Engagement Fund ;)

Wednesday, 25 November 2020

Pertama Kali untuk 11.11

Sejak mula pandai membeli belah menggunakan Lazada, rasanya ini kali pertama membeli pada tarikh tunggal. Sebelum ni tak ada benda nak beli bila sampai tarikh 11.11 atau benda yang nak dibeli tu tak termasuk dalam senarai 11.11. Biasanya kalau nak beli produk Clinique, saya akan beli dari Bestbuy World Malaysia. Kali ni pun dah tengok-tengok dah dekat sana, siap dah masuk dalam cart lagi. Cuma tak checkout je walaupun hydrating jelly tu dah nyawa-nyawa ikan sangat.

Kemudian bila ke Instagram, lalu pula iklan Clinique 11.11 di Lazada ni ha. Teruslah berbelah bahagi samada nak beli di BBW atau Lazada. Lepas fikir dan fikir, saya terus bayar deposit untuk set hydrating jelly ni. Semua pembelian sempena 11.11 perlu didahulukan pembayaran sebanyak 11% kalau tak silap. Pembayaran penuh perlu dibuat pada 11.11 dan selepas menanti, sampailah mereka ni. Waktu paling seronok bila membeli barang online ni adalah ketika menerima bungkusan dan membuka bungkusan tersebut. Lepas tu dah tak ada perasaan dah. Hahahaha...

Cantik kotak dia! Ini kotak kedua, kotak luar adalah kotak coklat yang biasa tu. 


 Tadaaaa! Kemain besar kotaknya untuk barang sekecil itu


Inilah dia bendanya selepas dibuka balutan putih tadi 


Rasanya, lebih jimat beli yang ini sebab hydrating jelly dan active cartridge ni hanya berharga RM114. Kalau tak, hydrating jelly 125ml berharga RM150 dan cartridge tu hampir seratus ringgit juga rasanya, tak ingat harga sebenar dia. Setakat ni masih duduk dalam kotak lagi sebab yang tinggal nyawa-nyawa ikan masih boleh dipicit keluar. Guna hingga ke titisan terakhir sebab mahal. 

Namun, pembelian di BBW tetap diteruskan sebabnya saya ada mata bernilai RM20 yang perlu ditebus sebelum bulan Oktober berakhir. Kalau ikut tamak, semua benda nak dibelinya. Tapi bila fikir realistik, beli yang dirasakan berguna dan perlu saja. Saya beli repairwear laser focus dalam botol kecil. Cuba dulu serasi ke tidak sebab kalau nak beli yang saiz biasa, mahal nak mamps! Ahaks~ Tapi kalau tak ada RM20 percuma tu memang fikir 80 kali nak beli ke tidak dan akhirnya tak beli pun. Hahaha... 


Serum dalam botol kecil, ada 3 botol untuk satu set. Zaman-zaman boleh travel dulu, memang syok membeli barang untuk diangkut berjalan sebab dekat BBW memang ada banyak produk dan jenama dalam saiz kecil macam ni

Setakat ni apa-apa produk Clinique memang serasi je dengan kulit saya. Itu yang tak tukar-tukar lain sejak pertama kali guna pada tahun 2010 dulu. Lama kan? That's how loyal I am. Pernah cuba alat solek juga tapi sebab rasa macam tak berbaloi beli mahal gitu, saya cari yang lain. Cuma kadang-kadang beli juga lip balm atau lipstick dia. Itu sajalah harapnya pembelian untuk tahun ni. Kena kembali menguruskan perbelanjaan dengan bijak supaya boleh buat simpanan untuk masa depan. Kepada yang masih bergaji dalam musim-musim gawat ni, teruskan bayar hutang-hutang yang wajib. Sebabnya, syarat utama untuk berhutang adalah mampu nak bayar semula. Sekian, coretan untuk kali ini. Babai~~~

Monday, 23 November 2020

GangneungXSeoul 2019: Permulaan

Sementelah dah agak lapang, cita-cita nak menulis pengalaman mengukur jalan yang zaman dulukala tu menjelma. Korek-korek deraf blog, jumpa catatan ni yang ditulis pada 21 Mei 2019.  Hahahahadoi! Rupanya cerita berjalan ke Terengganu tahun 2017 pun tak siap lagi. Pengembaraan ke Hong Kong pun sama, ada 3 episod dalam deraf ni. Marilah, kumpul kerajinan untuk edit gambar dan korek catatan perjalanan dalam buku log dan telefon. Musim-musim Covid ni, rindu nak naik kapal terbang pun kemain membuak-buak. Jangankan nak naik kapal terbang, nak balik jumpa Abah pun belum lepas lagi. Haih... Semoga dapatlah saya balik kampung jumpa Abah dalam masa terdekat ni. Dalam pada menanti, nah saya siarkan karangan yang dah siap ni. Saya syak dia terperuk dalam ni sebab tak sempat edit gambar. Korang baca jelah cerita tak bergambar ni.πŸ˜†πŸ˜†


Sementara saya korek balik catatan perjalanan ke Hong Kong dan Terengganu, mari mula menaip cerita ke Korea Selatan untuk kesekian kalinya. Perancangan asal, tentulah dibuat bersama-sama Geng Bujang Bilik Prep. Yang paling semangat sekali, saya dan Aten manakala yang lain-lain suam-suam aje. Tapi diorang tu kalau 'dibakar', cepat je terpengaruh. Cuma kali ni taktik tak menjadi. Hahaha... Sudahnya, cuma pergi berdua saja untuk kali ini.

Disebabkan rancangan bolehlah dikatakan mengejut, memang pulun habis kumpul duit. Tiket kapal terbang dibeli sekitar akhir bulan November kalau tak silap. Kebetulan Vietnam Airlines ada buat promosi, dapatlah beli tiket dengan harga murah. Ikutkan, nak naik MAS juga. Tapi harga untuk tarikh yang dipilih tu sangat mahal untuk kami, pengembara ekonomi. 

Pengalaman pertama naik syarikat penerbangan lain dan pertama kali merasa transit di satu tempat sebelum tiba di destinasi. Pertama kali juga merasa bermalam di dalam lapangan terbang. Kami berlepas pada 29 Mac. Penerbangan pergi tertunda sejam jadi ada banyak masa senggang. Dari KLIA ke Ho Chi Minh mengambil masa kira-kira dua jam lebih kalau tak silap. Waktu pergi, ramailah rakyat Malaysia yang sekapal tapi tak ada yang sehala. Kapal terbang pun kapal kecil saja.

Apa yang menarik, naik Vietnam Airlines ni tak payah risau pasal makan sebab tiket termasuk sekali makanan dan bagasi. Makanan boleh tahan mewah macam MAS juga. Boleh pilih dari dua jenis menu yang ditawarkan; ada menu mi + daging dan nasi + ikan. Saya pilih nasi sebab belum makan malam lagi. Ambil menu berat terus sebab kena tunggu kira-kira 14 jam sebelum jumpa makanan berat seterusnya.

Tiba di Lapangan Terbang Tan Son Nhat, jakun kejaplah tengok keadaan sekitar sebab kiri kanan penuh dengan rumah. Kiranya lapangan terbang ni terletak di dalam kawasan petempatan. Dari kapal nak sampai ke terminal, kena naik shuttle bas yang disediakan. Pengalaman pertama kali juga ni. Biasanya kapal terus parking dekat terminal dan kita kelaur dari kapal terus sampai dalam terminal.

Masuk saja ke dalam bangunan, terus melilau cari tempat untuk transit. Untuk transit, kena lalu pemeriksaan imigresen. Kemudian, teruslah tunggu untu penerbangan seterusnya. Waktu penerbangan kena tengok di skrin untuk pastikan sekiranya ada perubahan waktu dan juga nak kena check-in di Gate berapa. Kemudian, teruslah kami cari tempat untuk tidur. Sebenarnya ada Sleeping Zone di sini tapi waktu baru sampai tu tak jumpa pula. Sudahnya, kami bermukim di deretan kerusi berhampiran food court. Orang pun tak ramai, tempat selesa dan dekat dengan tandas.

Mula-mula macam tak boleh nak lelap, makanya layan dululah 2 Days 1 Night dalam tab. Habis tengok, baru mengantuk dan teruslah berbaring. Waktu nak tidur, barisan kerusi yang ada dah diisi dengan orang. Ada yang sama-sama dalam perjalanan dan ada yang bekerja di situ. Bila malam dah larut, lampu bahagian situ pun macam jadi malap sikit jadi lebih selesa untuk melelapkan mata.

Dari segi keselamatan, alhamdulillah keadaan sekitar tenang dan tiada orang yang mencurigakan. Walaubagaimanapun, beg yang ada tetap dikepit kemas sepanjang masa. Dapatlah juga lelap mata walaupun penunggu bangunan datang bertegur sapa. Waktu pejam mata ala-ala mamai, punyalah riuh rendah bunyi keliling macam ramainya orang lalu lalang waktu tu, siap bunyi macam orang masak kat dapur lagi. Bila buka mata, sunyi sepi ye keadaan sekeliling, tak ada pun orang lalu lalang dan restoran-restoran yang ada semua dah tutup pun. Mengantuk punya pasal, lantak pi hanglah. Hahaha.. Dapatlah deep sleep kejap sebelum bangun untuk solat subuh dan bersiap untuk meneruskan perjalanan.

Lepas segarkan diri, terus tengok skrin untuk jadual penerbangan. Kebetulan dekat kawasan kami bermukim tu ada skrin besar, senanglah nak semak. Dah pasti nombor Gate, baru kami turun dan cari lokasi Gate. Dalam perjalanan, nak singgah isi air kosong. Tapi, water dispenser tu kehabisan air pula. Dekat sebelah mesin ada je tong air tu tapi macam tak larat nak angkat dan ragu-ragu, boleh ke kalau nak tukar sendiri pun? Dalam pada kalut-kalut tu, datang seorang lelaki berbangsa Cina menyampuk perbualan kami, "Kita tukar sajalah, apa pula tak boleh?" La, orang Malaysia ke? Hehehe.. Jadi, beliaulah yang tolong tukarkan tong air tu. Dapatlah kami mengisi botol air kami dengan gembira sebab sumber air masih penuh. Terima kasih encik yang membantu.

Selesai penuhkan botol air dan ambil air panas, kami terus berjalan mencari Gate sebelum duduk untuk isi perut dengan bekalan dari Malaysia. Tak jumpa makanan halal pun dalam ni maka kena sediakan payung sebelum hujan. Saya tempah bun sosej dan bun kacang siap-siap dari Kak Ina untuk makan waktu transit. Alhamdulillah, dapatlah alas perut sementara tunggu makan berat dalam kapal terbang nanti.

Waktu nak berlepas ke Incheon, agak serabut la dengan penumpang-penumpang lain yang tak makan saman langsung. Staf dekat kaunter pun dah tak boleh buat apa dengan diorang. Akhirnya pasrah sajalah. Kali ni pun kami kena naik shuttle bas untuk ke kapal. Untuk penerbangan dari Ho Chi Minh ke Incheon, kami dapat makanan lebih awal sebab rasanya macam kami saja penumpang muslim dalam tu. Oh ye, untuk makanan halal dalam penerbangan, kena email Helpdesk Vietnam Airlines dan bagi nombor tempahan serta tiket. Bahagian ni, Aten yang uruskan. Terima kasih crime partner.😍

Dari Vietnam ke Korea, mengambil masa kira-kira 4 jam 35 minit. Kapal yang ini pun tak ada individual screen. Makanya, samada layan tab atau layan mata. Penerbangan lancar dan cuaca pun cantik. Tiba di Incheon, langit agak mendung. Masuk saja dalam terminal, terus cari tandas dulu sebelum keluar ke imigresen. Rasanya kena berhenti di sini dulu sebelum muntah baca sebab panjang sangat ceritanya. Hehehe.. Jumpa lagi...

Tuesday, 29 September 2020

Pencerapan Pertama

Sementelah angin rajin bertiup, saja nak menaip. Minggu ni cuti pertengahan semester, jadi terasa lapang sikit sebab tak perlu buat rancangan mengajar. Mood nak mengadap bahan mengajar pun dah kelaut.πŸ˜†πŸ˜‚πŸ˜‚ Tapi tetaplah kena hadap latihan dan tugasan budak-budak ni. Menimbun oi! Mujur satu kelas tak lebih dari 30 orang, masih boleh kejar. Kawan-kawan lain siap ada yang sekelas 40 orang. *lap peluh*

Beza sangatlah kerja sekarang dengan dulu. Tak habis lagi rasa pelik sebab sekarang ada tempat untuk dituju jika keliru dan ada sokongan kuat jika buntu. Takkan pernah habis rasa bersyukur dengan suasana kerja yang positif dan saling menyokong. Biarlah lebih sibuk berbanding dulu tapi lebih rasa dihargai. Pengalaman lalu tetaplah terpahat di hati kerana manakan ada yang sekarang kalau tidak wujud yang dulu? Allah dah atur cantik, inshaAllah.

Memandangkan saya menaip dari telefon, sekadar karangan jelah. Cerita bergambar tunggu rajin. Hahaha... Sebelum habis separuh masa pertama semester ni, sempatlah masukkan nama untuk slot pemantauan mengajar. Benda ni biasa untuk semua orang yang bergelar cikgu, pensyarah mahupun pengajar tapi dekat tempat lama tak pernah kena pantau sekalipun sebab rekod sentiasa cemerlang. Ehem.. πŸ˜‚πŸ˜‚πŸ˜‚ Taklah cemerlang sangat pun tapi berdasarkan maklumbalas dan borang penilaian dari budak-budak, markah sentiasa melebihi paras baik. Jadi pihak pengurusan percaya je dengan kebolehan mengajar acik walaupun saya cemburu dengan yang dapat slot untuk dipantau. Ye, kita memanglah bersedia untuk mengajar ikut prosedur tapi bila ada pemantauan, kita sedar diri sikit untuk tambah baik kelemahan yang ada. Saya percaya kita tahu bahagian mana yang kita lemah dan perlu tambah baik. Tapi bila ada yang mengesahkan benda tu, lebih termotivasi la nak teruskan usaha menambah baik. Gituh..

Saya ambil slot hari Jumaat, hari terakhir kelas untuk minggu tu supaya dah serasi dengan topik yang diajar. Namun, sebab ada orang lain tengok, tetaplah gagap dan gelabah dalam kelas walaupun sehari sebelumnya dah ulangkaji nota dan kandungan pengajaran buat kesekian kalinyaπŸ˜‚πŸ˜‚πŸ˜…πŸ€¦‍♀️. Risau tersalah pilih kelas sebab untuk kelas hari Rabu dan Jumaat budak-budaknya tak berapa nak peramah macam kelas hari Isnin dan Selasa. Tapi sebab waktu nak masuk tempah slot tu waktu lain dah ada orang ambil, tawakal dan doa banyak-banyak supaya budak-budak bagi kerjasama untuk menjawab setiap soalan yang diajukan dan ambil bahagian dalam aktiviti kelas. Alhamdulillah, bos kecil iaitu KK bagi maklumbalas yang positif diakhir kelas. Patutnya saya kena tanya juga apa kelemahan yang perlu dibaiki tapi sebab tak habis lagi gemuruh, terus cakap terima kasih je pada beliau Hahahahadoi! Tapi tahu dah sebenarnya apa yang kena betulkan. Masih banyak kekurangan pada diri yang memerlukan pembelajaran dan penambahbaikan berterusan. 인정. Takpe, nanti boleh semak markah dalam sistem.

Moga Cik Fara terus positif dan cekal menghadapi cabaran kerja di tempat baru dan sentiasa bermotivasi untuk cemerlang. Motivasi untuk mengarang kisah balik kampung tahun lepas dilupa jangan. Hahaha... Lepas ni tak tahu bila boleh jejak kaki dekat sana, kena paksa juga catat kembara GangneungXSeoul tu untuk kenangan. Entri diakhiri dengan jenaka dari a fellow colleague di kumpulan WhatsApp. Inilah situasi benar yang paling buat saya rasa tak bersemangat nak teruskan kelas terutama dengan kelas hari Rabu. Sobs... Done meluah perasaan. πŸ˜†πŸ˜†

Sunday, 20 September 2020

Sebelum September Tamat.

 Annyeong! Saya datang menaip sesuatu sebab semalam Cik Epal maklum di IG beliau bahawa blognya telah hilang. Gelabah ko! Walaupun jarang-jarang dah nak menaip, sayang sangat kalau blog ni lenyap sebab ada banyak sangat cerita suka duka sejak zaman U lagi. Sejak Yong dah tak lagi berfungsi, memang susah nak cari masa menaip. Dulu ada Yong kadang-kadang terasa nak menaip terus je ambil tab dan taip. Bila guna laptop, kena hidupkan dulu lepas tu daftar masuk akaun dan baru boleh menaip.


Ini juga entri pertama yang ditaip bukan dari Mat. Banyak nau nama watak dalam entri ni. Hahaha... Siapa dah lama baca ANC, tahulah yang Mat tu laptop Toshiba antik pemberian arwah Mak di U dulu dan Yong adalah Galaxy Note 8 yang akhirnya dah arwah. Ada niat nak betulkan tapi kesian pula dekat dia sebab banyak kali masuk 'hospital' sampai dah merekah belah tepi dia dek kerana banyak kali dibuka untuk dibaiki. Begitulah ceritanya. Arba juga sudah tidak berfungsi kerana dah tak boleh nak kejar teknologi sedia ada. Sekarang cuma ada Soo dan pengganti Yong yang tak bernama setakat ni serta pelapis Mat yang juga masih tidak bernama. 


Pelapis Mat ni dibeli sebab Mat pun dah tak boleh nak dikemaskini dengan teknologi sedia ada. Alhamdulillah masih sihat lagi Encik Mat tu tapi untuk kegunaan kerja, saya guna sepenuhnya pelapis beliau. Semester baru ni kelas semua dijalankan atas talian, jadi memang bergantung pada laptop sepenuhnya. Ini pun patutnya kena siapkan bahan mengajar esok ni, pergi melencong kejaplah lawat blog kesayangan. Hehehe... Rasanya cukup dulu setakat ni Cik Fara membebel buat syarat ada entri baru bagi tahu Blogger yang tuan blog ni masih nak berblog. Jumpa lagi di entri lain. Daaaa~~

Tuesday, 24 March 2020

GBP Invades Hong Kong&Macau Episode 15: Disneyland Hong Kong, Kami Datang! (Bahagian 2)

Catatan sebelum ini dah cerita info penting, kali ini nak tulis pengalaman sendiri pula. Memandangkan kami sampai awal, orang masih tak berapa ramai. Kalau tak silap, tempat-tempat permainan mula beroperasi pada jam 10 pagi. Namun, para pengunjung dibenarkan masuk dari pintu masuk utama awal. Bolehlah kalau nak membeli belah di kedai cenderahati atau bergambar dengan watak-watak paling popular Disney seperti Mickey, Minnie, Donald Duck, Goofie dan lain-lain. Kawasan ini dinamakan Main Street sampailah jumpa bulatan. Dekat sini bolehlah pilih nak ke kiri dulu atau ke kanan dulu. Dekat kawasan ini juga terletaknya Sleeping Beauty Castle, salah satu tarikan utama di mana-mana Disneyland. Walaubagaimanapun, waktu tu istana tersebut ditutup untuk kerja-kerja pengubahsuaian dan naiktaraf. Secara umumnya, Disneyland Hong Kong dibahagikan kepada 7 kawasan utama iaitu Adventureland, Grizzly Gulch, Mystic Point, Toy Story Land, Fantasyland, Tomorrowland dan Main Street, USA

 Kami dan Donald Duck

 Kami bersama Goofy dan Pluto. Cukup dua sebab barisan untuk bergambar dengan karakter lain amatlah panjang

Antara landskap di Main Street; sudah pun bertemakan Halloween.

Kami pilih untuk ke kanan dulu dan singgah di Iron Man Experience. Tarikan utama di sini adalah penerbangan di ruang udara Hong Kong bersama Iron Man. Kengkonon la. Dah macam naik roller coaster pun ada sebab kerusi dia bergerak-gerak. Best! Sebelum nak sampai di pintu masuk 'pesawat', bolehlah tengok-tengok Stark Expo dulu. Macam-macam pameran berkaitan Stark Industries dan Iron Man dipamerkan di sini. Kiranya kalau waktu menunggu tu lama, takdelah bosan.

Kemudian, kami ke bangunan sebelah yang bertemakan Star Wars. Mula-mula kami naik indoor roller coaster. Kalau tak silap, Hyperspace Mountain. Saya ikut je diorang ni nak ke mana dan naik apa sebab tak pernah masuk tempat-tempat gini. Berdebar woi nak naik menda alah ni sebab tak nampak apa. Gelap! Kata dekat angkasa lepas? Nah dia bagi keadaan gelap gulita macam di angkasa. Tapi bagus jugalah tak nampak sangat keadaan sekeliling sebab boleh tahan cerun juga trek dia. Menjerit dari mula sampai ke sudah. Hahaha... Lepas tu masuk ke pintu sebelah untuk berjumpa dengan watak-watak utama dari Star Wars. Dapatlah bergambar dengan Chewbacca dan R2-D2. Hani paling gembira sekali dalam ni sebab dia peminat Star Wars dan kami gembira melihat dia gembira. hehehe..





First ride, indoor. Walaupun dalam bangunan, dia punya goyang tu, terjerit-jerit dibuatnya. Hahaha..

 Sementara menunggu giliran untuk second ride. Roller coaster ye tapi indoor. Mujur gelap, kurang seram walaupun dia punya 'konar' tu, kusss semanga! Dari mula naik sampai berhenti, tak pernah tak jerit.

Ni bukti saya menjerit. Cemana Radin boleh senyum lagi tu?


 Sesi bergambar dengan watak popular Star Wars

 Depan pintu masuk. Hani dah redeem kupon snack dekat sini. Bekas popcorn tu mengikut tema dekat bahagian mana kita redeem.

Sebelum bergerak ke kawasan lain.

Dari kawasan Tomorrowland, terus jalan ke depan dan sampai di kawasan bertemakan Disney Fairy Tales. Dekat sini saya dengan Radin jelah yang terlebih gula. Hahaha.. Hani duduk dekat tepi manakala Mada jadi jurugambar melayan kami di Mad Hatter Tea Cups. Pening oi naik ni sebab dia berpusing lepas tu Radin naik sheikh pulas stering dalam cawan tu menyebabkan dia berpusing ketika berpusing. Get what I mean? Tapi gembira je pun. Kemudian kami lalu di depan The Many Adventures of Winnie the Pooh. Tengok tak ramai orang, kami pun beratur. Dekat sini best juga. Kami dibawa menyusur perjalanan Winnie the Pooh and the gang. Lepas tu terus ke Cinderella Carousel melayan saya yang teringin nak naik kuda pusing tu. Diorang awal-awal cakap; " Sazoh naik sorang tau, kitorang tunggu dekat tepi." Apa barang datang Disneyland naik kuda pusing kan? Kahkahkah.. Sekalinya, semua sibuk beratur sama nak teman naik kuda sekali. Omo, terharu acik! Terima kasih korang.

Masih di dalam kawasan Fantasyland, kami masuk ke "It's a small world". Dari luar, bangunan yang berbentuk istana ini sangat gah dan cantik. Nasihat ikhlas, cukup sekadar bergambar dekat luar saja sebab ride dalam ni sangatlah perlahan dan jaraknya agak panjang. Mengantuk hoi! Sepanjang perjalanan perkumandang lagu It's a small world. Hentian terakhir di Fantasyland ialah Fairy Tale Forest. Landskap dekat sini memang cantik dan bertemakan cerita-cerita dongeng terkenal Disney seperti Snow White, Sleeping Beauty, Cinderella dan Tinker Bell. Ada banyak photo point juga di sini. Duduk je dekat tempat yang disediakan dan taraaa! Dapatlah gambar berlatarbelakangkan suasana dalam cerita-cerita dongeng tadi.

 Sejurus sebelum Radin naik sheikh putar stering. Pening oi!

 Suka gambar ni sebab semua gembira walaupun kena naik kuda pusing. Heee..

 Depan istana 'It's a Small World'

 Dekat bahagian dalam. Ni dah sampai penghujung rasanya sebab dah ucap selamat tinggal. Seram pun ada juga dalam ni sebab sangat banyak patung-patung kecil yang bergerak mengikut muzik.
 Okey, dah sampai Fairy Tale Forest. Dalam ni ada juga beberapa stesen untuk game mini dan ada banyak bingkai macam ni untuk ambil gambar.

Landskap dalam ni memang cun! Ini salah satunya, dekat bahagian Tinker Bell.

Seterusnya, kami berjalan masuk ke Toy Story Land. Dekat sini ada banyak ride menarik juga dan ada sesi beramah mesra bersama watak-watak dari Toy Story. Waktu sampai tu, sempat berselisih dengan Buzz Lightyear je. Masa bertemu peminat dah tamat. Jadi, teruslah ke RC Racer. Dari bawah tengok macam tidaklah menakutkan sangat. Bila naik, ambik ko! Dia punya kecondongan trek tu, bikin hati kecut. Terasa sangat lama ye berada di atas tu walhal berapa minit je pun sebenarnya. Bila dia berhenti dia hujung trek, memang terasa kena gantung dekat hujung tiang.

Masih dalam kawasan sama, saya, Mada dan Radin menuju ke Toy Soldier Parachute Drop. Mula-mula macam tak berani nak naik sebab tengok dari jauh macam kecut perut juga ni. Tapi Mada dengan Radin pujuk, "Okey je ni Sazoh. Tak adventerous sangatlah. Tengok tu, ada budak-budak kecik naik." Hahahaha... Lebih kurang macam tulah. Hani tak naik sebab dia rasa kurang sihat. Makanya, cuma kami bertiga aje dan Hani duduk di kejauhan jaga beg. Naik parachute ni okey sangat, tak kecut perut pun. Takat geli-geli. Hehehe...

 Apa nama watak ni? Lupa pulak..
 Buzz nak balik makan nasi. Muka senyum tapi di sebalik topeng mungkin dah masam sebab asyik kena tahan je walaupun dah habis duty. Hahaha..

Ini dekat kawasan parachute tu

Memandangkan hari dah lewat, kami terus ke kawasan Mystic Point untuk makan tengah hari di Explorer's Club Restaurant; salah satu restoran halal di sini. Cerita pasal restoran boleh rujuk dalam entri terdahulu. Dah makan, dah solat dan dah segar sikit, kami masuk ke dalam Mystic Manor. Ride dalam ni pun best. Siap kena percikan air lagi untuk membuatkan pengunjung merasai seperti apa yang diceritakan. Bila tengok balik peta Disneyland ni kan, terasa rugi sebab banyak sangat tempat yang kami tak sempat nak masuk. Ada rezeki lagi nanti, terasa macam nak pergi balik tapi duduk dekat resort dia dan beli pas masuk untuk dua hari. Eceh, cita-cita dia tu, kemain besar haa.

Dari Mystic Point, kami masuk ke Grizzly Gulch. Tema dekat sini adalah kehidupan silam pelombong, ala ala Wild Wild West. Banyak tempat menarik untuk bergambar dan ada satu tempat untuk main air. Dia letak pam air yang digunakan pada zaman dulu dan mainlah air dekat situ. Di sini, kami naik Big Grizzly Mountain Runaway Mine Cars. Hat ni pun best. Saya naik dengan Radin manakala Mada dapat kawan baru dari Jepun sebab satu tempat duduk tu boleh masuk dua orang. Hani masih lagi tak ikut waktu ni. Mula-mula naik okeylah berlagak sebab dia jalan perlahan je dan belokan pun tak tajam dan curam. Sekalinya, bila sampai satu kawasan tinggi ni, tiba-tiba dia berhenti kejap dan syiuuuuuuuuuuu! Dia mengundur ke belakang dengan lajunya. Barulah reti nak menjerit cemas dan rasa kecut perut. Hahaha... Tapi best sampai saya ajak diorang naik dua kali tapi diorang tak layan.

Seterusnya. kami berjalan ke Adventureland. Mula-mula kami naik Rafts to Tarzan's Treehouse. Tak ada apa sangat pun dekat sini. Kalau naik ke Treehouse tu mungkin boleh nampak pemandangan cantik tapi sebab kami kejar masa nak tengok Festival of The Lion King, takat naik rakit, turun kejap dekat kawasan Tarzan's Treehouse dan patah balik ke jeti sebelum berlari mengejar masa persembahan pentas Lion King. Untuk persembahan pentas ni ada jadual dia. Kena tengok dalam pamhplet yang disediakan. Bab ni Radin punya tugas sebab hal yang melibatkan taman tema, dia senior. Lepas dari persembahan Lion King, kami berjalan dalam kawasan Adventureland ni sekadar mengambil gambar saja. Asalnya nak naik Jungle River Cruise, tapi sebab orang sangat ramai dekat sini dan kami nak kena tebus kupon makan malam dan berkejar untuk perarakan, tak jadi. Cumanya sempat naik keretapi antik yang mengelilingi Disneyland dari stesen Fantasyland. Dia ada dua stesen; satu lagi di Main Street.

 Di luar Mystic Manor. Bergambar sementara menanti Hani kembali

Ini dekat kawasan Grizzly Gulch. Setting dia lebih kurang zaman koboi.


 Ha, ini salah satu stall untuk tebus kupon snack

 Persembahan Lion King
 Best gila persembahan ni! Pelakon-pelakon dia memang fit dan bertenaga. Dahlah suara sedap pulak tu.

 Dah habis...

 Sementara menanti keretapi sampai

 Tadaaa, sampai!
Keadaan dalam gerabak. Masuk cepat, dapatlah duduk di barisan depan

Dah pusing naik keretapi, kami patah balik ke Explorer's Club untuk makan dan kemudian berkejar ke Main Street untuk perarakan. Salah satu acara wajib tengok jika ke Disneyland adalah perarakan ni. Sebelum tu, sesiapa yang belum tebus kupon snek singgah tebus dulu. Saya ambil popcorn kononnya bolehlah makan waktu tengok perarakan tu. Tapi perut kenyang sangat sampai tapau popcorn tu bawa balik Malaysia. Okeylah, tak membazir. Waktu mencari tempat yang strategik untuk tengok perarakan, terjumpa satu keluarga dari Malaysia. Sempatlah borak-borak dan berkongsi keterujaan bersama anak-anak kakak tu. Hahaha.. Bila masuk dalam ni, yang dah dewasa pun boleh kembali menjadi kanak-kanak. Bila tengok balik video-video yang direkodkan oleh Radin, boleh dapatlah bukti keterujaan kami. Kahkahkah.. Lama juga perarakan ni berlangsung dan kemuncaknya adalah persembahan pentas oleh Mickey Mouse di kawasan yang dinamakan Town Square. Tapi saya dengan Radin ingatkan lepas dia lalu Main Street tu dah habis dah, teruslah kami masuk ke dalam kedai cenderahati paling besar dalam Disneyland tu untuk membeli sedikit cenderahati untuk diri sendiri dan kawan-kawan rapat. Harga dia harap maklumlah mahalnya sebab Disneyland kan? Saya cuma beli fridge magnet dan rantai kunci saja. Begitulah kisah pengembaraan kami di Disneyland Hong Kong. Dari pagi sampai ke malam, tak cukup ye nak menjelajah semua tarikan yang ada dalam ni.

 Tinker Bell
 Monster Inc. Comel ngat dia ni sebab dia suruh penonton jerit. Bila tak kuat, dia suruh buat lagi. Kitorang pun layankan je dengan gembira. Hahaha...

 Ni pun MOnster Inc. kot kan?

 Rombongan dari filem Cars.

 Ni pun dari Cars juga rasanya. Saya reti nama filem jelah, tengoknya idak. HEhehe..

 Little Mermaid! 
 Ni ketua segala watak Disney, Mickey Mouse. Dia muncul paling akhir sebab watak utama kan?

 Ini penanda kepada pengakhiran perarakan. Belakang ni berduyun-duyun manusia mengikut untuk ke Main Street

 Sebelum melangkah ke stesen, fokus pada rupa Mickey belakang tu ye

 Duit dalam Octopus tak cukup jadi kena tambah nilai dulu guna mesin ni. Ada arahan dalam bahasa inggeris, jangan risau ye.
 Dah sampai dekat stesen utama, boleh cari hentian Tsim Tsa Shui tu

Hasil tangkapan. Sebab tak berapa nak berduit, kita beli yang paling murah untuk buat syarat kenangan dari Disneyland.

Dengan ini, tamatlah kisah hari keempat di bumi Hong Kong. Ada baki dua hari lagi ni. Kau buat apa lama-lama dekat sana tu? Kan dah jenuh nak catat pengalaman. Hahahahadoi! Ni belum masuk cerita balik kampung 2019 yang sampai nak dekat 2 minggu tu. Yang tu lagilah tak tahu bila nak mula, bila nak habis. Doakan saya rajinlah ye. Hehehe..

GBP Invades Hong Kong&Macau Episode 14: Disneyland Hong Kong, Kami Datang! (Bahagian 1)

Hello Disember! Tiba-tiba dah nak habis tahun 2019. Sebelum bertukar tahun 2020, marilah habiskan catatan perjalanan di Hong Kong tahun lepas. Nampak tak, sampai dah bulan 3 tahun 2020 baru entri ni keluar. Lama sangat terperuk dalam draf. πŸ˜‚πŸ˜‚πŸ˜‚πŸ˜‚ Sungguh tak produktif ye, makan tahun nak habiskan karangan satu perjalanan. Hari keempat di bumi Hong Kong, kami berkunjung ke taman tema terkenal di seluruh dunia, Disneyland. Selaku seorang manusia yang kurang gemarkan taman tema, perasaan waktu mula-mula nak pergi tu biasa-biasa je.

Pagi tu kami gerak awal untuk membolehkan kami masuk sebaik saja pintu Disneyland dibuka. Dari pusat bandar, kami naik MTR dan ada tukar laluan beberapa kali tak silap. Gerabak terakhir yang kami naiki untuk tiba di Disneyland sudah pun bertemakan watak terkenal Disney, Mickey Mouse. Waktu ni dah tak ramai orang dalam gerabak sebab yang naik tu semua pengunjung ke Disneyland. Dapatlah duduk dan menjakun bergambar.

 Antara pemandangan dalam perjalanan ke Disneyland

 Tingkap pun bentuk kepala Mickey

 Pemegang dalam gerabak pun sama

Dah sampai depan pintu masuk sebaik saja keluar dari stesen. Muka wangi lagi ni masing-masing.

Sedikit info yang boleh dikongsikan, Disneyland Hong Kong terletak di Lantau iaitu salah satu pulau yang membentuk Hong Kong. Lapangan terbang antarabangsa juga terletak di pulau sama. Jadinya, semedang boleh nampak kapal terbang di ruang udara Disneyland. Sampai je dekat Disneyland tu, kena tuntut tiket masuk dulu. Jadinya, kami ke kaunter tiket dan tunjuk QR kod dari Klook dan pasport juga tak silap. Kemudian tu dia bagi 4 keping tiket untuk seorang. Sekeping tiket masuk, lagi 3 keping tu untuk kupon makan (snack, lunch dan dinner). Tiket pun comel sebab ada karakter dari Star Wars.

Tiket masuk kami beli di Klook untuk dapatkan harga yang lebih murah. Harga untuk seorang RM 280. Kami juga beli kupon makan dari laman web yang  sama untuk memudahkan urusan. Saya difahamkan, Disneyland Hong Kong adalah satu-satunya Disneyland di dunia yang menyediakan restoran makanan halal. Ini info pada tahun 2018 ye, info terbaru saya tak pasti. Ada dua pilihan kupon iaitu set 1: makan tengah hari + snek dan set 2: makan tengah hari + makan malam + snek. Disebabkan kami tamak, kami ambil kupon set 2. Harga kupon makan set 2 ni RM 117 seorang. Sangat berbaloi guna kupon ni sebab pilihan makanan banyak dan saiz hidangan juga setimpal dengan harga.

Sebab beli tiket guna nama saya, sayalah yang kena tebus di kaunter. Kaunter ada banyak dan kebetulan kami awal maka orang tak ramai lagi

Terdapat dua pilihan restoran untuk makanan halal iaitu The Explorer's Club dan Tahitian Terrace. Waktu kami pergi tu, Tahitian Terrace ditutup untuk kerja-kerja pengubahsuaian. Walaupun hanya satu restoran yang beroperasi, pilihan makanan masih banyak. Untuk yang perut Jawa macam saya, jangan risau sebab ada set nasi juga. Nasi goreng ada, nasi putih ada. Cumanya untuk kupon ni, kena pilih set dengan harga yang ditetapkan. Kalau kurang, tak boleh claim baki yang kurang. Kalau lebih, kena bayar kot. Ke tak boleh pilih makanan yang harganya lebih dari yang ditetapkan? Lupa sudah. Oh, baru teringat! kami ambil set 2 tu sebab kononnya nak cuba kedua-dua restoran yang ada. Sekalinya cuma satu je yang buka daaa. Nasihat untuk anda, sebenarnya kupon set 1 sudah memadai sebab masuk dalam tu lebih kepada nak main permainan yang ada dan memang kenyang dia lama. Macam kami, waktu nak makan malam tu, perut masih kenyang lagi tapi sebab dah beli, kami makan jugalah. Cuma snek la yang tak habis. Dapatlah bawa balik Malaysia popcorn sedap tu. Untuk snek, boleh pilih popcorn atau aiskrim. Nak tebus, tunjuk je kupon yang diberikan di pintu masuk tadi. Banyak je tempat nak tebus snek ni, tak perlu risau okey?

 Ada menu makanan dekat pintu masuk restoran. Boleh ulangkaji dulu sebelum masuk barisan untuk memesan. Hehehe..

Makanan kami berempat. Portion besar dan pada saya, sesuailah dengan harga yang dikenakan. Sedap pun sedap.

 Ni set makan tengah hari yang saya pilih. Nasi goreng tak ingat nama dia.

 Keadaan dalam restoran. Kawasan dia sangatlah besar. Ini bahagian kaunter untuk beli makanan. Kalau masih tak pasti, boleh tengok dalam display tu, dia ada letak replika hidangan untuk setiap menu yang ada.

 Antara ruang makan yang ada. Setiap bahagian ada tema tersendiri.

 Ini set makan malam saya. Tak ingat apa tapi rasanya tema Korea. Yang ni kurang berbaloi sebab daging tu tulang je banyak dan daging agak liat.

 Ini contoh aiskrim yang boleh ditebus dengan kupon snack

 Ini pula popcorn yang ditebus sejurus sebelum perarakan bermula. Bekas popcorn ikut tema dekat mana kita redeem

Ini rupa kupon makan. Tema pada hari tersebut kalau tak silap Star Wars. Jadi, setiap kupon ada watak berbeza

Tempat solat juga disediakan dalam ni. Takdelah dia tulis musolla sebab bilik tu untuk bilik ibadat bagi semua agama. Dia panggil Quiet Room dan tak ada asing untuk lelaki dan perempuan. Pandai-pandailah nak hidup ye. Tempat wudhuk juga ada disediakan dan kena bergilir juga. Selesa semuanya cuma kena pandai bawa diri di tempat orang ye. Quiet Room ni satu tempat dengan The Explorer's Club. Jadinya, kalau makan tengah hari dekat situ, senanglah nak solat.

Pintu masuk ke kawasan wudhuk. Kongsi juga lelaki dan perempuan. Kalau bimbang ada orang lelaki masuk, ajak la geng bergilir tunggu depan ni. Alhamdulillah selesa dan mudah tempat berwudhuk ni.


Itulah serba sedikit info yang saya boleh kongsikan berdasarkan catatan yang saya buat dan rujukan dari internet juga. Kot la pada masa akan datang keadaan dunia dah kembali pulih dan ada yang diberi rezeki untuk ke sini, mungkin bolehlah jadikan rujukan.