Engagement Fund ;)

Showing posts with label Resepi: Nasi. Show all posts
Showing posts with label Resepi: Nasi. Show all posts

Tuesday, 6 June 2017

Bebola Nasi Kuasa Dua

Kali ni cerita tentang makanan. Kenapa ada kuasa dua dekat tajuk tu? Sebabnya dah buat dua kali baru entri ni sempat ditaip. Kehkehkeh.. Kali pertama buat, aku cuma potong dadu je timun dengan lobak merah lepas tu terus gaul dengan nasi panas yang dah dicampur dengan satu sudu teh minyak bijan. Ini bebola nasi gaya Korea sebab bubuh minyak bijan. Tapi belum cukup Korea lagi sebab sayur tu aku tak masak. Kalau Korea totok punya cara, sayur tu kena tumis kejap baru campak dalam nasi.

Pertama kali buat kan? Jadi main belasah jelah bahan dia dan buat pun main redah je tak tengok resepi ke apa. Bolehlah, berasa la juga cuma macam tawar sebab aku tak letak garam langsung; hanya bergantung pada rasa masin rumpai laut berperisa. Selain sayur mayur, aku masukkan juga sosej rebus yang juga dipotong dadu dalam jumeok bap kali pertama ni.

Bebola nasi ataupun orang Korea panggil Jumeok Bap buat julung-julung kalinya dari dapur cik farae. Hampir kesemuanya aku makan sebab orang lain tak makan dekat rumah; Abah je la pun yang makan dua ketul.

Kali kedua buat bebola nasi ni, untuk berbuka minggu lepas. Kali ni memang ikut cara Korea totok. Sayur-sayur dia aku tumis dulu kejap baru gaul dengan nasi. Lepas tu terlebih rajin, siap buat inti daging lagi. Kebetulan ada sepotong daging dalam peti, kasi habislah buat inti. Untuk daging tu aku masak bulgogi. Nanti aku tepek resepi malas dekat bawah.

Waktu buat ni ala-ala kelam kabut juga sebab berkejar nak ke tuisyen. Sebelum pergi tuisyen aku siapkan sayur dengan bulgogi. Balik tu baru masak nasi guna beras sushi tu sebab nak gaul nasi tu kena waktu dia panas-panas. Lagi 5 minit nak buka baru kelam kabut kepal jumeok bap. Hahaha... Nasib baik sedap. Eh, terpuji masakan sendiri pulak. Heee.. Sedap la untuk tekak ahli rumah ni. Nah, resepi Juemok bap

Daging Bulgogi


Bahan-bahan

  • Daging lembu (hiris nipis)
  • Sos tiram
  • Bawang putih (cincang)
  • Leek (hiris halus)
  • Minyak bijan
  • Lada hitam tumbuk


Cara masak:
Gaul semua bahan dekat atas dan perap sekejap. Kalau nak sedap, perap semalaman dalam peti tapi sebab nak cepat, asal perap sudah. Lepas perap, masak dengan sedikit minyak sampai air daging kering. Ketepikan.

Jumeok Bap

Jumeok Bap kali kedua. Lebih berperisa sebab ada capsicum dan sayurnya ditumis. Kali ni buat banyak sebab semua orang ada dekat rumah lepas tu tak ada makanan berat lain, maka semua orang terpaksa makan. Hahahaha..

Bahan-bahan

  • Nasi sushi (satu cawan beras dimasak dengan dua cawan air)
  • Capsicum (potong dadu)
  • Timun (potong dadu)
  • Lobak merah (potong dadu)
  • Seulas bawang putih (cincang)
  • Sedikit leek (cincang)
  • Minyak untuk menumis (aku campur sikit dengan beberapa titik minyak bijan untuk mengharumkan lagi tumisan)
  • Garam secukup rasa
  • Satu sudu teh minyak bijan
  • Rumpai laut secukupnya


Cara buat:
Tumis sayur-sayuran sekadar dipinggiran; cukup untuk layukan dia je. Angkat dari kuali dan campurkan dalam nasi. Gaul sebati nasi dan sayur dan tambahkan minyak bijan. Gaul lagi dan masukkan rumpai laut. Aku guna rumpai laut yang beli dari Korea tahun lepas. Belum tamat tempoh lagi tapi hampir nak tamat. Hehehe.. Gaul lagi sampai nasi dan bahan lain sekata. Ambil nasi dan kepal. Letakkan hirisan daging di bahagian tengah dan padatkan. Siap!

Ha, bolehlah cuba buat Jumeok bap untuk buka puasa esok. Barulah internasional gitu! Sekali-sekala tukar angin Korea kekdahnya. Oh ye, kalau ada cendawan shitake, boleh juga masukkan sekali. Potong dadu dan tumis sekali dengan sayur lain. Berkhasiat, mudah, sedap. Sukatan, sila agak-agaklah ye sebab aku main campak je ikut hati. Sekian.

Thursday, 27 March 2014

Nasi Labu

Lama betul rasanya tak tampal resepi dalam ni. Nak kata dah aktif dengan 'dapur' baru pun, tak juga sebab yang sana pun tak ada letak resepi apa-apa. Gambar ada duduk dalam Note tapi resepi dah lupa, cemana nak kongsi? Maklum masak ikut sesuka hati main campak je, terus lupa dah. Hehehe... Tapi yang kali ni masak berpandukan resepi cuma ubahsuai ikut keadaan saja. Dua minggu lepas, ada beli labu. Waktu beli tu macam best je kalau buat masak lemak. Sekalinya, angin tak rajin masak datang. Maka tersimpanlah labu tu dalam crisper untuk dua minggu. By the time nak guna, separuh daripada suku labu yang aku beli tu dah benyek. Jadi belasah je guna separuh daripada labu yang ada. Ala, beli yang dia dah siap belah tu je pun, takde la sampai sebiji. Kalau beli sebiji pun, sahih 3/4 lagi tu jadi rezeki tanah. Sebelum masak tu dah yakin tak semua labu boleh digunakan jadi kalau masak lemak dia jadi sikit. Kebetulan(lah sangat) ada beli beras basmathi awal tahun haritu dengan niat nak masak nasi daging. Tapi sebab bila pergi pasar je pakcik jual daging tu dah ada pulak, maka beras tu pun tak terusik. Daripada jadi rezeki kutu beras, mari cari resepi nasi yang ada labu. 

Aku rujuk resepi ni dari Saveur sebab tak jumpa pula kelibat nasi labu dari blogger Malaysia. Biasanya diorang masak nasi ni lepas menuai hasil tanaman dekat kawasan-kawasan Caribbean sana. Belah sana guna Calabaza ataupun labu gabak yang boleh ditukar jadi golden carriage macam dalam dongeng Cinderella. Tapi kat sini tak ada, maka gunalah labu biasa tu je. Jom tengok resepi yang aku dah ubahsuai ikut jumlah perut yang ada dan bahan yang ada. 

Nasi Labu 

Bahan-bahan
1 1/2 cawan beras basmati
1 1/2 sudu minyak sayur
3 ulas bawang putih (cincang)
1 biji bawang besar kuning (yang buat tomyam tu; kalau besar guna separuh je)
1/4 capsicum hijau (potong dadu)
2 cawan labu dipotong dadu (mak incik malas nak timbang, sukat agak-agak je pakai cawan..hehehe)
2 pokok daun ketumbar (potong sikit akarnya)
Garam secukup rasa
1/2 kiub ayam (mak incik tambah)
2 cawan air (guna cawan sama yang sukat beras)

Cara memasak
1. Basuh beras sampai air dia tak berapa nak keruh dan toskan.
2. Panaskan minyak dan tumis bawang putih hingga naik bau dan berwarna keemasan bersama dengan kiub ayam. Masukkan bawang dan tumis hingga layu. Masukkan pulak capsicum dan kacau lagi sampai layu jugak. 
3. Masukkan beras dan kacau hingga sebati dengan bahan tumisan.
4. Kemudian, masukkan labu, daun ketumbar dan air. Air ni boleh agak-agak jugak kot; kalau rasa macam kurang boleh tambah lagi, kalau rasa macam terlebih, boleh kurangkan. Kacau sekejap dan biarkan atas api sampai air kering.
5. Bila air dah kering, gaul sekejap dan bolehlah pindahkan periuk dari dapur ke tempat masak nasi dan biarkan dia masak sendiri.

Served with jerk chicken and coleslaw. Eh, tak Jawalah pulak makan nasi dengan coleslaw! Celah mana pulak nak cari jerk herbs tu kan? Maka aku hidangkan nasi ni dengan kari ayam dan acar rampai timun yang tak cukup bahan. Boleh kata nasi labu ni seangkatan dengan dengan nasi beriani, nasi minyak dan lain-lain nasi berperisa tu kot ek? Ikut kegemaran masing-masing la nak makan dengan lauk apa. Oh, pasal daun ketumbar tu, resepi asal kata 'sprig' tapi aku tak berapa nak pasti kuantiti sprig tu banyak mana. Maka, aku campakkan dua pokok terus. Pastikan basuh bersih ye sebab kita nak letak sekali dengan akar dia. Tapi bila dah hampir nak masak tu, bau daun ketumbar kuat sangat pulak. Cepat-cepat aku korek dan keluarkan dari nasi. Kang orang lain tak nak makan pulak sebab ada bau pelik. Jenuh aku nak habiskan seperiuk nasi pulak kang. Hahaha... Kalau dah bosan masak nasi berperisa lain, bolehlah cuba resepi ni ye.

Wednesday, 28 July 2010

Akhirnya

Sepinggan penuh..

zoom lauk pulak

Selepas berbulan-bulan teringin nak makan nasi beriani dan berminggu-minggu bercadang untuk memasaknya, akhirnya hajat terlaksana petang tadi. Rancangnya, nak masak hujung minggu hari tu. Semangat aku redah Tesco carik barang hari Rabu lepas. Sampai dah layu karet dalam peti sejuk tu. Haha.. Hari ni jadi jugak projek ni. Terpaksa masak petang sebab tunggu Abah beli ayam sampai tengahari. Hehehe...Ni resepi campur-campur + campak-campak. Mengikut stok yang ada kat rumah. Untuk nasi, aku tengok resepi kat Mingguan Wanita + belakang paket rempah beriani. Jadi la cenggini...

Bahan-bahannya:
3 pot beras basmathi
2 sudu minyak sapi
1 sudu marjerin
6 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
halia
sekuntum bunga lawang
5 biji cengkih
5 biji buah pelaga
kulit kayu manis
daun sup
daun ketumbar
2 helai daun pandan
sebiji tomato (dilenyek)
2 sudu besar rempah beriani
2 sudu besar jus limau Sunkist
1/2 cawan susu cair
garam dan gula secukup rasa
1/2 sudu teh pewarna kuning

Cara masak:
1. Tumiskan bahan-bahan rempah bersama minyak sapi dan marjerin. Masukkan bawang merah dan bawang putih yang dihiris. (Aku tumbuk sekali bawang + halia + daun sup + daun ketumbar). Bila dah naik bau, masukkan tomato lenyek + rempah beriani. Rempah beriani tu bancuh dulu dengan air sikit. Kira jadi macam pes la.
2. Bila tumisan tu dah pecah minyak, masukkan susu cair, garam dan gula secukup rasa. Kacau sebentar dan masukkan jus limau Sunkist. Masukkan juga daun pandan yang disimpul.
3. Kemudian, masukkan beras dan masak mengikut sukatan air yang mencukupi. Biasanya 1 pot beras memerlukan 1 pot air.
4. Bila nasi dah hampir masak, titiskan pewarna kuning. Gaul nasi sebelum dihidangkan.


Sukatan dedaun tu aku agak-agak je. Pewarna tu kalau tak ada pun takpe. Untuk resepi ayam perap masak merah madu tu aku tengok resepi kat sini. Dalca tu pun main campak je.Ikut bahan apa yang ada kat dalam peti. Ala-ala buat kari jugak resepinya. Acar pun sama gak. Hehehe..Malas nak korek resepi. Tapi kalau nak cuba, ini resepi yang aku 'goreng' tadi...

Acar Kuning
2 biji timun (hiris memanjang)
2 batang lobak merah (hiris memanjang)
1 ulas bawang merah (diracik halus)
3 ulas bawang putih (diracik halus)
3 ulas bawang merah (dibelah 4)
2 tangkai cili merah/hijau (belah 4 dan buang bijinya)
1 camca serbuk kunyit
1/2 camca serbuk kari
2 sudu besar cuka
garam dan gula secukup rasa

Cara masak:
1. Tumis bawang yang diracik halus hingga layu. Masukkan bawang yang dibelah empat sekali dengan cili. Kacau seketika.
2. Masukkan serbuk kunyit dan serbuk kari. Masukkan juga sedikit air dan kacau hingga rata.
3. Masukkan lobak dan timun. Gaul rata dan biarkan seketika. Akhir sekali, masukkan cuka, garam dan gula secukup rasa. Gaul rata dan biarkan seketika. Jangan masak lama sangat sebab nanti timun dan lobak tu dah tak rangup.

Kalau ada yang rajin, boleh la cuba buat. Satu petang aku ipruk kat dapur. Sanggup?? Sanggup...kalau dah teringin tahap gaban, buat apa pun sanggup. Hahaha...Rasanya boleh la tahan. Tapi tak terbanding la kot dengan Briyani King punya. Kiranya kalau makan kat Briyani King tu tak payah la komen mahal ek. Memang patut dia caj sepinggan RM9.90.

Friday, 1 January 2010

Nasi Jagung


Bila angin rajin bertiup kencang, tak berhenti berasap dapur tu. Sebab semalam terlebih rajin, aku pun belek la majalah Rasa dan fail resepi untuk tengok resepi yang best. Cadangnya nak habiskan stok sayur dan daging korban yang tak habis-habis tu. Jadi, termasaklah nasi jagung + daging kerutup + acar rampai. Ni resepinya. Kalau nak cuba, silakan.

Nasi jagung

2 gelas beras
2 1/2 gelas air
1/2 gelas susu cair
1 tongkol jagung (lurutkan dari batangnya)
2 biji buah pelaga
3 biji bunga lawang
1 cm kayu manis
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 biji bawang besar
50 gm mentega
minyak masak (untuk menumis)
2 helai daun pandan
garam secukup rasa

kisarkan bawang. panaskan minyak bersama dengan mentega. tumiskan bawang kisar hingga naik bau. masukkan rempah ratus dan tumis seketika sebelum masukkan susu cair dan daun pandan. kacaukan dan masukkan air. biarkan mendidih. setelah mendidih, masukkan beras. bila nasi hampir masak, buat lubang ditengah nasi dan masukkan jagung. biar hingga 10 minit dan gaul rata.