Engagement Fund ;)

Tuesday, 26 December 2023

Nama Naik Ke Kursus Wajib Dalam Gred Semasa

 Salam sejahtera.

Ini cerita bulan Ogos yang lalu. Bulan paling sibuk untuk separuh lagi tahun 2023. Mesyuarat bersusun, program beratur dan tiba-tiba dapat makluman dari unit latihan yang nama naik untuk ke kursus wajib dalam gred semasa. Bagi melayakkan permohonan naik pangkat, ada dua kursus wajib yang perlu dihadiri. Satu kursus dah pergi pada bulan Mei lalu secara dalam talian. Sebab saya kan batch Covid, kebanyakan kursus adalah dalam talian. Baru la rasa macam mana pelajar-pelajar kena hadap kelas back to back masa PdP dijalankan secara dalam talian sepenuhnya dulu. Kita yang mengajar ni memang syok je bercakap; orang yang mendengar tu besar cabarannya. Heeee....

Disebabkan kursus wajib dan kalau tolak kena tunggu penawaran yang tak tahu bila, maka kena jugalah pergi dalam kesibukan dan kekalutan menguruskan MKSP. Itu pun terlepas pandang tarikh akhir hantar jawapan kehadiran kepada urus setia. Mujurlah urus setia tak marah. Rasanya inilah kursus luar pertama saya sejak menyandang jawatan baharu. Lokasinya adalah di The Guest Hotel & Spa, Port Dickson memandangkan urus setianya dari Politeknik Nilai. Penawaran kursus ini adalah berdasarkan bidang hakiki pegawai. Rasa macam seronoknya dapat kembali ke bidang walaupun sekejap. Banyak ulang kaji dan imbas semula ilmu yang pernah dipelajari. Paling seronok bila berkursus di peringkat nasional ni, dapat jumpa kawan-kawan sejawatan dari seluruh Malaysia yang pelbagai gred. 

Dari tempat saya, ada 4 orang; 3 perempuan yang sama-sama lapor diri dan seorang lelaki batch lapor diri selepas kami bertiga. Jadi saya berkongsi bilik dengan pegawai dari Politeknik Seberang Perai yang mengikuti kursus tajuk berbeza. Bila nombor ganjil, memang dah agak akan ada yang terpisah. Tapi saya okey je sebab dah biasa kena kenal orang baru bila bekerja luar waktu di ILPKLS dulu. Jadual kursus padat dari pagi sampai ke malam. Kursus berlangsung selama 4 hari 3 malam. Hari terakhir ada ujian sikit dan pembentangan yang merupakan penentuan samada kami lulus atau gagal. Seterusnya kita tengok cerita bergambar lah ye.

Secara keseluruhannya, kursus ini sangat mengembalikan nostalgia keseronokan mengajar. Konsultan yang mengendalikan kursus pun bagus dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan pelbagai. Cumanya sebab kami(peserta dan pengendali) sama-sama cikgu yang cikgu, memang skema la cerita dia. Kursus satu lagi (bidang kejuruteraan) habis awal. Kami tetap ikut jadual sampai petang baru habis. Tapi tak adalah sampai on the dot baru habis; dalam pukul 3.30 gitu kot habisnya sebab ada kawan-kawan yang nak mengejar penerbangan pulang. Sekian, cerita kursus wajib saya. Dah cukup dua kursus wajib, bolehlah bersedia cukupkan aspek lain untuk mohon naik pangkat. Heeeee....

[Sekian, catatan untuk peristiwa pada 21 hingga 24 Ogos 2023 😉]

Thursday, 14 December 2023

Makan Berhidang di Rumah Tradisi - Dapur Mama

 Hai!

Kali ni saja nak kongsi lokasi makan berhidang di ceruk rantau ni. Bila ada tempat begini, bertambah pilihan tempat untuk dituju yang tidak begitu jauh daripada tempat bekerja. Asalnya nampak staf dari unit komunikasi korporat kot yang ke sini untuk sambutan hari lahir. Lepas tu ada juga staf-staf dari jabatan lain yang pergi makan santai-santai. Dah orang lain pergi, takkan kita tak pergi? Tergugat. Hahahaha.... Ini cerita permulaan bulan Ogos lalu. Lepas ni ada banyak cerita tertunggak yang akan didokumenkan di sini. 

Tempat ini sebenarnya merupakan kediaman peribadi milik Hj. Mokhtar dan rumah ini telah menjadi pilihan Perbadanan Adat Melayu & Warisan Negeri Selangor untuk diabadikan gambarnya bagi sebahagian pameran di muzium berdasarkan seni bina rumah yang masih mengekalkan tradisi rumah Melayu dan dikenali dengan Rumah Warisan Hj. Mokhtar. Bila dibuka untuk lokasi santapan makanan tema kampung, maka satu lagi nama komersil wujud iaitu Dapur Mama yang merujuk kepada pemilik rumah semasa yang mesra dengan panggilan Mama. Kalau nak datang sini kena buat tempahan dahulu sebab semuanya diuruskan sendiri oleh Mama sekeluarga. Semasa buat tempahan, kita kena maklumkan siap-siap nak pilih set menu yang mana. Ada 5 set menu yang ditawarkan semasa kami ke sana seperti berikut:

a) Set Kenangan (RM48 - 1 Talam)

- Sayur lemak labu + pucuk manis

- Ayam goreng

- Sambal belacan

- Ikan masin

- Ulam


b) Set Warisan (RM58 - 1 Talam)

- Gulai lemak cili api ayam “special”

- Sambal tumis bilis + terung bilis

- Telur masin

- Sambal belacan

- Ulam


c) Set Bonda (RM52 - 1 Talam)

- Pajeri nenas

- Ikan goreng

- Sambal belacan

- Ikan masin

- Ulam


d) Set Asam Pedas (RM56 - 1 Talam)

- Asam Pedas Ikan

- Ayam Goreng

- Sambal belacan

- Ikan masin

- Ulam


e) Set Asam Rebus (RM56 - 1 Talam)

- Asam Rebus Keladi

- Sambal Tumis Sotong Kering

- Sambal belacan

- Ikan Goreng 

- Ulam

Kami pilih satu Set Kenangan dan satu Set Warisan dengan tambahan lauk asam pedas ikan kembung sebab ada yang tak makan ayam. Sambil makan, Mama pun duduk bersama dan bercerita pelbagai perkara. Berselera semuanya makan. Lauk kampung, makan cara kampung, memang syok habis. Ada beberapa lauk yang tak habis, Mama bungkuskan sebab Mama kata memang pelanggan dah bayar jadi semuanya hak pelanggan. Gitu. 


Sebelum makan, Mama tangkapkan gambar kami berlapan.

Set Warisan

Set Kenangan

Alhamdulillah kenyang. Biasa kalau makan dekat pejabat nasi sesenduk pun dah terlebih cukup, makan dekat sini bersenduk-senduk jadinya. Hahaha... Habis makan, sibuk bergambar di pelbagai sudut serta meninggalkan jejak dalam Buku Pelawat. 

Kalau rumah kampung yang ada tangga, mestilah wajib bergambar di sini. Waktu ni dah tak cukup kuorom sebab Ariza terus balik lepas siap makan mengejar nak masuk mesyuarat.

Dekat anjung rumah. Terima kasih Mama layankan kami yang banyak songeh ni. Hehehe... Selesai acara, moh la kembali ke pejabat sambung kerja.

[ Sekian, catatan untuk peristiwa pada 9 Ogos 2023😉 ]

Thursday, 7 December 2023

Makan..makan..

Hai!
Rasa nak menaip cerita-cerita penting yang berlaku, tapi gambar-gambar banyak nak kena edit. Bila edit guna telefon je, tak puas la pula. Kena buat dekat laptop baru senang nak pilih dan edit. Sementara tunggu yang itu, saya failkan antara menu yang dimakan dalam tempoh 2 minggu kebelakang. 

Nasi Kerabu Ayam + Daging. Isteri staf yang jual ni dan biasa juga beli dari dia. Kali ni cuba tanya kalau boleh kurangkan nasi dan lebihkan sayur, memang selambak sayurnya. Hehehe... Satu set dengan keropok ikan sebungkus, RM 12. Bolehlah kan tinggal nak makan.

Ini sarapan hari Khamis minggu lepas rasanya. Lebihan makanan pasar malam; pagi esoknya masukkan terus dalam bekas aluminium ni, panaskan dalam oven, tunggu sejuk sikit baru tutup dan angkat ke pejabat. Karipap sardin guna roti dan samosa; dua-dua sedap. Seketul 80 sen. Kemudian nampak tat telur, tamak juga beli padahal dah banyak makanan lain. Hahaha.. Itu yang boleh sampai ke sarapan esoknya. Tat RM 2.50.

Ini menu hari Jumaat minggu lalu kot, Chicken Mango. Sebenarnya terlupa ada pesan ni, tiba-tiba masuk mesej dari penjual kata makanan dah dihantar ke pondok pengawal. Hah, gelabah! Nasib baik biasa juga berurusan dengan Ely Hot Kitchen ni. Mestilah sedap, sebab tu beli. Sebekas RM 12.

Ini menu hari biasa. Duduk sini sebenarnya memang boleh jimat banyak dekat makanan dengan syarat beli dekat kafe dalam. Kalau keluar ke Parit Baru, dah tak berapa jimat sebab harganya harga standard. Tapi masih murah dan puas hati dengan pilihan lauk yang ada berbanding di Sungai Besar. Macam yang ini nasi separuh + ayam rendang + kailan ikan masin + sambal tempe = RM 5.50 (ke RM 4.50?). Gerai yang ini memang murah! Dulu-dulu rajin tanya balik betul ke harga tu sebab ambil lauk dah banyak ni, tapi harganya murah sangat. Dia kata betul puan, itu harganya. Terima ajelah dengan doa supaya penjual gerai ni dimurahkan rezeki dan dimudahkan urusan perniagaannya. Suka pergi sini sebab ini je gerai yang banyak pilihan sayur; setiap hari mesti ada lebih daripada 4 jenis sayur. Tapi kalau lambat, mana yang ada je sebab budak-budak pun suka beli dari gerai ni.

Ini menu tengah hari tadi. Nasi sikit + bendi tumis + sambal tempe + ikan keli goreng = RM 4.50. Bekas petak bawa balik semalam isi kuih tak habis, maka ada bekas bulat je. Terpaksa letak ikan tu asing sebab tak muat. Memang dah terbiasa bawa bekas sendiri bila tapau nasi di kafe sebab waktu mula-mula masuk sini dulu, gagasan Tuan Pengarah waktu tu untuk hanya guna bekas guna semula untuk tapau. Tiada sebarang plastik dibenarkan. Bagus juga kan? Terus melekat tabiat tu walaupun kadang-kadang ada hari yang terbabas. Hehehe... Bekas ni beli dekat MR. DIY sebab senang nak basuh berbanding Tupperware. Awal-awal dulu kemain tayang Tupperware yang pelbagai warna tu tapi sakit hati pula nak membasuhnya sebab ambil masa untuk hilangkan minyak. Bekas aluminium macam ni senang basuhnya. 

Sekian, cerita bergambar hari ni. Tengah musim tak sibuk, bolehlah bekerja dengan tenang mengikut jadual dan ada masa nak melayan blog. Kalau mohon mengajar satu ke dua kelas haritu, tengah sama-sama kalut dan sibuk menanda tugasan budak la juga sebab minggu ni minggu terakhir kuliah dan minggu depan dah tarikh tutup untuk hantar markah. Nanti saya sambung balik cerita Korea tahun 2019 tu kalau rajin. Dalam hati macam nak putus asa je nak taip tapi separuh lagi hati kata sayang tak dokumenkan kenangan berjalan jauh.

Tuesday, 5 December 2023

Selesai Satu Hutang Besar

 Hai!

Semalam saja ambil cuti sebab hari Sabtu bawa Abah ke temu janji pemeriksaan mata. Ada la masa lebih di kampung kalau cuti hari Isnin. Gerak balik awal sikit sebab nak elak bertembung banyak sangat lori dekat laluan di Pelabuhan Klang. Sampai dekat Sabak dalam pukul 3.30++ gitu, terus lajak ke JPJ. Walaupun JPJ Cawangan Sabak Bernam tu sepelaung je dari rumah, makan tahun nak jejak kaki di situ. Hahahaha...

Tujuannya adalah untuk membuat prosedur pembatalan hak milik bank dalam geran. Geran Taejang memang dari awal dah tuntut dekat bank. Maka, semalam gagahkan diri juga untuk selesaikan sebab dah setahun pun habis bayar. Lagi lama tangguh lagi tak mengganggu ketenangan. Bila tengok prosedur yang dikongsikan di internet, ada 4 langkah. Saya senaraikan dan kongsi pengalaman sendiri juga.

1. Tuntut geran dari bank - cara tuntut saya dah lupa. Tapi pergi jelah dekat bank yang korang buat pinjaman tu, kata nak tuntut geran. Rasanya macam ada kena isi borang untuk rekod bahawa pemilik dah ambil geran.

2. Dapatkan surat pelepasan pembayaran dari bank - ini biasanya bank yang uruskan dan terus hantar ke JPJ. Rasanya ada sistem khas kot. Kalau lepas habis bayar bulan terakhir dan nak uruskan cepat-cepat, mungkin lebih afdol telefon dulu bank tanya dah selesai ke urusan di bahagian bank supaya tak perlu ulang alik ke JPJ sebab pihak bank belum selesaikan lagi.

3. Datang ke cawangan JPJ berhampiran - selamat maju jaya diucapkan untuk bahagian ini. Hahaha... Sebab sekarang ni semedang ramai orang dekat JPJ lagi-lagi kalau dekat Banting tu. Stress nengokkan. Dekat Sabak semalam ramai juga tapi sebab mungkin kawasannya luas dan bangunan sendiri, tidaklah padat dan sangat senang nak dapat parkir.

4. Serahkan geran untuk dicop batal - masuk dalam ambil nombor, tunggu nombor naik dan bagi tahu nak buat pembatalan hak milik bank keatas kereta. Panjang nau? Cakap nak buat e-Batal sebab dah habis bayar kereta pun boleh juga, terus sampai maksudnya. Semalam saya berurusan dengan staf yang mungkin pertama kali buat, jadi dia macam tak tahu sangat. Pegawai kaunter sebelah yang ajarkan kena semak dalam sistem untuk tengok betul ke dah selesai urusan dengan bank. Lepas tu ada la kot dia buat sesuatu dalam sistem tu. Bagi geran dekat dia dan dia cop batal dekat atas nama bank dalam geran. Siap! Tak payah isi borang apape pun.

Mudah je pun tapi yang mudah tulah sampai setahun kemudian baru selesai. Alhamdulillah selesai satu hutang besar. Semoga Pakcik Taejang sentiasa sihat dan gagah untuk terus berkhidmat. Setakat ni tak nak tambah hutang untuk kereta dulu. Bagi tenang-tenang dulu menikmati hidup, ada rezeki tergolek beberapa tahun lagi nanti baru fikir.

Friday, 1 December 2023

Bulan Terakhir 2024

 Hai!

Apa ke sibuk sangat tuan tanah kedaung sampai langkau tiga bulan terus untuk menaip? Memang sejak ada media sosial lain, susah nak disiplinkan diri untuk luangkan masa menaip. Saaaangat banyak peristiwa yang berlaku sepanjang tahun ini dan memang jika mahu dilihat semula kejadian-kejadian tersebut dengan lebih tepat, gambarlah penyelamat. Lebih bagus jika disertakan cerita, bukan? Takpelah, kita mulakan semula. Cerita yang dah diazamkan untuk ditaip, kena cari masa juga menaip. Hari ni kita santai-santai dulu sementara tunggu masa nak balik. Nah saya belanja gambar kopi Spanish Latte dari Nox Coffee & Bun. Sejak pandai imbas kod QR untuk buat bayaran, bahaya betul. Pergi berjalan ke jabatan bawa telefon je pun boleh pulang dengan secawan kopi kayangan. Memang tak boleh dibuat selalu kerana membahayakan bajet belanja bulanan.


Thursday, 3 August 2023

Hai Ogos!





Tiba-tiba dah Ogos ye? Banyak benda belum tercapai, banyak benda nak kena capai. Tahun kedua di unit, dah boleh perhati pola kesibukan. Masuk bulan Julai lepas sampailah bulan November nanti memang bertimbun-timbun kerja. Moga ada rezeki untuk dapat APC tahun depan. Besar cita-cita ni. Hehehe..

Bagi menaikkan kembali motivasi untuk menulis dan mengekalkan azam untuk berblog, hari ni luangkan masa sikit bercerita. Terlebih rajin pagi tadi, lepas subuh terus dapat hidayah nak masak bekal tengah hari. Keluarkan salmon filet sepotong, perap dengan bahan yang ada. Sementara tunggu perapan mesra, sediakan nasi. Bila duduk sorang, memang masak nasi cara kukus. Takdelah leceh nak sental periuk dan bazirkan nasi ke kerak. Lama tak masak miyeok bap ni. Sejak selalu tengok rancangan masak Korea, memang suka tiru cara diorang masak. Mudah dan berkhasiat tanpa perlu serabut. Leburkan je semua. Sebab tak rancang nak masak, cendawan tu keras sikit sebab tak rendam dulu. Biasa rendam semalaman dan air rendaman digunakan untuk masak nasi. Hat ni campur juga barli sikit. Basuh beras dan barli macam biasa. Rendam kejap miyeok dan basuh. Sukat air beras. Letak miyeok dan cendawan atas nasi, tabur bawang putih cincang, perasakan dengan sesudu kicap perasa. Tabur sikit lada hitam. Kukuslah sampai masak. 

Nasi mula masak, masukkan ikan dalam oven. Ingat nak goreng, tapi memikirkan rumah bertutup, baunya melekat 2 hari 2 malam karang. Hahaha... Maka, lumur sikit minyak pada ikan dan masukkan je dalam oven selama 15 minit lebih kurang pada suhu 190°. Sementara tunggu masak, bolehlah pergi bersiap. By the time siap bertudung, nasi pun siap masak, ikan pun siap. Begitulah bila tiba-tiba kerajinan datang. Hehehe...

Monday, 24 July 2023

Bila Dah Teringin...


Ini cerita awal bulan haritu. Kisahnya teringin sangat nak makan creampuff sedap yang dijual oleh salah seorang baker di Banting. Bila dia buka tempahan, laju la masuk sebab kebetulan tarikh ambil tu dah ada di kampung. Namun, tiba-tiba beliau cepatkan tarikh pengambilan sebab nak balik kampung tanpa pemakluman awal. Tak geram ke komer? Kita ni menahan diri beli manisan nak dekat sebulan sebab nak makan yang tu, tiba-tiba tak dapat. Kecewa.

Penyudahnya, waktu dekat kampung tu hari-hari tengok IG dekat mana ada jual creampuff yang dalam laluan. Lalu terjumpa kedai ni. Tengok lokasi, bukan dalam laluan tapi boleh dilajakkan. Hahahaha.. Teringin punya pasal kan. Tengok IG beliau, agak terkenal juga sampai dinasihatkan untuk tempah dulu sebelum datang sebab biasanya kalau hari minggu habis awal. Maka, tanpa membuang masa, terus pilih dari menu, masuk slot tempahan dan bayar. Esoknya datang tinggal ambil je.

Waktu sampai sana, kedai kosong dan chiller masih ada banyak juga pilihan. Tapi tak lama lepas tu berderet pelanggan masuk nak beli creampuff. Selain creampuff, ada juga manisan lain macam kek batik, madeleine, dan biskut. Kalau nak tahu lebih lanjut, boleh suruh Pakcik Google cari The Ordinary Baker. Lengkap maklumat harga, jenis creampuff dan set berapa biji nak. Semua sedap! Yang ada benda bulat atas dia tu versi premium. Hat bulat tu coklat, boleh telan sekali. Tapi saya lebih suka versi biasa sebab bila gigit coklat tu dia macam potong rasa creampuff. Ada masa teringin nanti nak pergi lagi beli perasa lain pula.

Monday, 3 July 2023

GangneungXSeoul 2019 Episod 7: COEX Mall, SM Town dan Seokchon Lake

Salam Julai. Hujung minggu sudah melayan virtual tour sekitar COEX seorang kenalan di Instagram. Maka, semangat lebih nak sambung cerita hari kelima. Agenda hari ini adalah berjalan di dalam Seoul saja memandangkan semalam dah menempuh perjalanan yang jauh. Destinasi pertama adalah SM Town yang rasanya macam rugi je pergi lepas dah balik tu.😆 Crime partner ni pun layan je kawan dia nak pergi tengok EXO. Nasihat saya, kalau setakat minat satu artis, tak berbaloi pergi melainkan beli tiket untuk konsert hologram. Tapi kalau minat semua artis SM tu, silakan pergi tengok. Tapi okey la, seronok juga tengok pameran yang ada. Tak ingat pula ada semua artis SM atau beberapa je. 

Perjalanan hidup EXO dari mula sampai yang terkini pada waktu itu, 2019.

Dekat sini adalah pelbagai barangan termasuk alat solek yang digunakan oleh beberapa artis SM untuk world tour.

Logo album-album EXO

Antara storyboard untuk MV yang dipamerkan

Sorotan persembahan EXO di beberapa konsert dan world tour. Nak tengok sampai habis, sila beli tiket konsert hologram.

Dekat kawasan Super Junior

Ini pun masih dekat pameran Super Junior kalau tak silap

Kafe dan kedai menjual cenderamata. Kita peminat marhain je, tengok hujung mata sudahlah. Hahaha...

Minuman 3 dalam 1 kot ni

Snek rumpai laut pelbagai perisa. Tak tengok pun bahan-bahan yang digunakan selamat ke tidak sebab memang tak rancang nak beli apape.

Ini minyak wangi kot. Lain artis lain bau.

Ini dekat kawasan cop konsert dan world tour EXO

Sakan la mengecop semua cop ada dalam buku skrap. Hehehehe....

Dekat sini pun menjakun ambil gambar tangan sendiri dengan tapak tangan artis. Sebab paling minta D.O., saya kongsi D.O. punya je

Depan pintu masuk. Gaya macam baru balik bersidang siap tag nama dekat leher padahal baru lepas tengok pameran artis. Hahaha... Yang dekat leher tu pas masuk ke SM Town. Lepas bayar bayaran masuk, dia bagi pilihan beberapa pas artis/design untuk dipilih. Kiranya pengganti tiket la merangkap cenderamata. Kad keras berkualiti, okeylah dengan harga tiketnya. Memang dia siap bagi tali untuk sangkut di leher.

Kamii..

Dari SM Town, terus ke COEX Mall untuk solat zuhur sebab dalam tu ada musolla. Selesa suraunya dan ada telekung juga. Cumanya nak ambil wuduk kena ke tandas. Lokasi SM Town dengan COEX Mall ni dekat-dekat je jadi jimatlah masa. Lepas solat terus turun cari Starfield Library yang terletak di tingkat B2. Starfield Library adalah perpustakaan awam yang mempunyai pelbagai koleksi buku. Biasanya pelancong ke sini untuk bergambar berlatarbelakangkan rak buku yang besar dan tinggi. Suasana dalam ni agak meriah juga memandangkan pengunjung bukan hanya datang untuk membaca buku atau bergambar, tetapi juga datang bersantai. Ada disediakan banyak kerusi untuk keselesaan pengunjung.

WTC Seoul. Jumpa bangunan ni waktu menapak dari SM Town ke COEX.

Biasanya orang akan bergambar waktu tengah naik eskalator. Tapi kita pemalu, dekat bawah sudahlah.

Kami, siapa lagi kan? 😂😂

Panoramic view dalam Starfield Library. Memang luas dan kalau tak silap, ada juga kafe dekat belah kiri pintu masuk.

Seterusnya, kami mencari bas untuk ke Seokchon Lake. Tujuannya adalah untuk melihat sakura di Seoul kerana mengikut saranan, Seokchon Lake adalah salah satu tempat terkenal untuk menikmati keindahan sakura disebabkan susunan pokok sakura yang di tanam mengelilingi tasik. Rupanya, taman tema terkenal Lotte World juga terletak di lokasi sama. Sambil menikmati keindahan alam dan ketenangan air tasik, kami duduk di salah satu bangku yang ada dan makan bekalan yang dibawa. Setiap kali mengembara ke luar negara, memang kami hanya akan makan diluar sekali sehari sahaja. Sebabnya, tentulah bajet yang diperuntukkan selain lokasi kedai makan halal yang biasanya terletak jauh dari tempat penginapan. Sebelum keluar memang akan makan berat; selalunya nasi dan lauk kering yang dibawa dari Malaysia atau kalau rajin atau dah jemu, masaklah nasi goreng. Kemudian, kami bungkus segala jenis makanan ringan dan biskut yang ada sebagai persediaan. Perut yang kenyang membawa kepada keharmonian perjalanan kerana kami memang akan jadi grumpy kalau lapar. Hahahaha... Dah berpuluh tahun kawan, masing-masing dah tahu perangai masing-masing.

Selesai makan, kami berjalan mengelilingi. Waktu mula-mula sampai tadi, kami agak kecewa juga sebab kawasan yang kami lalu sebaik saja turun dari bas masih togel pokok-pokok sakuranya. Namun, bila berjalan menghampiri kawasan Lotte World, mula kelihatan pokok-pokok sakura yang sudah lebat berbunga dan lebih ramai orang di bahagian situ. Gembira dengan pemandangan baru, sekejap-sekejap kami berhenti bergambar atau meneliti bunga-bunga yang kebetulan rantingnya rendah. Kemudian, kami berhenti di satu kawasan yang lebat bunganya dan tidak menjadi tumpuan orang ramai untuk sesi bergambar tanpa henti. Aten memang dah siap-siap bawa bluetooth tripod jadinya beliau pun setkan tripod untuk menangkap sudut yang cantik. Usai sesi bergambar, kami berkemas dan Aten pun mencari jalan untuk ke tempat makan berat untuk hari ini menggunakan Kakao map. Saya pula melilau melihat keadaan sekeliling dan tiba-tiba kelihatan sekumpulan manusia dari kejauhan yang sedang menjalankan penggambaran. Gigihlah saya memfokuskan penglihatan untuk melihat siapakah gerangannya yang mendekati pengunjung di situ sambil beberapa jurukamera sibuk merakam situasi. Rupanya, artis veteran yang merupakan ketua kumpulan g.o.d, Park Joon Hyung. Fuiyo, nampak artis depan mata! Dia punya gembira tu, sampai tak nak berganjak dari tempat berdiri sambil mata tertancap pada mereka sambil tersengih-sengih. Hahaha...Memang dekat sangat! Kami berada di bahagian atas dan mereka di bawah. Memang nampak jelas. Agaknya kalau lalu sebelah, kena tahan untuk ditemuramah juga sebab gayanya seperti beliau sedang merakam rancangan yang memerlukan pendapat orang ramai. Bila mereka dah jauh dari pandangan, barulah kami beredar mencari arah ke Yangpang Chicken.

Menanti bas untuk ke Seokchon Lake

Dalam bas lengang mungkin sebab bukan waktu puncak. Dapatlah kami duduk.

Dari dalam bas, ternampak balai bomba Gangnam.

Dah sampai! Sampai je kami jumpa kawasan ni. Belakang sana tu Lotte World.

Belum pacak tripod lagi, maka kita selfie jelah

Ada itik. Ini itik mandarin kot ek? Kepala hijau. Itik biasa yang warna putih pun ada.

Bekalan kami. Strawberi dan Korean Melon dari Jungang Sijang, Gangneung

Ini lepas dah makan bekalan. Kami pusing satu tasik ni dan dekat sinilah baru nampak kawasan yang sakura dah lebat berbunga. Dekat tempat kami sampai tadi masih togel.

Bunga sakura putih. Nak tahu sakura ke peach blossom, tengok kelopak. Kalau sakura dia ada lekuk tu. Ini Na Won Deuk yang ajar. Siapa kenal Na Won Deuk dia terer. Kikikiki...

Saya dan sakura

Kami. Waktu ni kami dah naik ke atas untuk bergambar di lokasi yang lebat sakuranya. Dah sudah bergambar ni la yang nampak retis dekat bawah.


Tadaaa...! So close yet so far orang kata

Dia tahan salah seorang pengunjung dan tanya soalan

Gegantung ni memang ada dekat keliling tasik. Hat ni yang bahasa Inggeris; yang tulisan hangul pun ada

Kami berjalan melintasi Lotte World indoor theme park mencari stesen subway yang bakal membawa kami ke lokasi. Cuaca yang redup dengan angin sejuk yang sesekali bertiup membuatkan kami tidak kisah kalau perlu berjalan jauh sekalipun. Kalau mengikut lokasi, kami naik dari stesen Jamsil untuk menuju Ewha Womans University dan tak perlu tukar laluan pun jika dilihat di peta Subway. Gigihlah saya tengok balik peta Subway Seoul yang bersimpang siur tu demi catatan kenangan. Turun di hentian, kami menapaklah hingga tiba di Yangpang Chicken. Sebab entri yang ni dah panjang sampai ke lantai, saya berhenti dulu di sini. Baki perjalanan untuk hari kelima menyusul di Episod 8 nanti dan saya akhiri entri ini dengan gambar swafoto kami di dalam subway.

Jumpa lagi!

Monday, 26 June 2023

Pengalaman Pertama Tanam Pokok Bakau

Dalam pada nak mengejar habiskan cerita ke Korea tahun 2019 tu, saya selit-selitlah cerita baharu ikut dan. Bukan senang nak buat entri. Kena selak balik buku skrap, kena pilih gambar yang beribu tu, lepas tu nak edit gambar dan yang terakhir nak karang cerita. Begitulah kegigihan seorang blogger. Eceh... Hari ni selit sikit cerita program CSR anjuran Majlis Daerah Sabak Bernam minggu lepas. Sejak duduk unit ni, semedang tertinggal. Kali ni rezeki dapat juga masuk nama untuk program CSR kali ini yang diuruskan oleh Jabatan Kejuruteraan Awam. Terima kasih rakan dari jabatan, Kak Linie sebab pelawa dan bantu uruskan dengan urus setia. Nama rasminya ialai Program Pengindahan dan Penanaman Pokok Bakau di Pantai Batu 23 Sungai Nibong. Program bermula secara rasmi pada jam 9.30 pagi dengan bacaan doa dan ucapan aluan oleh YDP MDSB. Salah satu info menarik yang dikongsikan adalah mengenai perusahaan membuat kayu arang daripada pokok bakau yang dijalankan di Sabak Bernam. Info terperinci tak dapat nak tangkap pula 😅. Beliau juga turut berkongsi kepentingan adanya kawasan paya bakau iaitu bagi meneruskan kelangsungan hidupan laut seperti ketam dan udang galah selain bertindak sebagai penahan hakisan.

Seterusnya adalah perkongsian ilmu daripada pegawai Jabatan Perhutanan Sabak Bernam. Ada tiga jenis pokok bakau yang sesuai ditanam di pesisir pantai barat Semenanjung iaitu bakau kurap, minyak dan satu lagi saya lupa😅. Spesis baharu yang cuba ditanam adalah bakau pasir yang sebelum ini sesuai hidup di Terengganu. 

Kemudian, taklimat ringkas dari Jabatan Landskap MDSB khusus untuk program hari ini diberikan. Sebanyak 250 anak pokok bakau kurap bersaiz empat daun dengan pertumbuhan akar baharu disediakan untuk ditanam dalam susunan tiga baris di kawasan berpasir dan berselut. Peserta diminta untuk berhati-hati dan melihat kemampuan samada boleh ke kawasan berselut atau hanya di tempat yang berpasir. Cara untuk menanam adalah dengan mengorek sedikit tanah berdekatan pancang buluh yang telah dipacakkan, keluarkan anak pokok dari poli bag dan masukkan ke dalam lubang tadi. Kemudian ikat tali pada pancang buluh terlebih dahulu dan ikatkan lebihan tali pada anak pokok bagi mengelakkan anak pokok hanyut atau tumbang. 

Setelah selesai, masukkan mudball berdekatan anak pokok tadi. Mudball ini adalah kombinasi tanah liat, bla bla, bla bla, bla bla dan bahan organik yang akan merawat tanah di kawasan penanaman sekaligus membekalkan nutrisi pada pokok. Hat bla bla tu tak dapat nak tangkap butir bicaranya sebab laju benar sebutan pegawai tu😆. Pihak Jabatan Landskap MDSB telah pun membuat eksperimen menanam menggunakan cara ini di kawasan berhampiran dan alhamdulillah pokok hidup sihat tanpa serangan teritip. Seterusnya adalah cerita bergambar.

Ucapan dari YDP MDSB

Sebelum turun ke selut. Gambar ihsan dari salah seorang staf MDSB. Hehehe... Kami dok sibuk berswafoto waktu dia lalu, terus dia tawarkan diri untuk ambil gambar kami. Besar tapak tangan, nyiru saya tadahkan. Kikiki...

Nampak gegantung program, berhenti lagi untuk swafoto.

Ini pula ihsan dari salah seorang peserta. Staf dari JKA kalau tak silap. Kali ni masing-masing dah ambil anak pokok untuk ditanam.

Orang lain dah ambil tempat di bahagian yang tak berselut, terpaksalah juga redah selut. Risau tenggelam tapi mujurlah tak berapa dalam.

Bila ada yang tala kamera auto berkerumun padahal yang tala kamera tu nak ambil gambar orang lain. Hahahaha....

Lepas dah tanam pokok tadi kena letak mudball ni dekat tepi dia.

Geng JPA. Sporting jurugambar ni sebab sebenarnya sesi bergambar dah sudah tapi sebab saya bersungguh lari nak masuk, dia kata meh la kita ketik lagi. Hehehe...

Gambar ihsan dari salah seorang peserta. Situasi di kawasan penanaman. Saya bayangkan kena sampai masuk kawasan paya tu ha, rupanya memang dekat je dengan pantai. Sebab tu ada kawasan yang berpasir, ada kawasan yang berselut. Bahagian sini selut dia dalam, sampai ke peha.

Sesudah. Semua pakat pergi Mr. DIY beli but. Hahahaha... Memang diorang pesan pakai but dan bawa topi. But kuning tu harganya RM 25.90 manakala but hitam RM 11.50. Ini harga di Mr. DIY, tempat lain tak pasti. Saya berbelah bagi nak ambil yang kuning atau hitam. Lama termenung depan rak sebelum buat keputusan ambil yang hitam sebab fikir kalau kotor yang susah nak hilang pun tak nampak sangat nanti. Cuma yang hitam ni pendek sikit dari yang kunin. Bolehlah..

Sementara tunggu semua orang selesai dan makanan tengah hari sampai. Freestyle.

Candid. Tengah bincang nak buat gaya apa untuk freestyle. Hahahaha...

Formal

Rasa macam main-main je pergi program CSR ni sebab tanam pokok satu je, sibuk nak bergambar je lebih. Hahahaha... Ada je anak pokok lebih, namun pancang yang tinggal hanyalah pancang di kawasan berselut dalam. Waktu taklimat tadi dah dipesan, tanam di tempat yang sesuai dengan kemampuan. Tak berani nak redah selut dalam tu, takut tenggelam pula. Dekat tempat yang kami tanam tadi pun dah terbenam sampai atas betis. Apa pun pengalaman berharga untuk tahun ni. Ada rezeki nak turut serta lagi lepas ni, bolehlah beringat sikit untuk betul-betul tanam pokok tu, bukan gila kamera saja. Hahahaha... Proses penanaman tak lama pun. Macam untuk sesi yang sebelum ni di Pantai Bagan Nakhoda Omar, dikhabarkan program habis lewat sebab mula lewat dek kerana menunggu air laut surut. 

Kami tunggu sampai makanan tengah hari sampai. Ramai juga peserta yang datang naik kenderaan sendiri terus balik lepas sesi menanam pokok selesai. Sebab kami dah berborak dengan salah seorang staf MDSB waktu menunggu tu, beliau minta juga kami tunggu makanan sampai sebab ramai yang dah balik. Jenuh urus setia nak fikir lebihan tu nanti. Saya pun faham sebab dah banyak kali kena lantik jadi JK Makan/Jamuan. Memang jenuh nak habiskan makanan yang ditempah. Memang tak lama lepas tu makanan sampai, dah siap bungkus. Terus ambil sorang satu dan bergerak ke lokasi seterusnya. Bila sekali-sekala terlepas, memang lain macam girangnya. Hahaha.. Singgah makan benda lain di Cendol Atok. Kalau hari bekerja biasa, memang tak dapatlah nak makan sini sebab perjalanan pergi dan pulang je dah sejam lebih bila dicampurkan.

Spaghetti beef cili padi

Cendol mangga

Itulah sahaja catatan untuk program kali ni. Harapnya lepas ni ada peluang untuk turut serta lagi sebab dikhabarkan, ada 26 program serupa yang telah dirancang untuk dilaksanakan pada tahun ini. Jumpa lagi untuk sambungan cerita hari kelima dia bumi Korea Selatan.