Engagement Fund ;)

Tuesday, 25 April 2017

Orang Nombor Dua Hantar

Rentetan dari pembetulan yang perlu dibuat lepas pembentangan tu, aku bersengkang mata jugalah mengadap betulkan format. Lepas hantar ke Puan S, memang sehari tu aku tak buka email rasmi sampailah kecoh dalam kumpulan WhatsApp pasal status lulus terkini. Kalau dah dapat email pengesahan dari PPL tentang membukukan laporan tu, maksudnya memang dah pasti lulus dan boleh konvo 22 haribulan.

Bila tengok email, memang Puan S dah semak laporan yang dihantar dan dah balas pun pada hari yang sama. Ni masalah bila banyak email, sampai terlupa nak tengok. Hehehe.. Bila Puan S maklum dah boleh bukukan laporan tu dengan kulit keras, teruslah sibuk cari tempat yang boleh buat di Banting.

Cari punya cari, jumpa satu di kedai sebelah MCS. Itupun kena tunggu 3 hari dengan bayaran RM 49 satu buku. Leceh pula nak tunggu lama sebab kalau boleh terus siapkan semua sementara ada masa lapang. Memang aku buat keputusan yang betul dengan memandu ke Shah Alam semata-mata nak buat kulit keras tu dan terus hantar ke Cyberjaya keesokan harinya sebab minggu lepas kelam-kabut jaga pusat tuisyen sorang-sorang.

Untuk buat kulit keras, memang ramai cakap dekat Shah Alam senang cari dan harga murah serta cepat siap. Gigih aku Google dua malam berturut-turut pakej tanya dekat orang Shah Alam. Hahahaha.. Rancangnya pergi Shah Alam buat buku kulit keras lepas tu balik nak singgah Bukit Tinggi jalan-jalan, tapi tak sempat sebab gerak pun dah dekat tengah hari. Sampai sana nak dekat pukul 1.00 dan lepas tu habis masa dekat sejam juga untuk cetak laporan tu.

Nama kedai ni Print Expert Sdn. Bhd. Sampai-sampai je dekat kawasan Seksyen 2 tu, kagum kejap sebab satu deret bangunan boleh kata hampir semuanya kedai percetakan. Bezanya, harga dan mungkin juga kualiti. Disebabkan macam banyak testimoni pasal kedai Print Expert ni, aku terus jalan ke situ. Lagipun harga yang ditawarkan lebih murah berbanding kedai lain. Ada yang sampai RM 72 untuk satu buku. Perggh!
Rupa depan kedai. Memang kedai dia paling besar dekat sini, empat pintu tak silap.

Ni pemandangan dari perhentian bas.

Masuk je dalam kedai, disambut dengan pekerja dia. Kedai ni memang serius besar! Besar dan selesa dan pekerja semua ramah-tamah dan sangat membantu. Waktu tengah tengok harga dan servis yang ditawarkan dekat kaunter, salah seorang pekerja datang dan pandang terus ke mata beserta senyuman mesra. Aku pandang dia, dia pandang aku. Macam kenal. Lepas tu dia bersuara; "Miss kenal saya tak?" Ha, betullah aku kenal dia, bekas pelajar dulu. "Muka macam kenal, tapi nama saya tak ingat. Siapa ye?" Sejak dah tak tengok data pelajar ni, memang dah banyak tak ingat nama diorang. "Saya Khairiyah Miss." 

Lepas tu memang dia jelah yang layan waktu aku edit sikit-sikit laporan dan seterusnya cetak. Kalau nak buat buku kulit keras, cetak dekat sini je sebab kualiti dia memang cantik, beza dengan kalau cetak dekat CC. Gedebuk-gedebak, lepas kurang lebih satu jam, selesai proses mencetak dan pembayaran untuk buat kuli keras. Lepas satu jam, boleh datang ambil.
Harga untuk cetakan

Ini jumlah keseluruhan yang perlu dibayar, sekali dengan harga cetakan laporan. Bagi aku murah sebab nak siap cepat.

Ini harga buku kulit keras berdasarkan tempoh. Kalau nak lagi murah, tunggulah 5 hari tu, 7 hengget 90 sen je.

Petang tu lepas siap semuanya, terus buat temujanji dengan penyelia untuk tandatangan borang pengesahan dalam buku sebelum dihantar ke Cyberjaya keesokannya. Biar siap cepat, senang tak payah fikir-fikir dah. Lagipun aku ingatkan dah ramai la yang hantar sebab dah seminggu berlalu.

Pagi Jumaat, singgah MCS dulu minta tandatangan dan selesai urusan, baru aku mesej Puan S buat temujanji untuk jumpa. Mujurlah beliau ada di pejabat, teruslah gerak ke Cyberjaya. Perjalanan pun lancar je dan kereta pun tak banyak. Tak sampai satu jam dah sampai dah. Tapi disebabkan dah siang, hazablah nak cari tempat letak kereta. Sudahnya aku parking je tepi jalan yang tak ada papan tanda 'Kawasan Tunda'.

Cuak-cuak naik Aras 2 nak jumpa Puan S sebab Kak Eza kata beliau adalah salah seorang pegawai besar juga. Masuk dalam pejabat dekat Aras 2, tak tahu nak ke mana. Mujurlah staf dekat situ ramah-ramah belaka dan tunjuk arah ke bilik Puan S. Sampai depan bilik beliau, tengok depan pintu, Ketua Penolong Pengarah. Tu dia, bukan calang-calang.
Taraa! Macam tak percaya je dah LULUS dan selesai semuanya.

Dah serah buku tu, dia suruh ambil borang merah jambu salinan calon dekat salah seorang staf dia. Aku pun ikutlah dia ke tempat staf tu lepas tu dia cakap; "Ni kena ambil gambar ni sebab orang kedua hantar. Saya ambil gambar tiga orang pertama je." Ingatkan dia nak ambil gambar buku je, sekali dengan tuan buku pun masuk. Hehehehe.. Tak sangka la juga antara orang terawal yang hantar. Alhamdulillah, urusan semua mudah dan cepat.

No comments: