Engagement Fund ;)

Wednesday, 2 August 2017

Resepi Kimchi Cik Fara Edisi Kemaskini

Memandangkan resepi asal yang saya gunakan untuk buat kimchi telah diolah beberapa kali, maka saya kongsikan resepi terkini yang saya guna sekarang. Cerita pertama kali saya buat kimchi boleh baca di sini dan resepi sebelum ni pula boleh tengok di sini.


Baechu Kimchi
Sumber: Pelbagai

3 kg kobis cina (nappa cabbage)
1 cawan garam kasar

Bahan untuk dihiris
1 biji lobak merah (saiz kecil, dihiris seperti batang mancis)
1 biji lobak putih (saiz kecil, dihiris seperti batang mancis juga)
3 pokok daun bawang (batangnya dihiris halus manakala daunnya dipotong sepanjang kira-kira 1 inci)
1 batang leek (belah dua dan hiris halus)

A
3/4 biji bawang Holland
3/4 biji Korean pear (kulit warna gelap)
1 biji epal Pink Lady (kalau guna Royal Gala, boleh guna 1 biji setengah)
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/4 cawan air masak
1/2 cawan gochugaru
1 sudu saeujeot (orang Malaysia cakap, cencalok)

B
1 sudu besar gula
1 sudu besar minyak bijan
1/2 cawan serbuk cili - gochugaru
2 sudu besar ssalyeot

C
4 sudu besar tepung pulut
1/2 cawan air
1/4 cawan sos ikan

Cara membuat;

Kobis
1. Bersihkan kobis dan potong besar-besar sebab lepas diperap dengan garam dia akan kecut.

2. Dalam satu besen besar, buat satu lapisan nipis kobis dan ditabur garam di seluruh permukaannya. Buat sampai habis dan tutup bekas dan tindih dengan benda berat. Biarkan selama 1 jam.

3. Selepas satu jam, gaulkan kesemua kobis dan bilas dengan air bersih sebanyak 3 kali. Ambik secebis dan rasa; kalau masin sangat boleh bilas lagi sekali.

4. Kemudian, perahkan kobis yang telah dibilas dan ketepikan.

Sebatian cili (Pes)
1. Kisar bahan A hingga halus.

2. Bancuh bahan C hingga larut dan masak atas api kecil hingga mendidih. Perlu sentiasa kacau supaya tidak hangus dan berketul. Kalau terlalu pekat, boleh tambahkan air. Dah mendidih, boleh matikan api.

3. Seterusnya, tuangkan bahan kisar dalam satu bekas besar. Masukkan serbuk cili dan gaul hingga sebati. Masukkan bancuhan tepung dan gaul lagi. Kemudian masukkan gula dan minyak bijan dan kacau sampai semuanya mesra.

4. Masukkan bahan-bahan yang dihiris tadi dan gaul sampai semuanya sekata menggunakan tangan. Sila pakai sarung tangan sebelum menggaul.

5. Akhir sekali, masukkan kobis dan gaul lagi sampai semua bahan mesra.

6. Masukkan dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti. Sila makan dalam masa dua minggu. Kalau nak cepat masam, biarkan kobis pada suhu bilik semalaman sebelum disimpan dalam peti sejuk. Sekian, terima kasih.

Ini rupa botol ssalyeot yang saya beli dari Shin Sun Mi. Gigih muat turun aplikasi Google Translate sebab nak pastikan bahan ni selamat untuk muslim. Rasa dia manis dan rupa dia pekat sikit daripada madu.

Resepi ni dari pelbagai sumber dan rujukan utama adalah Maangchi. Kemudian bila baca dari pelbagai laman web, resepi bertukar lagi. Ada juga saya rujuk pada blogger Malaysia, Our Kizuna. Kalau blogger Korea, saya rajin tengok Korean Bapsang selepas Maangchi. Kemudian bila tengok rancangan masak-memasak Korea waktu dapat siaran percuma tvN tahun lepas, bertambah lagi bahannya.

Nak olah kobis pun ada cara juga. Kalau nak cepat, belah empat kobis tu dan lepas tu terus potong kasar. Ada la beberapa kali buat macam tu tapi rasa tak puas dan rasa macam kurang bersih sebab tak tengok sehelai-sehelai. Saya lagi suka ceraikan satu-satu sebab bolehlah nampak kalau ada ulat ke diantara helaian tu kan. Memang makan masa tapi puas hati.

Bila tengok orang Korea masak ni, punyalah banyak bahan perasa dia. Berbotol-botol! Seronok la tengok dan seronok nak buat sebab campurkan yang tu sikit, masukkan yang ni, tuangkan yang ni, gaul-gaul dan siap! Kalau rasa macam leceh nak buat, bolehlah tempah aje dengan saya. Hehehehe.. Untuk tempahan, bolehlah tengok butiran di bahagian kanan blog ye. Nak buat kimchi tak susah, tapi leceh. Macam manalah saya boleh jadi gigih benor bergelumang dengan kimchi ek?

No comments: