Engagement Fund ;)

Sunday, 22 January 2017

SAN 2016 - Episod 18: Berbasikal di Pulau Nami

Ini sambungan cerita di Pulau Nami. Lepas masing-masing dah selesa dengan basikal yang dipilih, maka bergeraklah kami berlima menjelajah setiap ceruk Pulau Nami. Alhamdulillah, kali ni dapat pusing satu pulau dan dapat mengambil gambar di tempat-tempat yang cantik di sekeliling pulau. Tapi kan, bila buka balik laman web Namiseom ni, ada lagi banyak tempat yang kami tak pergi. Rasanya tempat-tempat tu sesuai dituju tanpa basikal kot, tu yang tak nampak bayangnya tempoh hari. Kalau ada rezeki ke Korea lagi, wajib aku pergi lagi Pulau Nami ni.

Sebelum aku letak cerita bergambar, meh la cerita sikit sejarah Pulau Nami ni. Pulau Nami terbentuk akibat pembinaan Empangan Cheongpyeong dan berbentuk separa bulat. Di sini ditempatkan makam Jeneral Nami yang berjasa menentang pemberontak sewaktu pemerintahan Maharaja Sejo pada dinasti Joseon. Jadinya, pulau ini dinamakan sempena nama Jeneral Nami. Seterusnya, silakan baca cerita bergambar.

Sebelum berkayuh lebih jauh, ambil gambar dulu

Baru kayuh sikit, berhenti kejap ambil gambar lompat-lompat. Hehehe..

Salah satu landskap yang ada, air terjun mini.

Okey, masing-masing ambil tempat.

Sebab tak ada tripod, kami gunakan saja apa yang ditemui untuk letak kamera bagi membolehkan semua orang ada dalam gambar.

Salah satu tempat perhentian. Cantik sangat pemandangan dekat sini.

Masih dekat kawasan pondok tadi.

Pokok padi.

Pandangan belakang.

Di tepi tasik.


Secara keseluruhannya, wajib berbasikal di Pulau Nami untuk menjimatkan masa dan dalam masa yang sama, boleh tengok sekeliling pulau. Mengikut maklumat dari laman web, pokok-pokok yang ditanam di sini kebanyakannya adalah pokok chestnut dan pokok-pokok poplar. Tupai pun banyak dan peramah belaka; tak hairan dengan orang pun, selamba je berkejaran atas tanah.

Habis pusing satu pulau, maka mengayuhlah kami menuju ke tempat pemulangan basikal. Nak sampai ke sana, kami lalu dekat pintu masuk pulau. Waktu ni dah berduyun-duyun manusia berjalan masuk dari feri dan terserempak dengan beberapa pelancong berkeluarga dari Malaysia. Peramah semuanya sebab sudi bertegur sapa dengan kami. Kami ni biasanya senyum-senyum je dari jauh bila terserempak orang kampung sebab penyegan, bila orang sana membalas senyuman, barulah berani nak bertegur sapa.

Lensa silap fokus ni, patutnya nak ambil gambar orang tapi gambar basikal yang nampak jelas.

Disebalik tabir untuk dapatkan gambar berlima.

Muka ceria masing-masing.

Basikal dan kami.

Laluan untuk sampai ke pintu masuk pulau.

Satu lagi gambar berlima.

Inilah dia tragedi yang diperkatakan tu, jatuh basikal. Sebabnya, sibuk nak ambil gambar waktu kayuh basikal. Basikal jadi tak stabil bila pegang handle sebelah tangan je, makanya jatuhlah menyembah bumi. Waktu nak jatuh tu aku dah fikir, macam manalah kalau masuk dalam air ni? Dah la tak pandai berenang. Hahahahadoi.. Dah lepas tu, bolehlah nak ketawa. Waktu kejadian, cuak la juga. Yang bagusnya, sempat pulak mamarazi ambil gambar kejadian tu. Kahkahkah.. Sazoh bagi 5 bintang untuk Mada!

Ingat lagi sorang akak ni punya dialog; "Wah, kakak-kakak ni berangan macam dalam drama ye?" Hahahaha... Macam mana tahu ni kak? Kitorang gelak jelah dengar akak tu cakap sambil cuba imbangkan badan atas basikal dan mengelak orang ramai. Bila sampai betul-betul depan pintu masuk tu, rasa nak turun je dari basikal dan sorong sampai melepasi kawasan berbukit sebab dekat situ agak tinggi juga permukaannya. Gigih sangat kayuh basikal tapi sambil dalam hati berkata; 'Kau kena kayuh juga bagi lepas kawasan ni, kalau tak lepas malu oi, ramai orang ni.' Hahahaha.. Alhamdulillah, berjaya melepasi halangan tu.

Waktu sampai dekat tempat basikal, orang ramai sangat beratur nak sewa basikal. Makin siang, makin ramai orang dekat Pulau Nami ni. Jadinya kalau nak santai-santai menikmati pemandangan, sila sampai di pulau pada waktu pagi. Selain aktiviti berbasikal, ada banyak lagi benda yang korang boleh buat dekat sini. Kalau tak silap, ada juga galeri lukisan dan hasil seni yang mempamerkan karya pelukis dari seluruh dunia. Kiranya, kalau nak teliti satu persatu tarikan yang ada di sini, setengah hari tak cukup. Sama macam entri di Pulau Nami, ingatkan dua entri dah cukup, rupanya tak cukup. Nantikan sambungannya nanti. Tata..

No comments: