Engagement Fund ;)

Tuesday, 25 November 2025

Benda Nak Jadi - Episod 2

 Hai!

Sambungan kisah patah ibu jari kaki tempoh hari, maka dapatlah saya cuti sakit paling lama sejak berkhidmat. Lepas 10 hari pertama tu, kena jumpa doktor semula untuk tengok keadaan dan sambung lagi cuti sakit untuk 14 hari berikutnya. Pertama kali nak ke hospital, Kak Chik tak bagi memandu sendiri. Gigihlah eh cuba cari Grab pagi-pagi. Berkali-kali cuba tak ada, penyudahnya saya memandu je sendiri. Tak jauh mana pun hospitalnya dari rumah dan keadaan trafik pun tak berapa sibuk, beranilah saya nak memandu dengan keadaan kaki berbalut.

Sampai hospital, daftar di kaunter dan tunggu untuk saringan suhu serta tekanan darah. Lepas tu kena pergi x-ray. Slip x-ray memang doktor dah bagi sebelum tu, jadi dekat kaunter x-ray bagi je slip tu dan kad pengenalan. Dah selesai dua perkara ni, tunggu nombor naik untuk jumpa doktor. Secara keseluruhannya, tiga kali rutin begini berulang dalam tempoh kurang lebih dua bulan hinggalah doktor sahkan tulang dah cantum sepenuhnya dan tak perlu lagi cuti sakit. 

Alat bantuan sepanjang kena pakai splint dan berbalut kaki.

Waktu kaki berbalut, nak mandi kena balut plastik. Mula-mula tu gigih la balut pakai cling wrap. Lepas tu entah macam mana benda alah ni lalu dekat Shopee. Hah, terus beli sebab senang dan boleh guna semula.

Dekat rumah ada juga tukar balutan selepas gigih rakam bukaan balutan asal sebab nak tiru. Rupanya masa kali kedua jumpa doktor, doktor kata balutlah gaya macam mana pun asalkan splint tu tak bergerak. Pasalnya masa doktor balut semula, cara balutan dia tak sama macam yang pertama kali balut tu. 

Pengalaman berurusan di hospital untuk kes patah. Dulu masa retak tulang ada Mak yang uruskan A sampai Z, 25 tahun dululah tapinya, memang tak berapa nak ingat proses. Cuma ingat zaman tu lepas x-ray dapat filem x-ray yang besar gedabak tu untuk doktor review dan waktu tu kena simen, ingat jugalah waktu MA balut simen dan gergaji balutan simen. Zaman sekarang x-ray semua masuk terus dalam komputer, doktor tengok dekat komputer je. 

Sepanjang cuti sakit ni saya berada di sini saja mengenangkan rumah di sini sekangkang kera dan tidak memerlukan banyak pergerakan. Terima kasih kawan-kawan pejabat yang datang melawat. Pertama kali dalam sejarah rumah sewa ni dikunjungi tetamu dalam skala besar. Hahaha... Kebetulan tak lama lepas pindah sini Covid pula kan, memang terhad orang yang datang berkunjung. Sebab tak pernah cuti sakit lama macam ni, dia macam rasa serba salah cuti tak buat apa. Jadi ada waktu yang tengok juga kerja dan ada beberapa kali juga masuk pejabat selain hadir ke dua program pejabat. Ni kalau rajinlah kita cerita. 

Waktu doktor kata semua dah elok, saya tak rasa semua dah okey sebab masih ada bahagian yang sakit dan berbunyi bila menapak. Lutut pun terasa sakit bila berjalan dan sangat terasa sakitnya waktu solat. Jadi hajatnya nak ikhtiar cara tradisional pula untuk betulkan apa yang patut. Namun bila dah mula kerja, dia punya sibuk tu sampai hampir setiap hari balik malam membuatkan tergendala sekejap niat nak berurut. Sampailah terserempak dengan rakan sebaya di pejabat ni dan dia tanya soalan; "Tak ada susulan fisio ke?" Tak terfikir langsung. Doktor pun tak kata apa haritu, kita manalah nak tahu kan? Jadinya, saya tangguh untuk ikhtiar urut tu hinggalah jumpa tempat untuk fisioterapi. Kisah fisio ni sambung entri lain. 

Monday, 16 June 2025

Benda Nak Jadi - Episod 1


Hai!
Ini kisah pada 21 Mei yang lalu. Orang kata benda nak jadi. Pagi tu sebelum nak pergi kerja, saya jatuh tergelincir depan peti ais. Mula-mula nak tergelincir tu, tahan dgn kaki kot la boleh tak payah jatuh. Tapi jatuh juga terduduk dan rebah, pakej ibu jari kaki kanan terpeleot ke terkena kaki peti sejuk ke tak ingat dah. Saya rasa macam terpeleot teruk sebab menahan beban badan ketika jatuh.
Lepas jatuh tu, memang sakit yang sangat sakit. Sakit dia tu macam tersepak benda tapi naik lagi beberapa skala dan tak hilang sakitnya sampailah menghampiri tengah hari. Dalam hati ada terdetik patah atau retak ke ye jari ni pasal sakit dia lain macam. Tapi otak kata nanti hilanglah sakit tu. Ada juga rasa tak nak pergi kerja dan nak ke klinik terus, tapi entahlah kenapa gigih sangat tahan sakit terus juga memandu ke pejabat. 😅😂😂 

Dia punya gigih dan gagah menahan sakit tu siap boleh pergi beli kuih untuk sarapan dekat Parit Baru pasal dah lama sungguh tak beli makanan di luar sejak kontrak kafe bawah pejabat ni bertukar. Jalan memang berseret la sampai ke sudah. Dekat pejabat terserempak dengan bos yang kebetulan masuk pejabat sekejap sebelum gerak ke lokasi kerja luar, bos kata pergilah klinik. Saya masih dok berfikir lagi. Bila dah nak dekat tengah hari tu baru nampak lebam dekat tempat sakit. Cuma waktu tu kesakitan dah berkurang. Dalam hati ada rasa kalau ke klinik ni macam akan cuti lama; maka saya teruslah siapkan kerja-kerja yang paling penting supaya dapat diserahkan kepada pegawai lain untuk dibantu uruskan langkah seterusnya. Waktu ni tak selera makan dah, cuma makan kuih hasil borongan pagi tadi je. Solat zuhur dulu dan lepas waktu rehat tengah hari baru ke KK Parit Baru sebab nampak jelas dah lebam biru walaupun dah tak berapa sakit. 

Masa doktor suruh tunjuk kaki, saya terus tanya, "Doktor rasa patah ke jari saya ni?" Doktor tu pun jawab, "Hmmmm... saya pun tak boleh nak kata patah pasal bukan mata xray." Hahaha... Cuma saya minta nak xray jugalah sebab hati kata ini bukan sekadar sakit biasa.  Maka, Doktor KK Parit Baru terus tulis surat rujukan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah atau sinonim dengan panggilan Hospital Sabak. Doktor nak bagi ubat tahan sakit juga, tapi saya cakap kat doktor tak payahlah bagi sebab dah tak sakit sangat. Beliau tanya, kalau skala 1 hingga 10, duduk dekat skala berapa? Aduh, kena fikir pula eh? Penyudahnya saya kata dalam skala 2 je kot sakitnya 😂. Doktor kata skala 2 tu takde la sakit sangat pun. Iye, benar. Yang sakit beria tu pagi tadi.

Dari KK tadi dapat dua surat; satu surat untuk doktor dan satu lagi untuk xray. Doktor KK kata, sampai sana terus ke xray baru ke kecemasan. Sebab tak pernah kan, pelik juga tapi kita ikut jelah cakap doktor. Rupanya kena terus pergi je ke Kecemasan untuk daftar, bagi surat rujukan tadi dekat kaunter saringan dan ada MA buat pemeriksaan asas dulu sebelum disuruh ke tempat x-ray. Kita ni dah berjalan ke tempat x-ray, pergi ke JPL dan dari JPL tu dia kata kena ke kecemasan dulu sebab kes berlaku dalam tempoh 24 jam. Lepas x-ray, kembali ke kecemasan jumpa doktor. Nasib baiklah lokasinya sebelah-menyebelah saja. Hasil x-ray, doktor kata memang ada patah ibu jari tapi tak terkeluar dari soket. Macam tulah lebih kurang penjelasan doktor. Maka, kena pakai splint dan berbalut biasa untuk bagi tulang tumbuh/cantum semula. Sebab dekat jari, tak perlu simen. Doktor bagi cuti sakit 10 hari hingga temu janji seterusnya. 


Dari KK Parit Baru sampai ke Hospital Sabak, memang sorang-sorang je urus diri sendiri. Bila doktor kata patah tu ada la rasa sebak memikirkan betapa saya kena gigih jaga diri dalam keadaan sakit kerana jauh dari keluarga. Mula rasa perlukan bantuan kawan-kawan bila MA di kecemasan tengah buat persiapan nak balut kaki sebab terfikir boleh ke nak memandu lepas kaki dibalut. Terus mesej Tecoma Ladies maklumkan yang mungkin perlu bantuan untuk balik ke rumah kerana mungkin sukar memandu dengan keadaan kaki berbalut. Haaa, bila dah kabor ke deme, deme kabor ke group WhatsApp jabatan kerana mengambil kira perlu bantuan untuk bawa pulang kereta saya dari hospital. Tahu tu sebab ada beberapa rakan di jabatan mesej secara peribadi bertanya khabar. Hahahadoi... Waktu tu dah menghampiri waktu balik pun. Langsung Kak Linie kata tunggu dekat hospital, jangan balik sendiri. Bila dah sampai di kereta saya cuba letak kaki di pedal dan rasanya boleh je ni memandu pulang. Cuma tak boleh pakai kasut semasa memandu. Mujurlah ada plastik beli kek semalamnya, kita sarungkan plastik tu. Dia yang jadi gigih bebenor nak juga memandu sendiri tu pasal kereta saya si Taejang ni kan manual, siapa jelah yang masih reti pandu kereta manual di zaman TikTok ni? Alhamdulillah selamat tiba di rumah dengan diiringi oleh Kak Linie.


Tuesday, 20 May 2025

Tiba-tiba Dah Menghampiri Pertengahan Tahun 2025?

 Hai!

Datang jenguk blog sapu sawang, lap habuk sikit dengan harapan rajin sambung menaip demi meneruskan azam 2024 yang katanya nak kembali aktif berbloging. Hahahaha... Ini gigih masuk sini pun sebab dapat hembusan semangat dari Sepet yang katanya nak kembali berbloging semula. Selamat maju jaya Sepet! 😉

Sekarang ni rasa macam tak selamat pula nak mencatat di blog bila mana sesuatu isu itu terlalu mudah diviralkan dengan tokok tambah yang melampau termasuklah penyelewengan fakta yang jelas. Belum lagi faktor ciplak penulisan. Ghisauuu... Ke sebab bila menjangkau umur sekarang ni, saya fikir panjang sampai terfikir pelbagai kebarangkalian? Zaman muda-mudi dulu nak tulis apa, nah tulis semua. Sampai kerusi pejabat bunyi berkeriut pun boleh jadi bahan bercerita. Hahahahaha...

Jadi, apa perkembangan sejak kali terakhir menaip? Masih berkisar di tempat sama. Ada beberapa perancangan untuk awal tahun 2025 yang tak berjaya dilaksanakan. Semoga hajat yang tak tercapai itu terkabul pada tahun 2026 nanti. Semoga Cik Fara terus rajin untuk kembali menaip dan mencatat pengalaman hidup di sini. Bukan untuk korang, untuk saya. Kita ni dah la pelupa bersiri. Kalau ada catatan tu adalah juga tempat nak rujuk kan. Saya sudahi entri pertama 2025 ini dengan sedikit cerita makanan sedap.

Singgah kedai ni waktu dalam perjalanan kembali ke tempat bermukim pada awal bulan lalu. Memang kedai ni dalam laluan pun, tapi tak pernah terasa nak pergi walaupun papan tanda dia besar gabak dekat jalan masuk tu. Dah masuk tahun keenam ulang alik laluan ni, tiba-tiba sampai seru nak singgah. Kedai ni nama Warung Kak Hajah, tapi dekat jalan masuk tu dia letak nama menu istimewa dia iaitu Mi Kuah Tulang Harimau. Kenapa ada harimau di situ? Rupanya selain ada tulang lembu, ada juga beberapa ekor udang harimau. Gituhh.. Sebab kali pertama sampai, saya pesan menu utama dia iaitu mi kuah tulang. Ambil yang biasa je sebab malas nak kopek udang. Hahahaha... Selain mi kuah tulang, menu yang lain-lain pun ada je. Nah layan gambar mi dan komen ikhlas Cik Fara sebelum melabuhkan tirai.


 Isi perut meriah, kuah pekat, rasa sedap dan keseluruhannya mi kuah tulang ni berbaloi untuk dinikmati.