Ini adalah cerita pada hari Sabtu 17 Oktober 2009 bersamaan 28 Syawal 1430H. Tika itu aku baru tiba di rumah Na, memenuhi jemputan rumah terbukanya di penghujung Syawal. Saat melabuhkan punggung di kerusi, terasa getaran dari 6850 di dalam beg. Jam 1.50 petang, aku menerima panggilan telefon dari Abang Faiz. Saat Abang menyuruh aku bersabar sebelum beliau meneruskan perbualan, hati menjadi sangat berdebar-debar. Terdengar esakan kecil tika Abang menyebut "Mak dah tak ada..." Aku terdiam seketika sebelum bertanya kembali. Tidak percaya dengan berita yang singgah di cuping telinga. Innalillahiwainnailaihirajiun.... Mak dah pergi buat selamanya. Selepas menamatkan perbualan, aku jadi kaku. Buntu. Umie, Na dan Fiza tertanya-tanya apa yang berlaku. Kolam air mata pecah jua tatkala aku mengkhabarkan berita tersebut pada mereka. Umie kurang percaya dan menyuruh aku mengesahkan semula berita yang diterima. Beberapa kali menekan nombor telefon rumah, talian sibuk. Talian telefon bimbit abang tidak berjawab. Beberapa kali mencuba, berita disahkan. Mulanya Umie menyuruh aku menghabiskan dulu makanan di pinggan kerana tahu aku belum makan sedari pagi. Namun, ku hanya terasa seperti menelan butiran pasir. Hanya 3 suap, aku terus basuh tangan dan menanti Na yang katanya mahu membungkuskan makanan untuk kami. Beberapa minit kemudian, Na keluar diiikuti ibunya dari belakang. Aku sudah tidak mampu berkata apa-apa. Hanya ingat mahu pulang. Maha berat ujian dariMu Ya Allah. Umie melarang aku memandu. Bimbang keadaanku mempengaruhi pemanduan. Aku akur dan hanya menjadi penunjuk jalan. Aku ingin cepat sampai. Memandangkan kami dari Seksyen 25, aku mengikut jalan dalam yang lebih menjimatkan masa. Namun dengan emosi yang bercelaru dan kurang fokus, kami tersesat. Akhirnya kami bertukar posisi. Bagiku, lebih baik aku melakukan sesuatu berbanding hanya duduk diam di sebelah pemandu. Alhamdulillah, kami selamat tiba. Aku sempat menaip SMS kepada Aten dan Kak Chik, sahabat paling rapat denganku dan menggagahkan diri menelefon Faien. Selebihnya, Umie yang menguruskan. Beberapa sahabat menelefon sebaik saja mendapat perkhabaran, dan yang pertama adalah Ifdal. Kurang percaya dengan berita yang diterima. Masakan tidak, sepanjang pagi kami bercerita itu dan ini dalam perjalanan ke Klang tanpa sekelumit pun kesedihan. Selebihnya, ada yang mampu ku jawab, ada yang ku biarkan sepi. Maafkan aku... Sampai di rumah, tempat perbaringan mak sudah terletak elok di ruang tamu. Sudah ramai jiran tetangga tiba. Jenazah mak masih di hospital. Telefon tidak berhenti berdering. Masing-masing tidak percaya sementelah mak tiada penyakit kronik. Pemergian mak memang secara tiba-tiba. Usai solat zohor, Cik Rop menyuruh aku mengambil daun pandan dan pelbagai lagi sebagai persediaan. Aku hanya memberi apa yang diminta. Mujurlah Umie ada. Terima kasih. Kehadiranmu amat membantu. Semakin lama, semakin ramai. Hampir jam 4, jenazah mak tiba. Aku memegang tangan mak, sejuk. Muka mak pucat sangat. Saat ini, air mata membasahi wajahku dan aku duduk di tepi jasad kaku mak sementara menanti untuk memandikan jenazah. Ruang tamu dan halaman semakin penuh dengan jiran-jiran, sanak saudara, dan sahabat-sahabat handai untuk memberi penghormatan buat kali terakhir. Semasa jenazah mak dimandikan, aku memangku kepala mak, dibantu dengan ahli keluarga yang lain; Cik Iti, Wak Yah,Kak Mona, Kak Yah, Bik Tar, dan Wak Ajah, Wak Tirah, Wak Kamisah dan Wak Gayah. Alhamdulillah, senang menguruskan jenazah mak. Usai dikafankan, aku mencium dahi mak buat kali terakhir, diikuti abang-abang, Wak Yah(kakak ke-4 mak), Cik Iti(adik mak) dan saudara-mara yang lain. Aku perasan, cuma Wak Mis(kakak ke-3 mak) yang tak mendekati. Semasa mahu menukar baju yang basah sebelum ke kubur, Cik Rop menyuruh aku solat asar dulu kerana bimbang berada di kubur hingga maghrib. Aku akur. Namun, tika aku tiba, liang lahad telah dikambus. Tak sempat melihat mak buat kali terakhir. Tak apalah, aku redha. Kawan-kawan Abang pun ramai yang datang. Paling lama rasanya Kak Nabila yang sedari petang menunggu dan menawarkan bantuan. Malamnya, mak dan kakak Umie tiba.
Sampai sudah pun aku tak bertanya pada Cik Iti bagaimana mak menghembuskan nafas terakhir. Aku tak kuat. Walau sesabar dan setabah manapun aku, emosiku tetap pincang. Cuma mendengar bila ada yang bertanya memandangkan Cik Itilah satu-satunya orang di sisi mak tika mak pergi. Memang mak tiada sakit kronik. Hanya kadang-kadang darah tingginya kembali. Pagi sabtu, mak masih buat sarapan seperti biasa. Lepas sarapan, mak mengadu sakit dada dan mahu berehat sebentar. Tika ini, mak ada cakap sesuatu yang menakutkan. Cik Iti lantas menyuruh mak mengikutnya membaca sepotong ayat(tak ingat ayat apa) sambil dia mengurut-urut mak bagi mengurangkan kesakitan. Abah tika ini sudah keluar mahu menjemput doktor ke rumah. Malangnya, klinik yang dipercayai tutup pula. Lantas abah membawa mak ke hospital. Saat ini, mak masih mampu berjalan sendiri ke kereta dan berpesan pada Cik Iti supaya mengunci pintu rumah. Tiba di hospital pun, mak turun dari kereta sendiri hinggalah dimasukkan ke wad kecemasan. Selebihnya, aku samar-samar. Cuma abah tak sempat jumpa mak kali terakhir kerana keluar mencari air minuman untuk mak.
Kali terakhir berjumpa mak 2 minggu lepas, semasa beraya ke rumah Cik Iti. Itulah kali terakhir. Seingatku, tiada yang pelik berlaku. Cuma pelukan mak lain dari biasa. Selepas jenazah mak dikebumikan, beberapa saudara bertanya; "Mak ada pesan apa-apa ke?", "Bila kali terakhir jumpa mak?" dan beberapa soalan berkaitan lagi. Sangat terkilan kerana tak sempat jumpa mak buat kali terakhir. Mujur malam sabtu aku menelefon ke rumah. Sewaktu bercakap dalam telefon pun, tiada yang mencurigakan. Mak seperti biasa. Sempat bercerita tentang kedatanagn Cik Iti siang tadi(Jumaat), kedatangan Dr. Rafie(anak murid abah) ke rumah tengah harinya, dan tentang jemputan rumah terbuka Bik Riah di Shah Alam esok(Sabtu) dan mak bercadang nak ajak Cik Iti sekali. Aku menelefon sekadar untuk memberitahu aku akan pulang pada Ahad pagi kerana malam esok(malam Ahad) ada program bersama anak-anak yatim di UNISEL. Mak kata tak apalah sebab aku bercuti agak lama. Cuma baru aku teringat nada suara mak macam tak seronok. Aku juga sempat mengkhabarkan aku akan menduduki MUET pada Selasa ini dan mak bertanya "Ooo, periksa ye? Kat sekolah hari tu ke?".
Bila difikirkan semula, aku teringat yang sepanjang minggu lepas ingatanku pada mak sangat kuat dan berasa tak sedap hati. Berterusan hingga beberapa hari dan entri 'Runsing' juga ditulis atas sebab itu. Cuma aku tidak tergerak untuk telefon ke rumah hinggalah Jumaat malam. Rupanya itu adalah tandanya, tanda yang sama ketika Paman meninggalkan kami pada tahun 2004. Aku masih ingat, pada hari Paman pergi, aku berasa serba tak kena. Ingatanku hanya pada rumah. Terasa mahu menelefon ke rumah namun tak tergerak untuk menelefon hinggalah kemunculan Kak Ela di asrama mengkhabarkan pemergian Paman dan mahu membawaku pulang.
Hari Ahad, aku kembali ke UNISEL dengan Abang Faiz untuk mengambil slip MUET. Sepanjang perjalanan, seboleh mungkin aku mengelak untuk bercerita tentang mak. Cukuplah air mata yang tumpah. Namun ada juga beberapa kali Abang bertanya dan bercerita tentang mak. Abang kata, mak sempat masak Mentaram(lauk kegemaran mak) yang jarang-jarang mak masak, beberapa hari lepas. Aku cuma diam mendengar. Abang juga bertanya sama ada aku melihat An menangis. Baru aku tersedar, dari aku tiba di rumah hingga saat ini, aku tak sekalipun melihat abangku yang kedua ini menangis. Kemudian, Aienn menelefon memberitahu beberapa sahabat mahu datang berziarah. Sewaktu hampir sampai Banting, aku terima SMS dari Ida tentang kedatangannya dan beberapa sahabat lain. Aienn tiba tika maghrib melabuhkan tirai bersama Kak Chik, Jun, Hani dan seorang lagi sahabat(maaf terlupa namanya) manakala Ida dan 2 kereta yang lain tiba ketika tahlil telah pun bermula. Terima kasih Shah, Najib, Azli, Ifdal dan Pdy. Kedatangan kalian sedikit sebanyak membina kembali semangat yang hilang. Bila Kak Chik masuk ke bilik saat yang lain sedang makan, air mataku kembali tumpah. Terima kasih kerana memberi semangat padaku. Cuma, jangan sesekali memelukku atau mengusap belakangku ketika aku sedang menangis. Perbuatan tersebut hanya akan menggandakan kesedihan. Biarkan aku teresak sendiri.
Banyak lagi yang mahu ku kongsikan. Namun, cukuplah dulu setakat ini. Aku tahu, ramai yang terkejut dengan pemergian mak. Wak Yah juga tak percaya pada mulanya dan mengandaikan mak yang menelefon mengkhabarkan tentang pemergian Mbah Nasilah yang memang terlantar di hospital. Segalanya berlaku sekelip mata. Mbah As pula hanya duduk di ruang tengah rumah tanpa melihat jenazah mak diuruskan. Hanya pada hari Isnin petang sewaktu Mbah As datang menjenguk persiapan tahlil, beliau bertanya pada Wak Yah apa yang terjadi. Hanya Mbah Mainah yang setia menunggu di sisi mak ketika mak dikafankan dan memberi amanat dan semangat sebelum pulang petangnya. Apa pun, terima kasih pada semua saudara mara yang membantu menguruskan tahlil hingga hari terakhir(Isnin); Wak Yah, Cik Iti, Along, Kak Eli, Kak Idah, Kak Alos, Wak Yem, Kak Awok, Kak Yah, Farah, Kak Jemah dan yang lain-lain. Sekurang-kurangnya bila ramai orang di rumah, aku tiada masa untuk bersedih. Terima kasih juga buat sahabat-sahabat i Rakan, teman-teman di UNISEL, sahabat-sahabat Maahad dan sesiapa jua yang yang memberi semangat melalui SMS. Walaupun hanya patah-patah perkataan, ianya cukup membantu aku menghadapi apa yang berlaku. Terima kasih banyak-banyak. Kepada yang cuba menelefon, maaf kerana panggilan kalian terbiar sepi. Belum cukup kuat untuk menjawab dan mendengar apa jua yang kalian mahu sampaikan.
Nota: Sahabat-sahabat, lepas ni buat seperti biasa ye. Jangan bangkitkan lagi soal ni. Cukuplah Umie berceramah sepanjang perjalanan hari tu. Aku tetap aku. Umie and Mynn, thanks for the concern. I know both of you are trying to call me so many times. But I still don't have the strength to answer any calls. Till we meet again.. Sorry for not replying your messages too. Somehow, those messages really meant for me. Terima kasih Kak Rini, for the concern. Kepada Hani, ye mak aku dah pergi buat selamanya. Doakan dia aman di sana ye. Takziah buat Ija dan keluarga yang turut kehilangan bonda tercinta pada hari yang sama(Sabtu 17 Oktober).