Engagement Fund ;)

Sunday, 26 March 2017

Kimchi Cik Fara

Bila benda yang penting tidak disegerakan, maka terperuk lama benda ni dalam draf. Memandangkan kebelakangan ni ada dapat pertanyaan mengenai kimchi dari komen pada entri lama dalam ni, maka saya kongsikan sikit mengenai perniagaan kecil-kecilan ni.
Agasshi Kimchi! Ini logo untuk tampal dekat Atas Nama Cinta.

Saya mula buat kimchi sejak tahun 2011 kalau tak silap disebabkan perasaan ingin tahu dan ingin mencuba yang kuat. Waktu tu masih susah nak cari makanan Korea apatah lagi nak jumpa kimchi. Berbekalkan dua perasaan tu dan entri resepi langkah demi langkah oleh kawan satu sekolah dulu, maka gigih saya buat ikut cara yang ditulis. Percubaan kali pertama berjaya walaupun ada sedikit silap. Rasanya saya ada catatkan dalam ni, kalau rajin bolehlah korek entri lama.

Berititik tolak dari kejayaan pertama, saya tambah lagi ilmu buat kimchi dengan berguru melalui YouTube, blog-blog masakan milik warga Korea dan juga blog masakan dari Malaysia. Resepi yang digunakan pun dah berubah-ubah mengikut sumber yang diperoleh. Dulu memang buat untuk makan sendiri je jadi dalam setahun ada la dalam dua ke tiga kali je buat.

Kemudian, bila ada kawan-kawan rapat dan sepupu yang bertanya untuk beli dan rasa, saya cuba jual walaupun gementar dengan hasilnya. Yelah, tekak sendiri ni jenis tekak DBKL; semua pun sedap je, semua boleh telan. Alhamdulillah, percubaan awal menjual kimchi kepada kenalan terdekat mendapat komen yang positif. Mulai pertengahan tahun 2015 tak silap, barulah yakin nak buka tempahan untuk dijual. Alang-alang buat untuk makan sendiri, buat terus untuk jual.

Awal tahun ni, terasa nak buat peningkatan dengan menamakan produk kimchi buatan saya. Jenuh juga memikirkan nama yang catchy dan bermakna. Fikir punya fikir, maka dapatlah nama Agasshi Kimchi. Sebab yang tukang buat masih berstatus Cik, kita selitkan dalam nama produk. Dah bagi nama, nak ada label pula. Tentang label ni, dah lama dah fikir cuma tak disegerakan je pembuatannya.

Untuk tempahan pertama tahun ni, sasarannya mesti dah ada label dekat botol. Nak upah orang buat logo, macam kedekut. Sudahnya gigihlah fikir dan reka sendiri logo yang ada nama produk, tagline dan juga cara untuk berhubung. Orang lain reka logo guna Adobe Photoshop, saya guna Microsoft Picture It! Publishing 2001. Nampak, perisian tahun 2001 tu! Hahahaha..Gara-gara nak cepat dan jimat, perisian ni jelah yang dah pakar.

Bentuk pertama - saya suka yang ini tapi..

Bentuk kedua - kedua-dua crime companion pilih bentuk ini jadi saya ikut pandangan majoriti

Dulu ada Adobe Photoshop dalam laptop ni tapi bila dah hantar format, terus tak install semula. Nak guna yang free trial, kena daftar bagai-bagai, leceh. Sudahnya, guna je apa yang ada. Jadi juga.Walaupun nak reka logo yang ringkas, dia punya pening nak pilih jenis huruf dan reka letak tu, serupa macam pereka profesional. Memang patut la pereka grafik kenakan bayaran mahal untuk satu rekaan yang ringkas sebab nak fikir kesesuaian warna, huruf dan saiz logo tu boleh tahan menyakitkan kepala, menyerabutkan otak.

Terima kasih tak terhingga kepada crime companion, Kak Chik dan Aten atas pandangan dan galakan yang diberikan dalam proses mereka logo. Banyak kali jugalah kacau dua orang ni minta pendapat, dari pilih bentuk sampailah nak pergi cetak, sampailah dah tampal label pertama pada balang. Lepas ni untuk urusan pertanyaan atau tempahan kimchi, silakan rujuk pada logo Agasshi Kimchi di sebelah kanan blog ni.
Dah siap cetak!

Tampal sekeping pada balang dan terus hantar gambar dekat Kak Chik

Ini rupa pada balang yang siap untuk dihantar pada pelanggan

Walaubagaimanapun setakat ini, pembelian adalah berdasarkan tempahan awal(pre-order) mengikut kekosongan slot yang dibuka. Maksudnya, tidaklah sepanjang masa ada stok kimchi untuk jualan. Biasanya tempahan dibuka dua minggu sekali memandangkan projek ini dijalankan secara separuh masa. Untuk keterangan lanjut produk, nanti saya karang satu lagi entri. Kalau nak cepat, email je terus. Okey?

No comments: