Engagement Fund ;)

Saturday, 14 January 2017

Kehilangan Satu-satunya Wak Yang Tinggal

Tanggal 12 Januari 2017 yang lepas, kami kehilangan seorang lagi ahli keluarga dari susur galur Atuk Muri. Al-fatihah untuk Wak Yah - Khadiah Binti Hj. Kasmuri - yang kembali ke rahmatullah kira-kira jam 6.00 pagi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Satu pemergian yang tak terjangka tetapi aku kira, sepupu-sepupu kami sedikit sebanyak telah menyiapkan diri untuk menerima sebarang berita yang tidak terjangka. Kali terakhir aku jumpa Arwah Wak Yah adalah waktu layat Arwah Abang Zahar di SJMC. Sempat jumpa sekejap dekat depan lif sebab aku dah nak balik manakala Arwah Wak Yah baru sampai.

Alhamdulillah, sempat juga aku lawat Arwah pada hari Selasa, 10 Januari 2017 selepas menerima perkhabaran dari Abang Faiz. Waktu melawat tu pun, Arwah tak sedar sebab doktor dah 'pengsankan' supaya proses penyembuhan lebih mudah. Walaupun beberapa kali juga keluar masuk hospital sebelum ini, alhamdulillah kesihatan Arwah kembali pulih seperti sediakala. Makanya, bila terima berita Arwah masuk wad, kami doa dan harap beliau akan pulih kembali seperti selalu.

Namun kali ini, Allah lebih sayangkan Wak Yah dan dijemput mengikut jejak adik-beradik lain yang telah pergi. Waktu aku sampai di rumahnya, jenazah dah siap diuruskan dan disolatkan, hanya tunggu masa untuk dikebumikan. Sempatlah tatap wajah Wak Yah untuk kali terakhir. Waktu duduk selepas melihat wajah Arwah Wak Yah, terus air mata mengalir laju. Teringat waktu Arwah Mak meninggal dulu, Wak Yahlah yang temankan aku di rumah sehingga kenduri tahlil selesai. Dialah yang bagi kata-kata semangat untuk aku.

Bila jenazah dibawa ke kubur, aku pun terus laju-laju ke kubur juga walaupun hilang arah suku jalan hingga perlu bantuan Google Map. Cuaca pagi Khamis tu pula seolah-olah turut sama bersedih. Sepanjang perjalanan dari rumah ke kubur pun, hujan turun selebatnya hingga apabila van jenazah tiba di tanah perkuburan, hujan masih lagi turun dengan agak lebat. Namun, sebaik saja liang lahad siap digali, tiba-tiba hujan berhenti hinggalah selesa urusan pengebumian seolah-olah memberi ruang untuk kami menguruskan jenazah dengan mudah.

Cuaca suram yang mengiringi perjalanan akhir Arwah Wak Yah di dunia. (Gambar ini dirakam asalnya untuk berkongsi suasana di tanah perkuburan dengan ahli keluarga yang tak dapat datang.)

Sebaik saja kayu nisan dipacakkan, hujan kembali membasahi bumi dan bacaan talkin diiringi titisan hujan yang harapnya, turut sama berdoa untuk kesejahteraan roh Arwah. Hujan masih lagi renyai tatkala kami beransur pulang meninggalkan tanah perkuburan ketika azan zuhur hampir berkumandang. Ya Rabb, ampunkanlah dosa-dosa Wak Yah dan tempatkanlah Wak Yah dan adik-beradiknya dalam kalangan orang-orang yang dirahmati dan diampunkan dosanya. Aaminn.

Sekarang, aku hanya ada seorang Bibik di belah keluarga Arwah Mak. Moga-moga hubungan kami sepupu-sepapat tetap terjalin walaupun orang tua masing-masing dah tak ada.

No comments: