Engagement Fund ;)

Showing posts with label My Passion. Show all posts
Showing posts with label My Passion. Show all posts

Wednesday, 19 June 2024

Hasil Keras Tangan

 Hai!

Ini cerita tahun lepas. Crime companion tiba-tiba kata nak nikah waktu saya tengah tunggang terbalik uruskan dokumen dan perihal berkaitan ISO 21001:2018 serta berperang dengan emosi yang caca marba kerana kerja dan hal peribadi, maka berdukalah saya sebab tak boleh nak ambil cuti untuk hadir ke majlis penikahan beliau kerana majlis berlangsung pada hari bekerja. Sedih sangat sebab selama ini saya berusaha sedaya upaya untuk hadir pada majlis pernikahan semua kawan-kawan rapat a.k.a crime companion. Sobs..

Namun, mujur jugalah sempat sumbangkan sesuatu untuk hari bersejarah beliau. Kelam kabut juga siapkan dua benda ni dengan bantuan daripada Youtube Ahjussi dan Sifu Instagram selain pendapat daripada Kak Chik sebab beliau yang temankan waktu beli barang untuk buat gubahan tu. Hasilnya, dapatlah bunga tangan dan tempat letak cincin+mas kahwin.

Bolehlah ek..heeee..

Bila dah siap ni, jenuh adjust untuk bagi dia selamat ketika proses pengeposan. Berapa kali susun, berapa kali keluar masuk kotak sebelum akhirnya puas hati dengan keadaannya. Inilah sedikit sumbangan yang boleh diberikan dari sahabatmu yang kini bermukim di hujung negeri. Kalau masih di Banting, rasanya sempatlah nak fikir untuk selit masa untuk lari sekejap ke majlis sebab jaraknya masih dikira dekat. Bila dah pindah daerah ni, wassalam. Inilah antara minat dari dulu yang kalau diasah, boleh buat duit. Tapi tulah, M nya yang dibesarkan, maka biarlah dia kekal jadi minat dan hobi sesekali.

Sunday, 21 October 2012

Penangan ILUS: Bukan Sekadar Novel Cinta

Selepas fenomena ASST melanda dan masih tidak mereda, kita dikejutkan pula dengan ILUS. Kita? Aku la tu. Dapat tahu mengenai ASST dari seorang blogger dan dari blog beliau juga aku menjengah ke blog penulis ASST dan ILUS; Kak Melur Jelita. Sebelum ni tak ambik kisah sangat pasal blog mahupun group dalam FB. Yang penting dah baca novelnya. Jadi pada satu hari tergerak nak tekan pautan ke  blog penulisnya dan... 'Eh, ada cerita baru!'. Kelihatan teruja di situ. Waktu tu dah ada beberapa episod jadi aku pun korek la dari episod pertama untuk tahu jalan ceritanya. Baca pun sangkut-sangkut sebab tak mahu terikat sebab novelnya lama lagi nak keluar. Ada sekali tu aku baca di pejabat waktu rehat. Pergh, tak dapat nak tahan gelak! Memang terkekeh ketawa sebab gaya penulisan beliau santai dan lawak. Sampai keluar air mata ok aku gelak! Nasib baik waktu tu pejabat lengang sebab semua orang dah cuti raya dan mood nak buat kerja pun dah beraya. Heee...

Minggu lepas terbeli juga novel ni walaupun patut masuk dalam bajet bulan depan. Sebab dah nampak depan mata, tak fikir banyak kali, terus beli. Mula-mula tak nak baca sikit-sikit, nak hadap sekali je tapi dah nampak depan mata, tak tahan nak sambung pembacaan yang terhenti dari blog. Koyak plastik dan mula baca dari mukasurat pertama walaupun dah baca bab yang awa-awal di blog. Pesanan penulis; 'Bacalah ILUS dengan mata hati dan mata akal..' Walaupun bila baca novel aku nak cepat habis, tapi takkan sampai bawa ke pejabat sebab pertama; terasa berdosa bila tayang novel atas meja walaupun aku tak ada kerja waktu tu. Pejabat = Kerja. Kedua; tak sempat nak menjiwai jalan cerita sebab kena kawal emosi dan reaksi. Baca di rumah saja lebih elok. Nak ketawa berdekah-dekah pun tak ada orang tegur. Nak menangis hiba pun tak payah nak tunduk-tunduk. Hehehe...
Sebelum dirasmikan...

Adik kembar nama kata; tak kenal, maka taaruf. Aku tambah; dah bertaaruf, baru boleh lahir rasa cinta. Ye, sesudah berkenalan dengan gaya penulisan Kak Melur Jelita, aku jatuh cinta. Penulisan yang santai tapi menikam hingga ke dasar hati. Penulis pandai main tarik tali dengan pembacanya. Dalam kelakar, ada seriusnya. Dalam marah, ada lembutnya. Dalam sedih, ada penghiburnya. Dalam romantik, ada sengalnya. Bagi aku, ILUS bukan sedakar novel cinta tapi sebuah novel yang sarat dengan pengajaran, kisah sejarah, tazkirah agama dan juga pahit manis kehidupan. Selain itu, ada juga ilmu mengenai sains dan isu semasa diselitkan. Penulis menulis dengan teliti dan terperinci hingga kita dapat merasai dan menggambarkan keadaan ketika itu; seolah-olah kita turut berada di situ.

Kita dibawa menyelami kehidupan sebuah masyarakat di Kemboja yang serba dhaif dan kekurangan. Saat membaca apa yang tertulis, aku seperti dapat menggambarkan keadaanya dan menyelami apa yang mereka rasa; tidak mengalami bukan bermakna ia tak wujud. Pembaca didedahkan dengan pelbagai kisah sejarah; sejarah Melayu, sejarah kekejaman Pol Pot dan juga sejarah pahlawan dan srikandi Islam. Selain itu, terdapat juga beberapa resepi makanan masyarakat Melayu Cham yang ditulis secara terperinci; bukan sekadar memperkenalkan dan menghuraikan makanan mereka. Siapa kata baca novel untuk layan fantasi semata-mata? Novel ini penuh dengan info dan ilmu baru yang kalau kita saja-saja nak baca tentang isu tu, mungkin tak tercapai atau dengan kata mudahnya; malas nak cari.

Debaran yang membuatkan aku setia menyelak helaian demi helaian adalah persoalan tentang siapa yang melahirkan bayi diawal cerita dan kedua, siapa Firman sebenarnya. Debaran pertama memang aku tak dapat nak agak siapa yang dimaksudkan tapi debaran kedua tu aku boleh agak cuma takut salah. Jadi bila dirungkaikan pada pertengahan cerita, baru lega. Hehehe... Yang paling istimewa, beliau siap perkenalkan bagaimana rupa watak-watak dalam ILUS ni. Hanya ilusi saja, bukan realiti. Tak percaya? Boleh terjah melurjelita.com. Sila cari episod awal I Love You, Stupid! Disertakan di bawah adalah antara dialog atau olahan kata-kata penulis yang disampaikan melalu watak-watak ILUS yang berjaya mencuit hati.


Kring! Kring! Kring! Zaman jahiliah mana punya nada dering ni?! Firman menyeluk poket seluarnya dan... Oh papa! Nokia berikat gelang getah! -Iris-


".....Sebenarnya nak buat baik ni senang, disayangi Allah, malaikat dan semua yang di atas langit... bila Allah dah sayang, insya-Allah, segala yang di bumi, yang baik-baik itu pasti turut menyayangi kita." -Firman-

Okey, ini sedikit pengupasan ILUS yang boleh aku buat. Kalau ikutkan hati, nak tulis panjang lagi tapi nanti tak surprise pulak. Kalau nak tahu apa yang menarik novel ni, sila dapatkan di kedai buku berhampiran. Nak pinjam aku punya? TAK BOLEH... Sebab? Dah bertanda sana-sini. Nanti tanda-tanda tu hilang. Apa yang ditandakan itulah ilmu yang diselitkan dalam penceritaan. Tapi kali ni aku cengkelat sebab dah baca pengakhiran dulu sebab kurang sabar. Hehehe...

Tengok, begitu banyak tanda yang aku letak pada ILUS; dari mula sampai akhir..

Friday, 14 September 2012

Bunga Kembang Sejambak

Ketika sedang bekerja, adakalanya mata akan terasa mengantuk lebih-lebih lagi apabila hari sudah beransur petang dan kerja yang dilakukan memerlukan fokus macam menanda tugasan pelajar. Kalau mengantuk, aku akan ke berjalan-jalan ke bahagian penyambut tetamu atau beralih duduk ke sofa disitu sebentar. Minggu sudah ketika sedang duduk-duduk di sofa, Daus menyuarakan kerunsingannya terhadap persiapan perkahwinannya. Bukanlah masalah besar pun cuma beliau risaukan mas kahwin yang mahu diberikan kepada bakal isterinya; masih belum disediakan lagi. Duitnya dah ada tapi tak tahu mahu buat bentuk apa. Mengikut permintaan pihak perempuan, mas kahwinnya mahu digubah menjadi bunga. Mengikut pihak lelaki pula, pening kepala memikirkan siapa yang mahu gubah menjadi bunga. Kalau aku pun aku nak mas kahwin aku nanti berupa cantik. Hehehe...

Aku dengan Kak Dayan yang ada kat depan waktu tu terus rasa macam semangat nak tolong buatkan bunga. Memang dah lama teringin nak buatkan gubahan untuk orang jadi ambik peluang ni untuk bantu beliau sebab waktu Man kahwin hari tu hanya dapat tolong sehari sebelum majlis je; tak dapat sumbang apa-apa barang. Nak tunggu buat majlis sendiri entah bila kan.... Bersungguh-sungguh kami Google cari gambar gubahan duit mas kahwin. Ditambah dengan idea beberapa orang yang lalu lalang di situ, kami setuju nak buat bunga juga. Siap buat eksperimen lagi dengan dua jenis duit kertas; baru dan lama. Duit baru memang hampeh tak boleh nak gulung. Nak tak nak kena guna duit lama.

Balik rumah petang tu, sambung Google lagi cara-cara nak buat bunga dari duit. Tak susah pun sebenarnya cuma leceh sebab kita kena buat semuanya dari mula. Hasil carian Google, aku rujuk cara nak buat bunga di sini dan di sini. Sebab bakal isteri Daus dari Pahang maka nilai mas kahwin yang wajib hanya RM 22.50. Melihatkan jumlahnya yang kecil ini pun bikin kami runsing sebab takut jambak bunga tak merimbun. Hahaha... Ini pun jadi masalah, entah apa-apa. Selepas fikir dan fikir dan tanya pendapat orang lain, dapatlah idea macam mana nak buat jambak bunga tu. Petang Khamis, kami - aku, Kak Dayan dan Daus - keluar beli barang. Satu-satunya tempat yang aku tahu ada jual segala mak nenek barang untuk perkahwinan dari sekecil-kecil bendasing hinggalah ke selebar-lebar kain net adalah di kedai bunga berhadapan The Store. Walaupun orang kata harga barang di situ agak mahal, belasah je la. Bukan duit aku pun kan? Hahaha... Tapi waktu membeli tu berhemah juga. Takkan nak boros-boros sebab persiapan lain masih memerlukan banyak duit.

Ingatkan dapatlah beli barang yang mengikut citarasa pengantin setiap satunya tapi lelaki tetaplah lelaki. Bila tanya, beliau akan kata; "Saya tak kisah kak. Ikut je." Haish, ni yang kurang best ni. Satu benda je dia tetapkan iaitu tema gubahan; merah. Ikut warna tema majlis belah lelaki katanya iaitu hitam + merah. Akhirnya kami beli jugalah barang yang difikirkan perlu untuk menjayakan proses. Bila dah balik, baru teringat itu tak beli, ini pun terlupa nak beli. Jadi yang kurang tu aku tambah sendiri kemudian. Hari pertama, aku cuma mampu buat bunga duit. Itu pun makan masa semalaman untuk lima tangkai bunga yang berkelopak dan lima tangkai gulungan ringkas.

Proses selebihnya aku sambung pada hari Sabtu. Itu pun tak sempat siap. Sentuhan terakhir dibuat pada hari Selasa dengan menambah duit syiling pada jambangan dan membungkus jambangan tersebut. Alhamdulillah, siap juga akhirnya. Semuanya dibuat daripada mula dan merupakan buatan sendiri termasuk riben pada rangkuman tangkai. Boleh Google saja cara nak buat bow ribbon tu. Penat memang penat tapi kalau kita buat benda yang kita suka dengan rela hati, semua tu tak jadi masalah langsung. Seronok lagi ada.

Hasil terakhir

Kalau-kalau ada yang nak tahu bahan yang digunakan, aku kongsikan di sini;
20 keping duit RM 1
10 syiling 20 sen
1 syiling 50 sen
Dawai saiz 26 dan 18
Inti bunga
Daun saiz sederhana
Pelilit
Kertas crepe
Riben kain
Kain net
Bunga-bunga tambahan

Oh, aku guna dua saiz dawai sebab yang halus kita guna waktu nak cantum bunga manakala yang kasar kita guna untuk buat tangkai dia. Lagi kecil nombor dia lagi halus ketebalannya. Untuk bungkus jambank bunga pulak, mungkin boleh beli kertas khas untuk bungkus. Memang ada dan lebih banyak pilihan corak dan jenis lagi. Cuma sebab aku dah terbeli kertas crepe tu maka gunakan sajalah. Tak elok membazir. Cara gubah langkah demi langkah, boleh rujuk pada pautan yang aku bagi kat atas nun. Tak kuasa aku nak ambik gambar untuk setiap langkah. Kehkehkeh... 

Thursday, 13 September 2012

Awak Suka Saya Tak?

Setakat ni, ASST adalah novel tebal tahap Kamus Dewan yang aku berani beli. Koleksi novel aku selalunya tebal tahap novel je jadi bila nampak novel tebal-tebal ni jadi takut nak beli. Dapat tahu pasal novel ni pun dari blog Kak Azie. Baca punya baca ulasan beliau, macam tertarik nak baca. Jadi aku pun beranikan diri beli novel ni waktu ke Pesta Buku Selangor tempoh hari. Sebelum tu pun dah baca ringkasan di belakang novel berkali-kali cuma tak ada keberanian nak beli; takut tak seronok. Biarpun tebal, tapi tebal berisi. Bukannya tebal yang sekadar cerita berulang-ulang atau jalan cerita tak logik. Dari segi gaya bahasa, tidaklah menggunakan bahasa yang tahap tinggi; hanya guna bahasa yang kita pakai hari-hari. Santai dan ringkas. Namun begitu, tetap padat dengan ilmu yang disampaikan secara tak langsung. Fakta yang biasanya berat dan payah nak hadam diolah menggunakan bahasa yang ringkas dan santai. Apa yang lebih menyedapkan, kisah percintaan antara Hilman dan Intan ini terbatas iaitu mengikut tatacara selayaknya seorang Muslim.

Selain daripada itu, ada beberapa perkara yang diceritakan dengan sangat terperinci hinggakan kita boleh bayangkan depan mata. Kalau nak novel membuai yang sopan dan berkarisma, inilah dia. Minggu lalu waktu mahu membuat temujanji dengan Kak Chik untuk ambil tempahan karipap mini, beliau sempat pesan; "...nanti bawak novel khayalan awak tu deh..." Kalau beliau sampai cakap begitu, maksudnya memang tengah stress la tu sebab sejak mula bekerja ni Kak Chik dah tak baca novel khayalan. Tapi, bagi aku semua novel adalah khayalan cuma yang membezakan adalah tahap kejiwangannya yang nanti membuai rasa si pembaca. Aku memutuskan nak bagi Kak Chik baca ASST tapi bukan ASST aku sebab dah bertanda sana sini. Tak percaya? Tengok ni;


mana-mana frasa yang menarik dan dirasakan boleh memotivasikan diri atau fakta-fakta baru yang menambah ilmu, aku tandakan dengan penanda berpelekat ini. Memang dah jadi tabiat. Novel-novel lain pun ada tanda macam ni juga. Dalam perjalanan ke sana aku singgah di kedai buku dulu mencari ASST untuk Kak Chik. Buku ini aku hadiahkan kepada beliau, sekali dengan hadiah sebenar beliau yang diimpot dari Makasar, Indonesia. Belated birthday present. Mujurlah jumpa juga ASST ni selepas menjengah ke kedai buku ketiga aku pergi pada hari kejadian. Susah juga ya nak cari buku ni rupanya? Rezeki Kak Chik. Kesannya, beliau kerap menghantar SMS perkembangan terkini sepanjang beliau baca kisah Hilman dan Intan. Hehehe.... Ha, nak yang khayalan sangat, ambik neh!


Amacam Sedari? Berapa hari tak tidur lena? Hahaha...

Wednesday, 5 September 2012

Koleksi Dah Lengkap!

Alhamdulillah, selepas makan hati berulam jantung selama beberapa ketika, akhirnya dapat juga aku lengkapkan koleksi pengembaraan Laksamana Sunan. Waktu sibuk mencari tu, buku tersebut memang baru saja terbit di pasaran jadi faham-faham sendirilah kan. Beberapa kali juga aku keluar masuk kedai buku mencari Sunan Musafir hingga akhirnya aku temukan buku tersebut di Popular Aeon Bukit Raja. Walaupun ketika itu keadaan kewangan tidak berapa menggembirakan, aku tetap juga beli kerana bimbang kehabisan lagi. Ayat tak tahan... hahaha... Padahal lepas tu, senang aje nak cari sebab dah lama berada di pasaran. Konsep aku adalah; beli dulu baca kemudian. Memang sah konsep tu melekat sebab aku beli Sunan Musafir pada 17 Jun lalu dan kemudian dia duduk terperuk di rak novel hinggalah aku betul-betul lapang nak 'mengembara' pada 31 Ogos lalu. Bukan apa, siri Laksamana Sunan ni tak boleh nak baca kejap-kejap sebab perasaan ingin tahu tu begitu menebal hinggakan perlu dibaca sekaligus.

Rupa Sunan Musafir pada hari beliau dibeli

Koleksi lengkap pengembaraan Laksamana Sunan

Kisah dah tamat jadi lepas ni boleh sambung baca novel-novel yang dibeli menggunakan konsep di atas. Hehehe... Sesiapa nak baca, sila beli sendiri sebab aku memang kedekut nak bagi orang lain pinjam novel dan orang yang meminjam tak akan jaga novel yang dipinjam secermat tuan novel. Dah ada pengalaman, tu yang serik. Bagi dalam keadaan elok tapi bila pulang, dah lunyai. Jadi bila ada orang nak pinjam aku akan cakap; NEHI! Hiks...

Sunday, 7 November 2010

Dapur Baru

Tiada yang penting pun dalam entri ini. Eh, tapi penting jugak sebab nak buat pengumuman. Disebabkan macam banyak resepi dalam Atas Nama Cinta ni dan susah nak cari balik resepi-resepi yang dikehendaki, maka aku memutuskan untuk membuka dapur baru. Sesiapa yang sudi, boleh la datang bertandang ke dapur baruku ye.

 
Anda dibenarkan menyalin semula resepi-resepi yang terpapar dan digalakkan mencubanya sebab kadang-kadang ada yang rajin salin je tapi tak cuba. Macam aku la bila datang ribut malas. Salin je lepas tu tak buat-buat sampai sudah. Hahaha.. Sila jangan ikut tabiat buruk ni ya. Sudi-sudilah menjengah dapur baru ku yang tak cukup aksesori lagi. 

Thursday, 4 November 2010

Nak Beli?

Mula-mula nak letak gambar dulu.










Esok cuti. Yiiiiihhhaaa... Tapi tak boleh jugak nak cuti bagai nak rak. Kena intai-intai kerja yang perlu disiapkan. Cadangnya nak menerjah kedai yang menjual peralatan membuat kek untuk beli benda alah kat atas nun. Semua ni adalah jenis-jenis nozzle tips yang wujud untuk menghias kek atau kek cawan. Kesemua gambar di atas adalah diambil dari sini dan sini. Ini cap Wilton yang mahal tu. Cikgu kata, sebiji tips boleh mencecah harga RM 9. SEBIJI ok, bukan satu set. Harap-harap la dapat beli supaya boleh digunakan untuk melatih tangan ni disamping memahat kukuh ilmu yang dipelajari. Ehhehe.. Dan nak beli jugak aksesori lain macam:
Ini adalah coupler. Fungsinya untuk kunci nozzle supaya tak tercabut atau memudahkan anda untuk menukar corak nozzle yang dikehendaki. Contohnya, anda letak buttercream warna hijau dalam piping bag. Dengan warna hijau, kita boleh hasilkan corak rumput dan daun. Contoh la. Jadinya, tak perlu nak buat piping bag berisi krim warna hijau banyak-banyak. Gunakan coupler saja dan anda boleh tukar-tukar nozzle yang dikehendaki.

Ini disposable piping bag. Sebab krim adalah renyah untuk dibersihkan selepas diguna, maka guna saja benda alah ni untuk memudahkan kerja.

Ini dipanggil spatula. Kegunaannya adalah untuk menyapu krim pada kek.

Ok, yang dah mahir tahap boleh hias kek sambil pejam mata, anggap la ini sebagai ulangkaji ye. Saya budak baru belajar. Jadi, siapa nak ikut saya menerjah Jusco Bukit Tinggi kedai menjual alatan membuat kek? Tinggalkan pesanan di 012 xxxxxxx atau 019 xxxxxxx. Haha..