Engagement Fund ;)

Sunday, 26 March 2017

Seoul Autumn Noob 2016 - Episod 30: Penginapan Kami di Seoul

Anyeong! Bertemu lagi dalam siri Seoul Autumn Noob pada episod yang ke-30. Kali ni nak cerita tentang penginapan kami sepanjang berada di Seoul. Waktu nak pilih penginapan ni, kontroversi juga. Aku ingat lagi, lepas sahur terus mengadap Booking.com hampir setiap hari sebab nak cari tempat yang strategik. Mula-mula tu main tembak je pilih apartment yang harganya boleh tahan cekik leher juga. Tapi sebab waktu pilih tu tak fikir secara rasional, terus tempah. Hahaha.. Mentang-mentang tak ada caj, kemain syok la tempah.

Kemudian, fikir punya fikir, bincang punya bincang, kami sepakat pilih Bong House berdasarkan harga, kemudahan yang disediakan, lokasi dan juga ulasan dari pelanggan-pelanggan terdahulu. Dalam banyak-banyak tempat, rasanya inilah yang terbaik pada kami. Kebanyakan orang Malaysia akan menginap di kawasan Namdaemun atau Itaewon biasanya.

Ada kelebihan dan kekurangan juga dua tempat popular tu. Kalau di Namdaemun, memang tempat strategik dan dekat dengan banyak tempat tarikan tapi harga dia mahal disebabkan lokasi tu. Kalau di Itaewon, harganya jauh lebih murah dan mudah senang nak cari makanan halal tapi kawasannya berbukit dan jauh dari tempat tarikan. Asalnya kami dah tempah bilik di Itaewon, lupa pula namanya. Tapi bila Hani cakap nak ikut, kenalah cari bilik yang boleh memuatkan 5 orang. Cari punya cari, Bong House nilah yang kami jumpa.

Ini pintu masuk ke ruang utama yang menempatkan kaunter.

Alamat yang tertera pada tembok rumah. Sungkyungkwan yo! Universiti Joong Ki.

Cerita sesat waktu nak cari lokasi Bong House pertama kali, boleh baca di sini. Kali ni nak cerita tentang bilik yang kami diami selama 6 malam. Dekat sini, ada banyak pilihan bilik; ada bilik dorm (bercampur dengan orang lain), ada bilik untuk dua orang, ada bilik untuk tiga orang, ada bilik yang tak ada bilik air, dan ada bilik yang memuatkan ramai orang. Nak cari penginapan yang boleh memuatkan 5 orang, memang susah sebab nombor ganjil. Tapi, rezeki kami jumpa Bong House ni.

Kalau tengok struktur bangunan Bong house, dia ubah suai je dari kediaman biasa. Ada dua bangunan berbeza; satu bangunan utama yang menempatkan bilik-bilik kecil, kaunter utama dan dapur, satu lagi bangunan yang menempatkan bilik untuk ramai orang macam bilik yang kami duduk tu. Bila tengok, dah macam rumah rakyat marhaen dalam drama Korea. Ada tempat tidur, bilik air, dapur, laundry area. Nah layan gambar.

Tempat tidur. Selesa la juga nak tidur tapi bantal kempes. Bolehlah sekadar untuk melepaskan penat.

Dapur yang bertentangan dengan tempat tidur tadi. Ruang dia memang ngam soi je nak bersosial dalam ni. Depan dapur ni ada la ruang luas sikit. Di situlah kami makan, di ruang itulah kami solat, di ruang tu juga hempuk beg yang asalnya tak banyak tiba-tiba jadi banyak bila lagi dua hari nak balik. Hahaha.. Oh ye, belah kanan tu ada pintu lungsur untuk ke laundy area yang menempatkan mesin basuh, ampaian dan juga peti sejuk.

Bilik air yang boleh tahan luas. Tekanan air pun laju je sepanjang masa.

Almari kecil untuk gantung baju atau tuala.

Peralatan elektrik yang disediakan. Semuanya berfungsi alhamdulillah.

Pandangan kawasan almari dari arah dapur. Itu telefon untuk jawab loceng, macam dalam drama. Ada la guna beberapa kali sebab jakun. Hahaha.. Depan almari tu sebenarnya tempat letak kasut dan betul-betul dekat sebelah pintu.


Harga untuk 6 malam adalah 522 000 Won bersamaan RM 1963. Ini berdasarkan kadar tukaran pada bulan Oktober 2016, sekarang ni dah jadi 2000++. Walaupun pada asalnya sebelum sampai sana kami pasrah aje dengan kawasan sekeliling yang biasa-biasa, bila dah sampai, inilah dia keputusan paling bijak yang kami buat. Memang best kuasa 8 lokasi Bong House ni. Best sungguh!

Waktu mula-mula sampai. Masih awal, cuaca pun sejuk. Merasalah pakai jaket.

Ini dah segar sikit lepas basuh muka dan bersiap untuk ukur jalan pada hari pertama.Pintu kaca yang belakang tulah laluan untuk ke bilik kami.

Tuan Blog pun nak bergambar juga depan Bong House.

Dari segi pengangkutan, tempat ni senang nak dapat bas ke banyak destinasi. Kalau tak pandai naik bas, jalan dalam 5 minit, dah jumpa stesen subway. Lagi satu, tempat ni berada di kawasan universiti jadinya suasana tu meriah dan harga barang boleh tahan murah. Tak jauh dari Bong House, ada satu kedai makan halal dan boleh juga jumpa makanan jalanan yang selamat untuk dimakan. Paling best, ada bungeoppang sedap! Kalau nak ngopi pun, ada banyak kedai kopi best. Kalau nak masak, lagilah syok sebab ada lebih daripada dua buah kedai yang menjual barang basah dan jalan 50 langkah, dah sampai kedai serbanika yang menjadi tempat kegemaran kami semua.

Kesimpulannya, Bong House adalah salah satu lokasi terbaik untuk menginap di Seoul. Lokasi strategik, harga berpatutan dan lengkap dengan keperluan asas. Maafkan gambar yang tidak jelas tu. Kalau nak tengok keadaan dalam rumah dengan lebih jelas, pergilah ke Booking.com.

No comments: