Engagement Fund ;)

Wednesday, 31 August 2016

Penang 2016: Menikmati Angin Petang di Kota Cornwallis

Selamat menyambut hari kemerdekaan yang ke-59 semuaaa. Korang buat apa hari ni? Mesti ramai yang keluar cari makan; maklumlah kemain beratur promosi makanan murah dari restoran mahal sempena merdeka ni. Sebab hari ni tak kemana-mana, meh sambung cerita di Penang haritu. Lepas makan, terus menapak ke pintu masuk Kota Cornwallis. Kota ni terletak betul-betul berhadapan laut. Sebelum masuk, kena bayar tiket dulu. RM 10 untuk seorang dewasa dengan My Kad. Lepas bayar, dia bagi gelang tangan tanda kita dah boleh masuk dalam secara halal.

Walaupun tempat ni kecil je dan tak begitu banyak tempat pameran macam dekat muzium, tapi tetap meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwa ni. Sejak dua menjak jadi cikgu sejarah ni, semangat patriotik dan cintakan sejarah tu lain macam sikit.
Boleh nampak jelas menara jam ni dari bahagian atas kota yang menghadap ke bandar..

Lagi satu..

Kawasan kota ni membulat jadi kami mulakan dengan bahagian depan. Selain mempamerkan kesan pertapakan Francis Light di Pulau Pinang, ada juga landskap yang cantik dalam ni. Rentetan sejarah Pulau Pinang suatu masa dulu dicatatkan pada kepingan plastik dan dilekatkan pada tembok. Ada banyaklah nota peritistiwa ni di sepanjang tembok. Cuma kalau dipulihara mungkin lebih menarik lagi sebab kebanyakan maklumat dah kabur.
Haaaii! Teruja sebab dapat jejak kaki ke tempat bersejarah..

Mendalami maklmat yang tertulis..

Paling banyak yang boleh ditemui di sini adalah meriam! Termasuk satu meriam misteri yang diberi nama Sri Rambai. Dah ada meriam, kenalah ada tempat simpan peluru. Maka ada satu bangunan khas yang dibina berdekatan meriam-meriam ni tadi untuk menyimpan segala jenis peluru.

Di bahagian atas yang menempatkan meriam-meriam ni juga ada laluan untuk ke Rumah Api Pulau Pinang. Kalau tak silap, rumah api ni masih berfungsi dan pelancong boleh juga naik dan tengok. Tapi waktu pergi haritu macam berkunci pula pagarnya. Berjalan dekat bahagian atas ni seronok sebab angin laut petang bertiup sepoi-sepoi menemani kami yang ada masanya tenggelam dalam bayangan waktu.

Rumah api

Dapatlah baca hampir kesemua maklumat mengenai serba sedikit sejarah Pulau Pinang dalam ni

Tukang ambil gambar yang berdedikasi

Kami bersama meriam misteri yang diletakkan menghadap laut

Kubu olok-olok yang dibina sebagai salah satu tempat menarik untuk bergambar

Satu lagi

Lagi satu

Habis melihat bahagian atas, kami turun semula. Dekat bahagian bawah, ada satu kawasan yang menempatkan patung Francis Light dan ada juga dibuat satu sudut untuk mengabadikan kenangan di situ. Tak jauh dari patung tadi, ada satu chapel dan depan sikit ada lokap. Kemudian ada juga deretan berek bertentangan dengan patung Francis Light tu. Patutnya ada bahan pameran dalam berek-berek tu tapi waktu kitorang pergi tu katanya sedang diselenggara, maka tak ada benda pun dalam tu.
Acah-acah nak tiru gaya Francis Light; gaya tiruan tak boleh letak sebab kelakar...hahahaha

Landskap di bahagian bawah

Dah habis pusing, maka tibalah masa untuk pulang. Dah lewat pun waktu kitorang sampai tu jadi bila keluar dari sana, nak dekat maghrib dah. Sampai luar, bergambar lagi berlatarbelakangkan Menara Jam Pulau Pinang yang dibina bersempena memperingati Jubli Intan pemerintahan Ratu Victoria.

Selamat tinggal, Kota Cornwallis

Tuesday, 30 August 2016

Dah Kenal Dia

Malam tadi sambil gosok baju sambil tengok tv. Sebab tak ada cerita menarik, layan jelah I Can See Your Voice. Kalau masih ingat, pertama kali tahu pasal rancangan ni waktu ke Cameron dulu, Mada yang kenalkan. Kira rancangan ni masuk dalam kategori yang boleh layan jugalah. Boleh dengar suara sedap dan boleh ketawa juga sebab lawak. Hehehe... 

Malam tadi artis jemputannya adalah Jung Joon Young. Bila pengacara sebut nama, terus 'Eh, macam biasa dengar je nama ni?'. Lepas tu tengok muka, pun macam kenal. Gaya macam kenal tu kan, macamlah dia ni budak kelas sebelah waktu sekolah dulu kan? Hahahaha...

Kenal dia waktu tengok Home Food Rescue; dia salah seorang peserta dalam rancangan tu. Peserta? Pun bolehlah. Dialah satu-satunya peserta yang aku tak kenal tu. Penyanyi rupanya. 

Lepas dengar dia nyanyi, terus tersuka pula. Suara dia unik sebab dia mempunyai suara yang dipanggil baritone - suara dalam dengan nada rendah. Terus buka Youtube, layan satu lagu dia yang paling berhantu tu. Mantap ah suara! Nah korang layan juga sekali.


Saringan Tb

Dua minggu lepas, diberitakan bahawa ada salah seorang pelajar yang disahkan menghidap tb. Bila diselidik, dia dah pun dijangkiti agak lama cuma tak dapat dikesan sampailah baru-baru ni. Makanya, orang-orang yang selalu dekat dengan dia kenalah buat ujian saringan untuk sebagai langkah berjaga-jaga.

Tanda-tanda yang paling nyata adalah batuk berkahak berterusan. Aku dahlah waktu  tu tengah batuk teruk siap pakej hilang suara. Mahu tak cuak? Sehari sebelum saringan tu siap tak lena tidur tu. Hahahaha.. Okey, tak lawak. Sebabnya aku ada juga mengajar dia sem lepas, takutlah juga kalau kuman tu dah tersebar.

Disebabkan ramai yang kena saring, maka pihak hospital yang datang ke sini dan buat saringan peringkat awal. Setiap orang disuntik dengan sejenis kuman yang tak pasti pula apa namanya. Lepas tu kena tunggu tiga hari untuk tengok tindak balas kuman tu. Kalau timbul gelembung yang berukuran lebih 15 mm, kena pergi saringan peringkat seterusnya iaitu x-ray. Dengan syarat tempat suntikan tu tak boleh kena apa-apa cecair kimia macam sabun dan juga tak boleh digaru.

Alhamdulillah para pengajar subjek umum ni tak perlu sampai kena suntik tu sebab kami berada bersama dia sekejap-sekejap. Cuma mereka yang berada bersama lebih lama sahaja yang kena ikut prosedur tu. Keputusannya, semua negatif rasanya, tak ada yang positif. Nah layan flyers dari KKM berkaitan tb ni.


Monday, 29 August 2016

HT: Persiapan untuk Pengembaraan Seterusnya

Outing pada hari Sabtu, adalah perjumpaan rasmi terakhir untuk bincang perkara-perkara yang patut untuk Kembara Korea Musim Luruh Cik Fara dan Geng Bilik Prep. Rancangan mengembara paling gila pernah dibuat sebab tiba-tiba je dah beli tiket ke sana. Tak percaya lagi ni.

Kali ni memang tak guna khidmat pemandu pelancong, semua rancang sendiri. Alhamdulillah 70% perkara berkait dah selesai. Pasport pun dah buat bulan lepas gara-gara khabar angin tu. Nasib baik ada duit terselit sebab cadangnya nak buat pasport bulan ni.

Waktu outing tu mula-mula beli bantal leher dekat Yubiso sebab 6 jam penerbangan tu sebenarnya lama dan cukup untuk buat tengkuk sakit. Ada bantal ni harap-harap bolehlah lelap dalam kapal terbang nanti. Murah banyak daripada beli dekat Lazada dan warna pun banyak. Rambang mata.

Lepas tu cari kasut sebab kali ni memang dijangka akan lebih banyak berjalan berbanding yang dulu. Nak beli kasut pun kecoh sebab bila dah bertiga bergabung, riuh rendah. Mula-mula jumpa Dr. Cardin, masing-masing dah macam nak angkut je. Tapi harga dia tak sepadan dengan bajet semua orang tapi nak. Hahaha.. Sebabnya kasut dia sangat selesa dan jurujual dekat situ sangatlah ramah dan murah dengan senyuman. Mau tak tertarik nak beli?

Takpe takpe, kita jalan dulu depan sana. Jalan punya jalan, masuk Bata. Jumpa kasut yang rekaan dia lebih kurang dengan yang tadi dan keselesaan pun nak dekat sama. Lama membelek dan mencuba. Terus buat keputusan beli yang ni je sebab harga dia mestilah lagi murah kan? Separuh daripada harga Dr. Cardin. Jimat jimat jimat, nak guna duit lagi banyak nanti.

Sudahnya semua beli rekaan yang sama tapi warna berlainan. Ada warna merah jambu, biru dan hijau turquoise. Aku mestilah nak hijau tapi takda saiz. Sob..sob..sob.. Mada pula nak biru tapi tak ada saiz dia. Sudahnya aku ambik biru Mada ambik hijau. Pun bolehlah.

Waktu bayar, ada satu kasut yang dapat diskaun 20% tapi tak pasti kasut siapa. Sebab kasut aku yang paling akhir diletak atas kaunter tu, aku rasa macam kasut aku tapi tak pasti. Lepas tu tamak tak bagi orang lain tengok resit. Hahaha.. Akhirnya diorang kata, "Ala, kita bahagi tiga jelah dari jumlah keseluruhan." Hahaha... Pun boleh. Penjimatan berganda. Bila semak resit, rupanya kasut Aten yang ada diskaun tu. Tapi sebab tadi dah setuju nak bahagi tiga, maka semua orang dapat berjimat. Kumawo chinggu, saranghey! Dapat satu shopping bag percuma juga untuk pembelian melebihi 100 ke 150. Sebab Aten dah murah hati nak kongsi diskaun, beg tu bagi ke dia. Hehehe...
Kasut ada, pasport ada, ayuh!

Kemudian aku terbeli pewangi jenis sembur. Mula-mula saja nak tengok-tengok je, sekali tu bila acah-acah bau beberapa wangian, tertarik pula dengan Forbidden Rose. Teruslah beli satu untuk travel ni nanti. Botol kecil je dan jenis sembur, senang nak bawa.

Habis pusing dekat IOI, pergi rumah Mada untuk bincang secara serius mengenai perjalanan kami. Alhamdulillah, banyak benda dapat diselesaikan dalam tempoh kurang lebih 3 jam perbincangan tu. Dari menyenaraikan tempat-tempat yang akan dikunjungi, sampailah ke kos perjalanan dari satu tempat ke satu tempat sepanjang berada di sana. Siap bentang peta, muat turun aplikasi subway dan buka peta Google.
Bentang terus peta Seoul yang diperoleh waktu tuntut kupon dan kad T-Money di KTO Kuala Lumpur

Sekarang ni masih dalam fasa memperkemas rancangan perjalanan sebab bila tengok balik, ada yang nak ditambah dan ada yang kena ubah. Nak cari tempat makan pun pening. Guna khidmat pakcik Google, memang dapat banyak info tapi bila dah banyak, jadi tamak. Semua pun nak pergi kan? Hahahaha...

Dalam masa terdekat ni kena tukar duit dah sebab naik pulak dah nilai tukaran. Sakitnya tuh! Tak dapatlah nampaknya nak borong cenderahati nak bagi satu pejabat. Semput kumpul duit ni pun akan dirasakan sampai hari berangkat kot sebab memang tiba-tiba sangat buat keputusan ni. Semoga perjalanan Cik Fara dan Geng Bilik Prep dirahmati dan dipermudahkan hendaknya.

Thursday, 25 August 2016

Nasi Gaul Kimchi

Disebabkan ada stok kimchi dalam peti, dalam otak ni terbayang-bayang nasi panas gaul dengan kimchi, letak telur goyang. Dulu aku rasa susahnya lahai nak goreng telur goyang ni sebab nanti mesti jadi telur mata.

Baru ni tengok 3 Meals A Day - Gocahng Village, Cha Seung Won tunjukkan macam mana nak dapat telur goyang. Rupanya memang kena guna api yang paling kecil dan kena masukkan telur waktu minyak belum panas.

Terima kasihlah sebab tunjukkan cara goreng telur tu. Sekarang  memang rancangan tu jadi salah satu rancangan kesukaan. Kagum tengok Cha Seung Won masak. Lelaki, tapi pandai masak. Masak pula bukan kena skema macam orang lelaki biasa masak, tapi macam mak-mak masak, main campak je tapi jadi.

Semalam petang walaupun ada pasar malam, aku tapau makanan untuk Abah je sebab nak makan nasi gaul kimchi ni. Sampai rumah terus masak nasi untuk sukatan seorang makan. Nasi masak je, waktu dia masih panas tu aku terus letak kimchi dan gaulkan. Lepas tu renjis sikit minyak bijan sebab makanan Korea ni kalau tak ada minyak bijan tak sah! Sebagai penambah rasa, aku taburkan sambal ikan bilis yang aku beli dekat pejabat. Lepas tu letak telur goyang.

Sebelum telur kuning dicucuk

Selepas digaulkan semua sekali

Lepas ambil gambar, terus pecahkan telur kuning tu. Wooow! Hahaha.. Keseronokan makan nasi ala-ala bibimbap ni adalah waktu pecahkan telur kuning tu la. Hahaha.. #mudahterhibur. Gaul semua sekali dan nikmatilah nasi gaul kimchi. Terpaksa makan nasi dua kali semalam. Eh!

Monday, 22 August 2016

Tempahan Kimchi Selepas Raya

Kimchi lagi. Bila dah kerap buat, dah tak berapa ada selera pula nak makan kimchi buatan sendiri. Hehehe.. Kali ni buka tempahan tiba-tiba sebab ada yang bertanya. Memang dah niat nak buka tempahan tapi biasalah, banyak dia punya kekangan tu. Bila dah ada yang tanya, secara tiba-tiba jadi bersemangat waja.

Kalau ada permintaan nak pos, memang aku buat Ahad petang sebab hari Isnin terus pos. Kiranya proses pemeraman tu tak adalah lama sangat. Bila pos ni, banyak risikonya dan kadang-kadang tu kena pasrah sebab ada banyak faktor yang boleh menyebabkan kegagalan barang untuk sampai ke tangan pelanggan.

Kali ni buat 5kg. Sebenarnya nak buat dalam 3kg je tapi bila tengok baechu tu lawa, terus beli sampai 5kg. Tak susah pun nak buat kimchi ni, cuma leceh. Bahagian paling nak nangis adalah bila nak kena perah air dari kobis selepas di toskan, bercinta! Sahih tangan akan rasa sengal sebab memang kena perah sesungguh hati.
Pes cili dengan warna yang sangat menawan..rahsianya? Gunakanlah serbuk cili yang diimport dari Korea..

Ini selepas digaulkan dengan bahan-bahan sampingan

Siap sediakan pes, aku biarkan dulu sebelum campurkan kobis. Bagi pes tu mesra dan bagi air dari kobis tos. Sebelum tak terfikir nak buat, hari ni mentol menyala atas kepala dengan bunyi ting! Hehehe... Lepas perah tu aku letakkan lesung batu beserta alunya sekali untuk menekan keluar lebihan air. Berhasil! Apa pasallah tak terfikir sebelum ni?

Ada seketul lagi alu yang paling besar, nasib baik besen ni tak berapa nak kukuh je, kalau tak memang aku letak semua sekali kasi air dari kobis tu keluar laju sikit..

Selesai gaul kobis dengan pes, biarkan dulu dalam 2 jam baru ke peringkat pembungkusan. Sementara nak tunggu pes dan kobis mesra, kaut sikit untuk ratah. Pengaruh tengok rancangan masak Korea banyak sangat, gigih aku beli bijan ni dan bakar sebelum digunakan. Nak sangan atas dapur malas. Sambil ratah kimchi yang ditabur bijan ni, sambil layan Korea dua episod sebelum mula membungkus.

Satu senduk untuk yours truly

Bungkusan untuk yang dipos dan serahan secara terus berbeza. Kalau pos, aku masukkan dalam ziplock baru letak dalam balang plastik dan balang tu dibalut dengan bubble wrap. Langkah keselamatan kena jaga sebab perjalanannya penuh liku. Kalau pecah balang tu, memang pening kepala orang pejabat pos sebab bau kimchi ni agak menusuk juga. Hehehe.. Untuk serahan secara terus, aku guna balang cantik sikitlah. Sukatan pun ada dua pilihan; 200gm atau 400gm. Tapi memang aku akan bagi lebih la dari sukatan yang ditentukan tu sebab nak bagi penuh balang. Tempahan seterusnya kena tungguuu...

Siap dibungkus dan sedia untuk diedarkan.

Drama Korea: Doctor Stranger

Gara-gara W, terulang tengok Doctor Stranger sebab heronya Lee Jong Suk juga. Hehehehe.. Macam tak pernah buat ulasan lagi kan pasal drama ni? Nah layan karangan panjang ni.

Pelakon utama Doctor Stranger


Seperti tajuknya, dah tentulah cerita ni pasal doktor dan perubatan. Tapinya, kalau tak ada konflik melampau dan rumit, bukan drama Korea namanya. Kisah bermula bila ayah kepada hero, Professor Park Cheol terlibat dalam satu kes saman melibatkan kesilapan sewaktu pembedahan dimana dia sukarela nak jadi saksi bahawa kesilapan itu adalah sebab kecuaian doktor.

Bagi mengelakkan nama hospital terjejas, pihak hospital sedaya upaya halang Park Cheol ni daripada beri keterangan. Waktu nilah campur tangan politik berlaku. Kebetulan pihak Korea Utara perlukan seorang pakar jantung untuk buat pembedahan pemerintah tertinggi diorang, maka akhirnya Park Cheol dihantar ke sana.

Patutnya bila dah selesai dia boleh balik semula ke Seoul tapi disebabkan campur tangan politik tadi, dia tak dibenarkan balik dan terpaksa jadi doktor dekat Korea Utara. Disebabkan ayah hero ni doktor maka anaknya, Park Hoon, pun ikut jejaklah jadi doktor juga. Atas tunjuk ajar ayah dia, Park Hoon berjaya jadi seorang doktor yang sangat hebat lebih-lebih lagi bila kerajaan pilih dia untuk jadi salah seorang doktor di pusat kajian perubatan.

Dekat situlah kemahiran dia diasah sebab diorang dipaksa buat macam-macam kajian menggunakan manusia hidup. Dalam masa yang sama, dia terpaksa rela duduk situ sebab nak cari makwe dia, Song Jae Hee, yang kena tangkap sebab ayah dia dituduh memberontak dan menentang kerajaan.

Akhirnya, Park Hoon jumpa balik Song Jae Hee. Itupun sebab pihak atasan nak jadikan Jae Hee dengan ayah dia bahan eksperimen dan Park Hoon yang kena buat pembedahan tu. Eksperimen tu adalah bertujuan untuk tunjuk kepada pelabur luar kehebatan doktor Korea Utara bagi mendapatkan dana untuk pusat kajian tu. Disebabkan kes ni, ayah Park Hoon mati kena tembak sebab nak selamatkan dia dari terus terpenjara dekat pusat kajian tu.
Salah satu babak sedih, waktu ayah dia kena tembak..sobs

Walaupun pembedahan berjaya, sekali lagi Park Hoon dan Jae Hee terpisah. Lepas dari peristiwa tu, Park Hoon kembali ke Seoul dan buka hospital kecil. Kalau tengok gaya dia yang selekeh tu, memang orang tak yakin dia doktor. Satu hari ni, dia kena hantar botol air untuk mesin minuman dekat Hospital Myung Woo dan terlibat dengan satu kes.

Ni permulaan Park Hoon boleh terlibat dengan pembedahan dekat Myung Woo, sebab nak hantar air..

Pesakit tu dah terlalu tenat dan perlukan pembedahan segera tapi tak ada doktor pakar yang boleh buat pembedahan serta merta. Makanya, dia pun masuk bilik pembedahan dan buat pembedahan tu. Semua orang kagum dengan dia punya kemahiran sebab kerja dia kemas dan cepat. Dari sinilah segalanya bermula. Panjang lagi ni kisahnya, lap peluh!

Sekali lagi, berlaku campur tangan politik dan orang-orang yang terlibat adalah orang-orang sama yang terlibat dalam kes saman dan kes penghantaran Park Cheol ke Korea Utara.

Kali ni, Perdana Menteri tengah cari hospital terbaik untuk buat satu pembedahan jantung dan Myung Woo ni adalah salah satu hospital yang tersenarai. Cumanya, dekat sini tiba-tiba ada dua pakar hebat dan Park Hoon adalah salah seorangnya.

Maka, perlawanan siapa paling hebat diadakan untuk pilih doktor yang akan mengetuai pembedahan. Waktu nilah Park Hoon tunjuk kemahiran dia sebagai seorang pakar bedah jantung dengan cemerlang. Bila hero drama ni hebat lain macam, dah tentulah ada musuh-musuh yang tak senang hati dengan kehebatan dia. Macam-macam bendalah musuh dia ni buat untuk halang hero jadi pemenang.

Park Hoon dengan orang yang bertanggungjawab membawa dia masuk ke Myung Woo, Dr. Moon Hyung Wook..

Tapi, dah nama hero, mestilah dia juga yang paling hebat walaupun ada banyak halangan. Ada sekali tu siap tangan dia luka sebab kena pisau dari penggerudi tulang dan cederakan tangan kanan dia waktu pembedahan. Selamba je dia guna tangan kiri untuk teruskan pembedahan. Hero kan? Semua pun boleh.

Lepas tu hero ni boleh tahu penyakit jantung jenis apa yang pesakit tu ada dengan hanya meletakkan tapak tangan dekat dada. Banyak lagilah kehebatan hero ni kalau nak cerita. Korang pergi tengok sendirilah kalau belum tengok. Apa yang dia tunjuk tu memang nampak sangat sama dengan yang sebenar.

Watak Lee Jong Suk dalam ni tak adalah serius atau skema tapi dia jenis doktor yang sengal. Kira tak adalah nak kerut dahi je sepanjang masa tengok adegan serius. Pak lawak jugalah Lee Jong Suk ni dengan ada satu watak sampingan tu. Kalau tengok, ramai juga pelakon sampingan dia pernah berlakon dekat Master's Sun sebab pengarah kedua-dua drama ni adalah sama. Keseluruhannya, boleh layan cerita ni.

Saturday, 20 August 2016

Tetamu dari Korea pada Syawal Kedua

Masih lagi kisah raya kedua. Pagi tu Mada bagi tahu nak datang bawa Eonni, aku pun okey je sebab memang tak ke mana-mana pun. Cuma ada tragedi la sikit sebab Mada pergi telefon dan mesej dekat nombor Maxis. Kebetulan pulak Yong buat hal raya kedua tu, tak boleh nak caj bateri. Memang aku hadap jelah Arba untuk tengok mesej segala.

Mula-mula tu pelik juga apa pasallah Mada tak sampai-sampai sebab kalau ikut perkiraan, dah patut sampai pun. Rupanya sesat barat lepas tu tak dapat hubungi aku. Sejam lebih ko Mada pusing cari rumah. Ampun Mada, tak bagi alamat lengkap. Heee...

Sebab Mada memang bagi tahu nak datang, bawa tetamu jauh pula tu, tak seronok pula kalau hidang kuih raya je kan? Kelam kabut aku sarung baju lengkap pergi beli lemang. Nasib baiklah penjual lemang tu buka gerai sepanjang hari. Legaaa... Bukan rombongan Mada je dapat makan lemang, alhamdulillah semua tetamu sebelum tu pun dapat jamah juga lemang dan rendang aku yang pedas tu. Hehehe..

Dengan bantuan Aten yang menjadi Power Rangers Pink dengan misi menyelamatkan Mada yang sesat, dapatlah juga Mada jejak kaki ke rumah. Diorang sampai lepas asar macam tu. Jemput diorang makan kuih raya dulu sambil mengenang kembali memori #kembarakoreamusimbunga2014. Siap bawa keluar photobook lagi. Hehehe...

Kim Eonni adalah pemandu pelancong kami untuk dua hari pertama di Seoul dulu. Beliau adalah seorang muslim tapi lupa pula nama Islamnya. Agak fasih juga berbahasa Inggeris tapi kebanyakan masa berkomunikasi dengan bahasa mudah aje. Hehehe.. Asal dua-dua faham. Kalau terkeluar perkataan Korea tu, tak risau nak faham sebab Mada dengan adik dia yang bongsu tu agak fasih juga cakap Korea.
Sambil makan pun sempat lagi...hehehe..

Lemang Warisan Pak Ali katanya..antara kesukaan Eonni; seronok tengok Eonni makan banyak..

Risau sebenarnya nak hidang rendang daging aku tu sebab pedas. Waktu tengah makan tu, banyak kali aku tanya, okey ke? Boleh tahan pedas ke? Gitulah lebih kurang. Hehehe.. Lain kali kalau ada orang Korea datang rumah, pastikan hidang air kosong je sebab diorang memang sangat kurang minum air manis waktu makan. Lepas makan dan bergambar, terus gerak ke rumah Aten.

Walaupun aku nampak kembang sangat dalam ni, tetap gambar pujaan sebab biasan cahaya mentari tu buat gambar nampak cantik..

Okey, satu lagi sebelum gerak ke Kampung Endah..

Akhirnya, rumah kesukaan bila tiba hari raya sebab rumah dia ni banyak gila biskut raya. Saya suka saya suka. Hehehe...Selain biskut raya, kami juga dijamu dengan bihun goreng, nasi impit beserta kuah kacang ayam dan juga rendang. Seronok la dapat makan masakan orang lain pulak. Kalau tak tu, sendiri masak sendiri makan je.
Kim Eonni dan Mada..sempatlah Eonni merasai suasana raya di Malaysia sebab memang dari ramadhan akhir tu dia dah sampai dekat rumah Mada..

Kami semua, tetamu Aten..

Dekat rumah Aten pun tak lama sangat sebab dah petang. Mada dan rombongan pula ada agenda lain. Maka kurang lebih jam 7, kami pun gerak pulang. Itulah dia kisah raya kedua aku tahun ni. Buat julung kalinya, terima tetamu paling jauh iaitu dari Ampang dan dari Korea. Mada tu aku cakap jauh sebab tak pernah sampai pun rumah kami yang jauh, semedang kami yang ke rumah dia. Kim Eonni tu dah tentulah jauh. Terima kasih atas kunjungan, Mada dan rombongan. Lepas ni boleh datang lagi okey?

Babai...

Hashtag Team Jalan Aman; Hashtag Team Jalan Turi

Sejak mak tak ada, masih tak pandai lagi agak kebanjiran tetamu di rumah. Kalau dulu memang hari-hari pun banjir dengan tetamu sampailah habis cuti raya sebabnya rumah sekarang ni kira rumah pusaka belah keluarga mak, jadi bila saudara-mara datang berziarah ke Banting, wajib singgah lepak-lepak dekat sini.

Bila mak dah tak ada, kuranglah sikit kemeriahan tu sebab kalau diorang datang pun, takde lepak lama-lama. Sekadar datang beraya. Dulu memang aku duduk terperuk dekat dapur dari pagi sampai petang sediakan makanan untuk tetamu yang masuk dalam kategori keluarga. Biasanya yang datang beraya awal-awal pun memang keluarga, jadi memang akan jamu makan berat.

Rasanya lepas ni dah boleh agak hari apa yang tetamu ramai. Tahun ni, raya pertama cuma Wak Yem dan anak-anak je yang datang beraya belah pagi. Sekali tengok Nenek kekdahnya. Lepas tu ada satu ke dua keluarga lagi yang datang, tapi tak ingat siapa. Hehehe..

Raya kedua memang tak memang tangan layan tetamu. Bersilih ganti tetamu yang datang. Mula-mula Bik Mini dengan anak-anak dari Shah Alam. Kemudian Cik Iti pula sampai dengan anak-anak. Penuhlah rumah sampai ke ruang keluarga. Mujur tak sampai dapur je. Hehehe.. Lepas tu Kak Sam pulak sampai. Waktu ni Bik Mini nak beransur dah. Kiranya diorang datang ni kebetulan ada tetamu lain waktu tu.

Sebab waktu kunjungan tetamu yang ramai-ramai ni ada yang rajin ajak bergambar, ada la gambar ramai-ramai sebelum diorang balik. Bolehlah buat kenangan. Nah layan gambar #teamjalanturi dengan #teamjalanaman. Gambar satu keluarga nukleus tak ada yang formal kali ni sebab masing-masing malas nak bergambar. Hahaha..

Keluarga belah Abah, Bik Mini..

Lagi satu..

Keluarga belah arwah Mak (kecuali Nenek la), Cik Iti serta anak menantu dan juga Kak Sam, anak arwah Wak Nah..

Penuh laman rumah sampai tepi jalan dengan kereta..

Tu jelah kot cerita raya bersama keluarga. Kalau rajin nanti buat satu lagi entri untuk keluarga. Lepas ni entri tentang tetamu dari Korea pulak. Selamat Hari Raya Haji.

Friday, 19 August 2016

Kisah Dua Rendang

Begitu banyak nampaknya entri tertunggak dalam draf ni. Rajin buat tajuk je tapi tak sempat lagi nak mengarang dan edit gambar. Bila ada blog ni, mudah lagilah simpan kenangan dalam ni untuk rujukan pada masa hadapan katanya.

Sebelum mula bercerita perjalanan hari raya tempoh hari, nak cerita pasal rendang dulu. Orang cakap, rendang ni susah nak buatnya. Bagi aku yang dah dilatih dari kecil untuk duduk di dapur, tak adalah susah mana. Cuma kadang tu rasa nak menangis bila tiba waktu nak potong daging; lagi-lagi kalau dapat daging yang banyak lemak dan bahagian yang susah nak jumpa urat. Sobs..

Nak potong daging untuk masak rendang pun ada caranya cuma macam tak ada dalam ingatan pula arwah mak ajar macam mana. Yang paling penting, nak potong daging kena lawan urat supaya daging tak liat. Tu bahagian daging, belum masuk bahagian perencah. Kalau nak betul-betul sedap, bahan-bahan tumisan kena tumis sampai garing dan pecah minyak baru masukkan daging. Ni petua makcik aku lah.

Rendang daging yang masih dalam proses, pun bercinta juga nak tunggu kering..


Raya kali ni memang masak rendang daging je, sambal kacang makan yang dari punjungan sebab ada banyak. Cuma raya pertama tu masak jugalah kuah lodeh untuk tambah lauk. Tahun ni Abah beli 3 kg daging dan aku rendang semua sekali. Tapi lepas siap masak aku masukkan dalam 3 bekas plastik untuk disejukbeku. Tak adalah asyik panaskan je berulangkali atas dapur, bila ada tetamu istimewa, baru keluarkan yang dalam peti tu dan panaskan.

Ni dah masukkan dalam 3 bekas berasingan dan tunggu sejuk sebelum disejukbeku..

Kali kedua merendang adalah waktu potluck dekat pejabat ni. Memang ada niat nak jamu makan kawan-kawan pejabat pun, tiba-tiba kata nak buat potluck, sekali jalanlah. Kebetulan pula minggu tu dapat elaun tuisyen, bolehlah masak banyak.

Hari tu dah buat rendang daging, yang kali ni buat ayam pula. Beli ayam dua ekor besar-besar lepas tu ada tambah kurang lebih seekor lagi ayam yang Abah beli. Kalau nak masak banyak dengan tujuan nak jamu orang, memang seram. Takut tak cukup rasa dan tak sedap.

Bercinta wei nak tunggu kering! Mula masak dahlah lewat sebab keluar cari blender dulu..dan dan blender nak semput pulak..


Mula-mula nak guna kuali paling besar yang ada dekat dapur tapi rasa macam tak muat. Nasib baik aku guna kuali yang lagi besar, kalau tak memang tak muat. Rendang ni aku guna santan kotak je sebab macam leceh nak cari santan segar melainkan pergi pasar awam sana.

Nak bajet guna berapa pun aku tak tahu. Akhirnya aku tuang dua kotak yang besar. Tapi rasa macam berlemak sangat pulak. Agaknya lepas ni kalau 3 ekor boleh guna satu kotak besar dan satu kotak kecil kot. Rempah ratus pun kurang sebab aku salah bajet. Beza lah kan 3kg daging lembu dengan 3 ekor ayam? Aku pergi sukat ikut sukatan 3 kg daging; jadi tak rasa pun rempah kisar tu.

Kalau arwah mak dulu, memang akan masukkan rempah empat sekawan dalam rendang tapi aku tak suka sebab nanti bila makan tetiba tergigit buah pelaga. Dah wangi satu macam dalam mulut. Hehehe.. Maka aku cuma masukkan ketumbar, jintan putih dan jintan manis yang disangan terlebih dahulu sebelum dikisar. Aku tak ingat tengok dekat rancangan masak mana, tapi dia ajar supaya rempah ni dimasukkan dulu sebelum bahan-bahan lain.

Taraa, siap sudah! Berkuah sikitlah sebab tak larat dah nak tunggu dia kering betul..sebelah tu nangka segar dari kebun..


Alhamdulillah menjadilah juga rendang ayam ni walaupun tukang rasa kata tak sedap macam rendang daging haritu. Yang penting, rasa rendang dan cukup rasa. Rendang ayam ni aku letak daun limau purut supaya lebih wangi dan macam biasa, kena ada hirisan daun kunyit. Baru ummph

Saturday, 13 August 2016

Rancangan Masak-memasak Korea, Home Food Rescue

Bila dapat tengok saluran 394 dengan 395 percuma ni, rasa macam nak terus langgan je sebab ada banyak rancangan best terutamanya rancangan masak.

Salah satu rancangan masak memasak kegemaran adalah Home Food Rescue. Bila tengok cara diorang masak, sebenarnya memang senang gila nak masak. Campak campak, gaul, perap kejap, bakar atau rebus atau terus hidang.

Ni yang rasa nak jadi orang Korea ni. Hahahaha... Kalau tengok rancangan ni, lagilah terasa nak cuba apa yang dia buat tu sebab bahan-bahan dia senang sangat dan guna sukatan nisbah yang mudah. Tu yang sambil tengok tv, sambil tangan menaip resepi yang dia ajar. Simpanlah kot-kot kemudian nanti tergerak hati nak cuba.

Paling atas tu adalah chef yang mengendalikan rancangan, Chef baek. Belah kiri yang pegang ikan tu Jung Joon Young; tak kenal siapa dia. Hehehe.. Sebelah tu yang duduk bersila tu kenal sangat sebab menyampah gila dengan dia dalam drama Green Rose; namanya Lee Jong Hyuk. Yang pegang botol lada hitam tu pertama kenal waktu tengok Running Man, Jang Dong Min. Akhirnya yang pakai cermin mata tu selalu juga muncul dalam drama, Kim Guk Jin.

Contoh resepi yang aku salin dari episod 17 adalah Salad Ayam. Kalau rajin nak cuba, boleh ikutlah aturan dekat bawah. Nama dia kaedah cuba jayalah ye sebab aku salin resepi ikut apa yang aku tengok dan ingat dalam otak.


  • Rebus empat keping dada ayam.
  • Hiris halus sebiji timun, gaul dengan garam dan ketepikan.
  • Kemudian, carik-carik dada ayam rebus.
  • Masukkan satu cawan bawang cincang, setengah cawan danmuji, setengah cawan lobak merah.
  • Seterusnya masukkan timun yang telah diperah airnya.
  • Gaul sebati dan masukkan satu sudu cuka dan air perahan dari sebiji lemon.
  • Perasakan dengan garam dan lada hitam.
  • Siap!


Konsep resepi ini adalah menggunakan bahan-bahan yang biasanya ada dekat rumah dan bahan-bahan masakan yang biasa kita guna untuk hasilkan masakan yang agak luar biasa dengan cara paling mudah.

Bagi aku, antara baca buku masakan dengan tengok rancangan masakan, lebih seronok tengok rancangan sebab sambil masak, mesti tukang masak tu akan kongsikan beberapa petua dapur yang selama ni kita tak tahu walaupun petua tu senang kacang je.

Kalau korang minat masak, bolehlah tengok rancangan ni dan bersedia dengan pen serta kertas untuk salin resepi yang senang kacang nak buat. Tinggal lagi nak seru semangat rajin jelah, kalau kau salin tapi sekadar salin, sekian terima kasihlah jawabnya.

Friday, 12 August 2016

W yang Sangat 'Berkeju'! Cheesy!

Tak pasal-pasal tersampuk drama yang nak kena tunggu. Selama ni memang tak rajin nak menunggu dan biasanya tengok drama pun dari siaran tv Malaysia kan, maka memang dah tak panas dari oven. Lepas tu bila jumpa pembekal drama, memang dok sedut atau beli jelah mana-mana drama yang best.

Sekarang tengah panas drama W ni dan malam tadi episod 7 dekat Oh!K. Homai, cheesy sangat episod 7 ni! Wuwuwuwuwu... Dah boleh agak dah dua-dua pun ada hati dekat satu sama lain. Tapi bila Oh Yeon Joo jerit " 사랑하니까!", memang berubah terus muka Kang Chul walhal memula tu macam nak marah teruk-teruk je riak mukanya.

Kalau tengok drama ni, memang mampu berangan jelah nak jumpa lelaki romantik macam Kang Chul. Kalau ada pun satu dalam sebilion. Adik-adik sekalian, bila tengok drama 'berkeju' macam ni, boleh berangan je tapi jangan lebih-lebih ye, tak baik untuk realiti hidup. Baru episod 7 tapi belum ada babak cemas melampau, semuanya yang manis-manis aje.

Takpe, ada banyak lagi episod. Kita tunggu apa jadi. Harap-harap pengakhiran dia tak mengarut sangat dan tidak anti-klimaks juga. Drama Korea ni bukan boleh percaya, dah seronok-seronok tengok pahit manis kisah hidup hero dengan heroin, tetiba pengakhiran dia, hero pandang muka heroin lepas tu senyum. Tu je? Nak lagi haru, dah layan sampai 50 episod, tetiba semua orang mati kecuali heroin. Anginnn je tau! Minta-mintalah W ni tidak begitu.

Ehhem..eehem..

Cubaan suara 1..2..3.. One..two..three.. Kembali bersuara hari ini selepas hidup dengan monolog selama hampir dua hari. Alhamdulillah, selepas beberapa cara dicuba, kedengaranlah semula suara walau bunyinya macam Psyduck. Dan dan keluar karektor Pokemon seketul dekat sini; ikut peredaran masa gamaknya. Hehehe..

Sebenarnya kalau ikutkan, aku ni memang kena siap-siap minum air perahan limau nipis dengan madu bila ada tanda nak batuk teruk untuk pencegahan. Tapi tulah, kali ni malasnya lahai nak pergi petik limau nipis belakang rumah.

Petang Selasa tu balik rumah baring kejap sambil selubung sebab sejuk sangat. Sejuk tapi badan panas. Akhirnya bangun buat air limau suam makan dengan sandwich telur sebab kena telan paracetamol. Malam tu kan ada kelas tuisyen, karang pengsan pulak kalau tak makan ubat. Alhamdulillah panas badan surut dan kepala pun tak sakit. Cuma suara macam keluar tak keluar aje.

Pagi Rabu tu bangun, terus hilang suara. Aiyok, ada kelas lagi ni pagi tu, macam mana ni? Memandangkan memang dah sediakan tugasan untuk budak-budak, maka waktu penerangan tu memang guna papan putih dengan pen marker jelah selain WhatsApp dengan ketua kelas.

Semalam suara masih tak berapa ada maka tengah hari tu keluar cari aiskrim vanila. Pernah dengar orang cakap macam tu tapi tak pernah cuba sebab tak pernah lagi sakit tekak sampai tak keluar suara ni. Makanya tengah hari makan aiskrim dengan epal hijau je.

Alhamdulillah, petangnya dah ada suara sikit-sikit. Tapinya bila cakap dengan orang waktu siapkan dewan untuk acara pagi tadi, kena bantai gelak la sebab suara kelakar. Cis, kurang asam betul diorang! Hahaha.. Petang semalam makan lagi aiskrim dengan doa agar suara kembali semula.

Bila dah mula ada suara, batuk menjadi-jadi sebab tekak gatal. Malam tadi beberapa kali terjaga dek kerana batuk teruk. Tapi pagi ni suara dah agak jelaslah berbanding semalam.

Dugaan betul sakit tekak sampai hilang suara. Kali terakhir hilang suara ni waktu dekat U dulu. Lepas tu tak pernahlah sampai tak keluar suara. Susahnya nak berkomunikasi. Dengar orang borak pun tak boleh menyampuk.

Tuesday, 9 August 2016

Seret Kaki

Hari ni kemuncak batuk dan sakit dada. Sebenarnya dah mula dari minggu lepas lagi tapi batuk biasa-biasa je la, cuma hari pertama tu perit lain macam tapi lepas tu okey je. Malam tadi terjaga dekat pukul 4 sebab sakit dada sangat; batuk nak buang kahak tapi tak lepas. Homaiii, seksa! Kali ni batuk jenis kahak yang pekat tu.

Tapi kipas tak nak kalah, tetap juga tala dekat muka cuma tutup la badan dengan selimut. Hehehe... Yela, rumah kampung kan bila malam dia jadi sejuk semula jadi, maka sejuk tu dua kali ganda. Walaupun sakit, tetap jugalah cuba nak buang kahak tu sampai tak larat dan tertidur.

Pagi tadi bangun macam okey sikit maka pergi kerja walau rasa macam nak cuti. Pakkal ada kelas hari ni, seret kaki. Nasib baik ada baju tak payah gosok. Hahahaha... Pagi ni tak makan oat sebab tekak perit gila, rasa nak makan sup. Teruslah tapau bubur nasi dengan sup kosong dekat bawah ni.

Bila masuk pejabat, lama-lama seram sejuk je rasa. Dari pagi sarung jaket sampai balik kang ni. Lepas kelas badan dah mula bahang, tekak perit. Nasib baik bilik seminar tu ada mikrofon, tak payah guna suara asli. Malam ni macam mana? Seret kaki lagilah gamaknya sebab kalau nak cari pengganti memang tak sempat dah. Sobs...

Thursday, 4 August 2016

Penang 2016: Sentral Seaview Hotel

Ini cerita hotel untuk malam kedua di Penang tempoh hari. Malam kedua kami cari hotel di pulau sebab memang lokasi jalan-jalan adalah dalam pulau. Nak pilih hotel pun kemain susah sampai adalah beberapa kali tempah lepas tu batalkan lepas tu tempah lagi lepas tu tak jadi. Akhirnya, Aten yang pilih hotel untuk malam kedua ni. Konsep dia kena nampak laut, boleh rasa angin laut, ada bufet sarapan yang best. Geng Bilik Prep kan? Mana boleh pisah dengan makanan, sejak sekolah lagi. Hahahaha...

Nama hotel ni adalah Sentral Seaview yang memang rezeki kami nak dapat bilik dengan sea view. Pemandangan dari bilik memang wowowowowo! Harga untuk satu malam aku tak pasti sebab Aten yang uruskan; dalam 300++ kot ek Ten? Tapi memang sangat berbaloi dengan apa yang kami dapat. Nah layan gambar bilik untuk tiga orang.

Almari untuk gantung baju..ada seterika siap dengan papan penggosok, peti keselamatan dan juga selipar percuma

Bahagian belah kiri almari tadi; ada tempat letak beg, peti sejuk mini dan tv serta meja kerja dan sofa seketul di hujung tu..

Katil besar satu, katil kecil satu..bantal sorang dapat tiga bijik, katil empuk toink toink toink...

Bilik air yang luas dan ada bath tub serta bersih berkilat!

Syampu, sabun, cecair mandian, dan tak ingat dah benda alah dalam kotak-kotak tu; ada putik kapas kot dengan topi mandi..

Berus gigi

Pengering rambut

Bahagian sinki

Complimentary drinks

Pemandangan dari balkoni..rasa macam ada kena sawan bergambar dekat balkoni ni, tapi mana gambarnya ek? Kat kamera Mada kot..

Dah solat, dah siap golek-golek, baru turun untuk welcome drinks..konsep dekat sini, suka hati nak minum minuman selamat datang ni bila, tak semestinya kena minum waktu check in..sedap air dia!

Lagi pemandangan dari balkoni

Keseluruhannya, hotel ni best dan bolehlah kalau ulang menginap. Bellboy pun ramah dan tempat letak kereta pun bersepah. Cuma bila ada majlis dekat dewan dia, hazabedahlah nak dapat parking. Nak lagi untung, kena duduk terperap dalam bilik supaya lebih berbaloi duit yang dibelanjakan. Sebab kitorang banyak ukur jalan, tak duduk lama pun dekat hotel. Tapi sempatlah berendam dalam bath tub masing-masing.