Engagement Fund ;)

Friday, 17 February 2017

SAN 2016 - Episod 24: Apa yang Menarik di K-Style Hub? (Bahagian 2)

---------sambungan dari bahagian 1---------

Bila dah dekat pukul 2, terus naik semula ke tingkat 5. Tak lama pun tunggu sebelum kaunter dibuka semula. Sementara tunggu, bolehlah kalau nak beli cenderahati atau produk buatan Korea untuk buat buah tangan sebab di tingkat yang sama, ada ruang jualan untuk produk-produk Korea daripada makanan sampailah pakaian. Harganya pun boleh tahan, tak adalah mahal sangat untuk barang-barang yang biasa-biasa. Tapi kalau barang yang eksklusif, memang mampu tengok jelah.

Kalau ke Korea, tak lengkap kunjungan sekiranya tidak menyarungkan pakaian tradisional ni. Walaupun dah kali kedua, tetap juga jakun nak pakai hanbok. Kali ketiga nanti ada harapan beli sepasang terus kang. Hehehe.. Kali pertama dulu kami pakai hanbok di Namsangol Hanok Village dengan bayaran sebanyak 5000 Won kalau tak silap. Kali kedua ni percuma.

Komen? Lagi puas hati di Namsangol Hanok Village sebab ada banyak saiz besar dan ada banyak sudut cantik dan menarik untuk bergambar. Dekat K-Style Hub ni tak banyak saiz besar dan pilihan corak hanbok. Hiasan kepala dan aksesori lain pun agak terhad selain hanya ada satu sudut bercirikan Korea untuk bergambar. Tapi sebab percuma kan? Bolehlah buat syarat. Cuma kalau yang berbayar tu lagi puas hati dan layanan pun istimewa sikit walaupun bayar murah.

Kami berlima, gambar penuh dengan bantuan staf KTO.

Penterjemah dan Jurucakap kami.

Maknae.

Pengerusi merangkap setiausaha.

Penunjuk arah, pembaca peta.

Bendahari.

Kisahnya, baru perasan Mada susun huruf-huruf hangul ni jadi nama kitorang bila pilih gambar nak edit. Terharu. Ada peristiwa kelakar waktu ni. Kahkahkahkahkah.. Gelak dulu sebab memang kelakar. Tempat huruf-huruf hangul ni dekat tepi eskalator dekat tingkat 3 ke 4. Lepas tulis nama untuk slot hanbok, Mada ni khusyuk betul main susun-susun huruf. Okeylah, biarkan dia dengan dunianya. Bila dah siap solat semua dan naik balik ke tingkat 5, dari jauh aku nampak ada gulungan kertas warna jingga dekat salah satu kotak yang ada. Macam kenal. Bila ambil gulungan kertas tu, memang sah kenal. Buku Skrap kami! Hahahaha... Dahlah ada nama penuh masing-masing dekat muka depan buku skrap tu, kalau tertinggal dekat situ, memang popular la jawabnya. Punya khusyuk susun huruf hangul, sampai lupa nak ambil balik buku tu.


Gambar terakhir sebelum keluar dari K-Style Hub. Ini dekat antara dua tangga.

Selesai pakai hanbok, maka,  selamat tinggal K-Style Hub. Bila taip ni, sebak pula terkenang itu saat terakhir berada di situ selepas selang sehari berkunjung ke bangunan yang terletak bertentangan dengan Cheonggyecheon tu. Sob..sob..sob.. Dari K-Style Hub, kami turun ke Cheonggyecheon. Kiranya, ini juga merupakan lawatan rasmi biarpun sebelum tu dah sampai ke sini. Nasib baik masa suntuk, kalau ada banyak masa, mahu juga pujuk diorang masuk dalam galeri yang menceritakan sejarah Cheonggyecheon secara terperinci. Cikgu Sejarah kan?

Bangunan yang menempatkan K-Style Hub

Keadaan masih lengang waktu ni sebab baru pukul 2 lebih. Kalau dah petang-petang lepas waktu pejabat, ramai orang jalan-jalan atau duduk-duduk dekat tepi terusan ni. Teringin nak celup kaki, tapi tak nampak orang buat. Jadi simpan jelah hasrat dalam hati.

Kami.

Selesai bergambar, terus mara ke depan untuk misi mengukur jalan dan lorong di Myeongdong buat kali kedua. Dari Cheonggyecheon nak ke Myeongdong, tak ingat naik apa. Macam naik bas lepas tu turun dekat seberang jalan dan kena melintas ikut laluan bawah tanah untuk sampai ke Myeongdong. Laluan bawah tanah tu pula bukan sekadar laluan, tapi adalah Pusat Membeli-belah Bawah Tanah Myeongdong. Dekat sini ada air-cond jadi kalau tak nak berpanas, bolehlah melontar di sini. Harganya kalau dibandingkan dengan tempat-tempat lain, macam agak mahal. Mungkin sebab tumpuan pelancong, maka harganya berbeza.

Kalau nak beli beg tangan kulit, boleh cuba beli dekat sini. Ada beberapa kedai yang hanya jual beg tangan yang diperbuat daripada kulit burung kasawari. Harganya dah tentulah mahal tapi kalau memang nak cari beg yang ada label Made in Korea, agak berbaloi beli di sini sebab rekaannya memang cantik dan unik. Aku beli selendang je dekat sini sebab tak cukup bajet nak beli beg kulit. Tak menyesal pun beli selendang tu sebab labuh dan sedap kainnya. Hasil tangkapan nanti dekat entri lain. Bahagian kedua hari keenam bersambung tahun depan kemudian.

No comments: