Annyeong!
Jom sambung kisah GangneungXSeoul 2019 hari ketujuh. Bila nak habis ni wei? Hahahaha... Semalam belek catatan Seoul Autumn Noob 2016, sampai 33 episod rupanya. Dah boleh terbit buat buku ke cemana? ๐๐ Macam biasa selepas hari berjalan jauh, hari yang ini kami berjalan di dalam Seoul sahaja walaupun jaraknya agak jauh dari tempat menginap. Kalau jalan dalam Seoul memang keluar ikut suka hati. Tidaklah awal sangat sebab tiada apa yang dikejar. Rasanya hari ketujuh ni antara hari yang melenggang kangkung.
Sebelum keluar kami sarapan siap-siap. Kalau tengok gambar, menunya adalah nasi goreng kimchi, roti bakar, tuna, jem strawberi dan kopi segera. Sebab nanti nak makan besar, jadi waktu makan yang lain kena jimat. Dari Hyehwa kami naik bas sampai depan bangunan KBS. KBS ni ada dua bangunan yang jaraknya agak jauh juga antara satu sama lain. Kami turun di bangunan utama, jadi kena menapak lalu celah bangunan, menyusur lorong kecil dan melintas jalan besar. Tapi mungkin sebab kawasan ni antara tumpuan pelancong juga, dalam perjalanan tu boleh nampak papan tanda penunjuk arah dan peta untuk ke lokasi. Dekat Korea ni tak hal nak menapak berkilometer sebab suasana nyaman. Setakat 2 km tu tak ada hallah! Begitu dia punya bongkak๐.
Kami tiba di KBS On pada rembang tengah hari. KBS On merupakan sebuah dewan pameran penyiaran pertama di Korea. Dekat sini ada pelbagai pameran berkaitan proses penyiaran, rancangan tv, filem dan drama terbitan KBS. Ada juga studio kecil untuk pengunjung merasai pengalaman membaca berita , merekod suara untuk rancangan hiburan dan menyampaikan laporan kaji cuaca. Selain itu, ada juga beberapa bilik tayangan untuk dokumentari kalau tak silap. Boleh je masuk dan duduk tengok. Namun kami kurang gembira dengan kunjungan kali ini sebab mereka mengutamakan slot lawatan berkumpulan untuk merasai satu-satu pengalaman. Waktu tengah duduk dalam salah satu bilik tayangan, kami disuruh keluar sebab nak bagi laluan pada kumpulan tadi tu. Sobs...
Senarai bas dan jangkaan masa menunggu bas tiba di hentian. Hampir setiap hentian bas ada papan LED ni. Ini dekat hentian bas di Hyehwa.
Turun je dari bas tadi terus disambut dengan deretan pokok bunga sakura yang lebat berbunga. Swafoto satu kali!
Ini penanda arahnya
Tengah jalan nak ke KBS On, jumpa pakcik jual bungeopang. Pantang jumpa makanan yang satu ini, wajib beli. Sedaappp! Rangup dan intinya penuh.
Bangunan yang ada KBS On tu ada benda merah ni. Kalau satu lagi bangunan KBS, dia tak ada yang merah ni
Selagi boleh simpan dalam memori, simpan
Masuk je dekat kawasan pameran, Kapten Yoo Si Jin masih setia menunggu.
Ini dah dekat belah atas. Sepanjang laluan ni ada poster rancangan dan drama terbitan KBS. Masa ni 2 Days 1 Night tengah kontroversi.
Dekat bahagian skrin hijau untuk laporan kaji cuaca
Dekat bilik berita. Selepas 3 tahun, masih lagi perlu mengeja skrip yang dipaparkan. Kahkahkah... Mada je yang boleh baca lancar skrip tulisan hangul tu.
Tapi sejam juga rasanya dekat sini termasuk bergambar. Waktu datang pada tahun 2016 paling menikmati sekali sebab kami antara pengunjung terakhir dan hanya ada beberapa orang je dalam tu. Sakan la cuba semua benda. Dekat sini juga ada konti radio untuk beberapa radio dibawah KBS. Dinding konti ni dinding kaca maka bolehlah nampak orang dekat dalam. Tapi waktu tu tak ada artis atau penyampai radio yang dikenali, takdelah menebeng tepi dinding tu. Heee...
Dari KBS On, kami melangkah ke Yeouido Park yang sepelaung je jaraknya. Dekat sini lebih kepada taman bunga dan ada beberapa pameran berkaitan landskap. Sangat mendamaikan bila berjalan di sini. Ada tandas awam dan ada banyak pondok berteduh dan tempat duduk. Akhirnya kami duduk berehat di salah satu kawasan redup di bawah pokok-pokok yang merimbun. Dekat sini kami makan bekalan snek yang dibawa sambil bertafakur muhasabah diri. Hahaha... Lama juga duduk sini tak buat apa sebelum meneruskan langkah ke Yeouido Hangang Park.
Ini penunjuk arah nak ke mana. Landskap dekat Yeouido ni sangatlah cantik dan berseni.
Musim bunga, ada pelbagai jenis bunga yang sedang cantik mekar
Salah satu landskap berbunga yang ada di taman tersebut
Sampai je dekat Yeouido Hangang Park, terus cari tempat nak sewa basikal. Sayalah tu yang berhajat besar nak mengayuh basikal di tepi Sungai Han. Waktu ni kan ramai sungguh manusia walaupun hari Jumaat. Patutnya hari kerja la kan? Rasanya masa rancang jadual perjalanan sebelum tu dah semak senarai cuti umum di Korea. Rupanya 5 April diisytiharkan sebagai Arbor Day di Korea Selatan. Arbor Day ni merupakan sambutan kesedaran mengenai pokok dan hutan serta menggalakkan penanaman pokok dan berkebun. Bukan cuti umum, tapi mungkin cuti pilihan ikut siapa nak cuti la kot sebab dalam perjalanan nak ke KBS tadi masih bertembung dengan pekerja-pekerja pejabat yang keluar makan tengah hari.
Salah satu tujuan ke Yeouido Hangang Park ini adalah untuk melihat sakura kerana tempat ini tersenarai sebagai salah satu tempat utama untuk menikmati keindahan bunga sakura di Seoul. Tapi waktu ni saya hanya jumpa sebatang saja pokok sakura yang sudah lebat berbunga di dalam kawasan taman. Aten tak nak naik basikal, jadi saya seorang je yang sewa dan kayuh basikal dari tempat sewaan sampai ke hujung sana dan hujung sinun. Pondok sewaan ni terletak di tengah-tengah taman, berhadapan dataran bersimen. Mula-mula saya kayuh ke sebelah kiri dulu. Belah kiri ni tak berapa ramai orang tapi meriah juga dengan manusia pelbagai peringkat umur yang beriadah, berkelah dan tak kurang juga yang saja berjemur. Waktu ni angin yang bertiup agak kencang. Jenuh kayuh basikal lawan arah angin. Ada beberapa kali berhenti di kawasan strategik untuk menikmati Sungai Han dan berswafoto. Waktu 2016 dulu datang Sungai Han untuk tengok pertunjukan air pancut di Jambatan Banpo. Kalau datang malam jangan pergi dekat sangat dengan sungai nanti kena tarik dengan hantu air. Hah, pengaruh drama sangat awok ni! Baca boleh tapi jangan terus percaya.
Lepas tu saya berkayuh ke arah bertentangan pula. Dekat kawasan yang belah sinun, lagi ramai manusia rupanya sebab ada satu kawasan yang kelihatannya dikhaskan untuk pengunjung yang nak duduk lepak sambil makan makanan yang dipesan dari Misi, Grab, Foodpanda dan restoran-restoran yang menawarkan khidmat penghantaran makanan. Memang ada bahagian khas untuk motorsikal-motorsikal penghantar makanan ni parking dan serah makanan kepada pelanggan berdasarkan pemerhatian saya dari cebisan ingatan selepas 5 tahun berlalu. Eh tapi memang restoran-restoran ni aktif edarkan flyers menu kedai masing-masing sebab masa kitorang lepak tengok persembahan air pancut dulu, bila toleh belakang tiba-tiba ada beberapa helai flyers menu. Yangnyom chicken ada, jajangmyeon pun ada. Mampu tengok jelah kan sebab tak ada yang halal.
Sebaik sahaja tiba di Yeouido Hangang Park
Ini betul-betul tepi Hangang
Tadi nampak sungai, yang ni nak tunjuk keadaan taman yang belah sana. Bahagian yang tak ramai orang, aman nak berbasikal sebab tak payah tekan loceng bagi amaran pada pejalan kaki yang berjalan di laluan basikal.
Satu-satunya pokok sakura yang lebat berbunga. Beratur orang nak bergambar dekat sini. Saya ambil gambar ride-thru jelah, kuasa pula nak ikut beratur
Harga sewaan basikal pada bulan April 2019. Harga semasa korang kena pergi tengok sendiri.
Kamsahamnida chingu! Banyak kali pusing pokok ni nak dapatkan gambar cun. Hahaha.. Member pun layankan je ek
Puas berbasikal, saya kembali ke dataran berhampiran tempat sewaan tadi untuk memulangkan basikal. Tapi sebelum tu minta ehsan crime partner ambilkan gambar sedang berbasikal tanda tercapai hajat nak mengayuh di tepi Sungai Han. Selepas pulangkan basikal, terus kami menapak menapak naik ke jalan utama untuk ke perhentian bas yang ada bas untuk ke K-Style Hub sebelum menuju ke Dongdaemun. Agak lama juga kami berjalan untuk ke perhentian bas tersebut. Makin menghampiri perhentian bas, makin banyak pokok bunga sakura yang sedang lebat berbunga. Kami pun apa lagi, berhenti sebentar untuk mengabadikan kenangan.
Ramai orang dekat kawasan sini. Semua pun nak menikmati keindahan bunga sakura yang singkat itu.
Kami
Antara gerai makanan jalanan yang ditemui. Macam biasa, tak bungeopang, gyeran pang. Tapi yang ni tak beli pun.
Antara bas yang kerap kami naik sepanjang di sana. Lokasi hentian bas di setiap perhentian bas semua dalam hangul kecuali bas kontot yang lalu tempat tumpuan pelancong. Tak silap yang itu ada juga tulisan roman. Nak senang semak hentian mana nak tuju kena guna Kakao Map seperti yang Aten kata.
Begitulah pengalaman kami untuk hari ketujuh di bumi Seoul. Cerita makan besar sambung entri baharulah ye, dah panjang cecah lantai cerita beserta gambar untuk entri yang ini. Babai..!