Sementelah dah agak lapang, cita-cita nak menulis pengalaman mengukur jalan yang zaman dulukala tu menjelma. Korek-korek deraf blog, jumpa catatan ni yang ditulis pada 21 Mei 2019. Hahahahadoi! Rupanya cerita berjalan ke Terengganu tahun 2017 pun tak siap lagi. Pengembaraan ke Hong Kong pun sama, ada 3 episod dalam deraf ni. Marilah, kumpul kerajinan untuk edit gambar dan korek catatan perjalanan dalam buku log dan telefon. Musim-musim Covid ni, rindu nak naik kapal terbang pun kemain membuak-buak. Jangankan nak naik kapal terbang, nak balik jumpa Abah pun belum lepas lagi. Haih... Semoga dapatlah saya balik kampung jumpa Abah dalam masa terdekat ni. Dalam pada menanti, nah saya siarkan karangan yang dah siap ni. Saya syak dia terperuk dalam ni sebab tak sempat edit gambar. Korang baca jelah cerita tak bergambar ni.😆😆
Sementara saya korek balik catatan perjalanan ke Hong Kong dan Terengganu, mari mula menaip cerita ke Korea Selatan untuk kesekian kalinya. Perancangan asal, tentulah dibuat bersama-sama Geng Bujang Bilik Prep. Yang paling semangat sekali, saya dan Aten manakala yang lain-lain suam-suam aje. Tapi diorang tu kalau 'dibakar', cepat je terpengaruh. Cuma kali ni taktik tak menjadi. Hahaha... Sudahnya, cuma pergi berdua saja untuk kali ini.
Disebabkan rancangan bolehlah dikatakan mengejut, memang pulun habis kumpul duit. Tiket kapal terbang dibeli sekitar akhir bulan November kalau tak silap. Kebetulan Vietnam Airlines ada buat promosi, dapatlah beli tiket dengan harga murah. Ikutkan, nak naik MAS juga. Tapi harga untuk tarikh yang dipilih tu sangat mahal untuk kami, pengembara ekonomi.
Pengalaman pertama naik syarikat penerbangan lain dan pertama kali merasa transit di satu tempat sebelum tiba di destinasi. Pertama kali juga merasa bermalam di dalam lapangan terbang. Kami berlepas pada 29 Mac. Penerbangan pergi tertunda sejam jadi ada banyak masa senggang. Dari KLIA ke Ho Chi Minh mengambil masa kira-kira dua jam lebih kalau tak silap. Waktu pergi, ramailah rakyat Malaysia yang sekapal tapi tak ada yang sehala. Kapal terbang pun kapal kecil saja.
Apa yang menarik, naik Vietnam Airlines ni tak payah risau pasal makan sebab tiket termasuk sekali makanan dan bagasi. Makanan boleh tahan mewah macam MAS juga. Boleh pilih dari dua jenis menu yang ditawarkan; ada menu mi + daging dan nasi + ikan. Saya pilih nasi sebab belum makan malam lagi. Ambil menu berat terus sebab kena tunggu kira-kira 14 jam sebelum jumpa makanan berat seterusnya.
Tiba di Lapangan Terbang Tan Son Nhat, jakun kejaplah tengok keadaan sekitar sebab kiri kanan penuh dengan rumah. Kiranya lapangan terbang ni terletak di dalam kawasan petempatan. Dari kapal nak sampai ke terminal, kena naik shuttle bas yang disediakan. Pengalaman pertama kali juga ni. Biasanya kapal terus parking dekat terminal dan kita kelaur dari kapal terus sampai dalam terminal.
Masuk saja ke dalam bangunan, terus melilau cari tempat untuk transit. Untuk transit, kena lalu pemeriksaan imigresen. Kemudian, teruslah tunggu untu penerbangan seterusnya. Waktu penerbangan kena tengok di skrin untuk pastikan sekiranya ada perubahan waktu dan juga nak kena check-in di Gate berapa. Kemudian, teruslah kami cari tempat untuk tidur. Sebenarnya ada Sleeping Zone di sini tapi waktu baru sampai tu tak jumpa pula. Sudahnya, kami bermukim di deretan kerusi berhampiran food court. Orang pun tak ramai, tempat selesa dan dekat dengan tandas.
Mula-mula macam tak boleh nak lelap, makanya layan dululah 2 Days 1 Night dalam tab. Habis tengok, baru mengantuk dan teruslah berbaring. Waktu nak tidur, barisan kerusi yang ada dah diisi dengan orang. Ada yang sama-sama dalam perjalanan dan ada yang bekerja di situ. Bila malam dah larut, lampu bahagian situ pun macam jadi malap sikit jadi lebih selesa untuk melelapkan mata.
Dari segi keselamatan, alhamdulillah keadaan sekitar tenang dan tiada orang yang mencurigakan. Walaubagaimanapun, beg yang ada tetap dikepit kemas sepanjang masa. Dapatlah juga lelap mata walaupun penunggu bangunan datang bertegur sapa. Waktu pejam mata ala-ala mamai, punyalah riuh rendah bunyi keliling macam ramainya orang lalu lalang waktu tu, siap bunyi macam orang masak kat dapur lagi. Bila buka mata, sunyi sepi ye keadaan sekeliling, tak ada pun orang lalu lalang dan restoran-restoran yang ada semua dah tutup pun. Mengantuk punya pasal, lantak pi hanglah. Hahaha.. Dapatlah deep sleep kejap sebelum bangun untuk solat subuh dan bersiap untuk meneruskan perjalanan.
Lepas segarkan diri, terus tengok skrin untuk jadual penerbangan. Kebetulan dekat kawasan kami bermukim tu ada skrin besar, senanglah nak semak. Dah pasti nombor Gate, baru kami turun dan cari lokasi Gate. Dalam perjalanan, nak singgah isi air kosong. Tapi, water dispenser tu kehabisan air pula. Dekat sebelah mesin ada je tong air tu tapi macam tak larat nak angkat dan ragu-ragu, boleh ke kalau nak tukar sendiri pun? Dalam pada kalut-kalut tu, datang seorang lelaki berbangsa Cina menyampuk perbualan kami, "Kita tukar sajalah, apa pula tak boleh?" La, orang Malaysia ke? Hehehe.. Jadi, beliaulah yang tolong tukarkan tong air tu. Dapatlah kami mengisi botol air kami dengan gembira sebab sumber air masih penuh. Terima kasih encik yang membantu.
Selesai penuhkan botol air dan ambil air panas, kami terus berjalan mencari Gate sebelum duduk untuk isi perut dengan bekalan dari Malaysia. Tak jumpa makanan halal pun dalam ni maka kena sediakan payung sebelum hujan. Saya tempah bun sosej dan bun kacang siap-siap dari Kak Ina untuk makan waktu transit. Alhamdulillah, dapatlah alas perut sementara tunggu makan berat dalam kapal terbang nanti.
Waktu nak berlepas ke Incheon, agak serabut la dengan penumpang-penumpang lain yang tak makan saman langsung. Staf dekat kaunter pun dah tak boleh buat apa dengan diorang. Akhirnya pasrah sajalah. Kali ni pun kami kena naik shuttle bas untuk ke kapal. Untuk penerbangan dari Ho Chi Minh ke Incheon, kami dapat makanan lebih awal sebab rasanya macam kami saja penumpang muslim dalam tu. Oh ye, untuk makanan halal dalam penerbangan, kena email Helpdesk Vietnam Airlines dan bagi nombor tempahan serta tiket. Bahagian ni, Aten yang uruskan. Terima kasih crime partner.😍
Dari Vietnam ke Korea, mengambil masa kira-kira 4 jam 35 minit. Kapal yang ini pun tak ada individual screen. Makanya, samada layan tab atau layan mata. Penerbangan lancar dan cuaca pun cantik. Tiba di Incheon, langit agak mendung. Masuk saja dalam terminal, terus cari tandas dulu sebelum keluar ke imigresen. Rasanya kena berhenti di sini dulu sebelum muntah baca sebab panjang sangat ceritanya. Hehehe.. Jumpa lagi...