Engagement Fund ;)

Tuesday, 31 January 2017

Mi Sizzling Paling Sedap Dalam Dunia dan Aqiqah Nuaim

Ini kejadian bulan Disember tahun lepas. Kisahnya, salah seorang Geng Bilik Prep jemput datang kenduri aqiqah anak sulung beliau. Makanya, aku dan yang berkelapangan pada hari tersebut pun semangatlah nak datang sebab dah lama tak makan nasi kenduri, satu. Kedua, mestilah sebab nak jumpa geng terbalik meja. Tapi, kenapa nasi kenduri dulu masuk dalam senarai? Nampak sangat. Hahaha..

Panjang langkah aku dengan Aten pada 25 Disember tu. Mula-mula pergi kutip kek kombo dekat Bangi. Beli kek tu sebab rasa macam murahnya lahai akak tu jual untuk kek-kek premium. Aten pun terpengaruh juga. Hehehe.. Dari Bangi, gerak ke Kajang dulu sebab nak cari hadiah untuk Nuaim. Aku kalau kawasan Bangi dan Kajang, memang tak ngam. Maka, serahkan saja pada yang pakar.

Pandan Gula Melaka, Lemon Curd Coconut, Red Velvet, Pecan Butterscotch, Snowy Cheese, dan Chocolate Indulgence. Sedap boleh tahan cuma kering sikit, macam terdedah lama dekat udara sebab bila bakar balik, dia jadi moist cuma krim dia semua cair habis la. Hahaha... 6 ketul ni 10 hengget je, gila tak tergoda?

Tiba-tiba terbelok ke Plaza Metro. Pun bolehlah. Zaman sekolah dulu, popular la Plaza Metro ni sebab tak ada tempat menarik lain pun dulu. Metro ni la paling gah kalau dekat Kajang. Dari luar nampak buruk je bangunan, bila masuk dalam, pergghh! Macam-macam ado! Parkson pun ada! Kiranya, Plaza Metro ni masih gah la isi dalamnya. Cuma satu je yang tak best, ramai sangat warga asing sampai rasa macam bukan dekat Malaysia.

Aten parking dekat aras paling atas dimana sebaik saja masuk ke dalam bangunan, ternampaklah food court yang ada jual mi sizzling sedap. Perut pun terus lapar bila bau makanan. Hahaha.. Tapi kitorang jalan je terus ke tingkat bawah cari barang bayi. Pusing-pusing tak ada yang menarik. Maka, kami keluar dari Metro dan ke kedai barangan bayi di bangunan seberang. Lama juga tawaf sebelum kaut dua barang.

Selesai bayar, masuk balik ke dalam Metro untuk kembali ke pangkal jalan. Nak cari beg atau kotak yang sesuai pula untuk letak barang-barang tadi. Pusing punya pusing, akhirnya kami masuk ke dalam kedai yang dulunya dikenali sebagai Hot Market. Sekarang tak pasti pula nama apa. Kedainya sebelah je dengan food court. Selepas berpusing beberapa kali, kaut jelah non-woven bag. Sekurang-kurang bolehlah mak Nuaim guna balik beg tu. Hehehe..Lepas tu, aku pandang Aten, Aten pandang aku. Okey, jom makan mi sizzling. Hahahaha.. Nanti kenduri punya makanan, lain rasa dia.

Hadiah untuk baby Nuaim, sepasang baju dan juga beg susu. Cantik dan murah dan berkualiti beg tu, terus kaut selepas berminit-minit fikir. Hehehe..

Beg untuk Mama Nuaim.

Ni dia mi sizzling paling sedap dalam dunia tu. Rasanya masih sama macam zaman sekolah dulu dan masih lagi tak kedekut isi walaupun kalau nak sayur kena bayar asing. Tapi tetaplah berbaloi dan sedap! Harganya juga berpatutan. Rindu pulak nak makan lagi bila tengok gambar ni. Haishh!


Dari Metro, teruslah ke rumah mak Nadya dekat kawasan Sungai Kantan. Sebab dah biasa pergi sana, tak sesat alhamdulillah. Sampai sana, saing dengan Baz dan Mada. Lepas salam-salam, kitorang makan dulu sambil borak-borak sebelum jumpa Nadya dan Nuaim. Bagi peluang dekat Tuan Rumah layan kaum keluarga dulu kekdahnya.

Habis makan dan bergambar, hujan turun selebatnya. Maka, kami berpindah dari khemah ke dalam rumah. Alang-alang tu, tumpanglah solat zuhur sekali. Terima kasih Tuan Rumah sebab bagi tumpang solat. Kalau datang rumah Mak Nadya ni, memang tak sah kalau tak berkampung. Hehehe.. Bila hujan dah reda, barulah kami minta diri untuk sesi ngeteh dengan Mada pula sambil salin gambar-gambar dekat Korea haritu ke dalam pendrive.

Pinggan Tuan Tanah. Nasi separuh je. Tapi lepas tu makan kuih pulak. Eh?

Homemade Aiskrim Jagung. Sedap gila aiskrim ni! Terasa jagung dia dan teksturnya pun tak halus sangat sangat macam aiskrim komersil maka rasa jagung tu lebih ketara. Gitu ulasan dia.

Nuaim yang tidur saja sepanjang masa, tak tengok Aunties pun. Kemain syok tidur walaupun suasana sekeliling riuh-rendah.

Gambar kumpulan pusingan pertama, beberapa minit sebelum hujan turun selebatnya.

Waktu nak balik tu, si Farahin Zamri sekeluarga pula sampai. Teruslah bertegur sapa kejap dan bergambar. Ada hikmah hujan lebat tu, sempat jumpa seorang lagi Geng Bilik Prep. Entri diakhiri dengan gambar bersama si kembar nama.

Gambar berkumpulan pusingan kedua.

Monday, 30 January 2017

SAN 2016 - Episod 22: Mencari Dosirak Halal di Hongdae

Baiklah, ini merupakan entri terakhir untuk hari kelima di Seoul. Sebagai pelancong, sudah semestinya kami membuat kajian dulu tentang tempat-tempat makan menarik yang halal. Salah satu tempat makan yang tersenarai adalah Halal Korean Dosirak by BoA. Kalau nak makan ayam atau daging halal di Seoul, bolehlah ke BoA ni.

Kalau tak silap, asalnya BoA ni hanya fokus pada rumah tumpangan je dan baru-baru ni kot dia mula menjual dosirak halal ni. Kami keluar dari rumah dalam pukul 7.40 malam, lepas solat maghrib. Perjalanan dari Hyehwa ke Hongdae agak jauh juga, tambah jauh bila kami turun di perhentian bas yang salah. Adatlah bila sesat waktu mengembara ni. Selepas beberapa kali bertanya arah, akhirnya sampai juga di tempat yang dituju.
Buku menu

Bila kenangkan balik, gigihnya lahai kami ni pergi cari tempat makan yang merata-rata tu dan boleh tahan jauh dari rumah. Dahlah jauh, kalau tak sesat, tak sah! Tapi tulah, alang-alang dah sampai kan? Bila Radin nampak sepupu dia dekat depan lorong nak ke BoA ni, rasa lega sangat sebab kaki dah lenguh berjalan tak sampai sampai. Hehehe..

Masuk dalam restoran, tak ada orang pun. Bila dah duduk dan pesan, barulah ada pelanggan lain datang. Kedai ni buka sampai dari pukul 2.00 petang sampai 9.00 malam. Pesanan terakhir adalah pada jam 8.30 malam tetapi kalau datang secara berkumpulan melebihi 8 orang, waktu terakhir untuk pesan adalah pada jam 7.30 malam. Tutup pada hari Isnin/ Selasa atau untuk maklumat lanjut, sila ke Facebook mereka yang bernama Halal Korean Food Dosirak, Hongdae of Seoul.

Walaupun menunya tak begitu banyak, tetap juga rambang mata tak tahu nak pilih yang mana satu. Biasalah, orang suka makan memang macam ni. Hehehe... Nak memilih makan apa satu hal, nak makan lebih dari satu jenis makanan satu hal lagi. Sudahnya sorang satu pesan menu utama dan kami pesan ayam goreng dan kimbap untuk makan sama-sama. Sementara menanti pesanan, sakan berborak dan macam-macam topik juga sebab makanan sampai lambat.
Menu muka surat pertama.

Menu muka surat kedua.

Harga untuk keseluruhan makanan ni adalah 75 500 Won. Rasa makanan pula okey-okey aje. Bolehlah buat lepas kempunan nak makan ayam goreng dekat Korea. Kitorang kan banyak sangat tengok drama Korea, jadi terpengaruh la juga dengan makanan-makanan yang selalu muncul dalam drama. Salah satunya adalah ayam goreng ala-ala Korea. Lepaslah hajat tapi kalau nak ke sini lagi, mungkin tak kot. Rasa makanan biasa-biasa aje dan ayam goreng yang diidam-idamkan tak seperti yang disangka; terlalu garing dan macam banyak perasa. Ini tekak kami tau, tekak korang mungkin lain penerimaannya.

Squid dosirak.

Chicken dosirak (kot?)

Siapa yang gigih ambil gambar flat lay ni? Bagus bagus! Ni meja orang tamak namanya. Tapi semua habis, jangan risau.

Jjajangmyeon. Ingatkan yang dekat Dubuyo tu rasa pelik, rupanya rasa dia memang camtu. Mee hailam lagi sedap la.

Ayam goreng! Bolehlah buat lepas kempunan nak makan ayam goreng waktu ke Seoul walaupun seminggu je pun duduk sana. Hahahaha...

Habis makan, terus salam-salam dan berpisah di simpang. Sepupu Radin tuju ke subway, kami tuju ke perhentian bas. Macam biasa, menggagau cari bas dan mujurlah ada bas yang berhenti dekat Hyehwa. Perhentian bas waktu pulang agak jauh dari rumah dan memang kena berjalan melalui satu lorong yang ada macam-macam kedai untuk sampai ke rumah. Jadi, sampai Hyehwa kami berpecah. Aku dengan teman Mada beli barang-barang kiriman kawan-kawan dia, yang lain terus balik rumah.

Kalau korang duduk dekat Bong House, memang tak payah nak beria ke Myeongdong untuk beli kosmetik sebab dekat sini pun bersepah kedai. Nak Laneige pun ada sebab ada Aritaum kat sini. Diskaun pun boleh tahan hebat juga berbanding di Myeongdong. Mungkin sebab sini kawasan universiti kot, maka sasaran pelanggan adalah pelajar-pelajar universiti. Entri diakhiri dengan gambar antara kedai kosmetik yang ada di Hyehwa.
Nature Republik. Mana-mana jenama tengah 'perang' harga topeng muka tu. Orang lain borong habis-habisan, aku tak ada hati langsung nak beli. Tak tahu kenapa.

Aritaum pun ado! Aritaum ni jual kosmetik jenama mahal sikit macam IOPE dengan Laneige. Ada banyak la jenama dalam kedai ni.

Set Laneige ni dia letak luar kedai je ko! O man won katanya. 50 000 Won.

SAN 2016 - Episod 21: Memborong di Pasar Gwangjang

Dah baca kisah perjalanan Geng Bilik Prep di Nami? Okey, hari ni kita sambung lagi cerita untuk hari yang sama. Mujurlah dah siap-siap taip sampai habis kisah hari kelima ni. Kalau tak, bulan depanlah baru sambung gamaknya. Kahkahkah.. Lepas ni bercintalah nak mengingat balik cerita hari keenam dan seterusnya. Fuuhhh!

Habis kisah di Pulau Nami, mari sambung kisah di Gwangjang pula. Secara peribadi, Pasar Gwangjang adalah tempat kegemaran aku sebab macam-macam benda boleh ditemui di sini daripada makanan sampailah cenderahati dengan harga yang menarik. Satu lagi yang membuatkan aku jatuh cinta dengan pasar ni adalah suasananya yang meriah tapi tak serabut.

Dalam kalangan pelancong Malaysia, Pasar Gwangjang ni terkenal sebagai tempat membeli kain kapas. Selain kain kapas Korea yang terkenal lembut dan sejuk, ada juga pelbagai jenis kain ela yang boleh ditemui di sini. Kalau rasa-rasa nak tempah hanbok pun, dengar ceritanya dekat sini boleh dapat murah sikit. Dengar cerita la, kesahihan cerita tak pasti. Kalau mengikut maklumat dari laman web visitkorea.or.kr, Gwangjang adalah antara tempat yang menawarkan pelbagai barang pada harga yang murah.

Annyeong!

Pemandangan dalam pasar

Tempat yang mula-mula kami tuju sebaik saja tiba di Gwangjang adalah lorong yang menjual pelbagai jenis fabrik dan sasaran utama dah tentulah kain kapas. Asalnya kain-kain ni dijual dengan ukuran ela tak silap tapi bila ramai orang Malaysia ke sini dan menggunakan meter sebagai ukuran, maka sekarang ni kebanyakan kain dijual mengikut meter. Biasanya kain-kain ni dah siap potong 4 meter dan kalau bernasib baik, boleh jumpa yang 5 meter tapi harga sama dengan 4 meter.

Asalnya aku tak kisah sangat pun nak beli kain ni tapi disebabkan pengaruh rakan sebaya, maka terambil juga sepasang. Tapi, sudahnya angkut dua pasang sebab dok menunggu diorang pilih kain tak sudah-sudah, maka sambil menunggu tu aku pun sekali sambil memilih. Hahahaha.. Aku angkut sepasang kain kapas dan sepasang lagi sutera Korea tak tahu gred berapa sebab bila pegang, rasa macam kain licin biasa je tapi sajangnim cakap tu sutera Korea. Tak kisahlah, janji murah. Yang kain kapas kalau tak silap 10 000 Won dan yang sutera tu 13 000 Won. Orang lain beli sampai berpasang-pasang sebab beli untuk adik kakak mak makcik nenek semua. Aku memang tak fikir orang lain langsung kali ni, memang fikir beli barang untuk diri sendiri je;  tak macam kunjungan yang dua tahun lepas. Bajet pun ketat kali ni.

Masing-masing gigih berebut memilih kain.

Salah satu kedai yang menjual hanbok siap dijahit.

Dari lorong kain, beralih pula ke lorong yang menjual keperluan bilik tidur seperti cadar, selimut dan juga bantal sebabnya aku nak beli bantal tradisional Korea yang bentuk empat segi tu. Dua tahun lepas, belikan kiriman orang tapi tak beli untuk diri sendiri lepas tu menyesal. Kali ni wajib kena beli! Bantal ni ada pelbagai saiz dan ada juga bentuk bulat. Korang kalau nak beli bantal macam ni, silakan beli di Gwangjang sebab harganya murah banyak berbanding di tempat lain.

Lama juga memilih sebab rambang mata tengok saiz yang pelbagai, warna yang ceria dan juga sulaman yang ada pada bantal. Itu baru pilih bantal, belum lagi pening nak pilih sarungnya. Hahaha.. Harga bantal bersekali dengan sarung adalah 15 000 Won manakala sarungnya sahaja berharga 6000 Won. Tapi ahjumma tu bagi diskaun 1000 Won sebab aku ambil bantal bersarung + satu sarung tambahan. Pada aku, harga tu kira murah sebab bantalnya besar dan ada sulaman di kedua-dua hujung bantal.

Ada kelebihan ke bantal ni? Mengikut kata Aten, bantal ni boleh melegakan sakit kepala ketika migrain teruk datang menyerang. Mengikut beberapa artikel yang ditemui di internet, bantal tradisional ni banyak manfaatnya dan memang boleh legakan sakit kepala dan juga tengkuk sebab bila berbaring menggunakan bantal ni, teksturnya yang keras membuat posisi kepala dan badan kita terletak elok dan sekaligus melegakan urat saraf pada badan. Ada lagi banyak kelebihan dia sebenarnya, mohon untuk tanya pada Pakcik Google ok?
Ahjumma ni tak pandai cakap Inggeris tapi gigih layan aku yang banyak cekadak. Hahaha.. Bolehlah kitorang berkomunikasi sikit-sikit guna bahasa Korea asas.

Selepas dua tahun, dapat pun beli bantal tradisional ni.

Selesai beli bantal, kami berjalan mencari kedai menjual perkakas dapur sebab aku nak beli periuk dengan bekas kimchi. Macam kan, kat Malaysia tak ada periuk? Hahaha.. Jalan punya jalan, terberhenti depan kedai yang menjual pelbagai jenis kacang berperisa dan juga rumpai laut. Kalau rasa tak tahu nak bagi buah tangan apa pada keluarga dan kawan-kawan, bolehlah pilih rumpai laut ni sebagai buah tangan. Dekat sini konsep 'Tiru Dia' dan 'Pengaruh Rakan Sebaya' digunapakai semula. Masing-masing memborong tak ingat dunia sampai sajangnim kena pergi keluarkan stok lain!

Menariknya kedai ni adalah, dia bagi kita rasa mana-mana jenis yang kita nak rasa lepas tu layanan dari tauke kedai dan ayah kepada tauke bukan main mesra lagi, terus borong banyak-banyak. Kami banyak beli yang perasa kimchi dan beli yang bungkusan kecil sebab senang nak bagi orang dan senang juga kalau nak makan sendiri.
Rumpai laut pelbagai perisa dan saiz.

Tauke Kedai. Hensem kan? Kehkehkeh... Ayah tauke ni gigih layan kitorang walaupun tak boleh cakap Inggeris. Tauke ni punya bahasa Inggeris boleh tahan bagus juga.

Sementara tunggu tuan kedai ambil stok rumpai laut perisa kimchi, ambil gambar Geng Bilik Prep dulu.

Lepas siap memborong makanan ringan ni, beralih pula ke kedai sebelah yang menjual perkakas dapur. Terus beli periuk dengan bekas kimchi tu dekat sini je sebab dah depan mata. Kalau nak banding harga yang dekat Malaysia, dah tentulah yang di sini murah sikit. Angkut sebiji periuk dan sebuah bekas kimchi sederhana besar. Patutnya aku beli sekali periuk tanah yang biasanya digunakan untuk hidang dolsot bibimbap tu, boleh buat masak kimchi jjigae atau sup. Takpe takpe, trip balik kampung yang seterusnya kita beli periuk tu pula.

Sebelum pulang, kami singgah beli lempeng. Kategori lempeng Korea ni pun banyak sampai pening nak ingat nama. Ingatkan lempeng yang kami beli tu dalam kategori jeon tapi nama dia lain iaitu bindaetteok. Bindaetteok ni diperbuat daripada kacang hijau yang digiling halus dan dicampur dengan bahan-bahan lain seperti bawang, kimchi dan juga telur. Itu bahan asas dia, ada juga yang campur dengan daging atau makanan laut.
Gerai-gerai yang menjual lempeng.

BEertingkek-tengkek.

Dekat sini, berdasarkan pemerhatian, kalau nak beli makanan kena cari gerai yang hanya menjual makanan berasaskan sayuran. Kalau tengok, gerai-gerai makanan vegetarian diasingkan daripada gerai-gerai yang menjual makanan berdaging. Memandangkan saiz bindaetteok ni agak besar, maka kami beli sekeping je dan kongsi ramai-ramai. Lagipun tak tahu rasa dia macam mana kan?

Suasana yang sesak dekat kawasan makanan masak.

Pelbagai jenis kimchi.

Makanan jeruk. Ketam jeruk ni la yang muncul dalam My Love From Another Star. Siapa tengok drama tu?

Kimchi lagi.

Sejam lebih juga kami di sini sebelum berangkat pulang ke rumah. Memandangkan kami dah berjanji untuk bertemu dengan sepupu Radin yang belajar di sini pada sebelah malam, maka kami teruslah kembali ke Hyehwa untuk berehat seketika dan solat sebelum keluar semula untuk makan malam. Cerita makan malam hari kelima ni entri lain ye. Daaaa...

Sunday, 29 January 2017

Separuh dan Sepenuh Masa?

2017 membuka lembaran baru dalam hidupku. Alhamdulillah, Kak I tawarkan kerja dekat pusat tuisyen, bolehlah teruskan hidup di zaman yang mendesak ni. Sebelum ni pun memang mengajar dekat situ, cuma tahun ni bekerja sepenuh masa dengan Kak I. 

Dah kata sepenuh masa, maka setiap harilah kena datang ke pusat tuisyen walaupun tak ada kelas. Jadual tahun ni pun okey je cuma hari Sabtu penat sikit sebab kelas 4 jam terus lepas tu mengajar budak-budak sekolah rendah. Memang penat lain macam. Sebabnya budak-budak sekolah rendah ni banyak ragam dan banyak pertanyaan, maka kenalah hadap semua-semua tu sambil mengajar. Budak-budak, biasalah kan? Kau pun dulu macam tu jugak. Hahaha..

Selain tugas-tugas mengajar, tugas perkeranian pun aku uruskan juga sikit-sikit. Ada lagi tugas lain iaitu menghantar dan mengambil pelajar-pelajar yang ambil pakej pengangkutan dan juga membersihkan premis. Dekat rumah pun tak rajin macam ni. Hehehe..

Alhamdulillah, syukur ada sumber pendapatan walaupun tak lumayan sementara mencari yang lebih baik. Selebihnya, masih boleh duduk di rumah tengok-tengokkan Nenek. Waktu bekerja pun dah tak normal; orang balik aku baru nak masuk kerja. 

Kalau dulu, seram lain macam bila kena kunci pintu lepas habis kelas malam, Sekarang ni dah biasa dah walaupun kadang-kadang imaginasi liar berlegar dalam otak. Yang penting, jangan pandang belakang; lepas kunci terus turun tangga. 

Salah satu kerja yang diamanahkan, mengambil bayaran yuran. Tahun ni bukan dapat resit je setiap kali bayar tapi kena tunjuk kad untuk diisi butir-butir bayaran sebagai bukti.

Monday, 23 January 2017

SAN 2016 - Episod 20: Selamat Tinggal Nami..

Okey, janji, ini entri terakhir yang berkisar tentang Pulau Nami. Sebelum nak sampai semula ke jeti, sempat lagi melencong ke padang rumput yang terletak bersebelahan dengan laluan ke pintu masuk. Waktu ni matahari tegak atas kepala dan panas berdenting. Sebenarnya padang rumput ni juga adalah salah satu tarikan juga di Pulau Nami sebab kalau perhati, ramai je yang duduk berkelah di kawasan ni. Tapi diorang berkelah dekat kawasan redup la bawah pokok, kitorang je yang berjemur tengah panas. Hehehe..

Terima kasih korang sebab terpaksa rela berjemur tengah panas untuk bergambar. Tapi tak adalah berjemur sangat pun sebab dekat tengah-tengah padang tu ada satu pokok poplar yang akhirnya menjadi tempat kami berteduh sambil bergambar. Bila bergambar di kawasan yang terang pencahayaannya, gambar akan jadi sangat cantik! Cumanya kalau guna kamera telefon tu, kena agak-agak dan pasrah dengan hasilnya sebab waktu nak tekan butang kamera tu tak nampak apa-apa sebab silau sangat. Hahaha.. Nah layan gambar.


Tengah padang, tengah panas. Radin punya ayat waktu tolong ambilkan gambar ni adalah, "Zoh, aku main tekan je ni sebab tak nampak skrin. Silau sangat" Hahaha.. Nasib baik masuk dalam frame.

Pokok kesukaan kami. Hehehe..

Ni bawah teduhan bayang pokok juga, tapi selepas edit bagi cerah, nampaklah jelas sikit orang yang berteduh tu.

Tengah padang, bawah terik mentari, berteduh di sebalik bayang pokok.

Salah satu tempat wajib bergambar, poster Winter Sonata.

Wefie terakhir sebelum meninggalkan pulau

Habis bergambar di padang rumput dan kawasan sekitarnya, teruslah kami kembali ke pangkal jalan. Itu pun aku dengan Radin terpisah dengan diorang bertiga sebab tak puas-puas ambil gambar. Hehehe.. Sambil jalan, sambil berhenti bergambar; siap sempat tulis nota kenangan lagi walaupun cuak takut kena tinggal feri.

Di laluan cebisan kenangan. Kalau rajin dan banyak masa, bolehlah baca satu-satu mesej atas daun tu. Patutnya tinggal nombor telefon kan haritu? Manalah tahu jumpa jodoh ke kan? Kihkihkih..

Gigij ikat daun ni pada ruang yang disediakan.

Nota kenangan Seoul Autumn Noob 2016

Manusia yang sama-sama nak keluar dari Pulau Nami

Atas feri. Gigih sangatlah kitorang menahan silau semata-mata nak bergambar dengan bendera Malaysia tu Hiks...

Ini keluarga orang salji simen berdekatan pintu gerbang beli tiket.

Dekat laluan masuk untuk beli tiket dan seterusnya, naik feri.

Dari Nami, kami naik teksi je untuk ke Stesen Gapyeong. Tambang balik ni dengar cerita dari Mada yang peramah berborak dengan pakcik pemandu teksi adalah 4000 Won satu teksi, tak lebih tak kurang. Sampai stesen, beli tiket dari mesin layan diri juga. Boleh pilih nak berlepas pukul berapa dan sama juga macam perjalanan datang tadi, boleh pilih gerabak dan nombor kerusi.

Sementara menanti keretapi datang, macam biasa, sawan mesin minuman pun berlaku. Hahahaha.. Kalau duduk lama lagi dekat Korea tu, memang potong kakilah jawabnya sebab asal nampak mesin minuman je nak beli air. Kali ni beli air gas pula sebab nampak air yang pernah keluar dekat Master's Sun. Memang pengaruh drama sangat ni.

Dan sawan mesin minuman pun terkena pada Jurugambar ni. Kehkehkeh..

Semangat masukkan duit nak beli air tin.

Dalam keretapi, semua letih je dan sempatlah lelap kejap. Sampai di Stesen Cheongnyangni, kami cari subway untuk ke Gwangjang. Misi membeli-belah wajib dilaksanakan, sebab tu sanggup pendekkan masa dekat Nami. Waktu inilah satu lagi tragedi berlaku. Sebelum keluar dari stesen, macam biasa, kena sentuhkan kad T-Money pada mesin. Sentuh sentuh, penghadang tu tak terbuka. Sentuh sentuh, bunyi 'teeettt!' dekat mesin. Ah sudah! Kebetulan, dalam masa yang sama, ada sepasang suami isteri yang sudah berusia juga mengalami masalah yang mungkin lebih kurang sama dan ada seorang lelaki yang baik hati tolong panggilkan pegawai bertugas untuk bantu pasangan tu dan kami juga.

Mula-mula pegawai tu selesaikan masalah atuk dan nenek tu barulah dia datang dekat kami. Bila dia periksa kad kami pada mesin dia, dia cakap kami duduk dalam stesen subway ni lama sangat sampai melebihi had masa yang ditetapkan. Itu yang mesin pengimbas tak dapat nak kesan kad kami berlima. Akhirnya masalah diselesaikan dengan bayaran denda yang ditolak dari kad kami berlima. Makanya tuan-tuan dan puan-puan, waktu beli tiket ke Gapyeong untuk ke Pulau Nami, jangan lupa jenguk mesin yang ada dekat sebelah mesin tiket tu untuk buat proses pertukaran laluan atau nama pendeknya, transit.