Engagement Fund ;)

Showing posts with label Cha...cha...cha.... Show all posts
Showing posts with label Cha...cha...cha.... Show all posts

Thursday, 20 March 2014

Terasa Nak Belajar Menari

Lepas ponteng aerobik minggu lepas, minggu ni datang balik. Emosi tak stabil katanya minggu lepas ditambah terlalu penat sebab jadual padat, dah bayar yuran pun ada aku kesah? Hahaha... Hari ni dengan Cikgu Wati, jadi seronok sebab sambil dia buat sambil dia bagi tahu langkah-langkahnya. Maklum la orang ponteng minggu lepas, mana nak tahu langkah baru kan?

Masuk dalam dewan je, Cikgu suruh ambik kerusi. Nak aerobik sambil duduk katanya. Dalam kepala dok ingatlah lagi tak penat ke apa, sekalinya lagi penat ko! Buat gerakan sambil duduk rupanya memerlukan lebih komitmen daripada otot-otot betis dan peha. Penat pun kena cuba angkat jugak sebab otot tu dah manja sangat! Selepat kena kat muka sendiri. Hahaha... Okey cikgu, saya buat sehabis daya. Peluh lebih banyak menjejes walaupun bersenam sambil duduk. Cikgu cakap, teknik ni untuk kedua-dua bahagian, lower dan upper body. Sebab baru buat pertama kali, maka kami buat separuh set je. Waktu guna kerusi, kena buat plank. Menggigil tangan tahan badan dan dalam masa yang sama betulkan posisi. Sambil tu sempat lagi fikir; 'Ini kalau terlepas pegangan ni, tak tahu nak cakap.' Hahaha... 

Inilah dia yang dikatakan plank

Dah penat duduk, pergi simpan kerusi; sesi kedua sesi 'joget' pulak. Yang ini aku suka walau langkah berterabur. Masih boleh ikut lagi sebab Cikgu buat dan cakap. "Dua kanan. Dua kiri." "Kanan depan, tutup belakang. Kiri belakang, tutup depan." Gituuu... Lagu apa? Macam-macam lagu, macam-macam tarian ada. Dangdut? Hindustan? Mambo? Tango? Salsa? Masuk semua sekali. Tinggal reti tak reti je nak buatnya. Hehehe... Kalau keluar lagu Shakira tu, ko siap la nak kena gelek dan fokus senaman perut. Tertahan-tahan nafas kempiskan perut sebab nak ikut teknik. Hahaha.... Terasa berkobar-kobar nak belajar menari sebab macam best je tengok orang lain reti buat. Lepas ni kalau tengok hindustan, mau aku ikut hero dengan heroin tu menari sekali. Nak asah bakat kekdahnya. Heeee...

Memang best la aerobik ni! Kalau ada yang minat nak datang pun boleh, tinggalkan komen di bawah ye. Bayaran ada fasa-fasa dia. Sangat berbaloi bayarannya dengan apa yang kita dapat. Tapi hanya untuk wanita sahaja ye.

Borong!


Karpet...karpet...karpet... Itulah yang dilaungkan bila bungkusan-bungkusan Poslaju berisi yoga mat ni sampai ke pejabat. Masing-masing semangat memberi komitmen kepada aktiviti aerobik yang kadang-kadang serius kadang-kadang menyeronokkan. Minggu sebelumnya, cikgu suruh beli yoga mat untuk buat conditioning dengan sebetulnya. Aku berangan la nak pergi ukur Jusco sebab cikgu kata kat situ ada jual dan boleh dapat murah. Malangnya, jarak Jusco dari rumah tidaklah sedekat jarak rumah dan pejabat. Maka, hujung minggu itu berlalu tanpa aktiviti mengukur bangunan.

Hari Isninnya, mata ni berat tahap tak boleh nak tongkat; sambil tanda tugasan budak-budak ni, sambil tertutup-tutup mata. Maaflah ye kertas siapa yang ada macam terconteng sikit tu. Hehehe... Untuk hilangkan ngantuk, aku angkut Note 8 keluar dan duduk di bangku depan DKU. Tengah hadap Note 8, tinggggg! Mentol menyala atas kepala. Kenapa tidak aku beli je online yoga mat ni? Nak guna hari Khamis, kalau beli hari ni mesti sempat sampai hari Khamis. Terus buka Google dan masuk dalam Lelong. Eh, ada yoga mat berharga murah; 36 hengget termasuk kos pos! Terus hilang ngantuk. Kahkahkah... Kebetulan sebelum ni dah gatal tangan pergi daftar jadi ahli, laju je la aku klik itu, klik ini, dan bayar. Sejak guna BIMB Visa Debit Card ni, lagi laju aku shopping online. Hahaha... 

Sebab ini kali pertama beli dekat Lelong, tak berani nak kecoh-kecoh dengan geng aerobik lain untuk beli berjemaah. Kalau kena tipu ke, tak ke haru? Kalau aku sorang yang beli dan kena tipu, tak adalah dahsyat kerugiannya. Hari Khamis tu, aku pun bawa la yoga mat warna hijau bercorak merak ke kelas. Masing-masing dok tanya beli kat mana, harga berapa. Siap kena marah lagi apasal beli tak cakap? Ha, sebabnya seperti yang dinyatakan tadilah. Sebab dah dibuktikan peniaga ni boleh dipercayai, marilah tempah dengan saya; 36 hengget saja termasuk pos. Kat luar belum tentu jumpa harga begini biarpun ketiak berpeluh-peluh keluar masuk kedai mencari kan? Sebab kalau kat kedai memang harga dia mahal; paling murah RM 59.90 yang pernah ditemui. 

Aku rasa adalah empat kali kot aku berurusan dengan peniaga ni di Lelong. Alhamdulillah, servis cepat dan memuaskan. Lepas ni bolehlah kalau nak berurusan dengan dia lagi. Yang gambar atas ni tempahan kedua, sekali 8 aku beli. Dah ada yoga mat, dah ada dumbbell, silalah jangan ponteng kelas ye. Tuan Tanah berkata dihadapan cermin.

Thursday, 27 February 2014

Bila Otot Betis Dah Kuat...

Bermula Februari, kelas aerobik yang terhenti sejak lepas raya tahun lepas bermula semula. Macam tahun lepas jugak, seminggu ada dua kali iaitu Selasa dan Khamis. Tapi tahun ni hari Selasa pun ada tuisyen, maka gundah gulana aku dibuatnya. Waktu pertama kali kelas, aku siap minta pelepasan pada bos tuisyen untuk datang aerobik. Sokongan itu penting, kang kalau kita buat program orang tak datang pulak. Prinsip aku pegang dari zaman U dulu. Bukan semata-mata kerana prinsip tu, tapi memang sukarela nak buat. Benda baik yang memberi manfaat, buat apa nak bantah? Lepas dari tu, aku cuma datang sesi hari Khamis je.InshaAllah bulan depan boleh datang dua-dua sesi sebab dah bincang dengan Kak Ijan untuk ubah sikit masa kelas.

Hari ni kelam kabut sungguh sebelum aerobik sebab ada program dan kebetulan kali ni jadi AJK Jamuan; nak tak nak kena tunggu siap kemas semualah baru beransur. Dengan dah lewat, dengan perut penuh sebab makan tak berhenti dari pagi, laju-laju tukar baju dan solat. Nasib baik sempat sampai sebelum kelas mula. Setiap hari Khamis kelas jadi agak serius sebab fokus untuk bentuk tubuh badan. Bak kata Cikgu Wati, nak turunkan berat badan senang tapi nak mantapkan bentuk badan tu yang susah. Sesi ni dipanggil conditioning.

Aktiviti-aktiviti untuk conditioning ni macam sit-up, crunch, dan push up. Ada lagi beberapa tapi tak ingat nama. Hehehe... Memang tak memerlukan pergerakan yang terkinja-kinja. Tapi sebelum buat conditioning kena buat cardio dulu supaya proses pembakaran lemak lebih berkesan. Aiseh, dah lupa pulak penerangan Cikgu minggu lepas. Tapi memang kena buat cardio dulu sampai semput baru mula buat conditioning. Cardio ni yang melibatkan pergerakan seluruh badan macam jogging atau lari setempat. Dalam sesi kitorang, kalau nak cepat semput, buat shuffle. Memang semput betul lepas melompat tu. Hahaha...

Crunch

Sit up

Push up

Seronoknya kelas Cikgu Wati ni sebab sambil buat sesuatu gerakan tu sambil dia bagi penerangan saintifik macam bahagian otot mana yang digunakan dan apa kesannya pada badan serta regangan yang perlu dilakukan sekiranya otot-otot terasa tegang selepas melakukan gerakan tersebut. Macam tadi, kitorang buat satu senaman 'jengket-jengket'. Kena jengketkan kaki lepas tu turunkan tapi tak boleh cecah lantai, kena tahan separuh. Minggu lepas pun ada buat tapi tak diterangkan kenapa kena buat macam tu. Tadi Cikgu cakap gerakan tu untuk kuatkan otot betis. Mula-mula buat perlahan, lepas tu buat laju-laju, lepas tu buat separa perlahan dan separa laju. Terasa otot betis tegang. Bila otot betis dah kuat nanti, bolehlah ukur shopping mall lama sikit. Eh? Hahaha...

Hari ni jugak kena bawa yoga mat untuk buat conditioning ni. Kenapa kena pakai yoga mat? Sebabnya melindungi tulang belakang daripada tekanan melampau. Bila duduk atas yoga mat, tekanan akan diserap oleh tikar. Macam bagus pulak aku terangkan ni eh? Entah betul, entah salah, korang pun kagum je baca. Muehehe... Tapi itulah yang cikgu terangkan, aku cuma olah balik ikut maklumat yang terlekat dalam otak ni. Kalau terasa nak terkinja-kinja menari dan melompat, kena datang kelas hari Selasa sebab memang hari Selasa sesi menari dan melompat tu. Tak ada masalah pun nak melompat sebab semuanya perempuan dan kelas dibuat di tempat tertutup. Kelas hari Selasa bolehlah kalau nak solat maghrib dulu baru mandi sebab tak ada buat gerakan sambil duduk. Tapi kelas hari ni, bukan setakat duduk, siap kena baring ko! Nasib tak ada bantal je, kalau tak mau lelap tu. Hehehe..

Tuesday, 16 April 2013

Buatku Tersenyum

Penat tapi 'terbukak' laptop pulak jadi merajinkan diri mencatat barang seperenggan dua. Semalam petang sebelum ke kelas tuisyen aku singgah KFC gara-gara terpengaruh iklan ayam pedas bersalut dia tu. Tak adalah pedas mana pun tapi okeylah. Cuma dia salut tu sikit sangat, lekat celah gigi je kekdahnya. Sedang mahu duduk untuk menikmati makanan, satu mesej masuk di WhatsApp. Datangnya dari sahabat yang kini sibuk dengan tugas baru di HKL. Ajak minum katanya, maka ku suruhlah beliau datang ke KFC sekarang. Ingatkan cuti ke hape, rupanya baru nak gerak keluar dari hospital. Memang tak sempat la gamaknya. Beliau tanya, "Makan dengan siapa?" Aku dengan jujurnya menjawab; "Makan sendiri je, nak terus ke tempat tuisyen lepas ni." Sekali tu dia balas, "Sazoh makan sorang nak kena ngorat!" Muahahaha... Tergelak tanpa suara kejap dekat situ. Hah, ngoratlah sangat! Dah kau senyum sorang-sorang depan telefon, ingat ada ke orang nak ngorat? Hahahaha... Sabor jelah Hani ni. Eh, kalau ada kawan nak teman makan, aku setuju je. Masalahnya tak ada! Daripada kelaparan, baiklah aku makan je dekat sudut tersorok tu sorang-sorang.

Pagi ni lepas habis kelas, nampak ada mesej masuk kat WhatsApp. Bila baca, memang rasa nak melompat keriangan sebab memang terlalu gembira! Macam tau-tau je aku tengah meroyan nak ke tempat tu. Memang sah hati kita saling bertaut sebab semalam petang baru je bincang-bincang dengan salah seorang teman jenayah untuk ke tempat jauh tu. Tup tup pagi ni ada orang ajak pergi situ pulak. Semoga dipermudahkan segala urusan dan semoga rancangan ini menjadi. Kadang-kadang, kena pergi tempat jauh dulu barulah jalan untuk ke tempat dekat dipermudahkan.

Asyiklah teringat saranan teman jenayah sepanjang hari sampaikan tersenyum sorang-sorang kecuali waktu aerobik. Terus tak fikir apa dah, menghayati gerakan kekdahnya. Hehehe... Minggu lepas aerobik dengan perut yang penuh berisi semangkuk mi kari. Sebab pukul 4 tu ada jamuan dan tengah hari tak makan, aku pun lupa pukul 5.30 kang ada aerobik. Dah nak habis makan baru teringat; semputlah melompat dengan perut penuh berisi. Nasib baik tak sampai muntah. Hehehe... Jadi petang tadi beringat untuk tak makan berat dua jam sebelum aerobik. Makan roti je lepas habis kelas petang. Hari ni buat body weight training. Apa itu body weight training? Boleh baca di sini. Gerakan dia tak banyak macam aerobik biasa tapi menggunakan otot-otot secara maksimum. Walaupun tak banyak bergerak macam biasa, peluh tetap menjejes dengan rancak malah lagi banyak kot.
Semua langkah yang ada kat tu kitorang buat petang tadi. Ditambah dengan sedikit kick boxing. Fuh, memang terbaiklah! Habis je sesi cooling down, kaki pun macam tak larat je nak jalan sebab banyak gunakan otot peha. Sampai terketar-ketar dibuatnya; buat cha cha pun macam tak sudi je sebab kaki lenguh.  Kalau tak tu, memang cemerlang tang lenggoknya. Hehehe.. Bahagian badan lain tak terasa sakit lagi ni, tengok esok macam mana sebab kadang-kadang lenguh-lenguh bahagian atas badan datang sehari selepas iaitu waktu bangun pagi keesokan paginya. Ini baru buat gerakan asas, minggu depan cikgu kata nak buat gerakan ni sambil pegang dumbbell, lagi mencabar nampaknya.

Wednesday, 3 April 2013

Nasib Baik Tak Demam

Assalamualaikum...bulan baru, minggu baru, entri baru. Semalam tak larat nak hadap blog jadi bila larat, mari lepas gian nak menaip. Sesi aerobik pertama untuk bulan April bermula semalam. Kali ni ada benda baru dimana kami menggunakan dumbbell semasa aerobik. Disebabkan tak sempat keluar cari dumbbell, maka aku guna botol air mineral yang 500ml tu je. Cikgu kata kalau tak ada, guna yang tu maka beramai-ramai la cari botol air. Masanya memang cantik sangat sebab minggu lepas aku baru je buang dua botol air mineral kosong gara-gara audit 5S. Jadi sebaik saja kelas tamat, menyinggah la aku di kiosk untuk beli dua botol air mineral.

Macam biasa, sesi dimulakan dengan pemanasan badan. Lepas dari tu barulah mula sesi guna dumbbell. Ingatkan senang-senang je angkat macam tu, sekalinya teknik kena betul-betul atau otot akan tercedera. Sebelum mula, Cikgu siap cakap; "Kaedah dumbbell ni agak berat. Kalau orang yang tak tahan, boleh demam dibuatnya." Uisshhh, seram mendengarnya! Jadi aku buat ikut apa yang Cikgu ajar sambil cuak dalam hati takut salah teknik dan tercedera. Kikikiki...

Perbezaan aerobik biasa dengan aerobik menggunakan dumbbell adalah kepenatan lebih terasa dan kadar perpeluhan juga meningkat. Baru separuh jalan, peluh dah menjejes tahap gaban. Lepas tu tak bawa tuala kecil untuk lap peluh, elok sangat la tu. Nasib baik ada tisu maka kesat dengan tisu ajelah. Walaupun lebih penat dari biasa, tapi rasa lebih gembira sebab dah dapat kuasai step untuk lagu bara bara; tak tahu tajuk lagu tu tapi ada sebut bara bara. Hehehe... Step untuk lagu tu agak susah dan memang selalu aku belasah je bila tiba bahagian yang rumit tu. Tapi semalam neuron-neuron otak dah bercantum dengan jayanya maka dapatlah aku ikut semua step. Yiiihaaa! Ahaks... Kalau tak, tunggu lagu cha cha jelah untuk menunjukkan prestasi cemerlang sebab step untuk cha cha amatlah senang. Hehehe...

Jadi balik semalam memang penat tapi bolehlah kalau nak masak cuma mood tak-kuasa-nak-masak tu datang maka menapaulah saja. Badan pun ok je, tak adalah sakit-sakit. Ingatkan dah tak ada apa-apa, sekalinya malam tadi tak boleh tidur kau! Habis sakit satu badan. Pagi tadi bangun tidur mata macam panda; ada sikit bengkak sebab tak cukup tidur. Tapi setakat sakit badan jelah, tak sampai demam. Nasib baiklah tak demam kalau tak mau MC kot hari ni. Cikgu cakap kalau sakit badan jangan urut nanti lagi cedera. Cuma buat regangan je untuk legakan sikit sakit-sakit tu.

Hijau tak ada, biru pun boleh

Lepas ni dah boleh guna dumbbell sebab dah kirim dekat Kak Dayah. Memang gigih betullah Kak Dayah pergi beli dumbbell malam tadi. Bukan beli sepasang atau dua pasang je, tapi sampai enam pasang! Tersenget-senget angkut 12 kg dumbbell ke kereta. Hehehe... Terima kasih ye Kak sebab tolong belikan.