Engagement Fund ;)

Tuesday, 21 March 2017

Perjalanan Nak Dapat SKM dan DKM

Annyeong! Lama tak ada entri tentang diri sendiri sebab niat nak menulis hanya tinggal niat. Hari ni nak catat sikit pengalaman dan perjalanan untuk mendapatkan Sijil dan Diploma dalam bidang kemahiran. Rasanya macam tak pernah cerita secara terperinci lagi dalam ni. Jadi, untuk rujukan di masa hadapan, aku catatkan mana yang boleh.

Dulu, tak pernah tahu pun tentang Sijil dan Diploma untuk bidang kemahiran ni. Bila kerja dekat tempat yang memang fokus pada dua benda ni, dah faham dah selok-belok pendidikan dalam bidang kemahiran ni. Tapi yang aku buat sekarang ni, berbeza sikit dengan pelajar sepenuh masa sebab yang ini berdasarkan pencapaian kerja terdahulu. Maksudnya, penilaian dibuat perdasarkan prestasi sepanjang bekerja dan syarat waktu nak mohon tu mestilah sedang bekerja.

Yang membuatkan aku tak teragak-agak daftar tu adalah kerana program ni percuma di bawah HRDF. Dah kata percuma tu, jangan ko main-main pulak kan? Waktu taklimat pertama dulu, dia cakap awal-awal kalau dah daftar ni tak boleh tarik diri melainkan ko nak bayar denda yang mencecah ribuan ringgit tu. Yelah, kos yuran yang ditanggung tu, capai ribu ringgit juga.

Dapat tahu tentang program ni dari Kak Ina sebaik saja aku balik dari Korea, bulan Oktober tahun lepas. Bidang yang ditawarkan pun kira ada berkaitan dengan kerja-kerja yang aku pernah buat dan tak lari jauh dari bidang asal. Terima kasih yang tak terhingga pada Kak Ina sebab kongsi benda baik ni. Disebabkan diorang dapat tahu awal dan dah hantar borang semua waktu aku dekat Korea, maka bila dapat tahu tu dan buat keputusan nak ambil juga, kelam kabut isi borang dan pergi taklimat pada hujung minggu seterusnya kalau tak silap. Tak dapat sama batch dengan yang lain, tapi mujurlah ada juga teman sebab akak tu tak dapat nak datang taklimat yang pertama tu maka dia kira masuk batch aku sekali.

Disebabkan kami buat sekali tiga tahap, kelam kabut jugalah nak lengkapkan apa yang diperlukan. Sebelum boleh ambil diploma, kena ada sijil dulu maka kami kena siapkan fail untuk tiga tahap sekaligus. Kalau pelajar sepenuh masa, sama je macam pelajar lain iaitu kena masuk kelas belajar. Macam kami, cuma perlu kumpulkan bukti-bukti berkaitan dengan silibus yang ada untuk setiap tahap. Nasib baik aku jenis pengumpul surat-surat arahan dan memo rasmi, senanglah nak dapat bukti. Itu pun jenuh juga mengorek bilik fail dan tanya bos serta rakan sekerja lama untuk dapat balik memo-memo lama yang aku dah lupuskan..

Alhamdulillah, banyak yang dapat diselesaikan sebelum aku tamat kontrak tahun lepas. Walaupun minimum bukti dia nak tiga je untuk setiap subjek, tapi selagi ada boleh je masukkan. Jutaan terima kasih juga kepada mantan bos aku iaitu Kak Eza yang selalu libatkan aku dalam banyak benda. Yelah, aku kan staf marhaen je, bila kena buat sesuatu benda yang macam tak kena dengan bidang tu, rasa rendah diri je.

Serius, waktu Kak Eza jadi bos dulu, banyak gila benda rawak yang dia suruh buat dan ajar. Memanglah waktu tandatangan surat aku janji tu ada klausa 'Menjalankan tugas mengikut arahan yang diarahkan dari semasa ke semasa' tapi sebab status aku tu membuatkan aku rasa macam, 'Eh, layak ke aku buat benda ni?'. Waktu tu je terasa macam memang sebahagian daripada anggota unit sebab terlibat juga dengan banyak kerja-kerja unit. Terima kasih atas peluang yang diberikan, bos. Sebab tu kalau kena buat sesuatu kerja yang diluar bidang hakiki kita, jangan merungut dan membantah sebab semua tu untuk kebaikan kita juga.

Aku tak ada masalah pun nak buat kerja-kerja yang diluar bidang hakiki sebab dari zaman aktif berpersatuan dan terlibat dengan program universiti lagi, aku memang tak terikat dengan satu jawatankuasa je. Betullah cakap mantan Naib Pengerusi i Rakan dulu, tak semestinya kita ni wakil persatuan mahasiswa islam, mesti kena duduk bawak biro kerohanian sepanjang masa dan kena ambil tahu tugas biro kita je. Kena juga ambil tahu tugas dan peranan biro lain sebab kita bekerja secara berpasukan. Sentiasa fikir yang baik-baik dan pandang positif pada setiap perkara yang berlaku.

Sebenarnya bila kita dilantik untuk buat sesuatu tu, maknanya orang percaya pada kebolehan kita dan orang nampak potensi yang ada dalam diri kita. Terima dengan sikap terbuka dan jangan merungut lebih-lebih. Membebel sikit-sikit takpe. Hehehe.. Jadi, untuk peringkat sijil iaitu tahap 2 dan 3, kena siapkan dua fail; satu fail untuk setiap tahap. Boleh je guna bukti yang sama untuk ketiga-tiga tahap kalau ianya berkaitan dengan subjek yang ada. Selain daripada lengkapkan fail dan buat projek akhir, kena datang kelas satu hari sebagai salah satu syarat wajib program ni.

Nak lengkapkan fail ni tak ada masalah sangat tapi bila tiba bab projek akhir, jadi pening sikit. Projek akhir ni untuk tahap 4 iaitu diploma dan boleh guna majlis atau program yang pernah dibuat sepanjang kita bekerja. Banyak je terlibat jadi AJK untuk program-program institut dulu jadi kurang sikit masalah. Memandangkan dah ada pengalaman buat term paper waktu ijazah dulu, aku tak rasa benda ni susah sebab dah pernah buat kan? Bolehlah rujuk balik yang dulu punya. Waktu dekat universiti dulu, belajar cara nak buat proposal dan cara nak buat projek akhir ni je dah dua semester. Kali ni pergi taklimat dua kali je lepas tu pandai-pandailah ko. Kesian dekat yang tak ada pengalaman sebenarnya.

Kalau tengok, disebabkan kami ni dikira pelajar separuh masa, maka masa nak jumpa penyelia tu memang sangat terhad dan hanya berkomunikasi melalui WhatsApp dan email saja. Bila dah macam ni, banyak juga masalah yang timbul sebab lain cara komunikasi berdepan dan melalui alat perhubungan. Macam aku, banyak kali juga jumpa penyelia tanya tentang projek akhir walaupun dia kata email je draf. Email tu email, lepas tu krik..krik..krik.. Hahaha.. Gigih buat temujanji dan jumpa walaupun sorang-sorang. Harap-harap tak ada masalah dengan tajuk projek yang diusulkan.

Petang tadi, selamat dah hantar fail-fail bukti dan selesaikan borang-borang berkaitan walaupun ada berlaku beberapa salah faham sebelum ni. Patutnya nak hantar hari Sabtu lepas, tapi tak tahu la pula kena buat pengesahan untuk semua bukti yang ada maka kena minta jasa baik mantan bos untuk sahkan. Selesai.

Waktu jumpa penyelia petang tadi, ada calon lain yang tengah semak slide pembentangan dan projek akhir. Cuak terus ko sebab satu apa pun aku tak siap lagi ni. Hahahahahampeh! Ayem-ayem sangat, bila tengok orang lain punya dah siap, terus gelabah. Bagus jugalah pergi jumpa Puan Penyelia tadi sebab termotivasi sikit nak mula bersedia untuk pembentangan.

Walaubagaimanapun, senarai nama akhir siapa yang layak masuk periksa bulan ni belum keluar lagi. Walaupun nama dah tersenarai untuk masuk periksa bulan ni, masih kena tunggu pengesahan akhir lagi. Dulu, kalau kata periksa, mesti fikir kena jawab soalan atas kertas kan? Kali periksanya adalah secara pembentangan dan sesi soal jawab dengan pegawai penilai yang akan bermula 23.3.2017. Nak mula gelabah ke macam mana ni?

No comments: