Assalamualaikum. Hajat untuk membuka tirai 2021 pada Januari lalu terkubur bilamana entri pertama tahun ini hanya berjaya ditaip pada hari kesepuluh bulan kedua. Alhamdulillah masih diberi nikmat kesihatan dan pekerjaan pada tahun yang penuh mencabar. Namun, kami diuji dengan kehilangan salah seorang orang yang disayangi. Pada tanggal 5 Januari yang lalu, Nenek Wetan telah dijemput untuk menemui Yang Maha Pencipta.
Sejak duduk jauh, saya hanya mampu menguruskan Nenek kalau balik hujung minggu sekali sekala. Kemudian bila PKP, berbulan-bulan tak boleh balik, cuma Abahlah yang menguruskan semuanya. Hujung minggu sebelum Nenek meninggal tu, saya balik kampung dan dapatlah uruskan Nenek. Lap badan, suap makan dan ajak berborak. Cuma satu kepelikan waktu tu adalah, waktu makan tu tak boleh sulam air atau Nenek akan tersedak. Abah ada pesan jangan bagi minum waktu makan dan sebaik saja selepas makan, tapi saya tak percaya sebab selama ni okey aje bila bagi minum waktu tengah makan. Yelah, kadang tu kena minum untuk tolak makanan masuk kan. Jadinya, saya pun cuba je bagi. Malangnya betul apa yang Abah cakap, tersedak. Serba salah dibuatnya. Mungkin itu salah satu tandanya. Lagi satu, Nenek dah tak berborak-borak dah macam selalu. Selalu tu ada je benda yang ditanya walaupun benda tu pelik.
Pagi 5 haribulan tu, dapat panggilan dari abang sulung bagi tahu Nenek dah tak ada. Saya yang baru nak bersiap ke pejabat waktu tu, terus 'blank'. Lama termenung sebab tak tahu nak buat. Nak mohon cuti? Berapa hari nak kena cuti? Nak maklumkan pada siapa? KK? KJ? Macam-macam persoalan sampailah mundar mandir dari bilik utama ke bilik belakang dia punya fikir tu. Akhirnya saya mohon dulu cuti melalui apps dan kemudian maklumkan pada KK dan baru bagi tahu KJ. Lepas tu barulah bersiap dan kemas barang sikit untuk dibawa balik. Gerak dari rumah dalam pukul 8.30 macam tu dan laju je memandu ke kampung. Alhamdulillah jalan lapang dan trafik lancar sampai di Klang. Lepas dari tu tak boleh nak laju. Memang tekan je minyak, jalan tak rata ke, jalan lubang ke langgar je semua. Tak fikir dah. Menangis sepanjang jalan walaupun tak nak menangis.
Waktu sampai di rumah, jenazah dah siap dimandikan. Alhamdulillah makcik-makcik dan sepupu-sepupu dah ramai sampai untuk membantu. Saya cuma sempat bantu mengkafankan saja. Waktu tolong kafan tu, ada sorang wakil masjid dok sebut nama panggilan waktu tadika dulu. Tak dapat nak cam sebab semua pun bertopeng muka. Dah lama tu barulah perasan yang beliau adalah Cik Rop, jiran terdekat dan cikgu tadika dulu. Jenazah selamat dikebumikan selepas zuhur. Alhamdulillah urusan semuanya dipermudahkan. Kenduri pun tak buat cuma tahlil kecil-kecilan dengan keluarga Wak Yem saja disebabkan musim sekarang ni.
Lepas pemergian Nenek, terasa kosong bila balik kampung. Lama Nenek duduk dengan kami, sejak tahun 2013 kalau tak silap. Waktu masih sihat dulu, kerap jugalah ke rumah makcik-makcik yang lain. Setahun sebelum terlantar, dah jarang bergerak dan bila terlantar, memang dah tak kemana. Semoga Allah ampunkan dosa-dosa Nenek Wetan dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang dirahmati.