Engagement Fund ;)

Friday, 30 December 2011

Sementara Mencari

Setiap pertemuan, memang akan ada saat perpisahan. Entri sebelum ni sebenarnya tulis tengahari tadi. Tapi sebab internet sengal, tak dapat nak terbitkan sebaik saja selesai mengarang. Konon-konon nak mencuba salah satu aplikasi dalam Android phone. Hehehe...

Petang tadi adalah saat berpisah yang aku tak berapa nak gemar. Dari mula lagi aku cakap kat diri sendiri; 'jangan sampai menangis!' Iye, aku memang sangat mudah mengalirkan air mata lagi-lagi waktu nak ucap selamat tinggal. Bila berjumpa dengan staf-staf yang ada di pejabat untuk mengucapkan selamat tinggal, alhamdulillah aku berjaya untuk tidak menangis. Dah habis pusing akhir sekali jumpa Pengarah. Bosku pun temankan sekali. Lepas tu barulah aku berangkat pulang. Waktu nak salam dengan bos, beliau kata nak hantar sampai luar. Waktu tu dah sebak dah. Jadi sampai kat luar baru kami bersalaman dan air mata yang ditahan menitis juga akhirnya. Setahun lebih bekerja di bawah beliau, memang sangat banyak perkara baru aku belajar. Rapat jugalah dengan beliau. Itu yang sedih tu. Terima kasih banyak-banyak kerana sudi beri peluang untuk menjadi sebahagian daripada warga kerja di sana. Terima kasih juga atas segala tunjuk ajar yang diberikan. Mudah-mudahan kita berjumpa lagi.

Sebenarnya bos aku dah terangkan sebab musabab kontrak tak disambung segera. Tapi biarlah rahsia selagi tiada kata putus dari pihak teratas. Waktu bersalaman tadi, semua orang tanya apa rancangan seterusnya. 2 daripadanya dah sebut pada entri sebelum ini. Selebihnya aku nak senarai kat sini. Sementara mencari hala tuju baru, perkara penting yang perlu dibuat adalah;
1. Kosongkan bakul baju kotor (hari-hari basuh pun tak surut jugak baju kotor tu.Banyak sangat baju gamaknya)
2. Memulakan operasi mengemas rumah secara besar-besaran (dah macam tongkang meletup dah rumah ni. Rimas dibuatnya)
3. Sental Mrs. Kanc sampai kilat (sesi berjimat patut bermula)
4. Godek-godek ketuhar 'baru' (tak adalah baru pun. Cuma baru guna beberapa kali je untuk bakar lasagna dan biskut. Bakar kek baru pertama kali malam tadi. Gelabah dibuatnya bila kek tak masak sekata macam dulu)
5. Buat cream puff dan beberapa makanan lain (WAJIB mulakan langkah seterusnya untuk mencapai cita-cita murni yang dah diuar-uarkan sejak dulu lagi)

Ini sajalah dulu. Banyak-banyak kang tak terbuat pulak. Selamat melangkah ke tahun baru. Semoga tahun depan lebih baik daripada tahun ini.

Menjakun

Assalamualaikum..Asal hari Jumaat je baru terasa nak insaf. Hari ini sudah 30 Disember dan esok merupakan hari terakhir bagi tahun 2011. Hari ini juga merupakan hari terakhir aku bekerja secara rasmi. Kontrak tidak diperbaharui lagi. Tidak berapa pasti apa masalahnya.


Apapun, sepanjang 1 tahun 4 bulan di sini telah benar-benar membuatkan aku buka minda dan buka mata pada alam pekerjaan. Cerita-cerita yang disampaikan oleh orang-orang di sekeliling membuktikan bahawa cabaran di alam ini jauh lebih hebat berbanding waktu belajar dulu.


Azam tahun baru;

+ Nak tingkatkan prestasi diri.

+ Serius dalam mencari kerja.


Azam macam bagus je. Hahaha... Bak kata orang, impian kena tinggi supaya usaha yang dicurahkan untuk menggapai impian tu bersungguh-sungguh. Baiklah, berhenti dulu di sini. Sebenarnya nak cuba buat entri pendek je menggunakan harta baru. Tapi tergigih pulak taip panjang-panjang. Hehehe... Sampai jumpa lagi...


Published with Blogger-droid v2.0.2

Wednesday, 28 December 2011

Lega...

Selepas seminggu aku mengadap kertas periksa budak-budak ni, akhirnya siap sudah tugas menanda. Banyak gila kertas nak tanda sem ni. Dekat 200 set jugak la. Nasib baik dah kurang sikit dari jumlah asal sebab ada kes sebelum peperiksaan bermula tempoh hari. Kalau tidak..............

Macam-macam gaya aku buat sepanjang menanda ni.

Bosan?


Serius?



Kesian?



Jahat?



Semuanya ada. Gaya kuak terlentang je tak sempat buat. Hahahaha...

Kali ni aku malas nak skema sangat. Mana-mana yang markahnya 'hidup segan mati tak mahu tu', aku bagi je lulus. Tapi tengok jugalah budak yang macam mana. Kalau budaknya berakhlak dan hantar semua tugasan, dengan senang hatilah aku bagi dia lulus. Tapi kalau yang hampeh; kerek dan tak hantar tugasan, "sila cuba lagi semester berikutnya". Agak-agak budak yang lemah, aku timbang kati je bagi markah. Asalkan tugasan lengkap, insyaAllah tak gagal. Kalau ulang modul atau periksa pun, belum tentu lagi diorang boleh buat. Entah-entah dapat markah lagi teruk. Kalau panjang umur aku, murah rezeki untuk sambung lagi kontrak di sini, bukan aku jugak ke yang kena mengadap diorang? Hehehe...

Soalan sem 2 adalah sangat senang. Tetapi kesian kepada budak-budak sem 1 sebab soalan agak susah. Silibus banyak kan main, tapi masa pendek. Nak ajar dengan terperinci pun tak boleh juga sebab tak cukup masa. Nak tak nak, sentuh sikit-sikit je setiap topik yang rasanya boleh sekadar di pinggiran. Ada juga topik yang keluar kali ni tidak termaktub secara jelas dalam silibus. Tapi aku pernah la sentuh topik tu. Nasib baik...

Lepas ni, kena kemaskan meja. Nak lupuskan kertas-kertas tugasan dan peperiksaan pelajar-pelajar yang dah selamat menamatkan pengajian. Buat semak je kertas diorang tu. Nak kena angkut balik buku-buku rujukan yang aku guna sepanjang mengajar kat sini. Kontrak aku macam 'hidup segan mati tak mahu'. Bila orang tanya aku tak ada mintak tempat lain ke? Mestilah ada mintak. Dah namanya kontrak, haruslah tak terjamin. Cuma belum ada rezeki lagi. Semoga semuanya dipermudahkan.

Nota: Entri ni dah tulis daripada minggu lepas lagi. Cuma tak berkesempatan nak sudahkan je. Jadi hari ni baru sambung. Maka dengan ini saya isytiharkan bahawa minggu ini adalah minggu terakhir aku bertugas di ILP ni. 

Wednesday, 21 December 2011

Siapa Tak Suka Benda Percuma?

Baru ni aku terjumpa satu blog yang mengatakan servis Shoutmix Chatbox akan dikenakan bayaran mulai tahun 2012. Mula-mula tu macam, 'Aik?ye ke?' Sekali tu, aku pun gagahkan diri mencari kebenaran perkara tersebut. Memang sah lagi sahih bahawa penggunaan kotak sembang Shoutmix akan dikenakan bayaran. Kalau perasan, dekat bahagian atas kotak sembang tu dia ada tulis 'Important Notice' macam yang kat kotak sembang aku ni;


Sebab apa kena bayar? Sebab pengasas dia kata; "Kebanyakan pengguna selesa menggunakan servis percuma tanpa mahu menaik taraf servis yang mereka gunakan kepada servis berbayar. Hal ini menyebabkan saya rugi besar. Tahu tak?" Lebih kurang cenggitulah ayat dia. Kalau nak tahu dengan lebih lanjut, sila tekan pada Important Notice tu ye.

Heh, dalam dunia siapa yang tak suka benda percuma? Dah lah percuma, nampak pulak bendanya. Lagilah suka. Pahala pun percuma juga. Tapi sebab pahala tu tak nampak, maka orang pun buat tak berapa nak kisah. Cuba kalau pahala tu nampak, lagi ramai orang nak buat benda percuma kat dunia ni kan? Kutip sampah contohnya. Atau senyum kepada orang yang ditemui. Atau redha dengan rezeki yang Allah bagi. Pasti...pasti sangat bahawa tidak akan ada secebis sampah pun di atas jalan atau tiada orang yang selamba yaya mengutuk rezeki di depan mata.

Jadi, kepada anda yang rasa kedekut nak bayar servis ni, sila cari alternatif lain. Aku memang nak padam je benda ni sebab macam banyak orang promosi barang je kat situ. Kalau aku meniaga, lainlah kan? Boleh juga aku pergi balik tempat mereka buat promosi. Orang tak terkenal, memang tak ada orang datang bagi salam. Hehehehe.... Tapi, nak ucap juga terima kasih kepada kawan-kawan yang singgah sini dan tinggal jejak di kotak sembang ku itu. Lepas ni mungkin dah tak letak apa-apa. Tengok keadaan la ye.

Wednesday, 14 December 2011

Wordless Wednesday: Karipap Huduh

 Sebelum

Selepas



*Karipap buatan sendiri kali kedua selepas pemergian Mak.

Monday, 12 December 2011

Salah Niat Kot...

Ini cerita semalam pulak. Mentang-mentang hari ni cuti, sakanlah meronda satu hari semalam. Terima kasih Aten dan Na sebab mengingatkan aku rancangan tu. Boleh pulak aku lupa ek? Hahaha... Pagi yang tak pagi sangat, bersiaplah aku menggosok baju bagai dan tepat jam 11 pagi, sudah sedia menanti Aten datang menjemput. Sejak Aten ada kereta baru, aku pulak yang jadi penumpang merangkap co-pilot. Hehehe... Dalam pada berseronok tu, ada satu tragedi berlaku. Tragedi yang membuat kami semua cuak. Rasanya tak payahlah aku gebang pasal tragedi tu kot. Terus zasss ke saat perasaan sedikit lega selepas tragedi.

Lepas berlegar di kawasan Bangi, kami terus ke Shah Alam. Sebab masing-masing dah lapar, sepanjang jalan dok sibuk kata nak makan nasi kandar. Aku pun sekali dah terbayang-bayang kari campur nasi kandar tu. Nyummmss.. Sampai Shah Alam, boleh pulak tertukar rancangan makan nasi Arab. Restoran Zam-zam nama dia. Aku tak perasan la pulak ada restoran tu kat belakang Plaza Shah Alam. Suasana restoran ni nampak mewah dan pelayan dia semuanya orang luar. Bagi aku, makanan dia agak mahal berbanding restoran nasi arab lain yang pernah aku pergi. Tapi, inilah kali pertama orang tarikkan kerusi untuk aku. Memang jakun betullah aku. Hahaha... Aten boleh pulak tanya; "Kenapa dia tarikkan kerusi untuk ko dengan Na je?" Aku pun kata;"Agaknya ko duduk cepat sangat kot." Takpe, kalau nak orang tu tarikkan kerusi, jom kita datang makan lagi satu hari nanti. Hehehe...

Bila tengok buku menu dia, terus tak tahu nak makan apa. Kalau dah namanya restoran nasi arab, menu dia sama je. Ada kabsa, ada mandhi, ada kebab, etc. etc.... Semua nampak sedap. Mungkin sebab gambar dia menarik atau juga sebab kami lapar. Akhirnya aku dengan Na pesan Chicken Mandhi dan Aten pesan Chicken Briyani. Sebagai orang tamak yang kelaparan, kami tambah satu hidangan kebab. Kongsilah kan. Untuk minuman, aku dengan Na pesan seteko teh hijau. Jimat weh, angkut teko sekali. Aten pulak minum Ice Lemon Tea. Masa menunggu tak lama. Baguslah kan sebab masing-masing dah lapar. Hehehe.. Jadi, inilah makanan kami........

Chicken Kebab (kot nama dia..) Kulit dia sedap. Yang putih tu aku tak tau sebab tak sempat rasa. Yang merah tu macam tomata lecek. 

 Chicken Mandhi. Ayam dia separuh kot. Beeeesaaaarrr tahu ayam dia. Boleh makan 2 orang.

Zoom sikit chicken mandhi Zam-zam. Nasi dia macam nasi beriani ada, macam nasi minyak pun ye jugak. Ada kismis dalam nasi.  

Chicken Briyani. Nasi dia nampak macam....errr, nasi ayam?

Terus terang cakap, memang kenyang gila makan sepinggan chicken mandhi ni sorang-sorang. Sebab dia adalah RM 20 sepinggan, aku makan jugak sampai licin. Waktu tengah berusaha nak habiskan ayam tu, aku cakap; "Ni kalau datang dengan suami, kena pesan sepinggan je chicken mandhi. Lepas tu pesan 1 nasi kosong." Tetiba Aten menyampuk; "Habis tu kalau datang dengan aku tak boleh la?" Terus berderai ketawa kami. Kahkahkah... Boleh jugak. Aku bagi perumpamaan jelah. Banyak juga yang kami bualkan sepanjang percubaan nak habiskan makanan tu. Na kata; "Lepas ni seminggu aku tak makan ayam." Hehehe... Semua sekali RM 83. Mahal tak? Kiralah sendiri.

Perut dah kenyang, terus ke SACC Mall. Nak membeli-belah katanya. Rasanya, satu bangunan juga kami tawaf. Singgah kat MPH. Konon-konon nak beli Ombak Rindu. Tapi tak ada diskaun. Terus tak jadi beli sebab nanti aku nak pergi ke Alaf 21 borong novel. Boleh dapat banyak diskaun. Hehehe... Ada orang tu kata nak beli kasut. Sajalah masuk Big Brown Bag. Habis satu kedai kami telek, ada pulak kasut terkenan. Sebab kedai ni untuk orang-orang bersaiz besar, maka semua pakaian dan kasut yang ada memang sesuai dan selesa. Tapi aku kata, nak tengok kedai lain dulu. Kot-kot ada yang lagi cantik. Akhirnya kami datang balik ke Big Brown Bag tu. Kali ni memang lama. Sorang cuba seluar, sorang cuba kasut, sorang cuba baju. Sampai pembantu kedai tu pun bosan kot layan kerenah kami ni. Hahaha... Nasib baik yang sibuk mencuba tadi semuanya membeli. Ada yang ada diskaun, tapi tak ada rezeki aku nak beli yang ada banyak diskaun. Akhirnya aku angkut jugak sehelai blaus atas cadangan, pendapat dan kata-kata galakan daripada Na dan Aten. Sampai sekarang, aku rasa mahal gila blaus tu. Bak kata Aten; "Ko ambik je Sazoh, kang menyesal." Sempat lagi diorang bagi cadangan mix n match blaus tu untuk dipakai masa Irham Night nanti. Memanglah aku pejam mata aje bayar. Hiks... Meh intai sikit blaus yang sama harga dengan jubah aku tu...

Harap-harap menjadilah mix n match tu nanti. Apapun, jimat sikitlah berbanding nak beli sepasang baju kurung batik. Sebelum hantar Na balik, singgah makan ABC kat Seksyen 2. Katanya tu kedai ABC sedap. Layan aje. Memang sedap pun. Banyak perasanya. Terima kasih Na sebab belanja makan ABC. Waktu nak balik, Aten hulur kunci Myvi dia. Sungguh-sungguh dia suruh aku memandu pulang. Cuak aku dibuatnya. Dah la kereta baru, automatik pulak tu. Seriau mak! Memang perlahan je aku bawak. Hehehe... Sempat lagi singgah Mydin sebab aku nak beli stokin. Aku kan mengada sikit, stokin aku kena beli kat Mydin je. Tempat lain tak ada. Terus ambik sedozen kau! Hahaha... "Lepas ni ko ngadu stokin ko koyak lagi, siap ko sazoh." Tak ngadu dah lepas ni. Sedozen ni boleh pakai sampai tahun lagi satu. 

Sekali-sekala perasan kaya dengan membeli belah di tempat mahal, memang seoronok. Paling seronok bila ada orang yang teman untuk beri hasutan pendapat. Terima kasih banyak-banyak Na dan Aten untuk hari yang menyeronokkan. Aku rasa niat kita ada terpesong sikit, tu yang kita cuma dapat laksanakan rancangan ke dua. Apa pun, kita jumpa lagi dua minggu ye.

Thursday, 8 December 2011

Dekat Tapi Jauh

Bila jarak antara entri terdahulu dan entri adalah tidak rapat, memang payah mahu menyeru kembali roh menulis ni. Kalau malas, kata sajalah malas. Ye dak? Hahaha.. Cerita ni pun dah lama berlaku. Sementara aku ingat, marilah sama-sama sedekahkan al-fatihah kepada salah seorang nenek saudaraku yang telah kembali ke rahmatullah pada 10 November lepas. Hmmm... Kurang seorang lagi nenek saudara. Kami panggil arwah dengan panggilan Mbah Kelenteng. Nama sebenar tak pasti pulaknya. Arwah merupakan isteri kepada abang/adik arwah atuk. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

Kemudian, dua minggu sesudah tu aku ke rumah Abang Mad sebab Abah mintak tolong hantar cenderahati dari rumah pengantin. Memang dah lama nak pergi jenguk Abang Mad tapi asyiklah tak disempatkan. Balik kerja pun kadang-kadang lewat, kadang-kadang ada urusan lain nak dibuat. Maka bila ada sebab musabab yang kukuh, barulah sampai ke rumah beliau. Sekarang ni alhamdulillah Abang Mad bertambah baik. Sebutannya pun makin jelas. Terkejut gak aku bila dengar dia baca fatihah dengan betul dan lancar sebab waktu aku sampai tu dia tengah solat asar. Cuma bila bercakap, masih tak berapa faham sebab Abang Mad masih tak dapat nak guna perkataan yang tepat untuk perkataan yang dimaksudkan. Badan pun dah nampak cergas. Nak bangun dari perbaringan pun tak perlu bantuan dah. Muka pun dah nampak ceria. Mudah-mudahan cepatlah sembuh.

Orang kata, duduk dekat selalu jumpa. Tapi biasanya makin dekat makin jarang jumpa. Betul tak? Macam aku nilah dan macam Faien dengan Kak Chik. Hehehe...

Tuesday, 6 December 2011

Sabtu yang Sendat

Ini cerita Sabtu minggu sudah. Macam biasa, bila dah cukup masa peraman, baru aku keluarkan cerita. Hahaha... Bak kata orang kampung aku, better late than never. Sebenarnya, aku dapat jemputan daripada pelajar-pelajar Rangkaian semester 3 untuk menghadiri jamuan perpisahan mereka. Kiranya, semester ini adalah semester akhir mereka berada di sini sebelum keluar menjalani latihan industri dan seterusnya tamat pengajian bagi peringkat sijil. Aku dok fikir nak pergi ke tak. Tanya pengajar lain yang dapat jemputan jugak kalau ada yang pergi. Tapi masing-masing macam 50/50. Jadi kena cari crime partner lain ni. Terima kasih kepada Ms. Bolalita kerana sudi menemankanku ke jamuan tersebut walaupun anda membuat saya terkilan yang amat sangat.

Jamuannya diadakan di Bagan Lalang. Tapi bukan di Palm Tree Resort. Hanya berlatar belakangkan Palm Tree Resort. Nasib baik juga aku sampai lewat daripada masa yang ditetapkan. Jadi sampai-sampai je makanan semua dan siap bakar. BBQ kekdahnya. Orang jemput makan, kenalah niat nak makan. Hahaha.. Ada nasi goreng cina, sosej bakar, ayam bakar, kerang bakar, udang bakar, coleslaw, dan buah tembikai. Gambar makanan tak adalah pulak sebab segan nak keluar kamera waktu makan. Kamera cuma keluar bila aku nak balik. Ambil gambar beramai-ramai sebelum balik. Bolehlah buat kenang-kenangan dengan budak-budak ni.


Semua pakat kecikkan mata sebab matahari terik. Dah kata duduk tepi pantai waktu tengahari, memang haruslah mentari terik. Terima kasih sebab jemput saya ye.

Lepas balik dari jamuan ni, singgah solat dulu. Kemudian, barulah cari restoran untuk Ms. Bolalita isi perut sebab beliau segan nak makan kat jamuan tu. Cari punya cari, kami ke Restoran Sayang Manis. Walaupun restoran ni dah lama, tapi aku selalu was-was nak masuk sebab dari luar nampak macam restoran cina. Tapi  bila masuk, pekerjanya semua bertudung dan ada sijil halal. Makanannya pun menarik. Ala-ala restoran eksklusif gitu. Waktu nak pesan, aku dok tanya; "Makanan dia sama tak macam dalam gambar?" Yelah, dalam gambar bukan main cantik lagi hidangan dia. Kot-kot sekadar hiasan je, kecewa pulak kang. Ms. Bolalita pun jawab; "Sebelum ni aku pesan, memang sampai sebijik macam dalam gambar." Maka dengan senang hatinya aku ikut sama memesan walaupun dah bantai sepinggan penuh makanan kat jamuan tadi.

 Nasi Ayam. Ms. B punya. Sedap katanya.

 Sup Cendawan with Garlic Bread. Ms. B punya jugak. Lagi sedap daripada Pizza Hut punya.

Chicken Roll Spaghetti. Sangat sedap bila makan waktu panas. Bila dah sejuk, tak berapa nak sedap. Terkulat-kulat aku nak habiskan.

Keseluruhannya, memuaskan. Makanan sedap, persembahan menarik dan harga berpatutan. 


Petangnya, lepas asar terus satu keluarga ke Klang pulak memenuhi jemputan seorang sepupu. Meraikan hari lahir anaknya yang ke-3. Dah sampai sana, baru aku teringat; 'Pesal aku datang bawak diri je ni?' Pertama kali orang jemput datang majlis hari jadi, mana nak tau kan? Tak adalah bawak hadiah ke apa. Dush..dush..dush! Peringatan untuk diri sendiri, lain kali kalau orang jemput datang majlis hari jadi kena bawak hadiah lebih-lebih lagi majlis hari jadi kanak-kanak. Hehehe...Lama juga kat sana. Makan lagi, lagi dan lagi sampailah berhenti untuk solat maghrib. Lepas solat, sambung makan lagi. Hehehe... 

Lepas tu, Wak Odin ajak pergi kondangan pulak sekali. Teruslah kelam kabut kemas semua dan gerak beramai-ramai ke rumah orang tu. Aku tak kenal pun orangnya. Masih lagi saudara, tapi saudara jauh. Kat sini, makan lagi. Nasi Ayam yang sedap. Memang satu hari ni makan sajalah gamaknya. Ahamdulillah, rezeki. Memang sendat perut malam tu. Mujurlah perjalanan dari Klang ke Banting mengambil masa yang agak lama. Sempatlah makanan hadam sebelum masuk tidur. Hehehe...

Thursday, 1 December 2011

Khamis yang Kelakar


PART I

Che'gu Nasyor sedang mengendali kelasnya dalam aktiviti sukan di padang sekolah. Seperti biasa, Che'gu Nasyor akan menyuruh murid-muridnya melakukan regangan otot. Tiba di satu bahagian, dimana murid-murid baring dan mengangkat kaki lalu menggerakkannya seperti sedang mengayuh basikal. Che'gu Nasyor asyik memerhati seorang muridnya yang pada mulanya menggerakkan kakinya tiba-tiba memberhentikan kakinya. Lalu Che'gu Nasyor menyergah muridnya yang bernama Man Tapah.


Che'Gu : "Woiiii Man, apa sebab kau berhenti ni hah?"


Man :  "Oh Che'gu Nasyor, basikal saya tengah turun bukit Che'gu, sebab tu saya berhenti. Takkan nak kayuh jugak."

PART II

Waktu sekolah telah tamat. Sebelum keluar kelas, Che'gu Nasyor telah bertanya kepada murid-muridnya.


Che'gu : Siapa nak masuk/pergi syurga?


Semua murid mengangkat tangan kecuali Man Tapah lalu Che'gu Nasyor pun berkata,


Che'gu : Man, kenapa awak tak nak pergi/masuk syurga?


Man : Mak saya kata lepas habis sekolah, terus balik rumah.. jangan pergi mana-mana.

PART III

Che'gu Nasyor sedang mengajar Bahasa Melayu dalam kelas 1 Mawar...


Che'gu : Man, boleh kamu buat ayat dengan menggunakan perkataan tepong?


Man : Itu senang saja cikgu.. ayatnya ialah.... emak sedang membuat kek
di dapur.


Che'gu : Mana tepungnya??


Man : Tepong kan ke dalam kek tu.... Che'gu nie tak sekolah ke hape??

PART IV

Che'gu Nasyor : Joe, cuba terangkan apakah tugas akar pokok pisang?


Joe: Untuk mencari makanan, che'gu


Che'gu Nasyor : Bagus! Sekarang giliran Wati pulak. Apakah tugas batang pokok pisang?


Wati : Untuk membawa makanan yang dicari akarnya, che'gu


Che'gu Nasyor : Bagus! Sekarang giliran Man Tapah pula. Apakah tugas daun pisang?


Man Tapah :untuk membungkus nasi lemak, che'gu...


Che'gu Nasyor : uiiiiiiiiii... lagi bagus... berdiri atas meja sampai habis kelas...


Nota: Terjumpa jenaka ni sewaktu membuat operasi pemadaman email yang beribu-ribu lemon tu. Kongsi kat sinilah ye. Gelak tu kawal sikit ye, karang orang kata awok tak betul pulak gelak depan PC. Kahkahkah...

Thursday, 24 November 2011

Cuak Kuasa Dua

Kembali menulis selepas seminggu menyepi. Mood untuk menulis adalah turun naik sebenarnya. Kalau tak kekalkan momentum penulisan, alamat berkuburlah blog ni. Cerita tentang perjalanan ke Gerik dan apa yang berlaku di sana akan diperam hingga aku cukup rajin nak menaip. Hehehe... Minggu ini juga terlalu banyak perkara berlaku.

Bermula dari hari Isnin, ku lihat semua orang khusyuk duduk di tempat masing-masing dan terdapat susunan kertas berwarna merah jambu atas meja masing-masing. Tiba-tiba kecoh-kecoh sebut pasal SPC. Oh, rupanya bos besar nak semak markah tugasan pelajar. Jadi kena masukkan semua markah dalam SPC. Apa lagi, kelam kabut la pindahkan data ke dalam SPC. Kelabu juga mata aku mengadap markah budak-budak tu. Sampai aku hidupkan sekali PC pejabat. Kejap-kejap tengok laptop, kejap-kejap tengok PC. Ingatkan asalkan berisi je SPC tu dengan markah tanpa mengira jumlah tugasan yang diberi, rupanya kena ada sekurang-kurangnya empat tugasan. Aku pun selamba je isi dua markah tugasan yang dah lengkap. Tugasan lain masih ada yang kena buat semula dan ada juga yang tak hantar, malas nak letak. Sekali, dapat surat cinta daaa. Terkejut haku dibuatnya. Dengan cuaknya, aku terus isi surat tu untuk dikembalikan kepada bos besar sendiri. Dah memang markah aku tak cukup empat kan, kenalah maklumkan sebabnya. Mujurlah sebab aku tu kukuh. Sebenarnya, aku pun kelam kabut nak urus markah diorang sebab kelas yang aku baru ambil alih ni tak ada bayang markah langsung. Jadi aku dah tetapkan esok adalah tarikh akhir untuk mereka hantar segala mak nenek tugasan yang terbengkalai. Maka markah terkumpul mereka akan siap sebelum peperiksaan memunculkan diri.

Sumber gambar dari sini

Selasa petang, kali kedua aku terpacak depan Fingerprint Scanner kot nama dia menanti jam 5. Nak kata punch card machine, tak boleh la kan sebab memang tak guna kad bergaris tu dah.  Ini adalah gara-gara mahu ke Shah Alam menyerahkan soalan kaji selidik yang telah siap dibuat kepada Kak Chik. Tepat je jam 5, terus haku imbas jari dan kad keselamatan untuk menandakan aku telah habis bekerja pada hari tersebut. Mesin dia kurang lebih macam kat atas tu. Aku dah fobia dengan mesin ni sebenarnya sebab bulan ni je dah dua kali aku isi borang biometrik cap jari sebab dia tak dapat kesan cap jari aku. Aku tenyeh 10 kali pun dia tetap jugak kata "Try again next year please..." Grrrrrr.... Gerak awal sebab nak balik awal. Kelas keesokan harinya adalah penuh ye dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Lewat-lewat karang, penat pulak tak cukup rehat. Sebelum bertolak, singgah isi minyak dulu. Mujurlah jalan tak berapa nak sibuk. Sampai Shah Alam dalam pukul 6.30 kot. Hujan selebatnya waktu tu. Kilat sabung menyabung. Gerun juga nak turun kereta. Aku ingat nak serah soalan tu dan terus pecut balik rumah. Tapi gitu-gini, akhirnya pukul 8 lebih jugak baru gerak dari Shah Alam.

Rabu pagi, terasa berat je nak bangun. Penat sungguh rasanya. Nak mengadap budak-budak lagi sepanjang hari. Hadui, letih! Nasib baik buat ulangkaji je. Tak perlu perah otak sangat nak sediakan LP. Dan, selepas setahun menggunakan mesin fotostat, baru kali pertama aku tahu yang mesin tu boleh tolong stapler kertas kita sekali. "Iye????" Itu reaksi aku bila Asy bagi tahu mengenai ini. Kenapa aku baru tahu ni? Punyalah selama ni aku dok mengetip kertas-kertas tugasan budak-budak yang banyak tu sendiri, rupanya mesin tu boleh tolong buatkan. Nasiblah, baru tahu. Dah tahu ni, jangan harap aku nak ketip kertas tu secara manual lagi. Kahkahkah...

Hari ni, cuma ada satu je kelas Sem 2. Cuma bincangkan topik terakhir yang tak berapa menyemakkan kepala nak buat LP. Lepas kelas, terus sarapan dan ke Dewan Utama untuk menderma darah. Kali ni, tak lari jauh jarak dari waktu terakhir aku menderma. Aku ajak la sesiapa teman nak ke dewan tu, meriah sikit. Bila tak ada seorang pun nak teman, pasrah jelah pergi sendiri. Masuk-masuk, keadaan dewan sangat lengang. Rupanya aku orang pertama menderma untuk hari ini. Aku syak budak-budak ni tak ramai yang datang menderma sebab masing-masing keletihan membuat persiapan untuk peperiksaan akhir siapkan tugasan yang tak siap. Kalau derma darah, bertambah letih pulaknya. Hari ini hari terakhir program ni. Aku tak berani nak menderma semalam sebab takut pengsan. Yelah, waktu mengajar mana dapat nak duduk. Kurang tenaga aku. Sebenarnya aku takut-takut waktu jururawat tu nak cucuk jarum akibat kesan dahsyat waktu pendermaan terakhir tempoh hari. Tangan aku lebam hampir seminggu dan tak boleh nak bengkokkan sangat selama 2 hari. Bila dia cucuk jarum, aku buat muka sampai dia tanya; "Sakit ke?" Hahaha...Gedik macam inilah kali pertama kan? Aku pun jawab; "Eh, tak tak." Hakikatnya, memang sakit jugak. Tapi sakit biasa-biasa je. Rasa kebas juga kat bahagian jarum tu masuk tapi tak sakit macam haritu.

Cuak tak hilang lagi sampailah saat dia tarik keluar jarum tu. Masih rasa kebas dan darah yang terlekat pada kapas agak banyak juga. Bila dah rehat kejap atas kerusi lipat tu dan agak-agak stabil, barulah dia bagi turun. Macam biasa, milo panas dan biskut telah tersedia. Orang dah bagi, kena makan. Percuma pulak tu! Hehehe... Lama juga aku menikmati secawan milo dan sepaket biskut Lexus sebelum beransur. Alhamdulillah, semuanya okey. Bekas jarum tu tak lebam. Aku ada tanya pada jururawat yang buat prosedur pengambilan darah ni kat aku pasal lebam tu. Dia kata sebab jarum tu tak masuk betul-betul kat salur darah dan menyebabkan salur darah pecah. Itu yang buat lebam dan sakit. Ye ke salur darah pecah? Doktor Hani, tolong jawab. Macam takut je dengarnya. Agak-agaknya, cemana la rupanya bila jadi macam Santa kat bawah ni lepas derma darah ek? Ini barulah betul seram. Kikiki...


Thursday, 17 November 2011

Banyak nau rancangannnya!

Hari ni terasa lapang sikit sebab cuma ada satu kelas sahaja. Bolehlah luangkan masa menanda tugasan dan kira markah budak-budak ni. Hai, dari haritu kau kira markah tak habis-habis? Hahaha... Macam mana nak habis? Ada yang baru nak hantar tugasan, ada yang kena buat balik, ada juga yang tak cukup kuota tugasan. Kenalah lengkapkan kekurangan tu. Masalahnya, aku yang risau diorang tak hantar tugasan. Diorang buat badak je bila suruh hantar, apa kes? Bagi telur ayam karang, ramai pulak yang gagal karang. Tak pasal-pasal kena menjawab dengan bos. Waktu jumpa bos Isnin lepas nak mintak cuti, tiba-tiba bos tanya; "Ha, kelas macam mana? Ok ke?" Terkejut mak! Hehehe... Yelah, selama ni tak adalah berinteraksi sangat pun dengan bos besar sebab tak ada benda pun nak cakap. Bila mintak cuti pun tak ada banyak soal jawab, bos terus sain je. Bila dah ditanya, haruslah menjawab kan? Semua ok je setakat ni kecuali bab markah tugasan kelas-kelas yang aku baru ambik alih je. Tak tahu nak korek celah mana. Cari punya cari, tak jumpa. Maka, kenalah bagi tugasan baru untuk cukupkan kuota. InsyaAllah semuanya selesai menjelang peperiksaan nanti.

Waktu petangnya, aku menghitung detik untuk ke pukul 5 sebab esok cuti. Cuti khas untuk memulakan perjalanan ke Gerik. Bukan selalu dapat peluang jalan jauh. Kira-kira jam 2 petang ++, sewaktu aku menghilangkan bosan dan ngantuk dengan membaca akhbar di lobi, Encik Amir minta tolong iring seorang pelajar perempuan menjalankan ujian air kencing sebab waktu pemeriksaan mengejut dijalankan, beliau tidak hadir. Maka, kenalah buat ujian kemudian. Cuak juga mula-mula. Maklumlah, tak pernah aku buat ujian air kencing seumur hidup ni. Tapi, pengalaman barulah juga kan. Ada 5 penguji kesemuanya. Aku tak berapa nak ingat setiap penguji untuk apa tapi ada satu untuk uji kehadiran ganja dan juga penguji untuk menentukan samada mengandung atau tak. Prosesnya mudah. Cuma celupkan penguji tu ke dalam urine hingga ke paras yang ditunjukkan dan tunggu sebentar untuk hasilnya. Tapi sebab kali pertama buat, aku cuak banyak sampai kena panggil Encik Amir ke depan tandas wanita sebab tak tahu nak bawa keluar ke tidak penguji-penguji tu dan dah lupa macam mana nak tentukan keputusan. Hahaha... Sebenarnya untuk penguji kehadiran dadah dan yang sewaktu dengannya adalah akan ada satu garisan saja pada penguji tu manakala kalau nak tahu mengandung ke tak, dua garisan akan muncul pada penguji tu. Takpe, ilmu baru. Ujian ni dibuat sebab ada kes tergempar beberapa hari sebelum tu. Kena cegah sebelum melarat.

Menjelang cuti sekolah ni, ramailah yang bakal naik pelamin. Jemputan pun dah berderet-deret ni. Masalah negaramya adalah kesemua jemputan ini adalah bertindih tarikhnya dan jaraknya jauh. Ada 1 jemputan di Johor, 2 jemputan di Terengganu dan 1 jemputan di Klang. Jemputan di Johor adalah pada 27 November, bertindih tarikh dengan majlis sepupuku. Jemputan di Klang pulak, hari Ahad ni. Pun serentak dengan majlis akad nikah sepupu yang bakal berlangsung di Gerik. Jemputan di Terengganu pulak, mungkin tak dapek nak hadir sebab tak ada geng dan macam jauh sangat je. Oh, ada lagi satu, jemputan dari kawan sekolah menengah dulu di Kuala Kangsar tak silap. Tarikhnya pun bertindih jugak. Rasanya, semua jemputan dari kawan-kawan tu tak dapat nak hadir sebab aku menggunakan tagline 'Family first'. Hehehe... Ada rezeki, aku kirim hadiah jelah ye.

Lepas tu, aku ni beranganlah nak pergi beriadhah bersama kawan-kawan sewaktu di sekolah mahupun di universiti dulu. Bila cakap dengan Kak Chik, dia mesti kata; "Eleh, awak tu banyak sangat rancangannya." Hehehe... Mana taknya, kejap-kejap ajak pergi berbasikal di Bukit Cerakah. Lepas tu kata nak mendayung bot di Tasik Shah Alam pulak. Nanti kang, ajak pergi Mid Valley jalan-jalan macam masa muda-muda dulu. Kang tiba-tiba ajak pergi merayap dekat Central Market pulak. Tak cukup dengan rancangan-rancangan di atas, aku tambah lagi nak main boling dan memanah. Tengok, panjang berjela senarainya. Buatnya tidak pun. Nak buat semua ni kena ada masa dan ongkos. Kalau ada salah satu, takkan jadi punyalah. Baru-baru ni, aku terfikir nak pergi melawat Planeterium Negara dan Pusat Sains Negara pulak. Dah sudah, siapa pulak nak teman ni? Sendiri tanya, sendiri cari jawapanlah ye. Kahkahkah...

Tuesday, 15 November 2011

Kafein dalam Kopi


Siapa suka minum kopi, sila angkat tangan. Okey, sekarang soalan lain pulak. Siapa MESTI minum kopi tiap pagi, sila anggukkan kepala. Ha, dah nampak dah. Tu, ada beberapa orang yang angguk kepala tu. Sebenarnya, Tuan Tanah pun macam anda yang angguk kepala tu. Setiap pagi MESTI kena minum secawan kopi Radix. Kalau tak minum, rasa letih semacam dan sakit kepala. Bila dah minum, segar je rasa sepanjang hari. Bila diteliti, aku perasan bahawa aku telah ketagih dengan kopi. Sebabnya adalah seperti di atas; rasa letih semacam dan sakit kepala. Macam bahaya je kan bunyinya? Sekarang ni, tengah tak ada stok kopi Radix jadi dah hampir seminggu tak minum langsung kopi Radix tu. Alhamdulillah, tanda-tanda ketagihan tu berkurang di mana aku dah tak rasa ngantuk dan letih serta tiada serangan sakit kepala. Nampak sangat la kan aku dah ketagih dengan secawan kopi Radix yang perlu diminum setiap hari ni. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kesan pengambilan kafein, sila teruskan membaca. Maklumat di bawah diperoleh daripada Pusat Racun Negara di pautan ini.


Kafein adalah sejenis dadah yang terhasil secara semulajadi dalam daun dan biji beberapa jenis tumbuh tumbuhan. kafein juga dihasilkan secara tiruan dan digunakan sebagai bahan penambah atau perisa di dalam sesetengah makanan.

Sumber gambar adalah dari sini

Kafein dikenali juga di kenali dengan nama kimianya trimetilksantina dalam keluarga metilksantina. Bahan ini berbentuk serbuk berwarna putih dan sedikit rasa pahit.  Bahan kimia lain yang terdapat dalam kumpulan ini adalah teofilin terdapat dalam daun teh dan teobromin yang didapati dalam biji koko. 

Kafein boleh ditemui dalam biji kopi (Coffea Arabica) , daun teh (Theasinensis)  dan biji koko (Theobrama cacao). Kafein juga boleh didapati dalam lebih 60 jenis tumbuh-tumbuhan lain. Antaranya pokok guarana (Paullinia cupana) yang terdapat di Amazon. Kafein sering digunakan terutamanya dalam minuman ringan. Kebanyakan remaja sekarang begitu gemar mengambil minuman berkarbonat kola yang bukan sahaja mengandungi kafein tetapi juga kandungan gula yang tinggi. kafein juga digunakan dalam sesetengah ubat untuk merawat beberapa jenis penyakit. Antaranya untuk merawat sakit kepala, migrain, penyakit jantung dan mengendurkan saluran pernafasan dalam rawatan penyakit asma.

Kesan Pengambilan Kafein 

Kesan pengambilan kafein bergantung kepada jumlah yang diambil dan berbeza bagi setiap individu yang mengambilnya. Secara purata semakin kecil saiz atau pun berat badan seseorang itu, semakin kurang kafein yang diperlukan untuk menghasilkan kesannya. Tetapi, banyak kesan kafein bergantung kepada jumlah yang diambil. Pengemar kopi selalunya memerlukan pengambilan yang tinggi untuk mencapai tahap kenikmatannya. Ini bermakna lebih banyak kafein yang diambil setiap hari maka lebih banyak yang diperlukan untuk mencapai tahap kenikmatannya.

Kafein akan memasuki sistem tubuh setelah beberapa jam mengambilnya kemudian akan keluar menerusi urin. Kafein memberikan kesan berterusan ke atas tubuh kita selagi masih berada dalam darah. Jangka masa yang diperlukan oleh tubuh untuk menyahkan separuh daripada jumlah kafein yang diambil adalah dari beberapa jam hingga ke beberapa hari. Secara puratanya bagi orang dewasa, kesannya boleh dirasai selama lima hingga tujuh jam. Terdapat beberapa faktor yang melambat jangka hayat kafein dalam tubuh kita, antaranya seseorang yang mengambil ubat-ubatan, menghidap penyakit hati dan wanita mengandung.

Oleh itu, bagi wanita mengandung pengambilan kafein hendaklah dikurangkan atau dihentikan sama sekali  kerana kafein akan meningkatkan risiko keguguran dan ketidaksuburan. Ada juga bukti yang menunjukkan kafein boleh mengakibatkan kecacatan bayi sewaktu dilahirkan.

Kafein boleh menyebabkan pesakit yang mengalami masalah jantung dan kegagalan saraf menjadi lebih teruk, dan kebanyakan pengguna tidak sedar keadaan ini boleh berlaku ke atas mereka.

Kajian telah menunjukkan bahawa kafein memberi kesan seperti penggunaan dadah perangsang yang lain. Kafein cenderung untuk merangsang otak dan sistem saraf pusat kemudiannya bertindak ke atas jantung, pembuluh darah dan buah pinggang. Salah satu simtom yang biasa dihadapi oleh pengguna ialah dehidrasi (pengeluaran air terlalu banyak daripada badan menyebabkan badan kekurangan air). Walaupun anda menganggap dengan meminum air berkafein yang banyak badan dapat mengekalkan kandungan air tersebut tetapi kafein akan bertindak sebaliknya ke atas badan. Di sini kafein bertindak mempercepatkan penghadaman dan merangsang pengeluaran air kencing yang banyak.

Dalam situasi begini adalah penting kepada remaja yang aktif bersukan dan gemar mengambil minuman berkafein agar meminum air yang tidak berkafein secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi. Dengan pengambilan kafein juga akan menyebabkan badan kehilangan kalsium serta potassium dan ini akan menyebabkan kesakitan otot dan melambatkan masa untuk rehat selepas menjalani senaman. Bagi wanita dalam peringkat menopaus  yang gemar mangambil minuman berkafein akan mempercepatkan lagi proses osteoporosis disebabkan kehilangan bahan-bahan mineral tersebut.

Walaupun kesan kafein berbeza di antara seorang pengguna dengan pengguna yang lain, pengamal perubatan menasihatkan agar mengambil tidak lebih dari 100 mg  kafein sehari, yakni lebih kurang satu cawan kopi sehari. Namun terdapat pelbagai saranan yang diutarakan oleh pelbagai pihak mengenai pengambilan kafein yang unggul. Walau apa pun saranan yang diutarakan mengenai pengambilan kafein yang unggul dapatkan  nasihat doktor terlebih dahulu sekiranya kita menghidap penyakit tertentu yang mungkin alah kepada kafein.

Pengambilan pada dos 250 hingga 750mg kafein (dua hingga tujuh cawan kopi) boleh menyebabkan seseorang itu mengalami situasi cemas, letih, tidak nyenyak tidur, sakit kepala dan sakit perut. Tetapi pengambilan kafein akan meningkatkan rasa waspada dan meningkatkan rasa waspada dan meningkatkan penumpuan terhadap tugas. Namun, tidur juga akan terganggu, berasa lebih tenang dan mengurangkan rasa lesu.

Jika kafein diambil lebih dari 750mg (tujuh cawan kopi) sehari akan menyebabkan sakit kepala, lekas marah, timbulnya rasa takut dan tidak dapat tidur (insomnia). Pengambilan dos yang tinggi juga akan menyebabkan kekejangan dan mungkin diikuti dengan maut.



Kesan jangka panjang 

Ulser - Kafein dipercayai boleh mengakibatkan ulser kerana bahan ini merangsangkan penghasilan asid dan peptin di dalam perut. Sekiranya diambil dalam jumlah yang banyak boleh mengakibatkan perut rasa tidak selesa. Seseorang yang mengalami masalah ulser dinasihatkan tidak mengambil kopi kerana akan menyebabkan ulser menjadi lebih teruk. Tetapi, bukan kafein sahaja yang mengakibatkan terjadinya ulser. Lebih banyak kajian perlu dijalankan untuk membuktikan sama ada kopi berkafein dan kopi tanpa kafein boleh menyebabkan ulser.  

Masalah Jantung – Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa kafein boleh menyebabkan denyutan jantung tak menentu (cardiac arrhythmia) kepada sesetengah orang. Biasanya penghidap sakit jantung dinasihatkan tidak mengambil minuman berkafein sama sekali. Walaupun demikian tiada bukti menunjukkan kafein adalah faktor penyebab sakit jantung.

Ketagih - Kafein boleh membuatkan seseorang itu menjadi ketagih. Jika individu berbabit berhenti dari meneruskan pengambilan kafein, ia akan mengalami simtom pengunduran (withdrawal symptoms) seperti sakit kepala. Simtom ini biasa dialami oleh penggemar kopi dan sakit kepala ini akan hilang dengan sendirinya dalam masa satu hingga lima hari atau ia akan sembuh semula dengan meminum kopi kembali atau mengambil ubat. Kebanyakan penggemar kopi yang cuba mengurangkan pengambilan kafein akan mengalami rasa gementar, sakit-sakit, tidak berupaya untuk bekerja, lesu, mengantuk dan sakit kepala.  

Bagi membuang tabiat ketagihan kafein bukannya mudah. Cara yang berkesan  adalah mengurangkan pengambilan setiap hari. Amalkan minum air kosong yang banyak serta jus buah-buahan dalam sajian harian anda.


Jenis Makanan & Minuman
Kandungan Kafein (mg)
Dos
Kopi Tapis/Saring
100 – 150
satu  cawan
Kopi Segera
50 – 70
satu  cawan
Teh
30 – 90
satu  cawan
Teh Uncang
65
satu  cawan
Kopi Nyah Kafein
1 – 6
satu  cawan
Minuman Kola
72
360g
Soda Oren Sunkist
42
360g
Minuman Coklat Panas
5
satu  cawan
Kek Coklat
20 – 30
satu  potong
Ubat-ubatan


Ubat Migrain
100 mg/dos

Analgesik
15 - 40 mg/dos

Batuk/Selsema
15 – 125 mg/dos






Inilah dia serba sedikit info tentang kafein. Semoga bermanfaat. Terima kasih kepada sumber-sumber yang berkenaan yang telah menyumbang maklumat serta gambar-gambar di atas. Sila tekan pada pautan untuk terus ke sumber-sumber tersebut. Terima kasih...

Monday, 14 November 2011

Macam-macam

Setelah sekian lama aku tak keluar berjimba di hujung minggu, akhirnya Sabtu sudah aku pun keluar dari rumah. Kerana cuaca yang kelabu, maka lewatlah aku keluar. Banyak perancangannya ni, tapi gerak lewat. Jadilah kelam kabut. Sebelum aku dapat reka objektif berfaedah nak keluar tu, objektif tak berapa nak berfaedah aku adalah nak beli sandal je sebab tak ada sandal buat jalan-jalan. Macamlah kat Banting tak jual sandal kan? Bukan tak ada, tapi tak banyak pilihan. Itulah sebabnya kena pergi Jusco jugak. Tetapi, pada hari Jumaat, dapat SMS daripada Kak Chik mengatakan soalan kaji selidik dah siap. Kenalah pergi ambik kat rumah beliau di Shah Alam nun. Kemudian malamnya, aku tanya Faien jadual periksanya. Bila dia kata jadual seterusnya adalah pada hari Isnin, terus bertambah objektif aku. Maka, objektif aku keluar pada Sabtu lepas adalah;
1. Mengambil soalan kaji selidik daripada Kak Chik
2. Berjumpa Faien untuk mengambil kad jemputan perkahwinan Abang Garang dan Rahmah.
3. Mengambil tempahan Choco cheesetart.
4. Membeli sandal.
5. Menjenguk peti surat rumah di Klang.
Walaupun agak tergesa-gesa, sempatlah selesaikan semuanya dan tiba di rumah sebelum jam 8 malam.


Soalan Abang aku bila nampak beg-beg ni adalah; "Dik, ko nak nikah ke?" Kahkahkah... Kau nampak je cenderahati macam orang kahwin bagi, kau kata aku nak nikah? Ini cenderahati untuk diberi kepada responden yang menjawab soalan, bukan sempena majlis pernikahan adikmu ni.

Friday, 11 November 2011

Antara Suka dan Tak Berapa Nak Suka

Selamat datang November. Nak juga cakap walaupun dah hari ke sebelas hari ni. Tarikh hari ni adalah cantik iaitu 11.11.11. Aku pasti ramai orang memilih tarikh ini untuk mengabadikan saat terindah dalam hidup mereka. Dengar cerita, jadual Tok Kadi penuh hari ni. Kepada yang bakal mengakhiri zaman bujang pada hari ini, tahniah diucapkan dan selamat menempuh hidup baru. Hampir 2 minggu juga tiada sebarang entri baru di sini.

Sejak En. Masriezan berhenti, tinggallah aku seorang menguruskan semua kelas yang ada. Maka, kelam kabutlah aku jadinya. Kali ni barulah rasa letih melampau terutama hari Rabu sebab kelas penuh dari pagi sampai petang. Silibus pulak lain-lain bagi kesemua kelas, maka kenalah buat rancangan mengajar atau yang biasa diapanggil sebagai lesson plan yang berbeza. Dah habis kelas petang, kena sediakan pulak bahan mengajar untuk kelas keesokan harinya. Memang balik lewatlah tiap hari Rabu. Nasib baik keadaan ni tidak berterusan sepanjang semester. Cuma sekarang ni tengah pening nak kira markah mereka. Untuk kelas-kelas yang aku ajar dari mula, tak ada masalah. Tapi untuk kelas yang aku baru ambil alih ni, ada sikit ribut. Bila aku semak fail mereka, memang ada nampak beberapa set tugasan. Tapi rekod markah mereka tidak dijumpai. Dalam public storage pun tak ada. Nak tak nak, kenalah aku bagi tugasan kecemasan untuk cukupkan kuota tugasan. Nak periksa lagi 3 minggu ni. Aku pulak yang pening kepala memikirkan benda ni.

Itu bab tugasan. Bab nota pulak, satu hal. Untuk kelas aku, memang nasiblah kena salin daripada papan putih. Mula-mula memang aku bagi nota fotostat. Tapi aku yakin mereka tak selak pun nota yang diberi selepas habis kelas. Sebabnya? Tiap kali masuk kelas, memang aku akan ulangkaji tajuk terakhir dulu sebelum mula mengajar. Atau lebih tepat lagi, sesi soal jawab bermula. Sesi macam inilah yang PALING AKU TAK SUKA waktu belajar dulu tapi PALING AKU SUKA buat sejak mengajar ni. Hahaha... Waktu inilah baru nak selak nota. Ada nota pun mereka tak dapat jawab. Nampak sangat tak ulangkaji. Tajuk senang je pun. Lainlah aku dulu, semua benda teori je. Memang terkebil-kebil nak menjawab. Ah, alasan kau Farah! Hehehe...Sebenarnya, kalau baca nota yang diberi memang boleh jawab punyalah dan kita pun dah tahu lecturer mana yang suka buat sesi soal jawab ni. Maka bolehlah mula gelabah dari hari sebelum kelas bermula lagi. Kekadang kantoi gak. Tapi tak adalah tiap kali kelas tak bersedia kan? Macam diorang ni, tiap kali kelas kantoi, apa cer?


Hari ni juga kali ke berapakah entah orang cakap aku garang dalam kelas. Habis, kalau tak garang kang kena 'makan' dengan budak-budak pulak. Nasiblah dapat cikgu yang garang macam aku. Tapi tak adalah aku garang sepanjang masa. Garang bertempatlah kan. Waktu lawak, gelaklah. Waktu serius, tumpulah perhatian. Waktu garang, pandai-pandailah kau nak menjawab. Kekeke...

Monday, 31 October 2011

Rezeki

Hari Rabu lepas, aku dan Kak Rin ke rumah bosku dan Kak Dahiyah untuk melawat permata baru mereka. Alhamdulillah sudah selesai semuanya. Asyik dok bertangguh je nak pergi, akhirnya waktu cuti Deepavali ni baru berkesempatan pergi. Terima kasih Kak Eza dan Kak Dayah kerana mengalu-alukan kedatangan kami. Tapi lupa nak tanya nama anak-anak mereka. Hehehe... Gambar pun tak ada sebab segan nak bawa keluar kamera. Di sana juga baru ku dapat tahu kontrak kerja yang sepatutnya tamat pada 30 November di sambung hingga hujung tahun ini. Alhamdulillah... Surat tawaran juga telah diberikan pada hari Khamis dan telah selamat ditandatangani. Rezeki ku masih di situ nampaknya walaupun nama aku tak pernah ada dalam senarai nama staf. Kecik hati kuman...

Memang sudah jadi kebiasaan kalau nak muyi (melawat ibu-ibu yang baru lepas melahirkan), mesti cari hadiah. Selalu, aku mencari ni dengan Kak Chik. Kali ni aku cari sorang-sorang tapi tanya juga pendapat beliau. Pening juga nak cari hadiah yang sesuai. Maklumlah, tak pernah ada anak lagi. Kehkehkeh... Sudahnya, aku beli soft toys dan baju untuk mereka. Soft toys aku beli online manakala baju aku beli di alam nyata. Dah Kak Rin berkenan pulak dengan soft toys aku. Maka terkorbanlah duit beliau membeli satu untuk anaknya. Hehehe... Barangan bayi ni memang comel-comel kan? Rasa macam nak beli semua je. Nasib baik bajet terhad. Ada orang tanya, tak susah ke beli online ni? Dah pesan barang, nak ke bank lagi untuk masukkan bayaran. Memanglah ada sistem perbankan online. Tapi aku punya akaun ada masalah sikit. Masih malas nak pergi betulkan. Maka bila dah buat pesanan, tetap juga perlu keluar ke bank untuk buat bayaran.

Nampak leceh bukan? Tapi bagi aku tak ada masalah dan lebih menjimatkan sebabnya kita dah tahu mana nak tuju dan tak terbuang banyak masa berbanding terjah dari satu kedai ke satu kedai yang lain. Lebih-lebih lagi untuk lone-ranger macam aku ni. Kau ingat aku rajin nak masuk kedai satu-satu bila berseorangan? Tak kuasa mak, nyah! Tambahan pula, harga yang ditawarkan lebih murah berbanding yang dijual di kedai. Tapi... (lagi) baru-baru ni Kak Chik ada bagi tau terdapat juga beberapa kes penipuan berlaku. Peniaga tersebut menjual barang 'atas angin'. Maksudnya, dia pamerkan produk tapi sebenarnya produk tu tak wujud dan dia mengambil  kesempatan atas peniaga lain. Dia menggunakan nama perniagaan orang lain untuk menipu. Selama ni tak terfikir pulak ada kes macam ni. Bila dengar ada kes macam ni, aku jadi cuak jugak. Mujurlah selama aku berurus niaga dengan peniaga kedai maya ni tak timbul sebarang masalah. Kepada anda yang masih ragu-ragu, mari aku tunjukkan beberapa kedai maya yang boleh dipercayai.

1. Maratussolehah
Beberapa helai jubah yang ada dalam koleksi sekarang di beli di sini. Banyak pilihan dan harga berpatutan. Kualitinya juga terjamin. Servis cepat dan berhemah.

2. Little's Wardrobe
create your own banner at mybannermaker.com!

Di sini tempatnya aku beli soft toys untuk hadiah tadi. Harganya murah dan servis juga cepat dan berhemah.

3. Sareewala

Ini pula tempat aku beli kain-kain sari untuk dibuat baju kurung. Kedai ni paling tak boleh belah sekali sebabnya dia pos barang dulu walaupun bayaran belum dibuat. Terkejut beruk aku dibuatnya. Harganya murah berbanding kedai lain, banyak pilihan dan servisnya juga cepat dan berhemah.

4. E-Bliv

Jubah-jubah di sini tak kurang cantiknya. Kalau nak cari jubah rekaan eksklusif, boleh ke sini. Harganya agak mahal berbanding jubah biasa tapi kainnya berkualiti. Jika dibandingkan dengan harga di kedai nyata, E-bliv menawarkan harga yang jauh lebih murah dengan kualiti yang sama. Servisnya juga cepat dan berhemah.

5. Number One Boutique

Kedai ni menawarkan produk pakaian ala-ala Korea dan mengambil tempahan mengikut saiz pelanggan dengan harga berpatutan dan bahan berkualiti. Servis juga cepat.

6. Gorgeous Chocolate

Kepada peminat coklat, bolehlah jengah sini. Kedai ini menawarkan pelbagai produk berasaskan coklat. Sesuailah kalau nak beli coklat untuk seseorang yang istimewa. Harga yang ditawarkan juga murah dan servisnya cepat dan berhemah.

7. Mabrook E-Store

Salah satu kedai yang menawarkan pilihan blaus rekaan moden dan berkualiti. Walaupun harganya agak mahal, tapi sesuailah dengan kualitinya. Servisnya juga cepat dan berhemah.

8. Dini-Tupperwarekiosk

Tupperware pun kau beli online Farah? Hahaha.. Memang pun. Terjumpa kedai maya ini sewaktu mencari tupperware edisi terhad yang sudah habis dijual di kedai tupperware yang terletak bersebelahan Bank Islam kat Banting nun. Harga yang ditawarkan adalah harga selepas diskaun. Servisnya juga cepat dan berhemah.

9. Cik Min Macaron

Waktu orang sibuk-sibuk cerita pasal macaron dulu, aku pun nak sibuk juga merasa. Maka di sinilah aku membeli macaron pertamaku. Hehehe... Celah mana pulak nak cari macaron kat Banting kan? Beli online lagi senang. Servis cepat dan berhemah.

10. Anissyacake

Walaupun boleh buat sendiri, tapi kekangan motivasi diri dan masa menyebabkan aku lebih suka membeli kek dan biskut dari orang lain. Sudah banyak kali tempah kek, tart dan biskut dari Kak Ana ni. Orangnya ramah dan servisnya cepat dan juga berhemah. Kak Ana tak buat penghantaran, jadi kalau tempah, kena ambik sendiri dekat Sijangkang.

Dalam ulasan ni, aku kata servis mereka berhemah sebab setiap SMS atau email yang dihantar akan dibalas dengan cepat. Aku kan sentap kalau orang tak balas SMS, maka bila berurusniaga dengan orang yang balas SMS dengan sopan, haruslah aku suka. Tak gitu? Walaupun nampak remeh, tapi bagi aku bila SMS dibalas hatta dengan dua huruf macam 'TQ', terasalah diri ni dihargai. Jadi para peniaga, sila hargai pelanggan anda ye. Sebenarnya ada lagi beberapa kedai online yang pernah aku kunjungi. Nanti kita buat review lain pulak ye. Muntah pulak orang baca entri panjang-panjang ni. Hihihi... Amacam, ada bakat tak nak jadi pegawai pemasaran?

Nota: Ilustrasi bagi setiap gambar diperoleh daripada kedai online tersebut. Saya hanya mengedit sedikit supaya nampak lebih menarik. Sila tekan pada nama kedai untuk lawatan tapak. Sekian terima kasih...