Engagement Fund ;)

Showing posts with label Hanguk Tour. Show all posts
Showing posts with label Hanguk Tour. Show all posts

Tuesday, 27 August 2024

GangneungXSeoul 2019 Episod 15: Memenuhi Hasrat Teman Seperjuangan

 Hai!

Ini episod terakhir untuk hari ke-9. Tentatif terakhir pada hari ini adalah ke kedai kopi milik keluarga Jin Hwan iKON, Caffe Platte, yang terletak di Hongdae. Waktu nak ke sini cabarannya lebih sebab saya ingatkan kafe ni dekat kawasan Hongdae yang tumpuan ramai. Rupanya lokasinya di kawasan Hongdae yang tenang dan jauh dari hiruk pikuk manusia. Nak sampai ke sini, kalau tak silap kami menaiki bas dan ada beberapa kali tukar bas. Kali ni bukan bas biru, tapi bas kontot yang warna kelabu hijau. Sebab bergerak ke sini ketika malam melabuhkan tirai, jadi saya cuak bila beberapa kali pusing tak jumpa dan bila menapak mengikut peta, kami dibawa ke kawasan yang sunyi. Cuak tahap gaban tau sebab dalam otak dok fikir Hongdae=kawasan yang sibuk dan ramai orang. Tapi kenapa jalan ni sunyi? Bila cuak, mulalah menggelabah pakej berimaginasi. Adeh! Sampai hari ni rasa bersalah betul dengan crime partner sebab bila saya cuak, emosi jadi tak terkawal sikit. Ampun maaf Ten...

Ni sebelum sesat, sempat berhenti tengok bunga ni cherry blossom ke peach blossom sebab Won Deuk kata walaupun rupa depa lebih kurang, tapi cherry blossom ada lekuk dekat setiap kelopak. Hah, ilmu dari drama Korea! Hahaha...

Lepas beberapa ketika tak jumpa cahaya, kalau tak silap kami kembali ke tempat terakhir kami tiba tadi. Baca balik peta, cari lagi info online dan teruskan menapak. Akhirnya jumpa! Alhamdulillah. Dia punya lega tu, tak dapat nak digambarkan. Memang le Hongdae, tapi Hongdae yang terperuk sikit. Heee... Waktu kami sampai tu baru dalam pukul 7 lebih; tapi sebab siangnya pendek, suasana dah gelap malam. Masing-masing dah lega dan bertenang, barulah masuk dalam kafe. Suasana kafe sangat menenangkan dan selesa. Yang tak tenang sebab ada anjing besar milik salah seorang pelanggan (kot) yang bergerak ke hulu ke hilir dalam tu. Tak jadilah nak lepak minum lama-lama dalam tu. Duduk kejap hirup kopi, ambil gambar dan kami terus keluar. Waktu balik dah tenang sikit dan barulah perasan dekat mana yang kami salah masuk jalan waktu nak datang tadi. Begitulah kehidupan, tak selalunya mudah.



Muka ada senyum dah jumpa kedai. Hehehe..

Menu istimewa, selain kopi.

Hiasan di bahagian kaunter

Aten tengah buat pesanan

Yeay berjaya sampai kedai Jin Hwan! 

Menu kopi yang asas jelah yang memang selamat diminum

Masing-masing dah barai dah keluar dari pagi tak balik-balik

Ini contoh laluan bas kontot.

Yang panjang dan rapat-rapat tulisan Hangul ni laluan bas biru

Bila dah sampai jalan besar utama yang menjadi laluan sepanjang kami di sana, barulah betul-betul lega. Kalau naik bas, tempat turunnya memang dekat jalan yang belah sana. Maka waktu nak menapak balik bilik, sempat jugalah melencong masuk kedai-kedai yang ada beli barang tambahan. Begitulah penutup kisah hari kesembilan di bumi Seoul.

GangneungXSeoul 2019 Episod 14: Makan-makan Hari Kesembilan

 Hai!

Sambung lagi cerita hari ke-9 di bumi Korea Selatan. Pada hari yang ini, kami makan di luar dua kali. Usai menjelajah Changdeokgung, kami terus melintas untuk ke kedai sujebi yang disenaraikan sebagai muslim friendly. Sesat barat juga nak sampai ke sini sebab dia terletak di ceruk. Walaupun keadaan luar kedai nampak biasa je, tapi suasana dekat dalam sangat cantik dengan susun atur meja yang tersusun dan mangkuk-mangkuk tanah liat yang disusun kemas sebagai hiasan.

Kimchi dalam bekas tanah liat. Cedok amaun yang nak dimakan je, jangan tamak.

Makanan kami; pajeon sedap

Sebelum makanan sampai

Selepas makanan sampai

Habis makan, kami terus meronda di kawasan Insadong. Insadong merupakan salah satu kawasan tarikan pelancong di Seoul. Kawasan ni macam pertembungan di antara zaman moden dan klasik disebabkan ada banyak kedai yang menjual barang-barang antik. Selain itu, kebanyakan papan niaga kedai-kedai yang ada juga ditulis dalam Hangul termasuklah kedai-kedai jenama terkenal. Kalau nak cari cenderamata unik, boleh datang sini. Kena pertimbangkan jugalah harganya yang unik itu. Hahahah... Selain kedai-kedai jualan, ada juga pentas terbuka dan barisan kerusi untuk pengunjung duduk menikmati persembahan di pentas. Tak pasti pula persembahan tu sepanjang masa atau kebetulan ada ketika kami ke sana. Lepas dari Insadong ni kami ke K-Style Hub yang terletak di Cheonggyechon. Tak ingat cara pergi tu sama ada naik bas atau menapak saja. Dekat Korea je yang kalau kena jalan kaki 5 kilometer pun tak apa dengan syarat pada musim bunga atau musim luruh sebab cuaca nyaman. 

Di pentas terbuka dekat Insadong. Tak banyak ambil gambar dekat Insadong rupanya. Heee...

Tengah tunggu bas nak ke Halal Kitchen

Habis menjelajah K-Style Hub, kami ke Jongno untuk makan malam di Halal Kitchen. Pada tahun 2019, restoran ni antara restoran makanan Korea asli yang baharu dibuka. Lokasinya berdekatan Gyeongbokgung dan masuk ikut laluan ke The National Folk Museum of Korea. Dari jalan utama, jalan masuk dalam redah manusia dan lalu depan kedai-kedai cantik sebelum belok ke lorong kecil dan mendaki sedikit untuk sampai ke restoran. Kalau korang nak ke Korea dan bercita-cita nak makan di sini, sila tukar cita-cita sebab restoran ni telah ditutup selamanya bila mana Covid-19 melanda dunia pada tahun 2020. Sobss...

Kalau tak silap restoran ni ada dua menu je, samgyetang dan bulgogi. Walaupun dua menu je, jenuh la gaduh nak pilih makan yang mana satu. Kahkahkah... Tapi, waktu kami sampai tu, cuma ada bulgogi je. Jadinya, nak tak nak memang kena beli yang itu. Hahahaha... Restorannya tak besar tapi selesa dan ada tempat solat juga. Kami memang sengaja pilih untuk datang sebelum waktu makan puncak. Masa kami sampai, sajangnim mengalu-alukan kedatangan kami dengan mesra dan terus bantu untuk memesan makanan. Kami pesan bulgogi dan nasi serta teh omija. Nah cerita bergambar.

Tuan Tanah Kedaung

Seperiuk bulgogi. Pelayan dia yang tolong masakkan dari mula sampai habis.

Omija cha

Rakan ukur jalan sukat tanah Tuan Tanah Kedaung

Aten depan pintu masuk restoran

Saya dekat tangga sebelum tiba di pintu masuk restoran.

Suasana jalan raya ketika kami menapak pulang dari Halal Kitchen. Orang balik kerja, kita balik lepas makan.

Lain kali kena pergi muzium ni sebab ini antara muzium utama di Korea Selatan. Yang ini sempat bergambar dekat luar je.

Selesai bab makan-makan, ada satu lagi cerita sesi ngopi pula. Yang ni episod lain sebab ada drama waktu nak sampai ke lokasi. Hehehe... Babai...

Monday, 26 August 2024

GangneungXSeoul 2019 Episod 13 : Hari Hanbok di Changdeokgung dan K-Style Hub

Hai!
Sempena cuti hari ni, saya sambung cerita hari kesembilan. Dalam pada jadi ke tak jadi ke nak sewa hanbok, terjadi juga akhirnya walaupun eh eh eh, banyak pula kena tambah itu ini asing-asing harga. 😅😅 Sebab dah kali ketiga sampai tapi tak pernah sewa yang set lengkap, belasah sajalah (sambil periksa baki duit dalam bank..hahahaharu). Jadi, satu set hanbok beserta sokchima (underskirt) berharga KRW 20000 kalau tak silap. Sokchima ni yang buat hanbok cantik kembang setaman. Hiasan kepala harga lain; kalau tak silap KRW 1000. Ke KRW 5000? Lupo dah. Tips nak pakai hanbok, sila pakai tudung atau selendang kosong (tidak bercorak) dan pakai siap-siap t-shirt lengan panjang yang fit sikit di sebalik baju jalan korang. Macam waktu ni, saya pakai turtle neck top di sebalik blouse. Jadi bila dah sarung jeogori, kelihatan terletak cantik di badan.

Dalam perjalanan nak ke Changdeokgung

Kedai sewaan hanbok yang saya pergi. Kedainya di bahagian bawah tanah

Kalau ikut perkongsian di internet, nak dapatkan hanbok dengan harga murah boleh ke kawasan Gyeongbokgung sebab ada banyak kedai sewaan hanbok. Namun, disebabkan kami dah pernah masuk ke istana utama itu dan landskapnya kurang menarik perhatian dan biasanya terlalu ramai orang, kami cuba ke Changdeokgung memandangkan istananya kelihatan lebih kecil dari luar dan kurang tumpuan ramai. Ini pandangan sebelum masuk. Bila dah masuk dalam, rupanya istana ni lebih cantik dan susunan bangunan berdekatan di antara satu sama lain. Jadi, jimatlah masa nak berjalan. 

Saya sewa hanbok di salah satu kedai berdekatan dan keistimewaannya, boleh masuk ke dalam mana-mana istana yang ada secara PERCUMA. Jika tidak, bayaran sebanyak 3000 Won dikenakan. Kami tiba agak awal dan masih belum ramai pengunjung. Kalau di Gyeongbokgung, berebut ye nak bergambar di celah-celah tiang tu. Di sini, tak ada orang pun. 

Changdeokgung terkenal dengan Secret Garden. Tetapi, lawatan ke Secret Garden perlu mengikut Guided Tour dengan bayaran berbeza disebabkan kawasannya yang agak berbahaya. Dan, Changdeokgung juga bersambung dengan Changgyeonggung. Jadinya, kalau berpakaian tradisional Korea ni, bolehlah keluar masuk istana sesuka hati tanpa bayaran. Kalau tak, kenalah beli tiket asing. Oh ye, sekiranya mahu menyaksikan upacara pertukaran pengawal istana, bolehlah ke Gyeongbokgung atau pun Deoksugung. Jadualnya, sila Google sendiri. Acik dah lupa.😂😂😂 

Dekat pintu masuk utama

Kawasan tiang yang sentiasa jadi tumpuan pengunjung tak kira istana yang mana pun

Crime partner yang sabar dan gigih serta rajin melayan

Depan salah satu bangunan yang ada. Baru perasan, waktu lawatan yang ini tak kisah langsung nak baca keterangan pada setiap bangunan. Yang dikisahkan nak bergambar je. Hahahaha...

Dekat tembok istana pun wajibbb

Antara kawasan yang ada sakura yang lebat berbunga. Gambar ehsan pelancong dari Jepun kalau tak silap sebagai balasan kami ambilkan gambar mereka.

Ini salah satu kawasan yang paling cantik sebab ada pokok bunga besar belakang sana

Kami. Kalau tak ada ehsan sesiapa, beginilah gambar berdua kami.

Bangunan ni pernah muncul dalam 2 Days 1 Night tak ingat episod berapa. Kena pergi korek episodnya kalau nak tahu bangunan ni apa fungsinya. Hahahaha...

Dekat jambatan berdekatan pintu masuk utama

Keterangan istana

Sesi memakai hanbok percuma pula pada sebelah petang selepas kami habis meronda di istana dan Insadong. Hanbok tradisional ni boleh pakai percuma di K-Style Hub. Waktu kami sampai sana, rezeki tak ada orang langsung ye dan koleksi hanbok mereka dah ditukar baru. Ada pelbagai warna dan rekaan yang menarik serta terdapat pilihan saiz besar untuk kami yang tak berapa nak kecil ni. Heeee.... Walaupun dah banyak kali sampai K-Style Hub, tetap juga nak tengok setiap pameran yang ada. Paling suka pergi dekat tingkat yang ada pameran 'Hansik' sebab saya kan suka makan dan suka masak juga, haruslah nak perbaharui ilmu masak-memasak hidangan Korea. Gitu. Selain pameran, ada juga aktiviti berbayar. Yang ini kena semak jadual dan bayarannya sebelum tempah tempat. Lain kali balik kampung kena pergi la buat aktiviti apape, asyik berjalan dan makan je, tak ada kenangan buat aktiviti. Sila menabung lebih la sebab nak buat aktiviti ni bayarannya keras. Hehehe... Nah cerita bergambar pula.

Jeogori untuk lelaki dan perempuan. Macam-macam corak ada!

Belah sana pula chima untuk perempuan

Hiasan kepala pun macam-macam ada!

Yours truly

Crime partner

Ini laluan masuk ke dewan pameran Hansik.

Ini dekat ruang pameran baru tak silap, yang ada slot untuk aktiviti tradisional serta jualan cenderamata dan cenderahati

Peta Korea?

Singgah lagi sekali tegur D.O. 😁😁

Dekat kawasan Hallyu Star masih Big Bang yang berdiri, layan jelah.

Dekat tempat bergambar duduk ni pun masih geng Big Bang juga. Layankan jelah juga.


Sepanjang di K-Style Hub pada hari yang ini, tak ada orang langsung sampai naik segan bila staf dia di setiap tingkat melayan kita aje. Tapi seronok la nak berlama-lama. Catatan kali ni tak ikut turutan tentatif, tapi saya cerita ikut kategori. Seterusnya nanti saya nak catat kisah makan-makan pada hari kesembilan pula. Sekian, karangan untuk hari ini.

Monday, 22 July 2024

GangneungXSeoul 2019 Episod 12: Kembali ke Ewha Lalu Sambung Merayap di Hyehwa

 Hai!

Sambung balik cerita Korea 2019 ni. Kena tulis tahun supaya tiada yang salah sangka. Jadi, ini adalah cerita hari kelapan di bumi Seoul. Perancangan hari kelapan ni memang santai-santai je. Dah tulis nak pergi Ewha, Hongdae dan Myeongdong. Tapi macam biasa, mesti ada perubahan. Kami keluar dari rumah pun dah lewat dan terus ambil bas ke Ewha. Tempat pertama yang dituju ialah Yangpang. Kali ni sebab datang dengan perut kosong, memang habis licin makanan yang dipesan. Habis makan, terus jalan di kawasan Ewha.

Tarikan di Ewha dah tentunya Ewha Womans University yang khabarnya ada landskap cantik dan boleh dilawat oleh orang awam. Tapi kenapa kita tak masukkan acara mengukur jalan menyukat tanah kampus Ewha Womans University ni eh? Dok sibukkan nak melawat Edae Shopping Street je padahal kedai-kedai yang ada lebih kurang je dekat Hyehwa. Hahahaha... Okey, layanlah cerita bergambar di Ewha.

Depan kedai

Dalam kedai. Kali ni buka jaket siap-siap sumbat dalam beg supaya bau ayam goreng tak melekat dekat jaket

Salah satu barang yang menarik untuk dijadikan buah tangan, stokin!

Comel-comel beg kanak-kanak ni

Macaroon comel dan sedap. Sebelum nak beli kami periksa dulu ada guna alkohol ke tidak dengan menunjukkan kad muslim food restrictions. Ada hamba Allah kongsi di internet lama dulu. Dari perjalanan tahun 2016 lagi kami dah guna. Nanti saya korek semula dan kongsi di sini.

Missha ada dua ke tiga kedai dekat Ewha ni.

Skinfood pun ada. Compact powder Skinfood best juga tapi waktu ni dok pakai BB Cushion Missha jadi tak beli.

Antara yang menjadi kegilaan


Ini kedai stokin sebelah Yangpang. Macam-macam jenis stokin ada.

Adik beradik bungeopang.

Satu lagi jenama kosmetik terkenal

Pinjam hasil tangkapan Aten. Hahaha...

Satu lagi. Belakang sana tulah kampus Ewha Womans University
Dah sampai penghujung jalan, sebelum kembali ke jalan utama

Sebelum nak sampai hentian bas, singgah beli hotteok dulu.

Tada! Dah sampai di Hyehwa semula. Waktu balik memang kena menapak jauh sebab bas akan berhenti di perhentian bas di jalan utama belah sana. Dan, memang akan lalu depan Daiso ni untuk sampai ke rumah. Takkan tak singgah kan?

Dah habis pusing di Ehwa, tangan pun dah penuh, jomlah balik hantar barang. Bila dah sampai Seoul, tak kalut cari tempat solat sebab biasanya kami balik solat di rumah dan keluar semula kemudian. Sama dengan yang ini, cadangnya balik hantar barang dan solat dan kemudian keluar semula ke Hongdae. Tapi elok sampai rumah, hujan selebatnya. Apa lagi nak buat? Membongkang la kami di bilik tunggu hujan reda. Alang-alang tu tunggu maghrib, lepas solat baru keluar balik.

Kali ni nak pergi ke Daiso paling besar di Seoul yang terletak di Myeongdong. Tengok dalam tv macam seronok je Daiso ni. Gigihlah naik subway rasanya ke Myeongdong. Sampai Myeongdong, terus tuju ke Daiso ni. Elok melangkah masuk dalam bangunan Daiso, terus rasa serabut sebab nampak orang saja dimana-mana, barang yang dijual tak nampak dek kerana ramainya manusia dalam ni. Rasanya kami masuk dan naik sampai satu ke dua tingkat sebelum buat keputusan untuk kembali ke Hyehwa. Entahlah, dah kali ketiga sampai di Seoul ni, Myeongdong bukan lagi tempat yang menarik bagi kami. Faktor usia pun mungkin jugalah; nak bertenang-tenang aje bila membeli-belah. 

Sebelum kembali ke Hyehwa, kami menyusur lorong-lorong di Myeongdong juga dan sempatlah singgah beli bungeopang. Sampai Hyehwa ngopi dulu dekat Tom N Toms sambil melilau tengok sekeliling. Hyehwa ni pun dah cukup serba serbi dan meriah, tak payah ke Myeongdong pun takpe. Kalau ada rezeki untuk kembali ke Seoul, rasanya akan tetap pilih Hyehwa juga disebabkan kawasannya yang meriah tapi tak serabut, strategik dan mudah untuk dapatkan kenderaan awam utama iaitu bas dan subway serta ada restoran makanan halal yang sedap kalau terasa nak makan dekat luar. Rasanya sebab kawasan ni berdekatan dengan Sungkyungkwan University, jadi kemudahan yang ada tu lengkap.



Keadaan di Myeongdong yang sentiasa ramai manusia

Crime partner

Daiso terbesar di Seoul katanya. Bertingkek-tingkek

Bungeopang lagi

Dulu benda alah ni susah nak jumpa di Malaysia, haruslah jakun. Hahahaha..

Sementara tunggu kopi, kira bajet ke tu sis?

Minum kopi sambil melilau tengok orang

Hai Daiso kegemaran! Rupa paras di waktu malam

Berlatarbelakangkan Tom N Toms. Dekat sini je ada 4 ke 5 kedai kopi berjenama untuk dituju. Tom N Toms ni salah satu yang terbesar di Hyehwa

Tak cukup minum kopi tadi, singgah kedai serbaneka pula tengok deretan kopi segera yang ada

Kopi lagi. Dulu ada satu episod Running Man yang diorang kena beli 30 jenis kopi berbeza. Salah satu kumpulan beli kopi dekat kedai serbaneka je. Punyalah banyak jenis kopi yang ada. Tapi tak semua ni selamat di minum. Yang paling yakin, cap Maxim.

Perjalanan hari kelapan ni bosan sikit sebab terlalu makan angin sangat tapi tetap ada kenangan yang tertinggal untuk diceritakan. Hari kesembilan nanti mencabar sikit ceritanya. Jumpa lagi untuk catatan perjalanan di episod 13. Babai~~