Engagement Fund ;)

Friday, 30 December 2016

Siapa Cakap Kitorang Tak Lepak Mamak?

Annyeong! Amboi tajuk, marah ke? Hehehe.. Tidaklah. Cuma nak cakap, orang perempuan ni okey je nak lepak mamak asalkan pergi ke kedai mamak yang pelanggannya pelbagai jantina. Kalau masuk kedai mamak yang majoriti pelanggannya lelaki, kurang selesa sikit sebab diorang kagum tengok ada orang perempuan masuk makan dekat kedai mamak sampai pandang tak berkelip.

Ini cerita petang semalam, kononnya nak ngeteh makan tosai je, maka pergilah kami ke kedai mamak kegemaran. Tunggu punya tunggu, lambai punya lambai, panggil punya panggil, tak seorang pun layan. Sebelum jadi marah, marilah kita ke kedai mamak lain yang sudi nak ambil pesanan.

Sampai dekat kedai mamak kedua, duduk je terus pelayan dia datang ambil pesanan. Ha, inilah baru dikatakan servis mamak! Sebab salah satu trademark mamak ni adalah servisnya yang laju. Tapi dia ambil pesanan air je, pe cer? Hahahaha.. Sudahnya, masing-masing putuskan untuk makan nasi jelah sebab waktu jalan masuk tadi, ternampak sotong goreng melambai dekat tempat lauk. Kitorang memang selalu macam ni, sebelum sampai dah kata nak makan tosai tapi akhirnya pergi kaut nasi letak kari campur dan ayam goreng potong. Hahaha.. Tapi semalam tak ambil ayam, tukar ambil sotong goreng ni.

Layan wei makan nasi dengan kuah kari campur, sayur dan sotong! Comfort food katanya. Tapi betul ni, kalau tak tahu nak makan apa dan di mana, jangan sesuka hati nak juga cari tempat makan hipster sebab akhirnya nanti membazir. Pergi je mamak sebab walaupun tak tahu nak makan apa, nanti mesti tiba-tiba dah tahu nak makan apa. Dapatlah isi perut dengan harga yang lebih murah berbanding kedai  hipster tadi.

Thursday, 29 December 2016

Moga 2017 Membawa Rezeki Yang Berkat

Tinggal beberapa hari lagi sebelum 2017 menjengah. Sebelum 2016 melabuhkan tirai, harus aku catatkan pahit manis suka duka sepanjang tahun ini secara ringkas untuk bacaan sendiri di kemudian hari nanti. Terlalu banyak perkara berlaku sepanjang tahun ini, baik yang dijangka mahupun yang tidak terjangka.

Salah satu perkara yang tidak terjangka adalah percutian ke luar negara yang djangkakan berlaku tahun depan. Alhamdulillah, diberi rezeki dan dipermudahkan cara untuk kembali semula ke Seoul dan kali ini, bergerak sendiri sahaja bersama-sama Geng Bilik Prep. Nak capai hasrat tu pun boleh tahan banyak drama juga tu. Hehehe..

Percutian Geng Bilik Prep, Seoul Autumn Noob 2016. Pulau Nami. 5.10.2016

Tahun ini juga diberi peluang untuk ke utara tanah air atas sebab tugas dan sekali lagi, atas sebab bercuti. Merasalah memandu sendirian ke satu destinasi paling jauh setakat ini. Terlalu banyaklah benda berlaku yang melibatkan pelbagai kategori.

Perkara yang paling tidak terjangka adalah bila perkhidmatan tidak akan disambung semula bermula tahun depan atas sebab-sebab yang tidak dapat diceritakan di sini. Memang Allah nak makbul hajat yang berulang kali terdetik dalam hati. Lepas ni akan kembali aktif mencari kerja baru semula.

Bila orang tanya apa perancangan masa hadapan, susah nak bagi jawapan. Kadang-kadang tu sebelum jawab sampai terfikir samada nak bagi jawapan yang jujur atau jawapan yang diharapkan oleh orang yang bertanya. Buat yang bertanya, perancangan dalam masa terdekat ni nak rehat dulu stabilkan emosi dan susun semula perancangan hidup. Dalam masa yang sama, berbakti pada Abah dan Nenek sementra masih tinggal sebumbung ni; sambil-sambil tu teruskan mengajar tuisyen juga untuk menampung kehidupan.

Diambil dari laman IG Mada. Pernyataan yang sungguh benar.

Perancangan utama dah tentulah mencari kerja baru dan tamatkan pengajian. Tentang pengajian ni, nanti inshaAllah aku karang satu entri khas sebab sekarang ni pun tengah kelam-kabut nak selesaikan apa yang patut. Terakhir, harapnya dapat langsaikan hutang-hutang yang ada. Nak langsaikan hutang, kena niat sungguh-sungguh nak langsaikan biarpun belum mampu.

Azam tahun baru? Nak baiki diri menjadi lebih baik lagi. Nak baiki solat, nak tambah nilai diri dan kurangkan baran. Nampak macam sopan tapi baran juga orang-orang sopan ni. Hehehe.. Niat nak menjadi baik perlu sentiasa ada dan seterusnya kenalah usaha untuk menjadi baik. Selain itu, nak banyakkan membaca juga sebab tahun ni rasanya terlalu sedikit buku yang dibaca.

Akhirnya, moga-moga kita semua sentiasa berada dalam rahmat Allah,
diberi kekuatan untuk mendirikan solat sekurang-kurangnya 5 waktu sehari,
diberi kekuatan untuk mengaji Quran setiap hari,
diberi peluang untuk berbakti kepada keluarga, 
dan dibukakan pintu rezeki. 

Fikir yang baik-baik, mudah-mudahan jadi baik. Duduk dalam kalangan orang-orang yang positif, moga-moga kita juga sentiasa bersifat positif. Selamat tahun baru! 

Wednesday, 28 December 2016

Hotteok Inti Kaya

Percubaan kali kedua yang berjaya dengan cemerlang. Yeay! Buat hotteok ni waktu cuti panjang Maulidurrasul tempoh hari. Sebabnya nak habiskan yis lebihan buat hotteok pertama kali kononnya, tapi tak habis pun, ada lagi sikit. Kali ni adunannya lebih menjadi dan tak rasa sangat yis tu. Kalau sesuatu adunan tu ada banyak yis, memang boleh rasa sangat bila makan.

Rupa sebelum dimasak. Adunan macam terlebih air, habis melekat-lekat kat tangan waktu uli nak masukkan inti.

Dah siap masak. Yang agak geseng tu sebab sempat berangan sambil uli tepung lepas tu lupa dalam kuali ada hotteok. Hehehe..

Keratan rentas.

Kalau haritu hotteok aku tak manis, kali ni manis dia ngam soi. Guna kaya yang dibeli waktu teringin makan roti kaya kapit mentega tempoh hari. Sedap hoi! Kalau nak cuba buat, silakan cari resepi dekat label ye.

Friday, 23 December 2016

SAN 2016 - Episod 16: Tragedi Ikan Bakar Dongdaemun

Baiklah, ini episod terakhir untuk hari keempat. Dari Namsangol Hanok Village, kami menuju ke K-Style Hub yang terletak bertentangan dengan Cheonggycheon tapi tak ingat naik bas ke naik subway. Yang aku ingat, kena jalan jauh gila dari perhentian bas/subway lepas tu semua orang jalan laju gila. Aku siap pesan dengan Radin, kalau senyap sunyi je belakang kau, tolong toleh belakang sebab mungkin aku pengsan. Hahaha.. Serius, penat gila hoi jalan laju tanpa henti.

Akhirnya selamat jugalah sampai dekat K-Style Hub tu. Waktu hari bekerja, nampaklah kyungchal oppa jaga trafik dekat jalan-jalan utama ni merata-rata. Muda-muda polis trafik yang jaga dekat persimpangan tu, sebab tu oppa bukan ahjussi. Kali kedua datang, rupa Cheonggyechon telah bertukar rupa. Masa datang pada hari pertama, masih togel lagi dekat terusan ni, kali ni dia dah gantung payung warna hijau pelbagai rona. Warna kegemaran, haruslah teruja nak ambil gambar dekat situ. Sebab dah lewat, tak turun sampai tepi terusan pun, cuma bergambar dekat tepi tangga untuk ke bawah.

Keadaan Cheonggyecheon pada 4 Oktober 2016.


Dah selesai bergambar, barulah jalan ke pintu masuk K-Style Hub. Kali ni kami masuk ikut pintu yang betul maka, dapatlah jumpa dengan duta Korea Tourism Organisation yang setia berdiri di tepi tangga. Hehehe.. Siapa lagi kalau bukan Song Joong Ki. Waktu kami di sana, memang muka dia saja di mana-mana. Susah nak jumpa muka artis lain. Dekat sini kami solat dan berehat sebelum meneruskan perjalanan ke lokasi terakhir untuk hari keempat ni. Sempatlah juga bergambar dengan Big Bang dekat tempat artis tu. Kalau ke Seoul, berbaloi sangat pergi sini sebab boleh buat macam-macam benda. Tapi malangnya tempat untuk memakai hanbok percuma di aras 5 K-Style Hub juga tutup pada hari Selasa. Kwang..kwang..kwang.. Maknanya, ada tiga tempat yang tutup pada hari Selasa iaitu Gyeongbokgung, tempat hanbok Namsangol Hanok Village dan juga tempat hanbok K-Style Hub.

Annyeonghaseyo!

Kemain Mada, bergambar dengan GD

Radin pun, kemain dikelilingi Big Bang


Selesai solat semua, barulah bergerak ke Dongdaemun untuk merasai ikan bakar yang terkenal tu. Berdasarkan maklumat dari blog lain, ada satu lorong di kawasan Dongdaemun yang hanya menjual ikan bakar dan menu berasaskan hasil laut. Sebelum pergi sini, jalan lupa tengok gambar-gambar restoran yang ada di lorong ni di internet supaya tidak berlaku tragedi Oktober macam kami ni. Waktu dekat sana, cuak. Tapi bila dah selamat jumpa lokasi yang betul, rasa lawak pulak. Hahahaha..

Dari K-Style Hub, kami naik subway dan keluar Exit 8 kalau tak silap. Maklumat ni dapat dari blog orang lain juga tapi dah lupa dari blog siapa. Terima kasih blogger yang berkongsi maklumat tu ye. 😍😍 Keluar dari Exit 8 tu, korang akan lalu dekat jambatan yang merentasi Cheonggyecheon. Jalan terus dan korang akan nampak PyeongHwa Clothing Market belah kiri. Bangunan dia besar dan ada menjual segala jenis fabrik dan pakaian. Berdasarkan pemerhatian, dekat kawasan Dongdaemun ni sesuai untuk membeli-belah pakaian dari hujung rambut sampai hujung kaki. Jalan menyusuri terusan dan belok ke jambatan kedua dan masuk ke kanan sebelum belok ke kiri untuk ke lorong ikan bakar. Jambatan yang korang lalu dari stesen subway tu yang pertama ye, dan jambatan yang aku suruh belok ni yang kedua. Penting ni sebab salah belok jambatan nilah tragedi Oktober berlaku.

Sementara menanti subway ke Dongdaemun. Muka dah segar lepas wudhuk.


Kami tak belok ke jambatan kedua ni tadi sebab ingatkan jambatan yang dilalui waktu keluar dari stesen subway tu tak kira. Jadinya, kami belok ke jambatan ketiga dan ikut juga penunjuk arah yang asal tu; masuk kanan, jalan terus dan belok kiri. Waktu mula-mula masuk lorong, kedai-kedai masih meriah dan ada ramai orang lagi. Makin jalan ke depan, makin sunyi. Tapi kami jalan juga terus dan belok ikut yang Pakcik Google suruh. Waktu ni dah buka Google Map nak cari arah tapinya lokasi sebenar lorong tu tak muncul dalam Google Map.

Macam biasa, Hani dengan Mada jadi penunjuk arah sambil yang kami bertiga dekat belakang ni jalan berderet. Bila cari jalan tak jumpa-jumpa ni, mulalah jadi geram kan? Yang Radin dah tanya; "Kemana kita ni Ten?" Aku jalan depan diorang tapi diam jelah tak menyahut sebab muka orang depan lagi serius, takut nak bersuara. Lepas tu si Aten menyahut; "Entahlah. Kita ikut je Din." Aku tahu, masing-masing pun dah geram sebab tak jumpa tempatnya dan penat berjalan. Jauh ok kitorang jalan hari ni sebab hari inilah paling banyak sesat.

Jalan punya jalan, jumpa satu lorong yang jual makanan juga dan dari kejauhan aku dah nampak papan niaga depan kedai. Honam Jib ada, Jeonju pun ada. Nama kedai ikan bakar yang agak popular tu pun Honam Jib dan Jeonju, tapi kenapa lorong ni tak sama macam dalam gambar? Mana dia tempat bakar ikan depan kedai? Baca lagi dekat depan kedai, dia tulis 'gopchang'. Ah, sudah! Waktu aku baca tulisan hangul tu, macam tak nak mengaku kedai tu nama Honam Jib sebab ada tulis gopchang. Lepas tu Mada cakap; "Ni Sazoh, Honam Jib. Tu Jeonju. Tapi jual gopchang ni." Kitorang terberhenti dekat tengah-tengah lorong tu kejap. Panik sebab nama kedai sama tapi jual benda lain. Dahlah tak ada pelanggan pun dekat kedai-kedai tu, jadi ahjumma-ahjumma pemilik kedai dah sibuk tarik-tarik kitorang suruh duduk. Aiyook!

Akhirnya, dalam kekalutan, kitorang tolak pelawaan ahjumma-ahjumma tu dan jalan laju-laju sampai hujung lorong. Seram wei! Dahlah lorong tu agak sunyi. Makanya, kami pun teruslah berjalan sampai dekat satu lorong besar. Waktu ni dah putus asa dan Hani dengan Mada dah pergi tanya dekat orang lokasi yang dalam peta ni. Waktu diorang tanya tu, aku toleh ke lorong kecil sebelah kiri tempat kami berhenti. Eh, ni nampak macam dalam gambar. Aku pun masuk dalam lorong tu untuk tinjau keadaan. Okey, nampak tulisan Honam Jib dan sebelahnya Jeonju. Lepas tu nampak tempat bakar ikan bersusun dekat luar kedai. Ya, inilah yang kita cari!

Nampak papan Honam Jib tulis hangul, lepas tu ada tempat bakar ikan ni, anda di tempat yang betul


Tapi, Hani dan yang lain-lain dah jalan ke depan dengan orang yang ditanyakan arah tadi. Sebab orang tu pun mungkin tak pasti nak terangkan macam mana nak ke tempat yang kami cari tu, maka dia pun nak bawalah kami ke tempat tu. Kononnya. Tapi aku rasa dia pun tak pasti lokasi sebenar dalam peta tu sebab dia bawa kami pusing jauh gila sebelum patah balik ke lorong ikan bakar tadi. Hahahahaharu.. Kalaulah diorang toleh kiri dekat lorong kecil tadi, tak payah jalan dah. Takpelah, benda dah jadi.

Lega sangat dah bila jumpa lokasi yang betul. Dekat lorong ni ada banyak kedai dan memang boleh jumpa ramai orang Malaysia makan dekat sini. Ikan-ikan semua dia panggang dekat depan restoran dengan pemanggang besar. Memang korang akan berbau asap dan ikan lepas balik dari sini. Dekat sini, diorang tahu orang Malaysia makan ikan tenggiri jadi waktu bagi tahu pilihan ikan tu, dia sebut tenggiri, mackerel dan ada beberapa nama ikan lagi. Nama Korea ikan-ikan ni tak sempat kaji.

Biasanya orang akan pesan tenggiri dan mackerel sebab tak banyak tulang. Kami pun pesan dua jenis ikan ni; kalau tak silap mackerel 3, tenggiri 2. Dekat sini makanan dipesan ikut set yang didatangkan dengan nasi dan banchan tentunya. Harga makanan bermula dari 8000 Won hingga 13 000 Won, mengikut jenis ikan. Air minum air kosong je macam biasa, percuma. Harga makanan yang kami bayar pada malam tersebut adalah 36 000 Won untuk lima set ikan dan nasi serta satu tin Coke.

Kami tunggu tak lama pun, terus sampai makanan atas meja. Berbaloilah sesat untuk dapat makan sedap macam ni. Hehehe.. Banchan dekat sini semuanya sayur dan ada 4 jenis; antara kedai yang menghidangkan banyak jenis banchan. Nah layan gambar.

Dari pandangan sisi Mada

Ahjumma ni tengah bakar ikan dekat luar

Antara ikan-ikan yang ada dan siap dibakar

Walaupun sesat barat, bila dapat duduk dan nampak makanan serta dihalakan kamera, masih mampu lagi tersenyum. Hehehe..

Ini dari pandangan sisi siapa ni? Radin? Hani? Aten? Oh ye, yang sebelah nasi tu Mada kata doenjang jjigae. Tapi cuma ada sayur je dengan kuah sebab complimentary dan rasa dia biasa-biasa je sebab tak pedas macam yang dekat Yang Good.

Banchan. Setiap kali makan memang banchan ni diberi percuma. Ada kkaennip kimchi, baechu kimchi, tauge dan sawi. Kkaennip kimchi tu perilla leaves ataupun sesame leaves. Nama Melayu tak pasti tapi rasa dia macam daun kaduk. Untuk tekak DBKL macam Tuan Tanah dan Mada, kitorang makan je sampai habis semua ni. Kalau rindu nak makan, aku buat je kimchi daun kaduk kang sebab dekat rumah ada je daun kaduk. Hehehe.. 

Mackerel dan tenggiri. 

Meja kami; ada dua set hidangan banchan untuk belah sini dan belah sana

Sesudah. Licin semuanya! Tak baik membazir. Tapi aku tengok ada je orang yang tak usik langsung pun banchan yang dihidangkan.

Rupa depan kedai.

Okey, ambil tempat semua.

Nah sekeping kami berempat dengan muka kenyang.

Habis makan, bergambar kejap depan kedai. Bau ikan pun, bau ikanlah. Dari Dongdaemun, kami teruslah menuju ke Hyehwa. Rasanya macam naik bas tapi macam naik subway. Tapi yang penting, sampai Hyehwa tak terus balik rumah la. Singgah beli bungeoppang dekat satu gerai tak jauh dari laluan keluar stesen subway. Boleh tahan peramah ahjussi yang jual tu. Kitorang cakap Korea sikit-sikit, terus dia kagum dan bagi seekor bungeoppang percuma. Hehehe... Dalam perjalanan, masuklah dalam kedai-kedai kosmetik yang berderet sepanjang jalan tu. Katanya nak tengok-tengok harga, tapi terbeli juga seketul CC Cushion seperti yang diceritakan dalam entri ini. Ni semua sebab pengaruh rakan sebayalah ni. Hahaha.. Tamatlah kisah hari keempat, nantikan cerita hari kelima pula nanti. Babai..

SAN 2016 - Episod 15: Menikmati Rabuki di Sindangdong

Baiklah, mari sambung cerita hari keempat. Dari Namsan, kami turun di Sindangdong untuk makan tengah hari. Rancangan nak ke Gwangjang terus ditunda sebab, banyaklah sebabnya. Tapi nasib baik Gwangjang tu tunda bukan batal, kalau batal, memang separuh jiwaku hilang. Drama sangat! Hahaha..

Berdasarkan carian di internet dan catatan oleh beberapa blogger, ada beberapa kedai yang disarankan untuk makan rabuki di Sindangdong. Pertama kali datang dulu, tak tahu pun rupanya tempat ni adalah salah satu tempat tarikan pelancong. Pemandu pelancong kami pun tak cerita sangat; cuma cakap nak pergi makan rabuki dekat tempat terkenal je. Kali ni barulah tahu rupanya Sindangdong ni adalah tempat khusus untuk mencari tteokbokki yang juga dikenali sebagai Sindangdong Tteokbokki Town.

Makanya, dekat sini memang ada banyak restoran yang menjual tteokbokki dan juga rabuki (ramyun + tteokbokki). Waktu ni malas nak fikir dah jadi kami tuju aje ke restoran yang pemandu pelancong kami bawa dua tahun sudah. Nasib baik masih wujud lagi kedainya dan masih ingat lagi lokasinya. Senang je kedai tu sebab memang dekat deretan bangunan tepi jalan besar. Kalau rajin menjelajah dan masuk ke bahagian belakang, boleh jumpa lagi kedai lain dan ada satu maskot yang melambangkan Sindangdong ni.

Hidangan rabuki di sini disediakan mengikut bilangan orang yang nak makan. Ada set untuk 2 orang sampai 6 orang kalau tak silap. Disebabkan kami tahu saiz hidangan di Korea ni besar, maka kami pesan yang untuk 4 orang makan. Pandangan sisi.

Pandangan atas. Dalam ni ada mee segera, tteokbokki, dua jenis mee kering tak-tahu-nama, eoumuk, kobis, telur rebus, mandu goreng, daun bawang dan paling penting, pes cili tu.

Kerusi belah sana. Nak tentukan tempat duduk pun boleh melenting sebab penat dan panas dan lapar. Maaf kawan-kawan. Heeee.. 

Lagi satu.

Kerusi belah sana. Diorang nilah yang boleh bertoleransi dengan keadaan dan mood aku yang mudah berubah ni. 

Hampir boleh makan. Yeay! Siapa hebat guna chopstick Korea, dia mesti tak ada masalah nak guna chopstick biasa yang bulat tu.

Geng Bilik Prep yang sporting dan memahami. Dah tahu apa nak buat kalau ada yang cranky, dah tahu nak pujuk macam mana kalau ada yang merajuk dan dah tahu nak nak redakan kalau ada yang moody. Harap kita tak gaduh-gaduh dan boleh terus buat aktiviti Percutian Geng Bilik Prep, ok? Tapi 'semoody' mana pun kitorang ni, bila sua kamera semua senyum manis. Bagus..bagus..

Ok, tiba-tiba dah habis makan. Hahaha.. Lepas dah habis, macam lapar lagi. Minta menu nak tengok kot-kot ada yang menarik sebab waktu tu ada sekumpulan orang Malaysia baru masuk dan buat pesanan dekat meja hujung sana, kedengaran meriah pesanan diorang tu. Nak tirulah kononnya. Tapi tak ada yang menarik. Akhirnya pesan nasi dengan seaweed dan tuan kedai buatkan nasi goreng.

Rupa nasi goreng tu. Dia gaul nasi dengan seaweed pakai lebihan kuah rabuki je. Layanlah juga.

Hingga butiran yang terakhir. Bagus Radin ni, lepas kaut ni boleh angkat periuk masuk dapur dan basuh sekali ye. Hehehehe..

Habis makan, kami cari jalan nak ke Namsangol Hanok Village sebab nak merasa pakai hanbok dengan bayaran yang murah dan bergambar dengan latarbelakang yang cantik dan klasik. Walaupun aku dengan Mada dah pernah pakai sebelum ni, haruslah nak tumpang dua kaki juga dengan diorang yang baru nak merasa kali pertama. Hehehe.. Bab-bab baca peta, aku memang gagal. Jenuh juga nak cari perhentian bas yang betul untuk dapatkan bas ke Namsangol Hanok Village. Dengan kegigihan Hani dan Mada, jumpa juga kami dengan perhentian bas yang betul; itupun selepas beberapa kali melintas jalan melihat maklumat bas di papan maklumat yang ada serta mengikut petunjuk dari Pakcik Google.

Kesimpulannya, kalau ada rancangan nak ke tiga tempat ini dengan bas, mulakan dengan Namsangol Hanok Village diikuti dengan Namsan Tower dan paling akhir, Sindangdong sebab satu laluan. Lebih senang dan tak perlu berpusing-pusing.

Dalam pada teruja nak pakai hanbok, tak seorang pun terfikir nak semak dulu maklumat dari internet. Memanglah Namsangol Hanok Village tu buka setiap hari, tapi tempat-tempat dalam tu ada yang dibuka secara berjadual. Jadinya, tempat untuk memakai hanbok dengan harga murah di Namsangol Hanok Village TUTUP pada setiap hari Selasa. K.E.C.E.W.A. Sebab dah puas tengok rumah-rumah tradisional di Korean Folk Village semalamnya, maka kami tak pusing-pusing pun dalam tu dan teruslah ubah rancangan.

Sebelum balik, silakan mereka bertiga bergambar di pintu masuk Namsangol Hanok Village ni. Kena paksa bergambar bukti dah pernah sampai sini dengan dialog;  "Sazoh dengan Mada dah pernah bergambar kat situ dulu. Korang bertiga pergi berdiri kat situ." Hahaha..


Bila teringat dekat K-Style Hub pun boleh pakai hanbok, terus kami menuju ke sana. Senang boleh solat siap-siap sekali. Memang sepanjang dekat Seoul, K-Style Hub nilah tempat kegemaran kitorang sampai datang berkali-kali. Cerita di K-Style Hub untuk kali kedua, sambung episod lain. Annyeong!

Wednesday, 21 December 2016

SAN 2016 - Episod 14: Bermain Dengan Bayang-bayang di Menara Namsan

Seperti yang dijanjikan, entri ini adalah sambungan kisah percutian Geng Bilik Prep dengan tema, Seoul Autumn Noob (SAN). Ini dah masuk hari keempat. Hari keempat ni kami berjalan dalam Seoul saja sebab semalamnya dah jalan jauh. Konsepnya kalau jalan dalam Seoul, boleh keluar lambat. Lepas subuh boleh sambung golek-golek lagi. Hehehe..

Keluar rumah dah pukul 10.30 pun sebab dah makan nasi siap-siap sebab cadangnya nak makan street foods je dekat Gwangjang nanti. Kalau ikut rancangan asal, hari keempat ni kami akan ke Menara Namsan kemudian ke Gwangjang dan makan malam di Dongdaemun. Macam biasa, rancangan berubah. Pagi tu dari Hyehwa, dah tak ingat naik bas ke naik subway untuk ke Myeongdong. Pergi Myeongdong dulu sebab dekat sana baru boleh jumpa bas yang terus ke Namsan.

Sementara menanti bas 05 ke Namsan. Bas yang mempunyai laluan ke tempat-tempat tarikan pelancong biasanya bernombor kecil dan berwarna merah.

Kami turun dari bas di Namsan dalam pukul 11.00++ dan dari perhentian bas, kenalah mendaki untuk sampai ke kaki menara. Asalnya nak naik kereta kabel tapi lepas tambah tolak darab bahagi, tak jadi. Naik bas jelah senang. Kali kedua sampai sini, tak terasa pula kecuraman puncak gunung ni. Oh ye, turun bas je serbu kedai serbanika depan perhentian bas tu cari kudap-kudap. Hehehe.. Dalam kamus pelancong, N Seoul Tower ni adalah tempat wajib pergi kalau sampai buat pertama kali. Aku dengan Mada dah pernah pergi dulu jadi kali ni bawa 3 orang lagi geng yang pertama kali ke Seoul.

Laluan yang perlu didaki untuk tiba ke puncak gunung, kaki menara. Faham tak?

Berhenti sebentar mengambil gambar berlatarbelakangkan menara di celah-celah dahan.

Kali ni, tak naik pun ke dek pemerhatian puncak menara sebab dah pernah naik dulu. Lagipun tak ada apa pun, sekadar nak tengok bandaraya Seoul jelah. Kalau dulu, dekat sini ada Alive Museum; waktu naik ke menara dulu beli tiket sekali dengan tiket masuk Alive Museum tu tak silap. Kali ni tak buat kajian sangat pun pasal apa yang ada di N Seoul Tower ni. Bila tengok di sini, rasanya macam dah tak ada Alive Museum tu tapi ditukar dengan tarikan lain.

Meh la cerita sikit tentang N Seoul Tower yang biasanya dipanggil Namsan Tower oleh pelancong. Nama asal dia adalah Seoul Tower dan fungsinya awal-awal dulu hanyalah sebagai menara pemancar untuk siaran radio dan televisyen. Hanya bermula pada tahun 1980 menara ni dibuka untuk kunjungan orang ramai dan pada tahun 2005, namanya ditukar dari Seoul Tower kepada N Seoul Tower. N melambangkan dua perkara, New dan Namsan. Begitulah serba sedikit sejarah N Seoul Tower ni. Cikgu Sejarah separuh masa kan? Kenalah rajin cerita sikit-sikit sejarah sesuatu tempat. Maklumat lain sila Google sendiri ok?

Jadi, apa je ada dekat sini? Sebenarnya kalau nak menikmati kehijauan alam pun boleh juga dekat Namsan ni tapi dengan syarat jangan naik bas atau kereta kabel untuk sampai ke puncak. Jalan kaki dari kaki gunung sampai atas. Sepanjang jalan nak ke atas tu memang ada beberapa tempat untuk bersantai menikmati keindahan alam. Kalau di kaki menara ni, tarikan utamanya adalah di Teres Bumbung (Roof Terrace) dimana tempat ini adalah merupakan kawasan untuk menzahirkan rasa cinta dalam hati dengan mengunci mangga pada pagar dan tembok di sekeliling kawasan ni. Selain tu, boleh juga lihat pemandangan kotaraya Seoul dari sini.
Sebaik saja tiba di puncak, akan jumpa dataran ni dulu. Landskap di sini cantik dan ada banyak bangku serta pokok. 

Bergambar di sini sebab nampak daun pokok tu dah mula bertukar warna. Kalau tak silap, macam pokok gingko.

Di kawasan teres bumbung

Antara mangga yang ada. Dua tahun lepas, harga mangga warna-warni ni kalau tak silap 12 000 Won. Tahun ni tak pasti berapa. 


Kami berlima dan mangga cinta orang lain

Kami berlima dan menara

Salah satu tempat menarik untuk bergambar di kawasan teres bumbung.

Bayang-bayang kami berlima. Salji tak ada, kita manfaatkan cahaya terik mentari. 


Berempat

Jurugambar tak rasmi Tuan Tanah yang sporting dan memahami kerenah kawan dia yang boleh tahan sawan kamera juga. Hahahaha.. Terima kasih Ten, jasamu dikenang :)

Tuan Tanah dan peti surat. Tak pasti peti surat ni hiasan je ke atau memang berfungsi.

N Seoul Tower

Sebelum meninjau kotaraya, bergambar dulu

Pemandangan yang boleh dinikmati dari teres bumbung N Seoul Tower

Kawasan mangga cinta tu bukan hanya di kaki menara sahaja tetapi juga di beberapa tempat berdekatan juga. Kalau tak naik ke puncak menara pun, masih lagi berbaloi datang berkunjung ke sini. Dekat aras 5 kaki menara ni juga ada ruang pameran lain juga. Kalau tengok dari laman web rasmi N Seoul Tower, ada Hello Kitty Island dan juga Ssentoy Museum & Showroom. Tapi mungkin nak masuk dalam dua tempat ni ada bayaran lain. Waktu kami pergi tu, aku dengan Radin turun ke bahagian bawah kaki menara untuk tengok apa yang ada.

Nama tempat ni adalah Seoul Tower Plaza. Dekat sini ada pameran seni pancaran cahaya OLED. Ada satu skrin besar gabak yang memaparkan video pendek mengenai hidupan di bumi dalam bentuk animasi. Untuk kesan yang dramatik, kena pakai cermin mata khas yang disediakan. Ala, macam tayangan 3D kot sebab bila pakai cermin mata tu, terasa macam kita berada dalam video tu. Layan juga dekat situ, sama naik dengan budak umur 5 tahun yang teruja tengok skrin dekat sebelah kanan kitorang. Hahaha.. Tapi best la dekat situ walaupun benda tu macam biasa-biasa je. Bolehlah letak #mudahterhibur untuk kami. Kehkehkeh..
Ini laluan dalam Seoul Tower Plaza. Dekat bahagian atas tulah skrin yang menggunakan OLED dan gambarnya bertukar-tukar. Cantik wei!

Ini tangga dari teres bumbung tadi. Tema dekat sini semuanya cinta dan kasih sayang jadi boleh nampak perkataan Love dan simbol cinta tu di mana-mana. Kerusi tu betul-betul depan tangga yang Radin berdiri.

Keluar dari Seoul Tower Plaza ikut laluan lain dan jumpa dengan deretan 'pokok mangga'.

Habis menjelajah, kami kembali ke tangga di dataran depan menara sebab janjinya berkumpul di situ. Tapi cuma ada Hani je, Aten dengan Mada tidak kelihatan di mana-mana. Dalam pada nak mencari mereka berdua, sampailah kami ke kawasan lain yang juga merupakan tempat untuk letak mangga. Dekat sini pun boleh nampak pemandangan kota Seoul dan redup sebab dikelilingi pokok-pokok. Waktu nilah terserempak dengan satu keluarga pelancong dari Malaysia. Lama juga borak-borak dengan akak yang berasal dari Kedah tu.
Salah satu pondok bercirikan ukiran tradisi di kawasan dataran. Siapa pernah tengok Running Man episod awal-awal dulu, ada sekali tu dia buat penggambaran dekat sini.

Laluan untuk ke kawasan lain yang juga tempat mengunci mangga. Tempat ni jauh sikit dari kawasan menara tadi; kena turun tangga sikit untuk sampai.

Taraaa! Inilah tempat yang dimaksudkan. Ini salah satu ruang bergambar yang 'panas' juga. Jadi, sila beratur untuk bergambar di sini.

Bila dah cukup geng, barulah kami bergerak turun ke tempat menunggu bas. Masa ni matahari terik betul dan bas masih berkunci. Rasanya dia tunggu orang dah ramai baru boleh masuk. Waktu menunggu, ada sekumpulan ahjumma yang sama-sama duduk di situ. Kalau tak silap, dia cakap pasal tudung/selendang yang kami pakai; yippeoyeo katanya. Hehehe.. Lepas tu ada lagi benda dia sembang dan bagi pihak kami, Mada yang bersuara. Itu pun mana yang boleh jelah sebabnya kitorang faham apa yang dicakapkan cuma bila nak balas tu, kosa kata terhad.
Okey, marilah pulang. Lapar dah ni.

N Seoul Tower dari perhentian bas. Semoga jumpa lagi, annyeonghigyeseyeo!

Memandangkan bas yang kami naiki tu akan lalu di Sindangdong, maka rancangan untuk makan rabuki berjaya dilaksanakan. Kalau masih ingat, patutnya kami ke Sindangdong ni pada hari pertama tapi sebab tak sempat, rancangan dibatalkan. Batal ye, bukan tunda. Kebetulan bila tengok laluan bas ke Menara Namsan ni, nampak ada Sindangdong, teruslah pakat-pakat jadi singgah makan rabuki. Cerita makan rabuki episod akan datang ye. Daaaa...