Engagement Fund ;)

Friday, 11 August 2017

Drama Korea: Mask

Disebabkan tajuk drama ni dah tertaip dekat dalam draf, marilah gigihkan diri menaip ulasan dari pandangan sisi Cik Fara ye. Drama ni drama tahun 2015 tapi baru dapat tengok baru-baru ni. Kalau tak silap, pernah tayang dekat TV2 sebelum ni tapi tak tertengok pula. Jadi tersampuk nak tengok drama ni sebab ada Ju Ji Hoon. Kalau ikutkan, tak adalah minat sangat dengan Ju Ji Hoon. Tapi, bila tengok dia berlakon dalam Medical Top Team, kelihatan sungguh berkarisma dan kacak sekali. Mihmihmih...

Drama ni ada 20 episod dan pelakon utamanya semua pelakon veteran. Heronya dah tentulah Ju Ji Hoon yang memegang watak Choi Min Woo manakala heroinnya ialah Soo Ae yang memegang dua watak, Byun Ji Sook dan Seo Eun Ha. Kenapa Soo Ae ni ada dua watak? Nanti saya ceritakan. Pertama kali kenal Soo Ae dalam drama tahun 2007, 9 End 2 Outs.

Watak sampingan utama dalam drama ni pun pelakon veteran juga. Yoo In Young yang terkenal sebagai watak kedua dalam kebanyakan drama dan pertama kali kenal dia dalam A Man Called God. Dalam drama ni dia pegang watak Choi Mi Yeon, kakak tiri kepada Choi Min Woo yang juga isteri kepada Min Seok Hoon. Yang jadi Min Seok Hoon ni adalah Yeon Jung Hoon. Siapa tengok Sad Love Story, mesti kenal dengan dia ni.
Poster rasmi Mask.

Drama ni mengisahkan tentang Byun Ji Sook yang bertukar tempat dengan Seo Eun Ha selepas Seo Eun Ha mati dalam satu kemalangan sebabnya dua orang ni muka sama sebiji. Seo Eun Ha ni patutnya kena kahwin dengan Choi Min Woo atas kepentingan perniagaan dan juga politik kedua-kedua keluarga. Kiranya bukan kahwin atas dasar suka sama suka. Sebelum kahwin, Seo Eun Ha dah bagi tahu awal-awal dengan Choi Min Woo yang dia kahwin sebab keluarga dan dia dah ada pakwe dan akan teruskan hubungan dengan pakwe dia.

Choi Min Woo ni pula jenis tak ada perasaan dan sama juga, patuh dengan kehendak keluarga. Jadinya dia setuju je dengan syarat yang dikenakan. Dia cakap dengan Seo Eun Ha, dia tak kisah kalau Seo Eun Ha nak teruskan hubungan dengan pakwe dia dengan syarat jangan sampai tertangkap. Tapinya, waktu diorang nak kahwin, kakak Choi Min Woo ni tentang habis-habisan dan tak suka dengan Seo Eun Ha sebabnya pakwe Seo Eun Ha tu adalah Min Seok Hoon.

Disebabkan Min Seok Hoon ni ada agenda dan kepentingan bila setuju untuk kahwin dengan Choi Mi Yeon, dia sedaya upaya usahakan agar perkahwinan antara Choi Min Woo dengan Seo Eun Ha jadi supaya mudah dia nak teruskan agenda dia tu. Kebetulan, Min Seok Hoon ni tahu tentang kewujudan Byun Ji Sook. Jadi, bila Seo Eun Ha mati selepas kemalangan tu berlaku, dia ugut Byun Ji Sook dengan satu insiden yang melibatkan masalah keluarga Byun Ji Sook ni. Sebab Byun Ji Sook ni terdesak juga, dia setuju untuk ganti tempat Seo Eun Ha.
Ini waktu pertama kali Seo Eun Ha terserempak dengan Byun Ji Sook. Sebab tulah Min Seok Hoon tahu yang dekat Korea, ada orang lain yang sama mukanya dengan Seo Eun Ha.

Gambar pada majlis perkahwinan. Dua-dua muka pasrah sebab Choi Min Woo tak nak kahwin dengan Seo Eun Ha sebab dia rasa dialah penyebab kepada kemalangan yang berlaku. Byun Ji Sook pula cuba nak lari dari terjebak lebih jauh lagi tapi tak jadi bila ternampak orang jahat yang menyebabkan dia diugut bunuh sampai terpaksa jadi Seo Eun Ha.

Akhinya, Choi Min Woo pun kahwin dengan Seo Eun Ha palsu. Bila dah kahwin, Choi Min Woo perasan yang perangai Seo Eun Ha tak sama langsung dengan perangai yang dia tunjukkan sebelum kahwin. Walaupun Byun Ji Sook ni dari keluarga biasa, lama-lama dia dapat suaikan diri juga dengan dunia orang kaya. Banyak la insiden yang berlaku sepanjang perkahwinan dia dengan Choi Min Woo sebab dia dikawal oleh Min Seok Hoon yang memang cita-cita dia nak musnahkan keluarga Choi Min Woo sebab berdendam dengan ayah Choi Min Woo atas satu kejadian yang belaku waktu dia kecil.

Macam-macam benda jahat Min Seok Hoon buat untuk halang Choi Min Woo daripada menjadi waris syarikat ayah dia. Byun Ji Sook ni pula, dalam pada terpaksa ikut telunjuk Min Seok Hoon, dia cuba juga tolong selamatkan keadaan. Makanya, daripada tak suka, Byun Ji Sook dengan Choi Min Woo saling jatuh cinta. Akhirnya, Choi Min Woo dapat tahu yang Seo Eun Ha tu adalah Byun Ji Sook dan waktu tu keadaan jadi tunggang langgang. Walaubagaimanapun, pengakhiran drama ini adalah membahagiakan jadi tabah jugalah tunggu sampai episod 20 tu.

 Ini waktu dua-dua dah mula suka sama suka. Choi Min Woo ajar isteri dia main biola.

Nak tahu apa yang berlaku pada Seo Eun Ha hingga menyebabkan kematian? Kenapa Min Seok Hoon ni jahat sangat sampai sanggup tukar Seo Eun Ha dengan Byun Ji Sook? Apa kesudahan dendam Min Seok Hoon dan waktu bila identiti Byun Ji Sook terdedah? Silalah tonton sendiri ye.

Ulang tengok ke? Setakat ni belum lagi sebab tak sanggup nak tengok babak Min Seok Hoon ugut macam-macam dekat Byun Ji Sook. Ugutan tu pula bukan hanya bawa mudarat pada yang diugut, tapi siap ugut nak libatkan keluarga dan suami sekali. Kau ghaser? Belum campur lagi waktu Choi Mi Yeon aniaya Byun Ji Sook.

Kesimpulannya, drama ni disarankan untuk ditonton sebab jalan cerita agak berbeza dengan drama-drama cinta biasa. Cuma hati kena kuatlah nak hadap watak-watak jahat. Tapi saya suka sebab dia cerita tentang cinta lepas berkahwin. Comellah kan bila nampak isteri cuba sedaya upaya nak tolong suami selesaikan masalah walaupun dia sendiri dalam cengkaman masalah. Paling penting, pengakhiran dia tak hampeh macam sesetengah drama. Hehehe.. Sekian.

No comments: