupnya ngam soi cuma masinnnn...

Kali ni memang aku buat cukup-cukup je untuk yang menempah sebab stok kimchi sendiri ada lagi sikit. Cuma aku cuba buat kkakdugi tapi menyesal sebab ikut cara buat tu betul-betul. Jadi sangat masin dan tak seronok nak kunyah-kunyah begitu saja. Tak tahulah lepas diperam nanti rasa masin dia kurang sikit ke kan, kena tunggu.

Senang je nak buat kkakdugi ni. Potong kiub lobak putih, gaul dengan garam sampai rata dan biarkan selama 40 minit. Lepas tu, aku rasa bilas sikit kot untuk bagi dia kurang masin. Lepas tu gaulkan dengan paste kimchi tu dan masukkan daun bawang. Dah, tu je. Senang kan? Ni sebab alang-alang buat kimchi, aku ambik sikit paste untuk kimchi tu je.

Dah Dua Tahun Pun

Dua tahun sudah pada tarikh yang sama, selamatlah aku tiba di bumi Korea. Walaupun dah dua tahun, tapi masih segar lagi kenangan dekat sana. Kenapa terkesan sangat dengan kenangan yang satu ni? Sebab banyak perkara yang pertama kali berlaku dalam seumur hidup untuk aku.

Pertama kali naik kapal terbang. Pertama kali keluar dari Malaysia. Pertama kali rancangan nak melancong dengan kawan-kawan berjaya. Pertama kali menikmati keindahan langit pada waktu malam yang begitu dekat dengan bulan.

Macam tak percaya je akhirnya berjaya jejak kaki ke Korea. Paling aku ingat, masuk je dalam balai ketibaan tu, terpampang muka Jang Dong Gun dengan senyuman yang paling menawan. Kenal dia pun sebab baru je habis tengok Gentleman's Dignity waktu tu.

Tapi waktu pergi tu memang aku paling kenal Kwon Sang Woo je; Running Man ke, SNSD ke, tak kenal. Bahasa dia pun belajar sikit-sikit je sebab fikir kitorang pergi dengan agen kan, maka tak payah nak fikir sangat. Mada dengan Za dahsyat sikit sebab diorang kenal belaka artis-artis Korea tu; nampak iklan dekat bas, laju je Za sebut nama pelakon tu. Jumpa iklan dekat tepi jalan, Mada pulak sebut nama penyanyi tu.

Sebenarnya kalau belajar bahasa dia lagi seronok dan perkara itu hanya berlaku lepas aku balik dari Korea. Ini pun dah lama tak ulangkaji ni, lupa banyak dah huruf-huruf dia. Kalau nak baca cerita waktu ke Korea dulu, pandai-pandailah cari ye dalam blog ni. Aku tengok entri persiapan ke Korea tu antara entri panas juga. Harapnya dapatlah membantu serba sikit. Sekian, entri mengimbas kenangan dulu dan diakhiri dengan gambar universal adapter yang sesuai digunakan ketika di sana.


Monday, 18 April 2016

Masih di Awangan

Salam hari Isnin. Isnin baru dengan semangat baru tapi fikiran masih senget lagi penangan Big Boss dengan Dr. Kang Mo Yeon. Lama gila tak kena penangan drama Korea yang macam ni; siap boleh senyum sorang-sorang hampir setiap saat. Heeee...

Ulasan terperinci kemudian nanti ye. Sesiapa yang belum tengok DOTS, pergilah tengok. Cuma jangan tengok parody sebab memang kau punya perasaan nak menghayati babak dalam drama sebenar terus ke laut dalam.

Sebelum ni angau dengan John Kim dengan Peguam Kang. Asal duduk membongkok je teringat babak John Kim ajar cara nak betulkan posisi badan dekat Kang Joo Eun. Tengok cerita tu macam termotivasi sikitlah nak bersenam secara serius ni.

Sekarang ni dok dengar OST dua drama ni selagi tak muntah. Hahaha... Serius lagu dia best! Paling suka OST Oh My Venus yang Kim Tae Woo nyanyi. OST Descendants of the Sun pulak mestilah yang K.Will dengan Gummy nyanyi. Tapi lagu-lagu lain pun best, cuma yang tiga ni terpaling suka.

Sindrom senyum sorang-sorang ni tak tahulah bila nak baik. Jadi, untuk hari-hari seterusnya, abaikan je seorang Farah yang mungkin terseyum sendirian ketika sedang berjalan atau menulis atau membaca. Entri ini diakhiri dengan Kopi Tarik Wonda harga sehengget setin; beli waktu promosi dekat Select minggu lepas.

Sunday, 17 April 2016

Ko Hyang - Restoran Makanan Korea di Setia City Mall

Annyeong! Kejadian ni lama dah sebenarnya, bulan 2 punya cerita. Tapi sebab lagi lama peram lagi best, maka baru hari ni aku kongsikan pengalaman makan di sini. Kisahnya, lepas hantar kimchi dekat Kak Eli, ingat nak lepak Jusco je tapi Kak Eli beria suruh pergi makan dekat sini maka tergugat juga.

Mula-mula aku dengan Aten fikir macam jauh je nak pergi sampai Setia Alam jadi buat keputusan nak ke Seksyen 7 je. Nak dijadikan cerita, persimpangan untuk pusingan U dari Klang ke Shah Alam sedang dalam proses pengubahsuaian. Makanya, banyaklah benda alah penghadang plastik sampai mengelirukan nak lalu simpang mana. Keluar je dari jalan mengelirukan tu dah nampak tol. 'Terpaksalah' ke Setia City Mall.

Sampai sana solat maghrib dulu dan terus tunggu isyak sekali baru pergi makan. Kedai ni aku dah lupa dekat kawasan mana tapi susun atur memang ala-ala kedai makan dekat Korea; kerusi tak berapa nak besar, susunan meja agak rapat dan kedai comel. Suasana kedai pun nyaman je dan hiasan mestilah konsep Korea.
Suasana dalam kedai

Pandangan kaunter dari tempat duduk

Pandangan dekat siling

Bila sampai, pelayan bagi menu. Menu tak banyak pilihan jadi kurang tamak. Ye ke? Tamak jugalah tapi kuranggg. Kami pesan bibimbap dengan rabuki dengan mandu goreng. Air teh o limau rasanya. Sementara tunggu, sempatlah menjakun ambil gambar bagai. Hehehehe... Tak lama tu sampailah makanan yang dipesan. Mandu sampai dulu dengan banchan dan diikuti dengan bibimbap.

Banchan

Mandu

Isi perut mandu

Rabuki sampai paling akhir sebab diorang tak percaya kitorang pesan juga rabuki walaupun dah makan bibimbap. Itupun lepas hampir kesemua pekerja pandang-pandang dekat kitorang sambil tengok kertas order dengan pandangan 'Eh, biar betul budak dua orang ni order rabuki jugak?' Gituuu... Betullah, kitorang kan susah nak jumpa makanan Korea ni, jadi alang-alang sampai, order jelah apa yang ada dalam menu.
Sup

Bibimbap..rasanya macam dolsot bibimbap tapi dah lupa..kalau tengok mangkuk, dolsot kan?

Lepas digaul

Rabuki

Portion makanan memang banyak macam biasa. Untuk bibimbap, dia punya isi tak kedekut tapi dia punya gochujang tak sedap sangat, masam sikit dan kurang pedas. Sos bibimbap tersedap dekat anak tekak ni masih lagi bibimbap Sweetree. Banchan dia pun biasa-biasa je. Mandu pulak aku rasa inti dia kurang best tapi layan jugak. Rabuki, memang besar portion dia. Tteokboki dalam rabuki liat tapi isi perut lain boleh tahan tak kedekut.

Keseluruhannya, bolehlah diterima anak tekak. Harga pun bagi aku berpatutan. Kedai bersih dan pekerjanya majoriti adalah orang tempatan, bukan pekerja asing macam yang dekat food court. Paling penting, beras dia terasa seperti beras Korea. Kepada yang berada berdekatan, bolehlah cuba pergi makan dekat Ko Hyang ni. Ko Hyang adalah perkataan Korea yang bermaksud kampung halaman.

Friday, 15 April 2016

Bila dah pandai muat turun sendiri drama Korea, ..

.. terus laju-laju cari cerita yang macam best untuk ditonton. Akibatnya, tak berhenti download dari mula tahu tu. Ingat nak cari drama saguk tapi kebanyakannya episod panjang-panjang, bercinta pulak nak menunggu tu. Maka, setakat ni baru dua siri yang lengkap dan satu siri dah habis tengok. Marathon terus ko! Nanti aku kongsikan ulasan untuk drama Oh My Venus yang dah selamat ditonton. Boleh tahan lawak jugaklah So Ji Sub dengan Shin Min Ah dalam cerita tu.

Sekarang ni tengah layan Descendants of the Sun. Masalahnya sekarang, dah tertengok parody dekat Facebook ada orang share; lepas tu bila tengok siri yang sebenar, elok-elok adegan tu cemas, terus jadi lawak dan ketawa tak sudah-sudah. Hahahaha.... Sengal betul. Lesson learned! Jangan tengok parody dulu sebelum tengok siri yang sebenar. 

Kalau nak muat turun drama Korea, pergi dekat doramax264 dan carilah drama yang menjadi pujaan. Tekan dekat link yang dia bagi tu dan sabar jelah bila keluar page iklan berulang-ulang; pangkah je window iklan tu dan terus ke page yang ada senarai link. Pilihlah mana-mana link yang masih valid sebab kalau cerita lama kadang banyak yang link dah tak valid. Ada link yang kena register dan ada yang tak payah; ikutlah mana yang mudah.

Dah download tu, pergi dekat laman web subscene pulak cari subtitle. Carilah link yang warna hijau sebab biasanya link tu yang terbaik dan ramai orang download. Dah download, simpan dalam satu fail yang sama dengan fail video tadi dan pastikan nama fail video dengan subtitle tu sama tajuk. Untuk fail subtitle, kena letak format .srt tau lepas korang bagi nama. Contohnya, tajuk video tu 'Oh My Venus e01' maka fail subtitle kena taip 'Oh My Venus e01.srt'. Faham dak? Tak faham tanya yeee...

Saturday, 9 April 2016

Kimchi Jjigae Versi Cik Farae

Bila ada stok kimchi, hidup menjadi mudah. Tak tahu nak masak apa dan kejar masa? Kimchi jjigae adalah salah satu lauk lengkap sebab ada protein dan serat. Mudahnya memasak dengan kimchi. Tetiba buat iklan dekat sini. Hahaha...

Okeylah, nak tepek resepi kimchi jjigae versi campak-campak aku ni sebab kadang-kadang tu lupa juga apa bahan-bahan dia. Sekarang ni bolehlah masak ni selalu sebab Abah boleh terima rasa kimchi jjigae; kalau kimchi biasa tu memang Abah tak lalu makan.

Bahan-bahan nak buat ni senang kacang je. Kalau nak ikut, ikutlah. Kalau rasa tak yakin, boleh rujuk dekat blog Korean Bapsang atau blog Koreans yang lain.

Nasi putih dengan kimchi jjigae kasi banjir siap!

Bahan-bahan
Segenggam daging lembu (hiris nipis)
2 senduk kimchi
1/2 biji bawang besar (hiris)
1 sudu gochugaru (kalau tak tahan pedas sila kurangkan)
Daun bawang
Beberapa titis minyak bijan
Minyak untuk menumis
Air secukupnya
Garam secukup rasa

Cara memasak
1. Panaskan minyak dan titiskan sekali minyak bijan. Tumiskan bawang besar yang telah dihiris sampai layu.
2. Masukkan gochugaru dan kacau sampai agak-agak serbuk cili dah tak bau menyengat.
3. Masukkan hirisan daging dan kacau sampai kedua-dua bahagian daging masak. Biarkan seketika sampai daging lembut.
4. Masukkan kimchi dan tumis sekejap bersama daging.
5. Kemudian, tuangkan air secukupnya dan biarkan hingga mendidih. Perasakan dengan garam dan tutup api.
6. Sebelum hidang, boleh taburkan hirisan daun bawang. Siap!

Kebahagiaan masak kimchi jjigae ni adalah bila tengok dia tengah mendidih; seronok je tengok dia mendidih. Kalau ada tauhu, boleh juga masukkan tauhu. Ikut resepi asal, diorang guna green onion ataupun daun bawang yang daun dia lebar-lebar tu je, tak pakai bawang pun. Tapi sebab biasanya daun bawang tu tak ada stok, aku guna je bawang besar. Nak lagi sedap pakai bawang yang guna untuk masak tomyam tu.

Lauk ni paling best dihidang panas-panas dan nak lagi umph, letak kuah banjir macam gambar atas tu. Layannnn...

Friday, 8 April 2016

Sunan Nanggroe

Buat ulasan novel sikit. Ini adalah novel ketujuh dalam siri yang melibatkan Laksamana Sunan. Bila baca Sunan Nanggroe Sang Kembara ni, barulah terungkai misteri gelaran lelaki berduka dari Tanah Rencong tu. Kiranya ini adalah kisah hidup Saifudin sebelum dia dijadikan anak asuhan Wali Sufi dan juga macam mana Ratna boleh jadi anak angkat Maharani.

Kisahnya bermula di Punggor waktu Saifudin baru menginjak remaja. Kerana fitnah dari Orang Kaya Seman yang mendambakan jawatan penghulu, Saifudin dihukum sebat oleh bapanya, Penghulu Jalis. Dek kerana terlalu kecewa dengan bapanya yang menjalankan hukuman tanpa siasatan yang mendalam, Saifudin nekad membawa diri dari Punggor.

Malangnya dalam perjalanan ke Melaka, dia telah diculik oleh penyamun dan dijual kepada seorang juragan kapal. Bermula dari situ, dia hidup sebagai anak kapal dan mempelajari ilmu laut. Sewaktu berada di atas kapal Juragan Semarang, dia bertemu dengan Tikurai, tukang masak beragama Hindu yang sangat kuat pegangan agamanya dan dialah yang sentiasa melindungi Saifudin dari dibuli oleh anak-anak kapal yang lain. Tikurai jugalah yang membantu Saifudin bebas dari mejadi hamba kepada Juragan Semarang.

Selepas bertemu Wali Sufi, dia dijadikan anak angkat Wali Sufi dan dididik dengan ilmu agama kerana Saifudin memilih ilmu agama berbanding ilmu persilatan. Maharani yang berdendam dengan Wali Sufi menghantar Ratna untuk menghapuskan Wali Sufi dan seterusnya menawan Aceh. Pelbagai kekacauan berlaku dalam usaha untuk membunuh Wali Sufi.

Kemuncaknya adalah kematian rombongan dari kerajaan Pagar Ruyung dan dari situlah misteri kekacauan dirungkaikan satu persatu walaupun aku kira kisah ini tergantung sama macam ulasan bedah buku ini. Kepada yang belum baca, bolehlah dapatkan novel ini di pasaran beserta sambungannya, iaitu Sunan Cinta Nan Sakti. Sekian, ulasan ala-ala Nilam dari Cik Fara.

It's Okay, That's Love

Sekarang ni orang tengah sibuk angau dengan Song Joong Ki dan Song Hye Kyo, aku baru sibuk-sibuk nak tengok drama lakonan Jo In Sung dengan Gong Hyo Jin. Aku dah tahu kenapa Descendants of the Sun tu menjadi kegilaan sangat; selain pelakon yang serasi, tentulah OST dia yang best. Penyanyi OST dia semua tauke OST, haruslah sedap lagu-lagu dia terutamanya Gummy dengan K.Will. Eh, ni nak cerita yang mana satu ni?

Gambar dari Pakcik Google

Okey, kembali ke pangkal jalan. Cerita ni dah sedut lama dah tapi tak ada mood nak tengok. Radin kata dia terfikir nak jadi psychiatry lepas tengok cerita ni jadi ada rasa ingin tahu jugalah macam mana cerita ni boleh mempengaruhi orang. Genre drama ni adalah komedi, romantik dan perubatan yang fokus pada masalah mental. Masalah mental ni ada banyak cabang jadi bila tengok drama ni bertambah sikitlah pengetahuan pasal istilah-istilah sakit mental yang digunakan dalam bidang perubatan.

Mula-mula tengok macam tak faham sangat siapa dia ni, apasal dia ni macam tu dan dia ni dah kenapa? Logik la kan tak faham, baru episod satu kot! Hahaha... Tapi jalan cerita dia taklah berbelit-belit dan tak lembap; macam, tiba-tiba je dah habis satu episod? Episod satu sampai episod sembilan tak ada adegan sedih tapi mula episod sepuluh, baru terbongkar sikit demi sikit masalah yang dihadapi oleh hero dan mulalah adegan air mata.

Kerana trauma waktu kecil, hero ni sebenarnya menghidap skizofrenia tapi dia tak sedar. Dia rasa orang dan situasi tu wujud walhal semuanya ilusi yang sebenarnya adalah memori dia masa kecil. Ilusi tu wujud sebab dia rasa bersalah sangat-sangat dekat abang dia yang dihukum penjara sebab dituduh bunuh ayah tiri diorang. Selain daripada masalah ilusi tu, dia hidup macam orang normal, ada kerjaya dan bergaul dengan orang lain macam biasa. Mula episod tiga belas kot sampai habis memang sedih tahap mengalir air mata. Sampai bengkak-bengkak mata menangis. Hehehehe...

Tapi pengakhiran cerita ni adalah comel sebab hero dan heroin akhirnya kahwin. Comel. Cara diorang bercinta pun comel je, tak adalah cheesy sangat. Selain cerita tentang hero dan heroin, ada juga cerita tentang kawan serumah diorang yang berkaitan dengan masalah mental juga. Kalau belum tengok, korang tengoklah ye. Tak silap cerita ni tengah tayang dekat TV 9 pukul 6.30 petang.

Wednesday, 6 April 2016

Buang Tebiat Lagi

Sekarang tengah cuti sementara tunggu kontrak baru. Maka, tetiba terbuat tebiat lama iaitu marathon drama Korea sampai esoknya. Dia kalau dah nama buang tebiat, memang tak peduli apa dah. Mula tengok dalam pukul 11.00 malam tadi dan teruslah sampai pukul 10.00 pagi tadi kot. Tak tidur okey? Ni sebabnya kata buang tebiat. Setahun sekali dua je buat cenggini; masa lain tu memang catu satu hari paling banyak tiga episod.

Tak ada cerita baru pun, cuma  ulang tayang cerita yang ada dalam koleksi dan cerita yang sedang ditonton ni dah lama dapat tapi tak ada mood nak tengok. Ingatkan tak best tapi bila dah tengok, tak boleh nak berhenti. Hehehe... Jalan cerita menarik, hero dan heroin pun mantap dan OST dia semua best! Nanti kemudian aku ulas kalau rajin. Sekarang nak sambung baca Sunan Nanggroe; tak boleh sambung tengok sebab nanti kang marathon lagi. Esok kena pergi pejabat selesaikan benda alah JEPT tu jadi kena tidur secara normal. Tu je nak bebel. Banyak entri draf tapi malas nak taip dari laptop maka buat entri pendek ni. Daaa...