Engagement Fund ;)

Thursday, 19 January 2017

Pengalaman ke Halfest 2016

Sedar tak sedar, dah masuk tahun ke sembilan aku berblogging. Tujuan asal menulis blog adalah untuk mencatat pengalaman hidup dan berkongsi maklumat yang mungkin berguna untuk orang lain dan masih lagi kekal menulis dengan tujuan yang sama. Lagipun, mudah untuk diri sendiri juga kalau nak buat rujukan; terus buka blog dan taip kata kunci.

Selepas catatan kehilangan salah seorang ahli keluarga terdekat, aku sambung penulisan untuk sesi 2017 dengan cerita dari tahun 2016. Ada berderet-deret lagi tajuk yang beratur menanti untuk diterbitkan dalam arkib. Harapnya, cerita tahun 2016 dapatlah dihabiskan sebelum Januari 2017 berakhir.

Kali ni nak berkongsi cerita mengenai kunjungan ke Halfest 2016 yang diadakan pada 31 Ogos hingga 4 September 2016 yang lalu. Asalnya, Abah la yang ajak pergi sebab iklan promosi kerap kali berkumandang di Radio Malaysia Selangor, siaran radio rasmi dalam rumah ni sejak dulu lagi. Maka, pada hari terakhir pameran berlangsung, kami berkunjung ke sana.

Halfest 2016 diadakan di MIECC, Seri Kembangan. Kalau biasa lalu kawasan sana, memang dah tahulah tahap kesibukan trafik di situ. Waktu nak sampai ke bangunan MIECC tu, ada la sekali terlepas simpang. Jadinya kena pusing jauh sebelum tiba di laluan yang sebenar.Bila dah sampai di laluan sebenar, kena bertabah hadap kesesakan sebab orang terlalu ramai dan masing-masing nak pergi situ. Kalau nak pergi sendiri, kena fikir lapan kali sebab malas nak bersesak-sesak.

Disebabkan terlalu banyak kereta nak masuk ke MIECC, akhirnya aku masuk ke tempat meletak kereta The Mines. Pusing banyak kali juga dalam The Mines tu sebelum jumpa parking yang berdekatan dengan laluan yang bersambung dengan MIECC. Dah sampai dekat bangunan MIECC, kami ikut je petunjuk yang ada untuk sampai ke dewan pameran. Sebelum nak masuk dalam, kena daftar dulu di kaunter pendaftaran dan bila dah daftar, diorang akan bagi pelekat bertulis 'Visitor' yang perlu ditampal pada baju atau tudung sebagai 'tiket masuk'. Daftar percuma je, jangan risau.

Kaunter pendaftaran. Seorang je isi borang dan letak bilangan orang yang datang sekali.

Jumpa Boboi Boy dengan Yaya. Walaupun yang tunggu giliran tu semua budak-budak, aku tak peduli, nak juga bergambar dengan Yaya. Hahahaha.. Ini pun sebab orang tak ramai sampai bertolak-tolak, rajin la nak beratur tunggu giliran.

Halfest ni diadakan untuk memberi peluang kepada pengusaha-pengusaha produk halal untuk memperkenalkan produk-produk yang dihasilkan. Memang ada macam-macam produk dan jenama yang kita tak tahu wujud, ditemui di sini. Ada juga sesetengah pengusaha yang buat promosi harga berbaloi untuk produk yang dijual. Pendek kata, kalau suka makan, silalah bawa duit banyak-banyak untuk beli makanan-makanan sedap yang ada. Bukan hanya ada makanan je, macam-mcam produk ada tapi yang banyak adalah makanan.

Selain tu, ada juga acara-acara lain yang diadakan oleh penganjur seperti demo masakan oleh chef-chef terkenal, sesi temu mesra dengan artis yang menjadi duta produk, dan ada juga aktiviti untuk kanak-kanak kalau tak silap. Kalau anda adalah seorang yang celik artis Malaysia, bolehlah kenal dengan mereka sekiranya terserempak di mana-mana booth sebab ada juga artis yang datang promosi produk di booth masing-masing. Aku je la yang tak kenal dengan diorang. Hehehe.. Tahu tu bila terdengar orang lain cakap.
Booth jual perlbagai jenis madu dan produk berasaskan madu.

Dim sum halal. Nak beli yang siap kukus pun boleh, nak beli yang frozen pun ada.

Salah satu booth yang menjual manisan dari Timur Tengah. Malangnya yang tukang jual tak ada, maka tak dapatlah nak beli. Sobs..

Lama jugalah pusing-pusing dalam tu sebelum berangkat pulang. Kalau rajin singah di booth-booth pameran yang ada, bolehlah dapat beg cenderahati percuma. Cuma kena rajin tanya jelah sebab sebenarnya ada banyak je yang bagi barang percuma. InshaAllah kalau rajin, tahun ni boleh pergi lagi. Untuk tahun ni, Halfest 2017 akan berlangsung dari 4 hingga 8 Oktober. Mana tahu ni? Waktu keluar dari kawasan MIECC untuk ke jalan utama, dia dah letak siap-siap banner promosi yang bertulis 'Jumpa lagi di Halfest 2017 pada 4-8 Oktober 2017'. Gitulah lebih kurang tulisan dia.