Hai!
Ini cerita pada 14 Julai yang lalu. Perancangan untuk pertemuan semula ahli rumah di Unisel dulu. Sebenarnya perancangan dalam group WhatsApp dah lama, cuma lepas tentukan tarikh semua menyepi sampailah Kak Chik tanya jadi ke rancangan kita ni? Asalnya saya macam nak minta tangguh sebab rasa penatnya nak keluar rumah dan memandu jauh. Tapi semua okey pula nak muncul. Hahaha... Teruslah tukar setting otak untuk berada di luar rumah pada 14 haribulan tu. Tetapan adalah sama ada pada 13 atau 14 haribulan, saya minta untuk 14 haribulan sebab kononnya nak pergi servis Taejang dulu pasal dah sipi-sipi nak sampai tempoh. Tapi akhirnya tak dapat slot hari Sabtu tu untuk servis pun.
Jadi, 14 haribulan tu bangun dan bersiap macam nak pergi kerja sebab jauh perjalanannya. Bila saya mesej dalam group dah gerak dari Sabak, Asy kata; "Tak boleh jauh lagi ke kak?" Hahahaha... Inilah paling jauh untuk kekal menjadi warga Selangor. Kalau jauh lagi karang dah tukar jadi warga Perak pula. Perjalanan tenang dan lancar cuma cuaca tak menentu; ada tempat yang tempuh hujan lebat, ada tempat yang renyai dan ada tempat yang cerah. Saya tumpang Kak Chik ke Shah Alam, jadi terus ke rumah beliau dulu. Dari Bukit Kapar kami ke Stesen KTM Padang Jawa 'kutip' Faien dan terselit si Aien.
Dalam perjalanan dari Padang Jawa Zue mesej dah sampai jadi beliau masuk dulu. Waktu kami sampai, Shiro pun dah sampai. Maka lengkaplah ahli rumah yang boleh datang. Ini adalah ahli rumah semester terakhir di Unisel, istimewa sikit sebab ada 7 ahli. Kapasiti satu rumah 6 orang, bila saya tamat pengajian dan keluar untuk praktikal, Kak Chik masuk isi kekosongan. Saya, Kak Chik, Aien dan Faien kerap je serumah bersama. Shiro dengan Asy pun macam pernah serumah lebih dari satu semester. Cuma Zue jelah yang saya sempat jumpa kejap sebab dia baru masuk waktu tu.
Lokasi kali ni pun bidan terjun juga. Saya cadangkan tempat ni lepas bincang dengan Kak Chik. Asalnya nak undi, tapi Kak Chik kata terus je cadang restoran yang ni. Semua pun okey, terus saya tempah meja. Memandangkan tempatnya tak berapa nak besar, maka waktu menempah kena sertakan dengan deposit RM 50. Kira jadilah ni. Saya siap-siap hantar senarai pesanan supaya tak payah ambil masa nak fikir makan apa bila dah sampai sana. Sebab waktu tempahan adalah jam 10.30 pagi, maka menu yang ditawarkan adalah menu sarapan dan brunch. Menunya tak banyak macam menu makanan biasa tapi bolehlah kan sesekali makan sarapan menu barat. Kalau pesan menu brunch, boleh tambah RM 5 untuk free flow kopi, teh, air oren dan air kosong. Kalau nak air hebat, kena pesan lain dari menu. Inilah yang kami pesan pada hari kejadian. Sengaja pesan menu lain-lain supaya boleh rasa semua. Semua pun sedap!
Lama sungguh kami duduk dalam ni sampai nak dekat pukul 1 kot. Sambil makan sambil borak. Habis makan pun tak habis lagi boraknya. Faien belikan kek sepotong untuk sambut ahli yang lahir bulan Julai. Terima kasih adik kembar nama! Lepas tu sambil makan kek sambil borak sambil tengok gambar menu sambil tengok pelayan lalu-lalang bawa pesanan meja lain. Tak lama tu saya bangunlah bayar. Tengah nak bayar, Aien datang suruh saya beli keledek goreng bungkus dia belanja sebab tadi saya menyebut keledek goreng tu nampak sedap. Hahaha... Okeylah, tambah lagi pesanan. Bila pesanan sampai, saya buka nak tengok rupa parasnya dan terus pelawa semua orang rasa. Eh memang sedap! Makan panas-panas pula tu. Sambung pula kami makan keledek goreng. Hahaha... Gambar keledek tak ditemui pula. Heee...
Sebelum balik, wajiblah bergambar kenangan. Kami minta bantuan salah seorang staf di situ untuk ambilkan gambar kami berlatarbelakangkan dinding restoran yang cantik. Kemudian kami sambung bergambar di luar restoran sebab cantik hiasannya. Dekat luar ni pandai-pandailah setkan kamera sendiri, telefon semua dah canggih kan.
Maka, begitulah ceritanya. Terlaksana juga rancangan untuk bertemu semula. Bertemu dan dalam masa yang sama, menetapkan tarikh dan waktu perjumpaan seterusnya. Harapnya perancangan yang akan datang nanti dapat juga dilaksanakan dengan ahli yang lengkap. Kali Asy tak dapat datang disebabkan tuntutan kerja, takpe kita faham. Terima kasih korang! Jumpa lagi nanti.
.png)
.png)


























