Sebelum lengkap perayaan yang disambut di Malaysia untuk tahun 2017, marilah catat sikit tentang kisah raya haji yang lalu. Sejak mak dah tak ada, masak waktu raya ikut arahan atau ikut suka. Ikut arahan tu kalau Abah awal-awal cakap nak makan apa. Ikut suka tu pula, kalau Abah tak tetapkan apa-apa menu.
Tahun ni Abah suruh masak rendang je. Baiklah, saya yang menurut perintah. Rendang yang senang nak buat adalah rendang daging sebab tak payah jaga kuali dekat dapur untuk tunggu rendang masak. Kalau rendang ayam leceh sikit bagi saya sebab nak pastikan ayam empuk dan masak elok tapi tak hancur serta rendang kering cantik. Ada beberapa proses yang perlu dilakukan untuk siapkan rendang ayam berbanding rendang daging.
Lagipun dalam memori ni macam tak pernah ada rendang ayam yang Arwah Mak masak; memang selalu rendang daging je. Ayam, biasanya buat masak merah. Tapi saya pandai dah masak rendang ayam. Bolehlah kalau nak masak untuk awak. Eh! Kehkehkeh.. Untuk masak-masak bermusim ni, Abah yang akan beli barangnya. Saya sediakan senarai bahan yang diperlukan saja dan sempurnakan proses memasak.
Memandangkan Abah beli daging pakej organ dalaman lembu, nak tak nak kenalah masak juga. Biasanya kalau ada organ dalaman, Abah yang uruskan. Kali ni memang seratus peratus saya yang kena buat. Mana pernah wei olah jantung dan ginjal lembu, pertama kali! Waktu keluarkan dua organ ni, memang termenung depan sinki memikirkan macam mana nak hiris. Arwah Mak dulu ajar cara potong daging je. Heee..
Bila Google pun kurang membantu, akhirnya belasah je potong ikut suka asalkan terpotong. Yang penting jangan terlalu tebal supaya cepat empuk. Selesai potong dan basuh, berpindah ke langkah kedua. Asalnya Abah suruh campur je sekali dengan rendang daging, tapi bila bau lembu kuat menusuk-nusuk dalam hidung waktu mengolah, tak jadi campur. Bimbang rendang ada bau pelik dan orang tak nak makan.
Ginjal dan jantung lembu yang siap dipotong-potong
Rendang Organ Lembu yang hampir masak. Jenuh letak daun limau purut banyak-banyak untuk hilangkan bau lembu. Menjadi!
Rendang Daging. Kali ni daging cantik, tak banyak lemak. Takde la menangis waktu potong daging macam raya puasa haritu. Hiks..
Penyelesaiannya, saya buat rendang ala Negeri Sembilan untuk dua organ ni. Sebelum dimasak, saya pre-cook dulu untuk keluarkan lebihan air dalam isi organ. Waktu ni memang menguji mental betul sebab kena tahan dengan bau lembu yang kuat gila! Memang tahan nafas hoi depan kuali. Bila nampak daging dah kecut, saya angkat dan ketepikan sebelum dimasak dengan rempah. Bila dah gaul dengan rempah rendang, mujurlah bau lembu tu tinggal manja-manja je, tak sekuat waktu pre-cook tu. Bolehlah telan.
Rasanya kalau saya tak uruskan dari A sampai Z, memang laju je makan rendang organ dalaman lembu ni. Tapi sebab saya dah mengadap bau dia waktu mentah lagi, kurang lalu nak makan sebab teringat bau kuat tadi tu. Resepi rendang Negeri Sembilan saya Google je dan olah sikit-sikit ikut suka mengikut kata hati. Malam raya, siap dua jenis rendang; Rendang Daging dan Rendang Organ Lembu.
Pagi raya tu, terlebih rajin buat ayam masak merah dan goreng sayur. Bukan selalu pun nak rajin tahap gaban begini. Lagipun bersedia untuk Wak datang. Selalu pergi rumah orang, orang jamu makan berat. Sekali-sekala kita pula jamu orang makan. Tapi Wak datang tu bawa makanan juga macam-macam. Siap ketupat lagi! Mewah dengan makanan untuk 3 hari 3 malam. Hehehe..
Ayam Merah Merah. Sebab lama gila tak masak ni, bila makan tu rasa sedapnya lahai. Manis masam pedas semua cukup. Bercinta rupanya nak buat ni, patutlah sejak Mak tak ada, boleh kira jari sebelah tangan berapa kali je masak ni.
Pinggan tukang masak yang hanya lalu makan selepas sehari selesai memasak. Bila masak banyak-banyak macam ni, jadi tak lalu nak makan masakan sendiri. Kena tunggu lama sikit dan perut lapar betul, barulah boleh makan. Itu yang kalau raya, petang raya pertama dah keluar cari pizza atau masak kimchi bokkeumbap. Tahun ni je tak buat perangai pizza tu. Hehehe..