Engagement Fund ;)

Saturday, 30 July 2016

Tersampuk dengan Lee Jong Suk Pulak...

Annyeong! Lama tak borak-borak pasal K-pop, hari ni nak kongsilah sikit drama Korea terbaru yang tertengok tanpa sengaja. Ni semua sebab asteruk bagi channel percuma la ni sempena raya, dapatlah tengok channel Oh! K dengan tvN.

Mula tertengok ni waktu episod 3 haritu sebab masa tertengok episod 1 tak faham menda, jadinya malas tengok. Hahaha.. Episod 1 kot, memanglah tak faham kan? Lepas tu tak tahu siapa hero siapa heroin, lagilah malas nak tengok.

Bila tertengok episod 3 ni, nampak Lee Jong Suk pulak. Eeehh, pakcik jambu ni heronya? Okey, harus tengok ni. Hari ni layan episod 4 ulangan sebab semalam tak tengok tv. Lepas ni kuota percuma habis, wajib haku pergi download. Ulasan cerita nanti aku update kemudian. Daaa...

Thursday, 28 July 2016

Penang 2016: Wajib Makan Bila Sampai Penang...

Sambungan cerita hari kedua di Pulau Pinang. Lepas check-in hotel, golek-golek kejap, solat dan keluar semula untuk cari makan. Kalau jalan-jalan, memang waktu makan akan lari punyalah! Nasib baik pagi tadi dah makan nasi siap-siap, kuranglah cranky tu. Hahahaha...

Agenda yang perlu dipenuhi pada hari kedua adalah melawat Fort Cornwallis dan Street Art. Asalnya kan nak pergi muzium, tapi sebab dah membeli-belah dekat HG, bajet dah lari. Tak cukup duit nak beli tiket masuk muzium. Hahahaha.. Sebelum jalan-jalan yang sampai tak jumpa jalan pulang tu, kita makan duluu!

Sampai dekat kawasan Fort Cornwallis tu dah pukul 5 lebih. Pusing-pusing cari parking yang percuma, tak jumpa. Lepas tu nampak satu tempat parking awam yang kena bayar untuk sekali masuk tak silap. Masuklah dalam tu untuk parking yang agak selesa dan selamat. Jangan kedekut sangat ok?

Parking tu strategik sangat sebab memang dekat dengan tempat tumpuan yang kami nak pergi tu. Kalau nak ke tepi laut, pun tak jauh sangat; jalan kaki dalam 10 minit kot. Dekat Korea selamba je jalan kaki turun naik tangga, takkan dekat Malaysia tak boleh?

Tempat makan yang kitorang pergi petang tu adalah Medan Selera Esplanade Park. Semua jenis makanan wajib makan dekat Penang ada, sediakan duitnya aje. Konsep untuk kali ini ialah makan semua sekali serentak. Tapi tak adalah hadap satu makanan tu sorang, kongsilah bertiga. Tamak sangat tu kalau makan sendiri.

Menu yang paling terkenal dekat sini adalah Mee Sotong. Panjang gila barisan dia! Rasanya kedai tu jual mee goreng sotong je cuma yang berbeza adalah saiz dia. Aku tak ingat sangat dah sebab yang pergi beli mee sotong tu adalah Mada. Nah layan gambar makanan. Harga makanan jangan tanya sebab dah lupa. Heeee... Tapi harga semua berpatutan la dengan rasa dan kuantiti.

Makanan yang ada sementara tunggu mee sotong

Char Kuey Teow..sedap! Udang besar-besar dan berbaloi dengan harga..

Laksa Penang yang pekat dan semestinya sedap!

Mee sotong yang menjadi buruan..bagi aku biasa-biasa je; mee goreng biasa lepas tu letak sambal sotong..bolehlah rasa dia, sedap jugak..

Nasi Bawal Goreng yang sedap jugak! Ikan bawal goreng dia tu yang win, rangup gila! Sampai tinggal tulang tengah jelah ikan tu akhirnya.. Bagus kitorang ni, tak membazir.. masuk lif tekan sendiri..Hahaha..

Okey, semua dah ada, boleh mula makan..Oh lupa! Nasi lemak Aten tu pun to die for..kalau ikut nafsu nak pergi beli lagi dua bungkus sebab dia ada banyak pilihan lauk lain lagi..mujurlah sedar diri..hehehehe...nasi lemak tu memang dia bungkus dengan daun pisang dan dah bungkus siap-siap; kiranya kalau nak beli pergi je ambik bungkusan yang dia dah susun..tapi jangan risau nasi dia keras atau sejuk sebab dia memang bungkus dekat situ, panas-panas..

Selepas..Burrrppp, alhamdulillah..licin kan? Tak rugi jamu makanan dekat kitorang ni..kehkehkeh





Sebelah malamnya pulak cari pasembor dengan sotong kangkung. Kali ni kami ke Medan Selera Padang Kota. Lokasinya tak jauh pun dari Esplanade tu. Mungkin sebab malam minggu, ramai gila manusia dekat situ. Nak cari parking pun bercinta, dah masuk dalam lagilah bercinta nak cari tempat duduk. Penuh!

Tapi sebab kami nak tapau, takde hal pun. Masuk-masuk je jumpa gerai sotong kangkung. Terus beli dekat gerai tu. Ada saiz biasa dan saiz besar tak silap. Harga tak ingat jugak dah. Kalau tanya Aten, dia ingat kot sebab dia yang bayar dekat sotong tu.

Sementara tunggu sotong siap, pergi beratur dekat pasembor. Gerai pasembor ni nama dia Haji O.S. Ibrahim Pasembor, selang beberapa gerai dari sotong kangkung tadi. Selain gerai ni, ada lagi beberapa gerai pasembor dan sotong kangkung jadi tak tahu mana yang katanya paling sedap. Konsep kitorang adalah pergi dekat gerai yang tak ramai sangat orang. Hahaha...
Pandangan gerai dari dalam barisan

Okey,dah sampai giliran..

Tak ramai pun, beratur panjang jugak. Berdasarkan pemerhatian, gerai ni bersih berbanding gerai lain yang sempat aku perhatikan. Mungkin sebab dia tak masak dekat situ, maka kebersihan tu terjamin. Harganya berbeza mengikut jenis dan saiz. Kalau nak pilih, korang jangan tamak main kaut je ye sebab nanti kalau mahal, tanggung sendiri.

Habis membungkus, balik terus ke hotel dengan bantuan Pakcik Waze(r). Tak tahu jalan mana dia bawak tapi kurang jumpa kesesakan sebab ikut jalan dalam. Kalau bab Pakcik Waze(r) memang aku tak mahir sangat maka duduk jelah diam-diam dekat tepi. Dah sampai jalan utama, memang mengucap panjang dalam hati sebab dia punya sesak tu sampai tak bergerak!

Sampai hotel bercinta pulak nak cari parking sebab ada majlis dekat dewan hotel malam tu. Hazabedah! Mujurlah Pakcik Jaga hotel tu tolong tunjuk tempat kosong dan tolong pantau jarak waktu nak masuk parking, takdelah stress sangat. Gambar pasembor dan sotong kangkung yang ditapau tak ada sebab dah penat sangat dan dah malas nak pegang telefon.

Tapi, dua-dua menu tu sedap gila hoi! Serius sedap! Sedap sangat kuah pasembor dengan kuah sotong kangkung tu. Teringat-ingat sampai sekarang. Ada rezeki ke Penang lagi, wajib pergi tapau dekat gerai-gerai ni. Memang sedaplah! Nak kata dia punya sedap tu memang sedap, banyak kali aku ulang taip sedap ni. Soalannya, berapakah perkataan sedap dalam perenggan ini?

Alhamdulillah, dapatlah merasa hampir kesemua makanan wajib makan kalau dah sampai sini. Cuma satu je tak sempat makan, cendol. Itu mungkin boleh cari lain kali kot kan. Dekat Banting ni pun ada cendol, tak payahlah susah payah kumpul duit nak pergi Penang semata-mata nak makan cendol ye.

Wednesday, 27 July 2016

Penang 2016: Agenda Pagi Hari Kedua

Kali ni nak sambung cerita Cuti-cuti Malaysia Pulau Pinang bulan April sudah. Cerita di sini, lebih kepada untuk rujukan sendiri je pada masa akan datang. Perkara paling penting lepas check-out hotel pagi tu adalah makan! Malam tadi waktu buang masa tunggu ETS Mada sampai, jumpa kedai nasi kandar yang nampak macam best, sekangkang kera je dari hotel. Ayuh kita pergi! Bak kata Pakcik Waze(r). Hahaha...

Sampai je nampak ayam goreng panas-panas; apa lagi, beratur la ambik nasi kuah kari campur dengan ayam goreng. Sedap woi! Nasi dia bukan nasi putih biasa, dia macam rasa lemak sikit. Pendek kata, sedap la. Panjang kata kena pergi rasa sendiri. Isi perut dengan nasi siap-siap sebab kalau perut lapar, masing-masing cranky kang. Hahahaha...
Jari Mada dan ayam goreng!

Pinggan kami bertiga..tiada dalam gambar, roti banjir..

Siap makan, terus menuju ke lokasi pertama iaitu Butik Hijab Galeria. Ni Mada la ni, awal-awal dah masukkan dalam senarai tempat kena pergi, terpaksa beli barang sehelai dua. Hahahahalasan... Sebabnya HG ni buat jualan murah, tu yang kena pergi tu. Bila lagi nak sampai Penang ni kan? Aku beli shawl dua helai dengan tudung basahan murah gila je dekat sini walaupun blouse dengan jubah-jubah dia boleh tahan menggugat jiwa.

Masing-masing kelek beg plastik sorang satu

Konon-konon nak masuk peraduan yang HG ni buat dekat IG, beria ambik gambar sopan gitu...sekalinya, lupaaa..tepek sini jelah..

Habis lebur duit, barulah menuju ke pulau. Alhamdulillah trafik bergerak walaupun agak sesak. Rupanya nak masuk pulau ni bayar tol sekali je waktu masuk, waktu keluar takde tol. Macam dah pernah cerita je? Takpe, siaran ulangan. Agenda seterusnya adalah memborong jeruk. Setahu kami semua, tempat jeruk yang meriah adalah di Komtar. Jadinya teruslah ke sana dan kami parking di Komtar Walk. Dekat situ bayarannya sekali masuk je tak silap dan ada yang jaga.

Jambatan Pulau Pinang yang sempat diabadikan dalam telefon Aten

Waktu pergi tu ada banyak kerja-kerja pengubahsuaian di merata tempat, baik dalam bangunan, di tepi jalan, mahupun di luar bangunan. Sebab dalam otak masing-masing dah set, memang nak cari jeruk yang meriah adalah dekat Komtar, memang tuju situ jelah. Bila masuk dalam bangunan, pehal pulak macam dilanggar garuda ni? Sunyi dan kosong! Pusing dari hujung ke hujung, bawah ke atas, turun bawah balik, pun tak jumpa kedai jeruk. Ada ka kedai jahit, kedai jual baju dan kedai-kedai biasa lain. Bila dah penat dan tak jumpa yang dicari, mulalah nak hangin je kan? Hahahaha... Berhenti kejaplah beli air sejukkan badan sebelum patah balik ke tempat parking tadi.

Bergambar sat dekat dinding di Komtar ni..ada banyak dinding berwarna ni dan warna-warni..

Kenangan dengan Komtar


Sampai sana, cuba tanya dengan adik yang jaga parking tu. Rupanya kedai jeruk yang banyak-banyak tu dah pindah ke Chowrasta. APA DIA? KENAPA MACAM TAK PERNAH DENGAR DESAS DESUS PUN? Aten dengan Mada pun terus cakap, lama gila tak datang Penang, sampai tak tahu dah pindah. Memanglah lama, korang pergi waktu tingkatan 3 dulu kan? Ni akibatnya bila main redah je dan tak buat kajian dengan teliti. Hehehehe... Korang kalau nak beli jeruk dan cenderahati, cari Chowrasta okey? Jangan bertumpu di Komtar saja sebab dekat sana dah tak ada jual jeruk.

Nasib baik dekat la juga Chowrasta dari Komtar Walk tu. Tanya adik tu, jauh ke? Dia kata kalau jalan kaki dalam 5 minit, kalau naik kereta, dalam 20 minit jugalah. Okey, jalan kaki jelah walaupun mencabar betul nak melintas dengan jalan yang sesak tu. Jalan punya jalan punya jalan, nampaklah kedai dengan papan tanda di bawah.

Terus mengeluh kelegaan masing-masing. Hahaha... Masuk dalam ni, macam-macam jenis jeruk ada. selain jeruk, ada juga produk lain macam minyak angin, balm, ikan pekasam, dan juga pelbagai jenis cenderahati. Pilih, jangan tak pilih. Banyak jugalah borong dalam ni.

Nampak tu beg plastik dekat tangan? Berat tu..

Depan kedai lagi..

Ini dah sampai dekat Komtar Walk semula, berehat kejap sebab kepenatan ukur jalan...kihkihkih

Berkenan sangat dekat kedai warna warni di kejauhan tu, tapi waktu jalan balik terlupa nak berhenti dan ambil gambar di situ..sobs

Habis borong jeruk, terus patah balik ke kereta untuk check-in hotel pulak. Patutnya ada agenda lagi satu sebelum check-in tu, tapi sebab dah sesat barat dan kaki pun dah penat, teruslah cari hotel. Agenda petang entri lain. Babai...

Monday, 25 July 2016

Pau Cendawan Viral, Sedap Ke?

Gitu tajuk dia. Pau Cendawan ni mula menjadi terkenal masa bulan puasa baru ni disebabkan rupanya yang unik dan rasanya yang sedap. Katanya. Baru-baru ni Pau Cendawan ni dah pun selamat tiba di Banting cuma aku je tak ada rezeki nak beli. Pertama kali pergi masih petang, dalam pukul 6.30 macam tu. Dah habis.

Ini pergi kali kedua lepas ngeteh Jumaat lepas. Saja je sebenarnya cuba nasib kot masih ada. Tak menaruh harapan pun sebab waktu tu pun dah nak dekat pukul 10 malam. Sekalinya masih ada. Wow, rezeki! Alhamdulillah, dapatlah merasa pau cendawan viral ni. Sebiji 3 hengget 5 kupang, beli tiga biji jadi 10 hengget. Makanya, boronglah sekali tiga.


Sebelum makan, kena ambil gambar dulu untuk tepek dalam ni. Dari segi rupa, memang sebiji macam cendawan shitake tu. Tarikan pertama dia dapat 10 markah. Kemudian, rasa pula inti dan paunya; kriteria kedua ni kita bagi 9 markah sebab intinya agak masin pada aku. Tapi doh dia lembut dan gebu, sedap!
Keratan rentas pau

Jadi, sedap ke? Pada aku sedap la juga. Kalau korang pernah makan chicken pot pie, camtu lah lebih kurang rasa dia. Sebab aku suka chicken pot pie, makanya aku sukalah pau cendawan ni. Cuma harga dia tu jelah tak menahan. Kalau jenis rajin, gigih, dan pemakan, bolehlah pergi uli doh dan masak inti untuk buat pau sendiri. Kalau nak beli, boleh ke Uptown Banting (berhadapan perhentian Bas SMART) atau ke Restoran Nafih di Banting Baru. Sekian.

Thursday, 14 July 2016

Berbuka di Kelab Golf Seri Selangor

Hari ni dah Syawal ke-9, tapi belum nak cerita kisah raya lagi. Entri ni nak kongsi cerita berbuka dengan Geng Makan pada 13 Ramadhan yang lalu.

Alhamdulillah tahun ni dapat berkumpul sama-sama lagi sekali dan waktunya awal sikit daripada tahun lepas. Tempat pun nak yang gah aje, kemain kan berbuka dekat kelab golf; tahun lepas berbuka dekat restoran biasa je tapi konsepnya masih sama iaitu bufet. Kata, Geng Makan, mestilah fokus nak makan.

Kali ni aku kena cari tempat. Syaratnya kena bufet dan harga yang mampu milik. Asalnya cadang nak ke BGR tapi BGR agak mahal kalau nak bayar untuk satu keluarga; aku takpe, solo je jadi tak payah fikir sangat. Lepas tu Kak D bagi tengok beberapa promosi dari Groupon, maka akhirnya cari dekat Groupon. Nak pilih tempat pun bercinta wei sebab nak murah tapi nak menu best tapi nak murah. Camane tu?

Selepas perbincangan serius dalam WhatsApp, maka kami sebulat suara memilih untuk beli kupon KGSS dari Groupon. Waktu tu ada pakej untuk seorang, dua orang dan empat orang; harga pun lain-lain. Kami beli pakej empat orang lima set; sorang kena bayar 40 hengget saja daripada harga asal 60 hengget++ bila dah campur cukai. Kanak-kanak 6 tahun dan kebawah tak payah bayar.

Waktu nak beli dekat Groupon tu, dugaan sungguh sebab kad visa aku tak laku! Choi! Lebih sepuluh kali aku cuba, siap dah telefon bank segala, pun tak dapat gak. Aku syak sebab aku baru tukar kad, maka setting kad tu lari dan nak kena set balik semula. Kuasa pulak aku nak telefon pusat panggilan BIMB lapan puluh juta kali kan? Dah la sekarang ni kalau telefon kemain susah dia nak angkat. Akhirnya Kak D yang belikan kupon pakai kad dia. Selesai satu hal.

Pada hari kejadian, aku tumpang Kak R dari rumah. Kalau pergi sendiri pun mungkin tak sesat sebab tak adalah susah sangat nak cari tempat dia tu. Sampai sana awal dala pukul 6 lebih, tapi orang dah ramai juga sebab aku syak ada syarikat tempah dewan untuk acara diorang.
Gambar berkumpulan sebaik saja tiba; memang cun lokasi meja kitorang sebab betul-betul dekat backdrop

Sampai-sampai je makanan dah 95 peratus siap hidang, tinggal nak ambil je. Sementara orang tak ramai sangat dan masih belum boleh ambil makanan, mari buat perangai seorang blogger. Muehehehe... Segan juga dok ambil gambar dari hujung sini sampai hujung sana, tapi naluri seorang blogger tu meredakan keseganan. Cececece... Dapatlah ambil gambar makanan dekat semua tempat dan tunjuk dekat korang ni ha. Sebelum tunjuk gambar hidangan yang disediakan, layan dulu gambar banner dan pinggan tuan tanah.

Banner promosi

Meja kami sebaik saja misi mengaut makanan selesai

Pinggan tuan tanah

Tempat hidangan dibahagikan kepada beberapa tempat; ada bahagian hidangan utama iaitu nasi dan lauk-pauk beserta ulam-ulaman dan segala mak nenek sambal. Lepas tu ada gerai sate dan suku sakat dan diikuti dengan kambing golek, roti john, ikan bakar dan goreng-goreng macam jemput-jemput, keledek, suku, keladi dan tak ingat dah. Hehehehe... Oh ye, ada juga mee goreng mamak dan char kuey teow. Yang ni kira sederet la dia letak.
Sate dan kambing bakar

Pisang goreng dan suku sakat beserta kuey teow dan mee goreng mamak

Pilihan lauk pauk

Pelbagai sambal dan pencicah, ulaman serta kerabu

Nasi bukhari dan gulai kawah..aku tak rasa sebab perut dah kenyang tapi diorang kata sedap

Kena jalan depan sikit dan jumpa gerai lontong, lemang dan suku sakat, mee berkuah yang aku dah tak ingat mee apa, otak-otak dan juga bubur-bubur manis. Dah sampai hujung, bila patah balik boleh singgah ambil ABC. Aku tak sempat ambil pun sebab dah kenyang tahap gaban tapi tengok dia punya isi dalam ABC tu kemain meriah!
Meja ABC dan ais krim Malaysia

Gerai lontong dan lemang dan mee berkuah

Pilihan bubur

Habis ronda bahagian bawah, boleh naik atas tengok bahagian atas pula. Belah kiri ada makanan barat macam pasta dan salad. Belah kanan ada kuih muih, kek, biskut dan juga buah-buahan pemanis mulut. Macam-macam betul menu dia, berbaloi sangat dengan harga yang dibayar. Air pun ada banyak jenis cuma tak ada kopi je. Sobsobsob... Sebab takde kopi, aku layan teh tarik dia yang ummpphh! Sedap gila jugak sebab pekat tapi tak manis sangat.
Buah-buahan tempatan

Pilihan manisan yang pelbagai

Salad dan kentang lenyek beserta pasta bolognese

Selesai cerita pasal makanan, meh nak bagi tahu suasana dia pula. Tempat makan dibahagikan kepada beberapa bahagian dan ada juga dewan yang berhawa dingin cuma mungkin dewan tu lebih kepada tempahan berkumpulan yang besar. Susunan meja pun tidaklah terlalu rapat dan selesa untuk pengunjung bergerak. Lepas waktu maghrib dalam pukul lapan lebih kot, ada persembahan band. Layan jugalah dengar lagu-lagu yang didendangkan tu.
Band

Sesi selepas buka

Budak-budak comel

Sebelum pulang, posing lagi sekali

Kitorang lepak sampai pukul 9.30++ juga sambil makan dan borak dan makan dan borak dan makan. Keseluruhannya, berbaloi sangat beli kupon berbuka KGSS ni sebab makanan sedap dan pelbagai, kemudahan tempat letak kereta yang luas, surau yang selesa dan pemandangan yang mendamaikan. Cuma lain tahun kalau nak buka di sini, lebih baik bawa telekung sendiri sebab telekung terhad. Sekian, cerita berbuka berjemaah yang pertama.

Tuesday, 12 July 2016

Buldak Bokkeum Myeon yang Menjadi Buruan

Wah, tajuk tak nak kalah! Mee segera keluaran syarikat Korea iaitu Samyang ni dah lama dah viral. Tak pasti macam mana dia boleh jadi begitu terkenal cuma aku je tak kisah sangat pada mulanya. Tapi bila dah sana-sini cerita tentang kepedasan Buldak Bokkeum Myeon ni, teringin juga nak tahu, pedas sangat ke?

Selain terkenal kerana kepedasannya, ada isu lain juga yang melibatkan ramyun ni iaitu status halalnya. Selepas semua kemusykilan mengenai status halal beliau diselesaikan, barulah aku sibuk cari mee ni. Aten kata dekat Giant ada maka pernah cuba nasib kirim dekat dia tapi tak ada rezeki. Tentang isu halal Buldak Bokkeum Myeon ni, silalah Google ye.

Nak dijadikan cerita, waktu keluar hantar pesanan kuih raya orang, terjumpa dekat AEON Bukit Raja. Apa lagi, terus terkesima depan susunan mee segera tu dan automatik tangan ni mencapai dan membelek. Hahahaha...

Tanya Aten, mana satu lagi okey kalau nak beli, dalam cawan atau yang paket? Dia pun bagi tahulah pendapat dia; akhirnya aku beli yang paket. Mee segera dari Korea ni pek dia memang besar-besar, kalah mee segera Malaysia. Kapasiti perut aku sekarang dah la separuh paket je sekali makan, siapa nak makan banyak-banyak ni? Takpe, yang penting beli je dulu.

Bunyi tulisan hangul tulah Buldak Bokkeum Myeon. Buldak tu adalah nama sejenis hidangan Korea iaitu ayam berapi kalau diterjemahkan secara terus. Bul = api; dak = ayam. Nak kata hidangan tu memang pedas gila berapi la. Maklumat semua dari Pakcik Google ye, tak payah nak kagum sangat. Hahahahade ke yang kagum?

Pertama kali nak masak, tekun aku baca arahan. Cara masak dia macam masak mee segera versi goreng. Ikut je arahan dan tadaaa, siap! Semangat aku masak guna periuk ramyun(seperti yang tertulis pada kotak) dapat percuma waktu beli peti sejuk dulu. Sebab dia ada penutup, boleh rasa perasaan makan mee segera yang dikaut dari periuk dan dipindahkan ke penutup. Gu Jun Pyo buat, kau pun nak tiru kan? Layankan.
Rupa mee dalam periuk; rupa sebenar lagi merah tapi sebab kesan pencahayaan, dia tak nampak merah

Makan gaya Gu Jun Pyo - gunakan penutup periuk sebagai alas

Komen? Pedas tu memang pedas, tapi pedas lagi cili potong dekat kedai tomyam yang guna cili padi merah jenis kilat tu. Mula-mula makan, okey je. Lama-lama kepedasan tu muncul. Jenis pedas dia tak menyengat sangat; kalau cili padi merah tu pedas dia sampai terasa ke ubun-ubun. Yang ni takat pedas dekat mulut je. Tapi tetap keluar air mata air hidung segala. Bagi aku, tak adalah pedas mana pun, masih boleh tahan lagi.

Walaupun ramuan perencah dia ada campuran cili dan lada hitam, alhamdulillah perut aku boleh tahan. Sebabnya rata-rata komen yang aku baca, ramai cakap sakit perut lepas makan ni. Cili + lada hitam = pedas dan panas. Siapa tak tahan pedas sikit pun, jangan makan. Sakit perut kang merana diri.

Bila makan ni, teringat rabuki yang kitorang makan waktu dekat Korea dulu. Mee dia kenyal dan pedasnya pun nak dekat sama. Cuma masa tu, ada jeruk lobak putih sebagai peneman jadi bolehlah potong sikit rasa pedas tu. Aku rasa lepas ni kalau nak makan Buldak Bokkeum Myeon ni kena ada jeruk jugalah.

Monday, 11 July 2016

Set Penjagaan dan Kecantikan, Yang Mahal atau Murah?

Selamat hari raya semua. Lama sangat rasa tak borak-borak dekat sini sebab asal masuk bulan ramadhan je mood nak menaip dekat blog takde. Bila dah masuk bulan raya, barulah perlahan-lahan roh rajin menaip tu meresap semula dalam diri.

Tengok dekat FB, ada yang buat dialog pasal duit yang katanya lepas raya ni duit tinggal kenangan. Hahahaharu... Tahun ni seperti yang dimaklumi, memang tak ada beli baju khusus untuk raya pun. Kasut pun tak ada. Tudung pun tak beli. Pendek kata memang tak beli apape pun la yang untuk raya, guna je apa yang ada. Baju buat raya pun hantar je kain sulam yang beli tahun lepas dan nasib baik boleh suai padan dengan selendang pemberian hadiah hari lahir tahun lepas. Kumawo chinggu, saranghey!

Bab duit tinggal kenangan tu, memang betul pun sebab macam aku, sebelum raya haritu dah bajet ngam soi ni dapat beli itu dan ini. Sekalinya bila tiba masa, tak nampak bayang pun. Mana pergi pun tak tau. Isk isk isk... Lepas tu dan dan la semua benda pun nak habis. BB Cream dah tunggu masa je tu, bedak kompak pun tinggal serdak aje. Pelembap pun tiap bila nak pakai kena ketuk-ketuk dulu baru dia keluar secoet. Hazabedah sangat!

Nak tak nak, memang kena beli lah kan sebab nak pakai. Karang masuk kelas muka tak siap, dah tak seronok pulak budak-budak nak belajar. Sekarang ni aku masih lagi pakai Clinique dan kalau boleh nak terus pakai je sebab malas nak pergi selidik jenama lain; alang-alang dah serasi kan? Tapi dah masuk tahun ke-tujuh kot aku dengan Clinique? Memang kipas-susah-mati sangat dengan Clinique ni.

Orang cakap nak beli Clinique mahal, tapi aku cakap mahal dan jimat. Sebabnya sekali beli tu memang pokai tapi boleh pakai lama gila. Bila ada rasa nak tukar jenama, cuba tengok Laneige. Tak ingatlah macam mana boleh kenal Laneige, tapi bila dapat sampel percuma waktu beli lipstick awal tahun 2014, memang best je rasa pakai Waterbank tu; meresap ke kulit dan tak berminyak. Tak jauh beza la tahap keseronokan pakai Clinique dengan Laneige ni.

Harga pun tak adalah lagi mahal, lebih kurang Clinique je. Cumanya waktu buat kajian tu kebetulan Aten bagi dia punya Clinique maka tak jadilah beli. Terus je pakai apa yang ada. Baru ni Ephyra pulak keluarkan produk penjagaan muka yang baru meliputi serum dan pelembap, maka aku pun macam tertarik nak cuba bila tengok testimoni dan kelebihan dia. Lagipun bajet tengah ketat kan, carilah yang mampu milik. Toner dengan cleanser Clinique ada lagi, cuma moisturiser jelah yang kena beli. Nanti aku dah pakai, aku kongsi dekat sini ek kalau rajin.

Tadi pergi Watsons dengan niat nak beli refill mandian Johnsons sebab memang dah berkurun pakai Johnsons dari zaman sekolah lagi, kebelakangan ni je yang kerap tukar jenama lain. Tapi yang lain tu tak boleh lawan kewangian Johnsons la, tu yang kononnya nak cari Johnsons juga. Sampai sana, adik kaunter tu pergi letak refill jenama lain depan mata sebab ada diskaun cun! Siap pergi ambilkan pek biasa sebab nak bagi aku cium bau dia macam mana. Lama jugalah termenung depan tu sebelum termakan kata-kata adik kaunter. Dia ada baca ayat penunduk ke apa? Heeee..

Kaut juga scrubs dengan lip balm. Dah lama nak scrub tapi asyiklah bertangguh, sampai ke sudah tak beli. Tadi kononnya nak cuba SimplySiti tapi ada pulak promoter Safi Rania dekat situ promote scrub Safi Rania pulak. Fikir dan fikir dan fikir, beli jelah Safi Rania sebab murah banyak dari SS. Jimat kekdahnya.

Akhir sekali, kaut lip balm yang memang aku pakai dari tahun 2013 jenama Mentholatum; treatment lip balm. Serasi la untuk aku yang kadang-kadang ada masalah bibir kering dan menggelupas teruk. Harga pun bawah sepuluh hengget, masih jimat lagi.

Selepas apa yang dibebelkan, kesimpulannya bagaimana? Terpulanglah pada individu, beli ikut kesesuaian dan kemampuan. Macam aku ni susah nak berpaling tadah, sekali pakai jenama tu, pakailah sampai sengal barulah cari yang lain. Payah juga jadi orang yang setia ni ek? Tak pasal-pasal kena guna produk yang itu aje. Kalau nak jual barang baik dekat aku, bolehlah cuba. Untung-untung dapat seorang pelanggan tetap kan?

Penang 2016: Bukit Bendera dan Cerita Disebaliknya

Assalamualaikum dan selamat hari Isnin. Sebelum cerita Cuti-cuti Malaysia 2016 Geng Bilik Prep ni jadi tukun, baiklah paksa jari menaip dan kerah otak mengingat balik peristiwa pada hari tersebut. Zaman siber ni, semua orang nak Google dulu cari maklumat sebelum pergi ke satu-satu tempat kan? Harapnya perkongsian ni bermanfaat.

Ini kejadian pada 29 April yang lepas dimana itu adalah hari pertama kami berada di Pulau Pinang. Akhirnya selepas sekian lama, tercapai juga hajat nak jejak kaki ke Pulau Pinang ni. Percutian kali ni hanya ada 3 orang ahli saja dan pada hari pertama, aku berdua je dengan Aten sebab Mada ada hal pada saat akhir.

Destinasi pertama sebaik saja tiba di pulau adalah Bukit Bendera. Yeay! Destinasi wajib pergi bila berada di Pulau Pinang. Kami sampai tu dalam pukul dua lebih dan matahari pun bersinar dengan girangnya; panasnya Malaysia ku rasakan. Tapi, roh pelancong tidak membataskan pergerakan dan melunturkan semangat.

Dengan berpandukan Pakcik Waze(r), kami tiba di lokasi. Mungkin kerana petang masih muda maka kawasan tu tak begitu sesak. Sampai di kaki bukit, kami masuk ke tempat meletak kenderaan bertingkat. Jadi kalau korang nak ke sini, tak perlu risau tempat parking sebab ada banyak dan berbumbung.
Dalam keretapi

Tiket masuk untuk pengunjung dewasa dengan MyKad adalah RM 10. Berbaloilah bagi aku dengan kemudahan yang ada dan gerabak keretapi yang selesa. Gerabak yang akan membawa pengunjung ke puncak bukit adalah gerabak moden yang dilengkapi dengan pendingin hawa dan dibahagikan kepada beberapa bahagian. Ada bahagian yang dikhaskan untuk warga emas dan wanita mengandung, ada juga bahagian untuk yang sihat walafiat dan gagah untuk berdiri. Kalau nak duduk, kenalah cepat-cepat lari dan 'cop' tempat, kalau tak kenalah berdiri. Hehehe...
Tempat wajib ambil gambar tapi nak bergambar dekat sini kena sabar tahap petala

Tinggi juga Bukit Bendera ni dan pemandangan sepanjang jalan nak ke puncak adalah mendamaikan. Sampai dekat puncak, bolehlah membuat tinjauan dari Menara Tinjauan. Boleh nampak seluruh Pulau Pinang dari sini dan ada peta petunjuk yang menunjukkan lokasi tarikan di Pulau Pinang dari tempat tinjauan tu.
Entah apa yang ditunjuknya, pun aku tak tahu; untuk tujuan penggambaran kekdahnya

Pemandangan dari Dek Peninjau

Meneliti petunjuk lokasi tempat-tempat menarik di Pulau Pinang

Boleh tahan menarik juga dekat puncak bukit ni. Kalau tak puas tengok pemandangan, boleh jalan ke depan sikit dan tengok seluruh pulau dengan teropong. Selain tu, satu lagi tarikan utama di sini adalah Mangga Cinta macam yang ada dekat N Seoul Tower. Asal tempat tinggi je, nak mangga cinta, dah kenapa? Kami tidaklah pula nak kunci mangga dekat sini sebab tak tertarik pun, sekadar bergambar dan membaca mesej-mesej yang ditinggalkan bersama mangga tadi. Hehehe..
Ini pemandangan dari tempat teropong

Teropong ada banyak, pilihlah nak warna apa

Lepas bayar singgit, cepat-cepat teropong apa yang patut

Sarang! Eh, cinta.

Sibuk baca mesej orang lain. Muehehehe

Kerusi jodoh katanya

Laluan ke hatiku kawasan mangga cinta

Tak cukup dekat tembok, sampai ke lampu kau manggakan ek?

Selain tu ada juga Muzium Burung Hantu dekat bahagian bawah, bersebelahan dataran yang juga menempatkan gerabak keretapi asal yang digunakan sewaktu pembukaan Bukit Bendera dulu. Gerabak asal ni diperbuat daripada kayu dan menggunakan pengudaraan semulajadi iaitu tingkap. 
Dekat kawasan dataran

Gerabak pertama

Satu lagi yang menarik adalah disediakan perkhidmatan buggy untuk menjelajah kawasan berhutan dan juga rumah-rumah kediaman. Dengan bayaran RM 30 untuk satu buggy, aku rasa berbaloi sebab sepanjang perjalanan tu pemandu buggy akan bercerita sejarah rumah-rumah agam yang ada dan juga serba sedikit sejarah Bukit Bendera. 

Peti surat pertama yang digunakan di Tanah Melayu

Berdasarkan maklumat daripada Abang Buggy, keseluruhan banglo yang ada dekat sini adalah sebanyak 52 buah dan 42 buah banglo tersebut adalah milik persendirian. Wow, kaya sangat ni ada banglo atas Bukit Bendera! Banglonya semua dibina pada zaman pembukaan Bukit Bendera ni dulu, makanya rekaan senibina adalah klasik. Sebuah banglo yang asalnya digunakan sebagai pejabat oleh Francis Light juga masih kukuh dan terjaga. Banglo-banglo ni dah jadi rumah percutian dan yang duduk sini adalah penjaga-penjaga rumah saja yang mana rumah-rumah penjaga ni pun boleh tahan cantik dan besar juga.

Ok Bang, terima kasih bawa kami meronda dan kongsi maklumat

Ada juga kawasan bersejarah lain tapi dah penat nak jalan, makanya lepas turun dari buggy kami teruslah menuju ke stesen puncak untuk turun semula ke kaki bukit. Bila petang makin panjang, orang pun makin ramai. Makanya kalau nak datang sini, silalah rancang perjalanan supaya tidak bersesak-sesak dengan orang ramai. Selain tarikan yang diceritakan, ada juga beberapa tempat santai dengan landskap yang cantik. Kot-kot nak layan perasaan, silakan duduk termenung dekat bangku-bangku yang ada.

Itulah saja cerita pada hari pertama. Kisah hari kedua akan bersambung nanti. Terima kasih kerana membaca.