Engagement Fund ;)

Tuesday, 7 February 2017

Selamat TInggal, Terima Kasih Semua..

Selepas masuk bulan kedua tahun baru, barulah ada kerajinan sikit nak menaip ucapan selamat tinggal dan terima kasih ni. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan, cepat atau lambat bergantung kepada keadaan. Selepas enam tahun empat bulan berkhidmat di tempat lama, akhirnya tibalah masa untuk ucapkan selamat tinggal.
Suku daripada 'khazanah' dan 'harta' yang dikumpul. Yang lain dah bawa balik sikit-sikit dan kertas-kertas yang tak perlu, dah selamat dilupuskan dengan bantuan mesin perincih kertas automatik yang baru. 

Banyak sangat benda yang aku belajar dekat sana memandangkan di situlah tempat pertama aku mengenal dunia pekerjaan. Yang namanya politik pejabat yang ada banyak cabang dan tahap pun, dah puas rasa. Mana-mana yang baik, kita ambil buat bekalan. Mana-mana yang tak elok kita ambil juga buat pengajaran dan tauladan.

Ingat lagi dulu pertama kali masuk mengajar, seram sejuk dan menggigil. Sebabnya pertama kali berhadapan dengan pelajar baru dan cara baru, haruslah gelabah lebih. Hehehe.. Dekat sana juga aku belajar benda-benda remeh yang orang rasa tak penting tapi sebenarnya penting dan orang yang mengajar juga memainkan peranan penting.

Perkara pertama aku belajar adalah cara nak jawab telefon dengan berhemah dan pentingnya sikap tidak mementingkan diri seperti yang tersenarai dalam Tonggak 12. Setiap orang kena baca tentang Tonggak 12 tu supaya sekurang-kurangnya ada kesedaran sivik sikit tentang kerja dan pekerjaan yang dilakukan dan diamanahkan. Aku jumpa buku tu dekat perpustakaan haritu tapi tak sempat habis baca pun sebab dah kena berhenti. Heee.. Maksudnya, walaupun duduk dekat unit lain, tolonglah juga angkat telefon unit lain kalau tak ada orang dekat situ.

Tapi kan, dua tahun kebelakangan dah mula tak rajin nak ikut prinsip Tonggak 12 sebab asyik-asyik tak ada orang lepas tu berkira, aku pun lama-lama jadi berkiralah juga. Selain tu, penting untuk ambil tahu keadaan dan isu semasa di tempat kerja sebab kalau kena jawab panggilan orang lain, sekurang-kurangnya bolehlah nak bagi maklum balas. Tidaklah memanjang jerit dekat pulau sebelah tanya benda sama. Gitu.

Ucapan terima kasih dan perpisahan. Sebelum dapat mikforon, dah karang ucapan. Bila dapat mikrofon, terus lupa semuanya. Waktu ni berjaya tak menangis cuma sebak jelah.

Komputer kedua dan terakhir sepanjang berkhidmat. Kisah pasal komputer pun ada dalam blog ni kalau rajin nak baca. Politiklah juga. Hahaha.. Asalkan ada komputer nak menaip dan selesaikan kerja, tak kisahlah model lama ke, model baru ke, atau yang pasang siap. Jalann..

Ilmu paling berharga adalah dapat tahu macam mana nak guna mesin fotostat. Dulu-dulu memang kagum tengok orang pandai fotostat jadi macam-macam saiz. Bila diajar guna mesin fotostat, dapatlah ilmu baru dan tidak lagi berasa takut bila nak guna mesin fotostat. Kahkahkah.. Dengan mesin fotostat pun kau takut? Tapi tulah, kadang-kadang benda yang bagi kita paling senang, rupanya ada orang yang tak tahu langsung atau rasa sangat susah. Makanya benda lain yang saya belajar adalah, janganlah memperlekehkan orang lain sewenang-wenangnya.

Sebenarnya, tak terkira ilmu yang aku dapat sepanjang berkhidmat di sana. Cuma benda-benda dekat atas ni yang rasanya paling berbekas dalam otak. Ucapan terima kasih paling tidak terhingga tentulah kepada Bos pertama aku yang terlalu banyak memberi tunjuk ajar dan peluang dan membuat golongan seperti kami sebahagian daripada keluarga unit. Itulah yang pertama dan terakhir.

Hadiah-hadiah yang diterima. Tak harap pun nak dapat hadiah banyak-banyak macam ni. Terima kasih atas pemberian. Ada yang dari individu, ada yang dari unit-unit dan ada yang dari geng.

Ini hadiah dari Geng Pantri yang selalu kongsi makanan dan pelawa makan. Hehehe.. Aku kan jenis penyegan, jadi bila diorang suruh makan dan sua, barulah aku makan. Kalau kata nak minta nak rasa, jarang sangat sebab segan. Lepas tu kalau aku makan dalam pantri pun jarang pelawa bekal aku sebab biasanya bekal aku bukan dimasak segar. Takkanlah nak bagi orang kan? Kalau jenis perut tahan lasak, lain cerita.

Ini pula dari Tauke Minyak Wangi. Suka gila bila dapat ni sebab aku kan memang suka bau ros? Bolehlah semburkan dekat bekas Lovely Lace dalam bilik ni ha.

Hari terakhir. Annyeong!

Selebihnya, terima kasih jugalah atas timbang rasa dan tunjuk ajar yang diberikan. Semuanya berjasa dan ada pahala dalam menjadikan aku seorang yang lebih baik dalam menjalankan tugas yang diberikan. Saat akhir sebelum meninggalkan pejabat, tumpahlah juga air mata sebab sedihlah sebab nak berpisah. Lama kan kita saling mengenali? Perasaan sedih mestilah wujud.

No comments: