Engagement Fund ;)

Monday, 30 January 2017

SAN 2016 - Episod 21: Memborong di Pasar Gwangjang

Dah baca kisah perjalanan Geng Bilik Prep di Nami? Okey, hari ni kita sambung lagi cerita untuk hari yang sama. Mujurlah dah siap-siap taip sampai habis kisah hari kelima ni. Kalau tak, bulan depanlah baru sambung gamaknya. Kahkahkah.. Lepas ni bercintalah nak mengingat balik cerita hari keenam dan seterusnya. Fuuhhh!

Habis kisah di Pulau Nami, mari sambung kisah di Gwangjang pula. Secara peribadi, Pasar Gwangjang adalah tempat kegemaran aku sebab macam-macam benda boleh ditemui di sini daripada makanan sampailah cenderahati dengan harga yang menarik. Satu lagi yang membuatkan aku jatuh cinta dengan pasar ni adalah suasananya yang meriah tapi tak serabut.

Dalam kalangan pelancong Malaysia, Pasar Gwangjang ni terkenal sebagai tempat membeli kain kapas. Selain kain kapas Korea yang terkenal lembut dan sejuk, ada juga pelbagai jenis kain ela yang boleh ditemui di sini. Kalau rasa-rasa nak tempah hanbok pun, dengar ceritanya dekat sini boleh dapat murah sikit. Dengar cerita la, kesahihan cerita tak pasti. Kalau mengikut maklumat dari laman web visitkorea.or.kr, Gwangjang adalah antara tempat yang menawarkan pelbagai barang pada harga yang murah.

Annyeong!

Pemandangan dalam pasar

Tempat yang mula-mula kami tuju sebaik saja tiba di Gwangjang adalah lorong yang menjual pelbagai jenis fabrik dan sasaran utama dah tentulah kain kapas. Asalnya kain-kain ni dijual dengan ukuran ela tak silap tapi bila ramai orang Malaysia ke sini dan menggunakan meter sebagai ukuran, maka sekarang ni kebanyakan kain dijual mengikut meter. Biasanya kain-kain ni dah siap potong 4 meter dan kalau bernasib baik, boleh jumpa yang 5 meter tapi harga sama dengan 4 meter.

Asalnya aku tak kisah sangat pun nak beli kain ni tapi disebabkan pengaruh rakan sebaya, maka terambil juga sepasang. Tapi, sudahnya angkut dua pasang sebab dok menunggu diorang pilih kain tak sudah-sudah, maka sambil menunggu tu aku pun sekali sambil memilih. Hahahaha.. Aku angkut sepasang kain kapas dan sepasang lagi sutera Korea tak tahu gred berapa sebab bila pegang, rasa macam kain licin biasa je tapi sajangnim cakap tu sutera Korea. Tak kisahlah, janji murah. Yang kain kapas kalau tak silap 10 000 Won dan yang sutera tu 13 000 Won. Orang lain beli sampai berpasang-pasang sebab beli untuk adik kakak mak makcik nenek semua. Aku memang tak fikir orang lain langsung kali ni, memang fikir beli barang untuk diri sendiri je;  tak macam kunjungan yang dua tahun lepas. Bajet pun ketat kali ni.

Masing-masing gigih berebut memilih kain.

Salah satu kedai yang menjual hanbok siap dijahit.

Dari lorong kain, beralih pula ke lorong yang menjual keperluan bilik tidur seperti cadar, selimut dan juga bantal sebabnya aku nak beli bantal tradisional Korea yang bentuk empat segi tu. Dua tahun lepas, belikan kiriman orang tapi tak beli untuk diri sendiri lepas tu menyesal. Kali ni wajib kena beli! Bantal ni ada pelbagai saiz dan ada juga bentuk bulat. Korang kalau nak beli bantal macam ni, silakan beli di Gwangjang sebab harganya murah banyak berbanding di tempat lain.

Lama juga memilih sebab rambang mata tengok saiz yang pelbagai, warna yang ceria dan juga sulaman yang ada pada bantal. Itu baru pilih bantal, belum lagi pening nak pilih sarungnya. Hahaha.. Harga bantal bersekali dengan sarung adalah 15 000 Won manakala sarungnya sahaja berharga 6000 Won. Tapi ahjumma tu bagi diskaun 1000 Won sebab aku ambil bantal bersarung + satu sarung tambahan. Pada aku, harga tu kira murah sebab bantalnya besar dan ada sulaman di kedua-dua hujung bantal.

Ada kelebihan ke bantal ni? Mengikut kata Aten, bantal ni boleh melegakan sakit kepala ketika migrain teruk datang menyerang. Mengikut beberapa artikel yang ditemui di internet, bantal tradisional ni banyak manfaatnya dan memang boleh legakan sakit kepala dan juga tengkuk sebab bila berbaring menggunakan bantal ni, teksturnya yang keras membuat posisi kepala dan badan kita terletak elok dan sekaligus melegakan urat saraf pada badan. Ada lagi banyak kelebihan dia sebenarnya, mohon untuk tanya pada Pakcik Google ok?
Ahjumma ni tak pandai cakap Inggeris tapi gigih layan aku yang banyak cekadak. Hahaha.. Bolehlah kitorang berkomunikasi sikit-sikit guna bahasa Korea asas.

Selepas dua tahun, dapat pun beli bantal tradisional ni.

Selesai beli bantal, kami berjalan mencari kedai menjual perkakas dapur sebab aku nak beli periuk dengan bekas kimchi. Macam kan, kat Malaysia tak ada periuk? Hahaha.. Jalan punya jalan, terberhenti depan kedai yang menjual pelbagai jenis kacang berperisa dan juga rumpai laut. Kalau rasa tak tahu nak bagi buah tangan apa pada keluarga dan kawan-kawan, bolehlah pilih rumpai laut ni sebagai buah tangan. Dekat sini konsep 'Tiru Dia' dan 'Pengaruh Rakan Sebaya' digunapakai semula. Masing-masing memborong tak ingat dunia sampai sajangnim kena pergi keluarkan stok lain!

Menariknya kedai ni adalah, dia bagi kita rasa mana-mana jenis yang kita nak rasa lepas tu layanan dari tauke kedai dan ayah kepada tauke bukan main mesra lagi, terus borong banyak-banyak. Kami banyak beli yang perasa kimchi dan beli yang bungkusan kecil sebab senang nak bagi orang dan senang juga kalau nak makan sendiri.
Rumpai laut pelbagai perisa dan saiz.

Tauke Kedai. Hensem kan? Kehkehkeh... Ayah tauke ni gigih layan kitorang walaupun tak boleh cakap Inggeris. Tauke ni punya bahasa Inggeris boleh tahan bagus juga.

Sementara tunggu tuan kedai ambil stok rumpai laut perisa kimchi, ambil gambar Geng Bilik Prep dulu.

Lepas siap memborong makanan ringan ni, beralih pula ke kedai sebelah yang menjual perkakas dapur. Terus beli periuk dengan bekas kimchi tu dekat sini je sebab dah depan mata. Kalau nak banding harga yang dekat Malaysia, dah tentulah yang di sini murah sikit. Angkut sebiji periuk dan sebuah bekas kimchi sederhana besar. Patutnya aku beli sekali periuk tanah yang biasanya digunakan untuk hidang dolsot bibimbap tu, boleh buat masak kimchi jjigae atau sup. Takpe takpe, trip balik kampung yang seterusnya kita beli periuk tu pula.

Sebelum pulang, kami singgah beli lempeng. Kategori lempeng Korea ni pun banyak sampai pening nak ingat nama. Ingatkan lempeng yang kami beli tu dalam kategori jeon tapi nama dia lain iaitu bindaetteok. Bindaetteok ni diperbuat daripada kacang hijau yang digiling halus dan dicampur dengan bahan-bahan lain seperti bawang, kimchi dan juga telur. Itu bahan asas dia, ada juga yang campur dengan daging atau makanan laut.
Gerai-gerai yang menjual lempeng.

BEertingkek-tengkek.

Dekat sini, berdasarkan pemerhatian, kalau nak beli makanan kena cari gerai yang hanya menjual makanan berasaskan sayuran. Kalau tengok, gerai-gerai makanan vegetarian diasingkan daripada gerai-gerai yang menjual makanan berdaging. Memandangkan saiz bindaetteok ni agak besar, maka kami beli sekeping je dan kongsi ramai-ramai. Lagipun tak tahu rasa dia macam mana kan?

Suasana yang sesak dekat kawasan makanan masak.

Pelbagai jenis kimchi.

Makanan jeruk. Ketam jeruk ni la yang muncul dalam My Love From Another Star. Siapa tengok drama tu?

Kimchi lagi.

Sejam lebih juga kami di sini sebelum berangkat pulang ke rumah. Memandangkan kami dah berjanji untuk bertemu dengan sepupu Radin yang belajar di sini pada sebelah malam, maka kami teruslah kembali ke Hyehwa untuk berehat seketika dan solat sebelum keluar semula untuk makan malam. Cerita makan malam hari kelima ni entri lain ye. Daaaa...

No comments: