Engagement Fund ;)

Friday, 17 February 2017

SAN 2016 - Episod 23: Apa yang Menarik di K-Style Hub? (Bahagian 1)

Annyeonghaseyo! Selepas beberapa kali tenung skrin laptop dan buka tutup fail gambar-gambar di Korea tempoh hari, akhirnya hari ni baru sampai semangat rajin nak edit gambar dan seterusnya menaip serba sedikit catatan perjalanan dan kenangan sewaktu berada di sana untuk tatapan diri sendiri khususnya dan pihak yang terlibat amnya. Kena baca satu nafas ye ayat tadi.

Ini adalah cerita untuk hari keenam di bumi Seoul. Memandangkan agenda pada hari tersebut hanyalah merayau di sekitar Seoul, maka kami keluar lewat iaitu kira-kira jam 11.30 pagi dengan perut penuh sebab dah makan nasi siap-siap supaya boleh terus pergi ke tempat yang nak dituju. Perancangan asal hari keenam ni kami ke Lotte World untuk merasai keseronokan bermain di taman tema sambil menjelajah lokasi penggambaran Stairway to Heaven. Tapi, bila semua dah bertukar jadi ahjumma waktu ukur kedai-kedai yang ada dekat Gwangjang, Myeongdong dan Hyewa, satu undian dibuat untuk satu keputusan muktamad.

Keputusan undian adalah 2:3, dua nak pergi tiga tak nak pergi. Kalau tak pergi, bolehlah guna duit tiket ke Lotte World tu buat beli barang. Hahahaha.. Dasar ahjumma semua kan? Mulanya berbelah bagi juga sebab diorang cakap boleh pergi tapi nak duduk lepak dekat luar. Mana boleh? Tak remajalah kan? Alang-alang dah sampai kenalah masuk main. Akhirnya tak pergi pun tapi kena buat pengisian jugalah, bukan isi dengan agenda membeli-belah saja. Hani siap cakap; "Okey, orang lagi sanggup teman Sazoh masuk muzium." Kahkahkah.. Punya nak elak tak nak pergi Lotte World.

Jadi, agenda pertama hari keenam adalah melawat setiap pelusuk K-Style Hub yang menjadi pujaan tu. Kiranya, ini kunjungan rasmilah sebab pergi tengok apa yang ada di setiap tingkat. Hari-hari sebelumnya datang solat je. Sampai ke K-Style Hub dalam pukul 12.00 macam tu dan terus naik ke tingkat 5 untuk pakai hanbok percuma sebab inilah saja pilihan terakhir yang ada selepas kejadian di Namsangol Hanok Village yang lepas. Boleh tekan entri lama untuk baca.
Bunting yang diletakkan di pintu masuk. Aktiviti-aktiviti yang diadakan juga kalau tak silap berubah-ubah ikut musim. Waktu kami di sana, ada bengkel membuat kimchi yang kalau aku tahu, memang pakat daftar.

Kalau nak pakai hanbok percuma, terus naik tingkat 5. Tapi hari Selasa tutup.

Maklumat untuk tingkat 3 hingga tingkat 5. Boleh tekan gambar untuk paparan yang lebih jelas.

Sampai je, staf dekat situ dah nak tutup untuk rehat tengah hari. Makanya, kami cuma tulis nama untuk tempah slot selepas waktu rehat. Lepas tu, kami turun semula ke tingkat 3 untuk melihat pameran mengenai makanan dan penyediaan makanan Korea. Kalau tak silap, K-Style Hub ni ada lima tingkat. Walaupun ruang pameran dekat tingkat 3 ni tidaklah besar mana pun, tapi boleh tahan hebat jugalah maklumat dan bahan yang dipamerkan. Disebabkan ada banyak masa sementara nak tunggu pakai hanbok, sempatlah teliti satu persatu maklumat yang ada. Siapa suka masak dan suka nak belajar tentang penyediaan makanan, memang wajib luangkan masa dekat tingkat 3 ni. Seterusnya, sila layan cerita bergambar.

Laluan masuk ke ruang pameran. Dekat sini kita boleh tengok betapa telitinya orang-orang Korea bila masuk bab makanan. Setiap musim ada jenis-jenis makanan yang sesuai dinikmati untuk bagi kesan yang maksimum kepada kesihatan.

Ini salah satu ruang yang mempamerkan makanan-makanan yang boleh didapati pada musim tertentu.

Dinding ni tak ingat pula maklumat mengenai apa. 

Dah sampai dalam, mula-mula boleh jumpa dengan dinding yang menempatkan bahan-bahan utama dalam masakan Korea. Siap nama Korea, tulisan hangul, nama dalam bahasa Inggeris dan siap gambar.

Memperkenalkan, jurugambar rasmi sepanjang pengembaraan kami dengan ucapan, "Dah jumpa ke gambar-gambar dekat Myeongdong sampai Namdaemun?" Hehehe..

Khasiat yang ada pada sayur-sayuran yang kerap digunakan dalam makanan Korea.

Cara penyimpanan makanan secara tradisional. Kalau tengok cerita Arang and the Magistrate, dekat tempayan ni ada penunggu dia.

Tempayan dan keterangannya.

Hansik ni bahasa mudah dia adalah seni pemakanan.

Dekat salah satu ruang pameran yang ada, ada buku besar yang menceritakan bagaimana pentingnya variasi warna dalam penyediaan makanan dan kesannya kepada kesihatan. Memang teliti habis penerangan dia tu.

Yang ni pula cara penggunaan peralatan untuk makan.

Ini sambungan penerangan kepentingan variasi warna dalam hidangan tadi.

Salah satu ruang kegemaran, penerangan mengenai bahan-bahan perasa yang digunakan dalam penyediaan makanan. Ini bahagian perasa. Ada lebih daripada 10 jenis bahan, ni letak 3 je.

Antara jenis-jenis kimchi yang ada, pun ada banyak.

Sebahagian sayur jeruk yang tersenarai.

Maklumat tentang kimchi, bahan perasa dan sayur jeruk tadi berada di sepanjang tempayan visual ni. Suasana dalam ni memang tenang dan romantik untuk mendalami ilmu pemakanan Korea.

Contoh rak penyimpanan herba dan rempah. #mydreamkitchengoal

#mydreamkitchengoal lagi. Gitu hashtag dia. Hahaha..

Ini replika telaga yang diletakkan dekat depan pintu keluar.

Lepas habis jelajah tingkat 3, kami turun ke tingkat 2(kot) untuk solat dan beramah mesra dengan artis-artis yang ada buat kali terakhir. Alhamdulillah, tak ramai pun pengunjung makanya tak payah berebut nak bergambar dengan GD dan Big Bang. Lepas dia, dia. Lepas dia, dia lagi. Berebut dengan Radin dengan Aten jelah. Hahaha.. Sampai ada satu ahjussi tu terpegun tengok kitorang bersungguh-sungguh ambil gambar dengan artis-artis tu sebab tak berganjak dari tempat yang disediakan.

Sementara menunggu, bolehlah duduk dekat kerusi empuk yang disediakan ni. Ada banyak ye, jangan berebut.

Big Bang pun Big Bang lah. Mohon untuk Badan Pelancongan Korea agar letak Kwon Sang Woo dan pelakon-pelakon lain untuk menjadikan bilik bergambar ni lebih meriah. Terima kasih.

Ingatkan nak habiskan satu entri cerita dekat K-Style Hub ni tapi dah panjang sangat sampai cecah lantai, maka cerita pakai hanbok dan Cheonggyecheon kita tulis entri lain ye. Babai..

No comments: