Engagement Fund ;)

Sunday, 22 January 2017

SAN 2016 - Episod 19: Nasi Goncang a.k.a Dosirak Nami

Selepas mengembalikan basikal, kami bergegas ke tempat makan. Asalnya, kami nak cuba makan di satu-satunya restoran di Pulau Nami yang mendapat persijilan halal Korea iaitu Dongmun yang menghidangkan bukan saja makanan Korea malah makanan dari negara-negara Asia. Restoran ni terletak dalam satu bangunan yang sama dengan perpustakaan kanak-kanak dan juga surau. Bila masuk dalam restoran ni, memang luas dan banyak tempat duduk. Malangnya, satu restoran telah ditempah oleh pelancong berkumpulan. Makanya, tak ada rezeki kami nak merasa makanan di sini.

Restoran yang dimaksudkan. Satu bangunan dengan perpustakaan kanak-kanak dan juga surau.

Laluan nak ke kedai nasi goncang.

Akhirnya, kami ke satu lagi restoran yang menghidangkan makanan yang selamat dimakan oleh pelancong Muslim iaitu nasi goncang! Kalau dulu, inilah satu-satunya tempat makan wajib pergi di Nami. Waktu kunjungan aku dan Mada yang pertama dulu, kami memang makan di sini. Kali ni, kami bawa tiga ahli jemaah yang pertama kali sampai di sini. Kedengaran seperti pemandu pelancong bukan? Bagi canlah ye.

Seingat aku, menunya tak banyak pun. Ada nasi goncang, eomuk sup, dan jeon. Bingsu pun tersenarai dalam juga tapi hanya ada pada musim panas sahaja. Sekian, sila cari bingsu di tempat lain. Akhirnya kami cuma beli 4 bekas dosirak dan 2 mangkuk eomuk sup untuk Hani yang tak makan nasi. Bagus Hani ni, melancong-melancong pun boleh kawal pengambilan nasi. Kalau aku ni, telan je nasi 3 kali sehari pun walaupun jauh di sudut hati rasa bersalah juga tapi kemudian ditutup rasa bersalah tu dengan formula rekaan sendiri iaitu Nasi + nasi + nasi - (banyak berjalan jauh + turun-naik tangga + kejar bas) = Sama je kalau makan nasi sehari sekali. Gituuu..

Nasi goncang ni ada 3 jenis kalau tak silap; ada yang hanya ada kimchi saja, ada yang campur kimchi dan telur, dan ada yang campur kimchi, telur dan tuna. Rasanya kami ambil yang ada tuna tu supaya ada lauk sikit. Harga pun berbeza tiga-tiga jenis ni. Bila nampak ada pajeon dalam menu, teringin nak beli tapi bila tengok harga, dah kenapa sampai 10 000 Won sekeping? Tak jadi. Tapi bila nampak meja hujung sana pesan pajeon, barulah tahu kenapa harga dia sampai 10 000 Won; sebabnya dalam tu ada sekali makanan laut dan saiz dia besar. Jumlah yang dibelanjakan untuk makan tengah hari adalah 29 000 Won.

4 dosirak dan 2 mangkuk eomuk.

Rupa sebelum goncang.

Okey Radin, sila goncang sesungguh hati.

Taraaa! Selepas digoncang. Memang kena goncang kuat-kuat supaya kimchi, nasi dan tuna tu bercampur sekata.

Panas wei, kena pakai sarung tangan untuk pegang bekas sewaktu menggaul nasi.

Eoumuk sup Hani.

Lepas makan, ahli yang boleh solat terus naik ke tingkat atas untuk solat. Kali ni memang kagum sangat bila sampai dekat ruang solat sebab dah dinaik taraf menjadi lebih baik dan selesa berganda-ganda. Dua tahun sudah, ruang solat ni hanya satu ruang besar yang diletakkan langsir untuk memisahkan ruang lelaki dan wanita. Pada kunjungan 5 Oktober 2016, ruang solat lelaki dan wanita telah diasingkan kepada dua bilik yang berbeza siap tempat wudhuk dalam surau dan lengkap dengan telekung sekali. Memandangkan kami solat betul-betul lepas masuk waktu, memang tak ada orang lagi waktu tu. Kalau tak, mungkin penuh juga surau ni.

Penunjuk arah.

Ruang solat wanita.

Tempat wudhuk yang dalam ruang solat juga.

Dari surau nak ke pintu keluar, memang akan lalu di perpustakaan kanak-kanak ni. Kalau nak tengok gambar dekat kawasan ni banyak-banyak, boleh tekan entri Korea tahun 2014.

Usai solat, kami berkumpul semula dengan geng lain yang menunggu di hadapan pintu masuk utama bangunan perpustakaan tu. Diorang tengah borak dengan satu keluarga dari Malaysia yang memang kaki jalan dan tentunya wang bukan masalah berdasarkan penampilan dan cerita-cerita yang dikongsi oleh mereka. Lepas mengucapkan selamat tinggal, kami pun meminta diri. Sebelum berjalan ke jeti, sempatlah juga singgah di kedai cenderahati yang terletak bersebelahan dengan bangunan perpustakaan ni. Rasanya macam ada beli benda dekat sini, tapi tak nampak bayang pulak. Hahaha.. Selain kedai ni, rasanya macam ada lagi dua ke tiga kedai lain tapi sebab malas nak bersesak dalam lautan manusia, kami terus je jalan meninggalkan kawasan tumpuan ni. Perjalanan kembali ke Seoul, bersambung lain entri.

No comments: