Engagement Fund ;)

Monday, 31 October 2016

Hotteok Tak Manis (?)

Ini satu lagi sindrom rindu teruk yang berlaku. Antara makanan wajib makan yang masuk dalam senarai tempoh hari adalah hotteok tapi tak jumpa la pulak. Makanya, bila balik sini, asyik teringat-ingat dekat hotteok.

Tiba-tiba pada suatu hari, termasuk dalam satu blog ni dan nampak ada resepi hotteok. Eh eh, macam nak suruh buat je ni? Tengok bahan pun tak adalah renyah mana. Baca langkah demi langkah pun, tak leceh. Gigih aku beli barang dekat Speedmart dan memaksa diri untuk rajin menguli tepung. Meh tengok resepi meh..

Hotteok

Sumber: Blogger SueMiezi
Sumber asal: Maangchi

Bahan-bahan doh:
2 cawan tepung serbaguna - guna tepung naik sendiri cap MFM
1 cawan air suam
2 sudu besar gula putih
2 camca yis kering
1/2 camca garam
1 sudu besar minyak sayur - guna minyak zaitun je

Cara buat doh:
1. Campurkan air suam dengan gula pasir, yis, garam dan minyak sayur dalam satu mangkuk besar dan kacau bagi sebati.
2. Kemudian, masukkan tepung dan kacau guna senduk atau gaul pakai tangan.
3. Tutup mangkuk berisi doh dan biarkan pada suhu bilik selama 1 jam.
4. Selepas 1 jam, doh akan naik sekali ganda. Uli doh untuk keluarkan udara dan rehatkan lagi selama 10 - 20 minit.

Intinya boleh ikut suka hati. Biasanya guna gula perang dan kacang tumbuk. Aku letak labu lenyek yang digaul dengan madu dan sedikit badam tumbuk sebab tak ada gula perang. Lain kali kena guna gula perang dan kena letak BANYAK sebab kejadian hotteok aku ni tak manis langsung. Hahahaha.. Bajet labu dah manis kan? Memang tenggelam kemanisan labu dalam doh.

Cara buat hotteok:
1. Uli doh untuk buang lebihan udara.
2. Taburkan tepung atas papan pencanai dan letakkan doh untuk diuli lagi.
3. Bahagikan doh kepada 8 bahagian atau mengikut saiz kesukaan.
4. Ambil satu bebola doh dan leperkan.
5. Masukkan inti dan tutup doh. Bentukkan doh menjadi bebola. Buat sampai habis.
6. Panaskan kuali dan masukkan minyak sayur.
7. Letakkan satu bebola dalam kuali dan leperkan dengan sudip.
8. Masak untuk kedua-dua belah dan angkat dan hidangkan.

Kejadian hotteok aku adalah sangat cantik cuma tak manis jelah. Bila jadi tak manis, mulalah aku bayangkan inti sardin atau sambal ikan bilis dalam doh tu. Hahahaha.. Tekak Jawa sangat! Tapi memang sesuai pun kalau tukar inti dan silalah cuba ye awak semua. Senang kacang je dan sedap dah tentunya.

Rindu Teruk

Annyeong! Hari baru minggu baru, harap-harap semua dibekalkan dengan semangat baru walaupun Selangor kalah malam tadi. Kalah menang adat permainan, jangan terlalu gusar okey?

Jadi, bilanya nak keluar cerita mengukur jalan dan menyukat tanah dekat Korea tu Cik Farah? Masih dalam proses mengarang. Paling mencabar bila buat entri ukur jalan ni adalah nak edit gambar. Lap peluh.. Harapnya, cerita tu tak terkubur dalam entri la ye. Kehkehkeh..

Sambung cerita. Sindrom rindu teruk ni berlaku waktu baru-baru je balik dari Korea haritu. Tiap kali bercuti pun macam ni tapi yang kali ni paling teruk. Dekat sana memang kitorang basuh baju hari-hari sebab ada mesin basuh siap sabun dengan cecair pelembut sekali. Mula-mula ingatkan tak ada pelembut tu sebab cuma nampak sabun je. Dah rancang dah nak pergi cari dekat Daiso; apa ada hal, Daiso sekangkang kera je dari rumah kan?

Bila mula nak basuh baju tu, baru perasan ada sebotol besar cecair pelembut dekat tepi mesin basuh. Walaupun tulisan dekat mesin basuh tu semua hangul, tawakal je tekan tekan dan masukkan sabun dan cecair pelembut tu dekat tempat letak sabun. Selamatlah baju dibasuh dan wangiiii.

Sampai sini, bila buka beg baju bersih, teringat-ingat saat di Korea. Wangi dan segar je bau baju-baju yang dibasuh dekat sana. Tak sama bau dia dengan Softlan biru. Tak boleh jadi, kena pergi cari juga cecair pelembut dengan wangian yang sama. Nampak tak kesan rindu teruk tu?

Taraaa! Softlan Paradise Sensation dengan wangian Tropical Passion

Gigih wei aku buka penutup botol nak hidu bau yang terhampir sampai pening la. Mujur tak pengsan je dekat pasaraya tu sebab terlebih hidu bahan kimia. Hahaha.. Akhirnya, jumpa satu yang bau dia seakan-akan. Bawah jenama Softlan juga. Masih setia dengan Softlan. Beli la juga sebotol walaupun harganya lagi mahal dari Softlan biru. Bolehlah buat pengubat rindu.

Wednesday, 26 October 2016

Drama Korea: Goodbye Mr. Black

Demam marathon drama Korea masih berterusan nampaknya. Kalau tengok senarai entri, dua tiga bulan kebelakangan ni yang paling banyak ulasan drama. Memang senget! Tertengok cerita ni sebab poster dia asyik melintas dekat laman utama DoramaX jadi terdetik dalam hati mungkin drama ni best. Tengok genre pun, menarik; gabungan tema ketenteraan, keluarga, cinta, persahabatan dan perniagaan.


Mula-mula tengok poster, tak adalah hensem mana pun hero dia tapi heroin dia cantik. Bila tengok drama Korea, aku tak fokus pada muka hensem hero dan muka cun heroin je tapi jalan ceritanya. Kalau hero hensem dan heroin cun macam drama ni, bonus bonanzalah.

Drama ni aku habiskan sebelum terbang ke Korea haritu. Memang marathon habis sebab tak nak episod tergantung. Selepas sekian lama, drama ni yang aku macam pasrah je kalau pengakhiran dia sengal pun sebab tanda-tanda hero nak mati dalam episod kedua terakhir tu dah nampak jelas.Memang dah pasrah habis dah ni kalau hero mati pun. Lepas tu tiba-tiba heroin pun nak mati juga? Dah kenapa? Tapi, mati ke tidak mereka ni? Nak tahu, kenalah tengok. Kuikuikui..

Hero dan heroin pada permulaan cerita

Jalan cerita dia walaubagaimanapun, penuh berliku bermula dari episod satu lagi. Paling geram dengan watak protagonis kedua; dahlah dia tu dijadikan anak angkat oleh ayah hero lepas tu tak sedar diri pula. Serius geram dengan protagonis kedua tu.

Cerita dia terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama menceritakan bagaimana semua konflik dan masalah ni bermula dan kebanyakan penggambaran dibuat di Thailand. Cha Ji Won(hero) waktu tu dihantar ke Thailand untuk latihan ketenteraan dengan tentera-tentera dari negara lain. Dalam masa yang sama, kawan baik dia yang protagonis kedua ni, Min Sun Jae terjebak dalam satu konspirasi jahat secara tak sengaja. Disebabkan sifat tamak dia, ayah hero terbunuh dan barulah cerita sebenar bermula.

Waktu dekat Thailand juga Cha Ji Won jumpa dengan Kaya(heroin) dan dengan pertolongan heroin jugalah dia berjaya hidup dan kembali semula untuk siasat punca sebenar kematian ayah dia dan orang-orang yang terlibat. Drama Korea memang tak sah kalau tak ada kaitan diantara satu sama lain; sama macam drama ni, rupanya dia ni berkait dengan orang tu dan orang tu pulak rupanya penyebab dia ni jadi macam ni.

Protagonis kedua yang tamak dan lupa diri, semua harta hero dia nak sapu, sekali dengan tunang hero dia ambil

Ini hero dengan heroin selepas mereka bertemu semula

Secara keseluruhan, drama ni jatuh dalam kategori mesti tengok. Selain hero dan heroin yang ada rupa, jalan cerita juga berisi dan ada banyak juga babak-babak yang tidak terjangka. Acik bagi 4.5 bintang untuk drama ni.

Nota Kaki: Sekarang tengah terjebak dengan Scarlet Heart Ryeo sebab aku syak jalan cerita dia sama dengan satu drama cina kegemaran bertajuk Palace. Sebelum ni, marathon Love in the Moonlight sebab tertengok trailer dia waktu melawat KBS On haritu. Terminat Park Bo Gum pulak. Kau dah kenapa comel sangat Bo Gum oi? Hahahahangau.. 

Monday, 24 October 2016

Rasmi Periuk Korea Dulu

Nampak gaya, macam lama lagi nak bertemu cahaya di hujung Terowong Seoul Autumn Noob. Minggu lepas dah karang dua entri untuk hari pertama, tapi ada masa otak beku - tak dapat nak cari perkataan Bahasa Melayu yang tepat untuk perkataan-perkataan Inggeris yang ada. Kebelakangan ni memang kerap gejala ni berlaku; nampak gaya kena mula balik baca buku Bahasa Melayu ni. Tengok drama Korea pun pakai sari kata Inggeris, memang mereputlah kosa kata Melayu.

Apa pun, cerita akan diteruskan juga untuk bacaan diri sendiri pada masa akan datang. Cuma itulah, kali ni tak banyak sangat buat catatan sebab terlalu banyak aksi spontan sepanjang berjalan di sana. Mentang-mentang ada geng yang pandai baca Hangul dan pandai cakap Korea, memang banyak bergantung pada papan tanda lepas tu malas nak tulis dalam jurnal.

Gambar-gambar pun sikit-sikit muat turun dari Moments sebab asyiklah tiba-tiba aplikasi tu tutup sendiri. Tak tahulah sebab aplikasi atau sebab Yong. Nak ambil gambar yang original, mereput lagi sekali sebab dua orang dah balik ke Borneo sana dan seorang dekat Ampang. Yang dekat Ampang tu bolehlah nak pergi tapi kena bawa duit banyak sebab nanti nak singgah makan pajeon dengan tteokbokki dekat Sweetree. Tak ada duit, tak dapatlah makan kan? Eh! Menyelam sambil minum air katanya. Hahahaha.. Seorang lagi dekat je ni ha, kampung sebelah je tapi kena buat temujanji juga nak jumpa. Hai orang kampung sebelah tu! *lambai tangan*

Sebelum lagi banyak melalut, marilah kembali ke pangkal terowong. Nak cerita pasal periuk beli dekat Pasar Kwang Jang yang jjang tu je pun. Memang dah niat nak beli pun periuk macam ni dekat sana. Mula-mula jumpa dekat daiso dekat jalan masuk ke tempat penginapan, tapi sebab pergi situ nak beli payung dan lepas tu nak jalan jauh, tidaklah teman beli.

Pandangan dari atas

Kalau tak silap dekat daiso tu dia jual 3000 Won tapi macam nipis sikit. Yang ni harga dia 5000 Won dan sepertinya lebih tebal. Kaut! Kalau bawa beg yang boleh isi Kwon Sang Woo tu, wajib aku beli yang saiz lagi besar. Ini masak mee segera campur kimchi dua minggu lepas. Cuaca pula mendung-mendung, sejuk lepas hujan, memang layan makan macam ni.

Dekat sikit, bagi nampak kimchi tu

Friday, 14 October 2016

SAN 2016 - Episod 2: T Money Percuma dan Tukar Wang Online

Benda penting yang korang kena ada bila melancong ke Korea secara backpack adalah T-Money. Kebetulan kawan-kawan sepejabat Aten pun ke Korea awal tahun ni jadi diorang yang bagi tahu tentang kupon dan T Money percuma.

Cara nak dapatkan dua benda ni sangatlah senang. Korang tekan dekat sini dan ikutlah langkah-langkah yang disuruh. Boleh diposkan atau tuntut di Korea Plaza yang bertempat di Menara Hap Seng.

Kitorang tuntut kupon ni waktu bulan puasa haritu. Alang-alang keluar nak berbuka puasa berjemaah, kitorang ke sana dulu. Pergi sana dapat jumpa Joong Ki yang baru je sampai dari Korea. Lepas tu dapat kutip peta dan pamplet dan buku kupon tambahan.

Depan tempat letak kereta. Gambar dalam pejabat dia tak ada sebab tak ingat guna kamera telefon siapa.

Taraaa! Dah sampai dekat Korea Plaza. Waktu ni dah selesai urusan menebus kupon dan mengutip pamplet yang ada, marilah bergambar dengan Song Joong Ki.




Selesai bab kupon, mari beralih ke tukaran wang. Bila nampak kadar tukaran Won tiba-tiba naik mencanak bila masuk bulan September, aku dengan Aten panik. Orang cakap tempat tukar duit paling murah adalah di Mid Valley. Tapi, kuasa pulak aku nak ke sana semata-mata nak tukar duit kan?

Cuba jugalah cari pengurup wang di sekitar Klang dan Shah Alam yang menawarkan harga paling rendah. Sanggup lagi aku memandu ke Shah Alam untuk tukar duit daripada tukar dekat Banting; melampau mahal kadar tukarannya. Waktu nak tukar duit tabung, memang macam main saham dah. Kejap-kejap kang keluarlah nilai tukaran dari sekian pengurup wang. Seminggu jugalah jadi 'broker saham' membandingkan harga ni. Hahahaha...

Disebabkan tukaran pusingan pertama ni banyak, aku tak berani lagi cuba eForex. Akhirnya, kami tukar di Seksyen 3 Shah Alam; pengurup wang termurah disekitar Klang dan Shah Alam. Kalau ada yang lagi murah, aku tak tahulah tapi waktu kitorang cari tu, Syed ni yang terbaik. Dapatlah duit besar iaitu duit kertas 50 000 Won.
Jadi 'jutawan' kejap

Tukaran pusingan kedua, aku beranikan diri guna eForex. Sebabnya, nilainya dah naik banyak juga jadi lagi untung kalau tukar online, murah berbanding tukar di pengurup wang. Mula-mula aku cuba sikit dulu, tukar duit kiriman orang sebab tak yakin lagi. Alhamdulillah prosesnya lancar dan memang terbukti kebenarannya.

Pergi ke eforex.com.my dan tekan pada ikon sign up; nanti akan terpapar begini

Dah berjaya daftar, bolehlah mula masukkan nilai wang yang nak ditukar. Dekat sini dia akan genapkan siap-siap jumlah duit asing yang kita dapat. Pandai-pandailah korang nak kurangkan atau lebihkan jumlahnya.

Bayaran untuk tukaran eForex ni boleh guna online banking dan juga kad kredit kalau tak silap. Memang mudah sangat-sangat guna eForex ni sebab harganya lebih murah berbanding kebanyakan pengurup wang biasa dan kita boleh pilih nak kutip duit tu nanti dekat cawangan mana. Macam aku, dah tentulah pilih cawangan Banting.Kalau nak tukar dalam jumlah yang banyak, aku sarankan korang tukar awal sebab takut tak ada stok. Macam yang aku tukar kali kedua tu, agak banyak juga jumlahnya. Dua kali dia telefon minta tangguh lambat sikit sebab tak cukup stok. Walaupun lambat, tapi masih dalam tempoh masa yang dijanjikan. Kalau sikit, esoknya dah boleh dapat dah.

Berdasarkan pemerhatian, kadar tukaran mata wang asing naik mencanak bila menghampiri hujung tahun. Waktu aku pergi Korea tahun 2014, kadar tukaran dalam 3.15 hingga 3.22 untuk 1000 Won. Itu nilai pada bulan Mac. Kali ni, paling rendah yang kitorang dapat adalah 3.77 untuk 1000 Won dan waktu kami di sana, kadar tukaran dalam 3.82 macam tu. Maka yang nak bercuti ke luar negara tu, dah bolehlah rancang ye. Selamat menabung.

Wednesday, 12 October 2016

SAN 2016 - Episod 1: Persiapan Sebelum Mengembara

Macam banyak je benda nak kongsi untuk kembara ke Korea kali ni. Lebih kepada catatan kenangan untuk diri sendiri dan mereka yang terlibat sebenarnya. Tapi kalau ada maklumat yang boleh membantu awak dan awak tu, alhamdulillah.

Sebelum tu, peringatan untuk yang mungkin mencari maklumat secara terperinci mengenai selok belok jalan dan arah tujuan di sana, mungkin catatan aku kurang membantu. Silakan rujuk di blog-blog pengembara lain ye.

Kembara kali ini memang sepenuhnya diuruskan sendiri oleh kami berlima. Paling banyak bertungkus lumus adalah Cik Pengerusi yang sesungguh hati membuat kajian tentang tempat yang akan kami lawati dan seterusnya menyiapkan buku skrap yang mengandungi maklumat lengkap mengenai perjalanan kami.

Semua orang ada peranan masing-masing. Aten selaku Pengerusi, fokus pada pengumpulan maklumat sebelum pergi. Aku selaku bendahari, memastikan duit tabung terisi setiap bulan dan duit belanja mencukupi sepanjang berada di bumi Seoul. Hani, memainkan peranan sebagai pencari arah menggunakan internet tika kami hilang arah di sana. Mada pula diperlukan untuk menterjemah apa yang diperkatakan oleh jurujual di kedai-kedai yang dikunjungi atau ketika bertanya arah pada orang di jalanan sebab dia boleh cakap Korea dan faham. Radin selaku maknae, selalu kena basuh kuali lepas makan dan kemas dapur dan tempat makan. Macam kena buli je kedengarannya si Radin ni? Hehehe...

Ni muka depan buku skrap kami; buku sebenar tidak diketahui nasibnya sekarang..


Semua orang memainkan peranan walaupun kecil sebenarnya. Perancangan kali ni memang dibuat dalam masa yang singkat, tak macam yang dulu. Semuanya berlaku dalam tempoh 6 bulan. Semput nak kumpul duit wei! Konsep kumpul duit kali ni adalah melalui kutu dan nilainya pula naik setiap kali perbelanjaan dibincangkan. Stress je masing-masing bila kejap-kejap kena tambah duit kutu. Hahaha...

Hasil tabungan selama enam bulan itulah yang membuatkan percutian kami seperti ditaja terutamanya waktu makan. Tema percutian kali ni memang makan jadi bajet untuk makan wajib ada dan banyak. Berdasarkan tentatif harian, aku asingkan siap-siap duit untuk tiket masuk ke tempat-tempat yang kena bayar, tambang selain daripada yang guna T-Money dan bajet untuk makan. Hasil tambah tolak bahagi darab, dapatlah satu sampul untuk kecemasan. Memang guna waktu cemas pun sebab aku lupa nak asingkan tambang bas ke Incheon waktu balik. Hahahaharu...

Sampul-sampul mengikut hari dan peranan

Kutu bermula pada bulan Mac tanpa arah tujuan dengan nilai serendah 70 hengget. Lepas tu naik jadi 150 hengget dan lepas tu naik lagi jadi 250 hengget. Bila kira-kira jumlah duit terkumpul beberapa minggu sebelum pergi, kena tambah lagi 100 hengget untuk duit pengangkutan dan 20 hengget untuk bekalan makanan dari Malaysia. Ini bajet kami secara keseluruhannya:
  • Tambang kapal terbang (MAS) = RM 1292 (Hani punya mahal sikit sebab dia beli asing)
  • Kos sara hidup di Korea (Penginapan + Tambang Bas/Subway + Makan + Sesi Ngopi Sekali + Tiket Masuk) = RM 1390
  • Duit Poket = RM 800 ++
  • Jumlah Besar = RM 3500 ++

Pening jugalah waktu isi sampul ni sebab kena semak betul-betul keperluan duit mengikut hari

Kelancaran kembara kami bergantung kepada empat perkara utama:
1. Buku skrap Cik Pengerusi - maklumat dikumpul dari pelbagai sumber melalui carian Google. Tiap kali teringat dekat buku skrap ni, mesti aku ketawa sorang-sorang sebab ada insiden lucu dekat KTO. Hahahaha..
2. Kebolehan berinteraksi dan membaca tulisan hangul Mada
3. Sambungan internet prabayar Hani - Hani beli internet prabayar 'olleh' kalau tak silap; 10 000 won untuk 4 hari. Capaian olleh ni memang sentiasa ada dimana-mana jadi, disarankan.
4. Tempat penginapan yang agak strategik - terletak tidak jauh dari kawasan tarikan pelancong dan dekat dengan perhentian bas serta laluan keluar subway

Lepas ni aku kongsikan cara nak dapatkan kupon diskaun ke tempat-tempat tarikan pelancong dan juga cara menukar duit yang mudah. Semuanya sudah dialami oleh kami sendiri dan sebarang perubahan tertakluk kepada keadaan semasa.

Ini baru cerita persiapan, dah panjang berjela. Acane? Korang rajin, korang baca ek. Tak rajin tak payah baca sebab cerita ni dicatatkan untuk bahan bacaan sendiri di kemudian hari.

Monday, 10 October 2016

Seoul Autumn Noob 2016 (SAN 2016): Bismillah..

Alhamdulillah, tamat sudah kembara kira-kira lapan hari di bumi Korea bagi musim luruh 2016. Terlalu banyak perkara yang mahu dikongsikan agar yang mencari maklumat dan panduan untuk ke sana boleh mendapat manfaat.

Terlalu banyak drama masam manis yang harus dicatatkan di sini untuk bacaan di kemudian hari. Terima kasih Geng Bilik Prep, Hani, Aten, Mada dan Radin yang turut serta dalam kembara kali ini. Masing-masing ada peranan penting yang disumbangkan sepanjang perjalanan kita di bumi asing itu.

Memandangkan saya suka bercerita dan gambar-gambar pun boleh tahan beribu, saya jangkakan entri untuk Seoul Autumn Noob 2016 menjangkau puluhan episod. Doakan saya rajin supaya entri dapat dihabiskan sebelum 2016 berakhir.

N Tower, Seoul. 4 Oktober 2016