Engagement Fund ;)

Showing posts with label Cameron 2015. Show all posts
Showing posts with label Cameron 2015. Show all posts

Sunday, 20 March 2016

Semoga Berjumpa Lagi Cameron Highland!

Sebelum pergi Cameron, dah rancang supaya semua orang ambil giliran memandu. Tapi sudahnya aku dengan Aten je yang memandu. Mada dah taja kereta jadi dia tak memandu pun takpe. Ikutkan Radin kata nak memandu waktu balik tapi sebab dia mabuk teruk, maka memang sepanjang jalan dia tidur. Apa pun tak boleh. Hahaha... Sebenarnya kebolehan memandu jarak jauh tanpa menjejaskan tumpuan dan mengantuk adalah satu kelebihan dan tak semua orang mampu nak buat, makanya, sayangilah kawan-kawan anda yang ada kelebihan ni.

Perjalanan balik agak lancar dan tak banyak kenderaan. Dalam perjalanan, anda masih boleh jumpa deretan kedai yang menjual bunga-bungaan dan hasil bumi Cameron yang lain jadi jangan risau kalau tak sempat nak membeli ole-ole dekat atas tadi. Sepanjang perjalanan, ada tiga kali juga kot kami berhenti membeli. Ye, kami memang suka membeli dan mudah menghasut dan terhasut dengan hasutan dari satu sama lain. Hahahaha...

Benda pertama yang paling nak dibeli adalah bunga segar. Bila berhenti dekat deretan kedai, memang taklah ko nak beli bunga je kan? Akhirnya bunga segar, bunga hidup bertanah, semuanya kami borong. Apa pun tak boleh! Selain daripada bunga-bungaan, beli jugalah sikit jajan untuk letak dekat pejabat. Dekat sini popular dengan buah-buahan jeruk. Macam-macam ada! Tinggal lalu dengan lalu je nak makan.
Perhentian pertama, tak begitu banyak pilihan bunga tapi aku beli juga sejambak...

Selepas perhentian membeli terakhir, memang tak ada harapan dah nak tukar pemandu sebab kereta dah penuh sesak dengan pelbagai hasil borongan. Tempat duduk belakang memang muat untuk Radin dengan Mada je duduk. Bayangkan, sampai dekat tempat brek tangan dan gear ada barang, gila tak gila tabiat membeli? Hahahaha... Penuh wei dengan pokok-pokok dan bantal segala.
Pakcik ni tengah mempromosi Sambal Strawberi Abang dekat Mada..aku pun beli juga satu nak rasa bagaimanalah rasanya strawberi bila disambalkan..ini deretan kedai terakhir ye dalam perjalanan dan kalau korang berhenti dan nampak pakcik ni, silalah membeli dengan sesungguh hati; nak beli dekat kedai pakcik ni boleh, kedai lain pun boleh tapi pakcik ni memang peramah gila...macam-macam ada dekat sini..

Sedang tawar menawar untuk membeli pokok hydrangea...sempat lagi kau bergambar kan? Hahaha... terima kasih Mada sebab jadi jurugambar dekat sini..

Inilah dia keadaan tempat duduk belakang..ruang untuk Mada dengan Radin duduk pun sipi-sipi je tu, nasib baiklah diorang ni kecil comel je...hehehehe..ruang depan lupa pula nak ambil gambar tapi penuhlah bahagian tengah tu sampai dekat tempat kaki Aten...

Perjalanan turun memang mencabar dan kalau tak memandu, aku rasa aku mabuk juga sebab selekoh dia memang tajam sungguh! Itu belum lagi bila bertembung dengan bas yang makan jalan orang lain. Berapa kali aku kena hon sebab sikit lagi nak bertembung dengan bas. Hello, aku ikut jalan aku okey walaupun sebenarnya boleh je ke tepi sikit bagi laluan dekat bas tu tapi tak nak mengalah tu, nak juga aku memandu ikut garisan jalan yang ditetapkan. Kecut perut juga sebenarnya tapi tak nak mengalah. Heeee... Orang lain dah pejam-pejam mata dah. Hahaha... Walaupun jalannya menyeramkan, pemandangan sekeliling sangatlah menakjubkan subhanallah... Masih lagi merasai perjalanan yang diiringi kabus.

Sampai je bawah, kami singgah di masjid pertama yang ditemui untuk solat. Jamak qasar asar dan zohor dan tunggu waktu maghrib sekali. Turun dari kereta je, terhuyung-hayang kejap sebab baru terasa pening lalu jalan bengkang-bengkok tadi. Usai solat jamak qasar maghrib isya', perjalanan pulang diteruskan. Asalnya nak cari kedai makan sebelum keluar ke lebuhraya tapi bila dah terlepas simpang, terus jelah sampai ke perhentian Tapah kot. Ramai juga manusia di sini tapi disebabkan masih awal, tidaklah sesak. Akhirnya kami makan di Secret Recipe sebab masing-masing malas nak bersesak tapi nak makan berat.

Gambar penutup Cuti-cuti Malaysia Geng Bilik Prep 2015

Itulah dia kesudahan perjalanan 3 hari 2 malam Geng Bilik Prep. Terima kasih kawan-kawan sebab sudi layankan permintaan kawan korang yang sorang ni nak ke Cameron. Harapnya pelancongan domestik ni jadi tradisi sampai bila-bila. Kurang lebih minta maaf lagi sekali.

Cameron Highland: Ladang Teh Bharat

Ini adalah lokasi pelancongan terakhir yang kami singgah sebelum turun ke Tapah. Waktu sampai sini rasanya tengah hujan lebat dan disebabkan tak tahu ada parking yang dekat, kami parking di tempat yang jauh. Makanya, kena tunggu hujan reda sikit baru boleh keluar kereta. Reda tak reda, basah jugalah.

Waktu sampai sini, orang agak ramai. Aku agak, tempat tumpuan di sini adalah kafenya selain kedai cenderahati yang menjual pelbagai jenis teh tu. Mula-mula sampai, kami terus ke kafe sebab tak puas lagi minum teh dan makan skon. Menu dekat sini adalah pelbagai daripada yang manis sampailah ke savoury.

Aku rasa, harga makanan dekat sini lebih murah daripada dekat Ladang Teh Boh Sg. Palas dan persembahan makanan pun lebih menarik. Keadaan kafe yang terbuka dengan pemandangan ladang teh yang menghijau dan luas serta ada banyak pilihan tempat duduk menjadikan kafe ini sentiasa dipenuhi pelanggan. Pekerjanya juga ramai dan meja-meja sentiasa dibersihkan maka tak ada masalah ketiadaan tempat duduk. Dah macam ulasan dekat ruangan ulasan majalah pulak.

Okey, kali ni tamak jugak. Macam-macam makanan dipesan tapi kongsilah berempat sebab baru makan nasi kan? Kalau ke sini dan nak pesan waffle, pastikan korang pilih waffle yang betul sebab dia ada dua jenis. Satu adalah set waffle yang didatangkan dengan mentega dan madu manakala satu lagi adalah waffle dengan aiskrim. Bila dah buat pesanan tu baru perasan dia ada dua jenis yang berbeza lepas tu tak bagi tukar pulak, maka kami makan aje yang set waffle biasa ni. Mari tengok apa yang kami makan dekat sini.

Teh-tak-ingat-perasa-apa dengan mango cheese cake kot?


Set waffle

Strawberry scone set...scone ni besar ye jadi jangan tamak!

Agak lama juga kami habiskan masa untuk makan sebelum beredar apabila orang makin ramai. Memandangkan masih gerimis, maka kami bergambar di atas saja. Aku macam nak turun juga meredah lecak bergambar di ladang teh tapi sebab tak ada sorang pun nak layan, aku pasrah je bergambar dengan diorang dekat atas tu. Hahahaha... Sebenarnya kan, kalau pergi ke tandas dia, ada satu tingkap besar dekat tandas tu tau. Dannn, pemandangan adalah sangat cantik daripada tingkap tu tapi semua orang tak nak layan perangai senget aku nak bergambar dalam tandas. Hahahaha....

Suka gambar ni!

Tuan Tanah dengan Radin

Berlatarbelakangkan kafe sebelum masing-masing berlari ke kereta sebab hujan makin lebat..hahahaha...

Cantik kan? Can we be here again Geng?

Aten, Mada dan yours truly

Usai bergambar, hujan makin lebat maka cepat-cepat habiskan sesi bergambar sebelum ke kedai cenderahati untuk memborong teh. Eh, ke pergi borong teh dulu ek? Lupa sudah... Tapi kitorang beli jugalah teh. Ke aku dengan Mada je yang syok membeli? Pun lupa dah. Hahaha... Aku tak beli banyak pun, sekadar sekotak teh yang ada pelbagai perisa. Mada beli banyak juga sebab dia nak bagi bos dia. Selesai membeli, lagi sekali redah hujan untuk ke kereta dan perjalanan pulang diteruskan. Bersambung...

Saturday, 19 March 2016

Cameron Highland: Kerana Manisnya Strawberi dan Ole-ole untuk Mereka

Sambungan semula cerita cuti-cuti di CH sebelum rancangan Cuti-cuti Geng Bilik Prep 2016 muncul. Hehehe.. Hari terakhir adalah hari untuk mencari strawberi. Sebenarnya, diorang semua tak hairan pun nak petik-petik strawberi sebab diorang kan dah pernah datang Cameron? Tapi sebab itu adalah agenda wajib bila sampai Cameron ni dan diorang semua sporting dan baik hati melayan kerenah kawan diorang yang tak pernah sampai Cameron ni, gigih jugalah mencari ladang strawberi. Kumawoyeo chinggu! 

Kami berempat, sebelum mendaftar keluar...gigih setting kamera dekat tingkap...hehehehe...

Check-out lewat juga, dekat pukul 10 kalau tak silap. Tak tahulah kebetulan atau suratan, perancangan perjalanan kami adalah sangat cantik! Kami datang melalui Simpang Pulai dan rancang nak balik ikut Simpang Pulai juga tapi biasalah, saat akhir rancangan berubah; maka perjalanan balik adalah melalui Tapah. Memang cantik sungguh sebab waktu kami nak balik, orang ramai pun baru berduyun-duyun masuk ke Cameron. Jadi kami melawan arus menuju ke Tanah Rata dan tiada kesesakan berlaku. Yeayy!

Usai check-out, kami mencari tempat boleh memetik strawberi. Jenuh mencari tak jumpa tempat yang tepat. Mula-mula tu hanya kafe je, tak boleh petik strawberi. Lepas tu cari lagi, jumpa satu tapi dia kata aktiviti memetik hanya akan bermula pada sebelah petang. Waktu ni masing-masing dah cranky. Orang dewasa pun ada saat menjadi cranky tahu, jangan main-main. Lepas tu cari lagi, jumpa tapi hazabedah betul tempat parking dia dan ramai orang. Tak jadi turun. Cari lagi dan barulah jumpa satu tempat yang betul-betul terletak di sebelah rumah penginapan persekutuan.
Harga untuk sesi memetik strawberi...

Kali ni ramai juga orang tapi masih ada ruang untuk parking dan tempatnya pun lagi baik dari yang sebelumnya. Daripada mood cranky, perlahan-lahan mood bertukar menjadi ceria. Hahahaha.... Aku tak ingat nama tempat ni tapi boleh tahan ramai juga orang lebih-lebih lagi bila hari beransur petang. Tapi jangan risau, tempat ni agak besar dan dia ada strategi supaya semua yang datang tak pulang dengan kecewa; maksudnya kalau nak merasai pengalman memetik strawberi, semua berpeluang sebab dia akan buka tempat untuk memetik mengikut peringkat.

Antara strawberi gemuk yang ditemui...sambil petik sambil makan, tawakal je strawberi tu semua bersih dan suci...baca bismillah okey sebelum masuk mulut..

Tuan Tanah bersama bekas strawberi yang dikongsi dengan Aten..bekas kami baru separuh, bekas Mada dengan Radin dah hampir penuh...eh, ni siapa yang excited nak petik strawberi ni sebenarnya?

Kami...disebabkan sambil memetik kami diekori oleh pekerja ladang ni, maka nah telefon Radin, tolong ambilkan gambar kami berempat ye...

Kami lagi...

Hydrangea! Diorang suruh aku beli sebab asyik sebut je kan? Tapi tak terbuka hati nak beli waktu ni...dekat sini pun ada dijual pokok-pokok bunga kalau nak beli..

Selesai memetik strawberi, kami berehat sebentar di kawasan luar sambil duduk-duduk dan makan strawberi berkrim tajaan Radin. Asalnya nak cepat beredar je sebab dah cranky balik sebab dah lapar. Hahahaha... Tak habis-habis cranky! Nasib baiklah Radin bertegas nak beli strawberi tu sebab ia adalah salah satu makanan wajib makan kalau ke Cameron. Terima kasih Radin.
Ini keadaan di kaunter..kalau rasa straweberi yang dipetik tadi tak cukup untuk dibawa pulang, boleh beli dekat sini..sebekas aku tak ingat berapa dan kat sini jugalah tempatnya strawberi yang dipetik tadi dipek dan kalau nak makan produk berasaskan strawberi, beratur dekat sini juga...



Strawberi berkrim...sedap juga, manis-manis masam dan berlemak..

Misi seterusnya adalah mencari nasi. Mula-mula nak ulang makan dekat Restoran Erra tapi dari jauh dah nampak orang ramai berasak-asak depan kedai. Jadi, sekian terima kasihlah nak makan dekat situ. Mungkin sebab waktu tu betul-betul waktu makan tengah hari maka orang pun bertumpu dekat situ.

Jadi kitorang terus sampailah dekat pekan Tanah Rata. Kalau tak silap waktu tu macam hujan jadinya kitorang cari tempat yang senang nak parking dan tak begitu sesak. Akhirnya berhenti dekat medan selera yang belakangnya ada sungai kecil ke parit besar ke, aku pun tak tahu. Tapi macam tulah. Kitorang makan dekat Kak Yan Corner. 
Keadaan kedai yang agak sesak..

Nasi kami, orang lain dah cekut nasi, aku je yang gigih ambil gambar...diorang muka tak ada perasaan, lantak ko lah Sazoh ko nak ambil gambar, kitorang dah lapar...hahaha..

Macam-macam lauk ada. Kalau nak goreng-goreng pun ada juga tapi kitorang semua makan nasi berlauk. Lepas tu jeling meja sebelah, nampak sedap betul nasi ayam dia. Aku nak buang tebiat dah ni nak pesan nasi ayam pulak. Nasib baik tak tamak haloba sebab kalau pesan memang tak termakan kerana kekenyangan. 

Habis makan, jalan-jalan dekat bangunan tu dan singgahlah terus beli ole-ole dekat kedai-kedai kecil yang berderet di bahagian depan bangunan. Harganya tentulah jauh lebih murah daripada yang ada dekat tempat tumpuan pelancong dan ada baaaaanyak pilihan. Tamak haloba juga nak beli itu dan ini, tak sedar dah terlebih belanja tu. Hehehehe...
Antara ole-ole yang dijual...aku belikan fridge magnet untuk Geng Makan dan diri sendiri..nak belikan strawberi, tak cukup bajet dah...

Bagi peluang Radin masuk dalam blog..dekat sini dia beli t-shirt untuk anak-anak buah terpilih...

Selesai membeli ole-ole, terus halakan kereta ke destinasi seterusnya iaitu Ladang Teh Bharat. Waktu ni masih lagi hujan dan sekejap renyai sekejap lebat. Cerita di lokasi seterusnya bersambung...

Saturday, 27 February 2016

Cameron Highlands: Pasar Malam Brinchang

Lepas solat maghrib, kami keluar semula ke pekan Brinchang dengan tujuan memborong hasil bumi Cameron Highland di pasar malam. Disebabkan kebanyakan blog rujukan tidak memberitahu secara tepat lokasi pasar tersebut, merasalah kami berjalan kaki dari hujung pekan sampai ke hujung pekan.

Ingatkan pasarnya di kawasan pekan, di sebalik bangunan yang tersergam, rupanya nun jauh di sana, bertentangan dengan balai polis. Kalau nak cari pasar malam Brinchang, cari balai polis ye. InshaAllah jumpa. Tapi bukan kitorang aje yang tertipu, ramai juga yang tercari-cari macam kitorang. Sekapal nampaknya kita ye. Hehehe...

Waktu pergi tak ada masalah nak berjalan tapi bila nak balik, seksa hoi! Kiri kanan penuh dengan hasil. Bukan setakat kincam celup tepung je, siap jagung keledek bagai haaa. Pasar Brinchang ni memang besar tapaknya. Macam-macam ada. Dari sayur-sayuran, buah-buahan, pokok-pokok, barangan cenderahati, makanan masak, manisan, dan juga pakaian.
8 paket 10 hengget, mahu tak tamak? Segar-segar pulak tu...baechu tu baechu tu, geram je aku tengok; buat kimchi guna baechu tu memang cantik sangat tapi tak ada masa nak buat jadi aku tak ambik pun

"Untuk kakak-kakak cantik, saya bagi 10 paket untuk 10 hengget.." kata adik penjual kepada kami lalu kami pun memilih sayur dengan bersungguh-sungguh..

Jagung mutiara yang manisnya Subhanallah...3 longgok 20 hengget, selonggok ada 6 tongkol

Jaket tebal-tebal yang macam dekat Uniqlo tu jual bundle je tak sampai 50 hengget pun. Cantik-cantik pulak tu. Aku dengan Mada perati je. Menjadi kami, memang dahsyat sebab memang bersungguh-sungguh memborong. Habis kami pusing pasar tu dari hujung ke hujung.
Kelapa laut pun ado! Tapi dorang cakap penjual ni macam kerek sikit...

Kalau nak beli sayur-sayuran, disinilah tempatnya sebab murah nak arwah! Segar-segar pulak tu. Jagung manis pun bersepah dan boleh rasa kerangupan dan kemanisannya. Sediakan duitnya dan kudrat nak mengangkat aje. Peminat kaktus pun boleh borong kaktus dekat sini sebab harganya jauh lebih murah dan ada banyak pilihan.
Salah satu gerai kaktus

Dari segi makanan pulak, semua ada. Makanan laut pun banyak, makanan darat pun banyak. Harganya bagi aku bolehlah dengan keadaan ekonomi semasa negara. Sayur-sayuran celup tepung dan strawberi celup coklat pun bersepah. Murah pun murah.

Sayur-sayuran celup tepung

Haiwan celup tepung

Hasil tangkapan, nasi lemak ayam + nasi goreng ayam + udang celup tepung + kimcam celup tepung + cendawan dan brokoli celup tepung + strawberi dan pencicah coklat + kelapa laut + goguma...

Selesai memborong, menangislah dalam hati jinjing plastik berisi jagung dan keledek yang berat tu. Hahaha... Kereta kat hujung sana tu wei... Terbakar sikit lelemak yang ada tapi balik je bilik lelemak tersebut diganti semula sebab kemain banyak beli makanan macam tak makan pulak tengah hari tadi. Hahaha... Maka berakhirlah cerita pada hari kedua kami di bumi Cameron. Bersambung...

Cameron Highlands: MARDI Agro Park

Perhentian seterusnya adalah MARDI Agro Park. Waktu sampai, baru sahaja berhenti hujan lebat tapi masih lagi terasa renyai hujan. Malah waktu kami berada di dalam, hujan sekejap-sekejap renyai dan lebat sampailah waktu nak balik.

Sebelum masuk kena bayar dulu. Dah buat bayaran, bolehlah mulakan pengembaraan melihat bunga-bungaan, sayur-sayuran dan tumbuh-tumbuhan yang pelbagai. Kalau tak silap, dekat sini pun ada sesi memetik strawberi tapi waktu kami sampai tu kawasan strawberi tidak dibuka.Yang ada cuma gerai jual aiskrim strawberi sahaja.
Kadar bayaran yang dikenakan

Taman ini dibahagikan mengikut jenis tumbuhan. Ada bahagian yang ditanam dengan bunga-bungaan sahaja, ada yang penuh dengan tumbuhan herba dan ada juga kawasan untuk penanaman sayur dan buah. Semua tumbuhan dilabelkan dengan namanya jadi lawatan ke sini bukanlah satu lawatan yang sekadar mencuci mata tetapi juga mengisi minda.
Terasa macam tengah nyanyi lagu dalam filem hindustan bila duduk dekat kawasan bunga ni...

Ini salah satu spesis kobis kalau tak silap

Landskap di sesetengah kawasan juga sangatlah cantik dan sejuk mata memandang dengan pokok-pokok yang hijau. Nak-nak waktu selepas hujan, layan perasaanlah juga. Hahaha... Dalam ni juga surau dan tempat makan jadi tak risaulah kalau nak solat atau lapar. Taman permainan kanak-kanak pun ada.
Berhenti rehat sebentar di kawasan penjualan pokok

Selain kedai menjual cenderamata dan pelbagai hasil Cameron Highland, ada juga tempat menjual pokok-pokok dan pelbagai jenis kaktus. Dekat sinilah kitorang borongkan kaktus untuk si Dyaz. Bersungguh dia mengirim maka bersungguhlah kami pilihkan sampai menyambung ke pasar malam.

Waktu nak balik, mulai lebat tapi dek kerana landskap yang cantik di bahagian pintu masuk, gigih berhujan semata-mata nak bergambar. Payung nan sekaki yang patutnya menjadi pelindung hujan dijadikan alatan untuk bergambar. Hahaha... Pun bolehlah.

Kulit album
Terima kasih adik comel tolong ambilkan gambar kami

Selesai berhujan bergambar, laju-laju jalan masuk kereta dan pulanglah kami ke tempat penginapan untuk mengejar waktu solat. Bersambung....

Cameron Highland: Restoran Erra

Selepas sekian lama, barulah terasa ada mood nak sambung. Ingat nak peram je buat pekasam tapi sebab dah penat-penat edit gambar, maka gigihlah aku sambung cerita. Sebelum datang, kami ada juga cari info tentang tempat-tempat menarik di Cameron Highland termasuklah tempat makan. Ada satu blog yang menceritakan tentang sebuah restoran yang menyediakan bufet makan tengah hari dengan harga yang pada aku sangat murah.

Maka kami pun menuju ke sana tak ingat berpandukan Waze atau redah je tapi memang senang pun nak cari sebab lokasinya adalah di bangunan kedai tepi jalan utama. Ada Bank Rakyat dekat sebelah restoran untuk panduanlah ye.

Bila nampak je restoran ni, mood masing-masing kembali ceria sebab nak makan. Hahaha... Kami sampai dah agak lewat juga, hampir jam 3 petang tak silap. Masuk dalam menjakun kejap sebab tak pernah sampai kan, tapi pekerja dekat situ mesra pelanggan dan sabar menerangkan cara-cara nak makan dekat sini. Saya suka saya suka.
Bahagian nasi, manisan, dan ulam-ulaman

Bayaran RM 10 seorang dan makanlah sampai muntah. Walaupun dah lewat, lauk masih banyak dan pelbagai sebab mereka akan sentiasa tambah lauk berdasarkan pemerhatian aku sepanjang makan di sana. Lepas kitorang sampai tu, ramai jugalah yang datang untuk makan nasi.

Belah sini adalah lauk-pauk utama..ada ayam masak kicap, kari ikan dan sup ayam

Dapat nasi, semua diam menikmati suapan. Hahaha... Cuma lepas beberapa suapan baru semua bercakap sebab nak komen makanan. Sedap wei lauk-pauk dia! Kari dia paling win sebab nampak cair tapi menepati piawaian kari yang sedaplah. Menu waktu kitorang pergi haritu ada kari ikan, ayam masak kicap, sayur campur, sup ayam, dengan ulam-ulaman dan sambal belacan yang sedap; cukup belacan, cukup pedas. Selain tu ada juga buah-buahan dan kek sebagai pemanis mulut. Air pulak ada air sejuk dan air panas jadi tak perlu risau.
Pusingan pertama, sampai tumpah-tumpah air atas meja dek kerana cranky...hahahaha...

Puas hatilah makan dekat sini sebab masakan sedap, pekerja ramah, persekitaran bersih, dan harga berpatutan. Walaupun bufet, banyak manalah sangat pun boleh telan, tidaklah tamak ambik banyak. Ada jugalah bertambah dua kali kot sebab sedap lauk dia. Waktu ni konsep 'berhenti makan kalau makanan tu sedap' tak jalan ye. Hahaha...

Selepas habis makan, barulah dapat buat keputusan untuk agenda seterusnya. Tak moody dah. Kihkihkih... Akhirnya kami kembali mengikut itinerary iaitu ke MARDI Agro Park. Cerita di sana bersambung....

Thursday, 21 January 2016

Cameron Highland: Sam Jade Guesthouse

Entri kali ni adalah tentang tempat penginapan kami selama dua malam di sana. Urusan penginapan diambil alih oleh Aten maka aku tak ingat dah berapa ringgit kami kena bayar untuk penginapan. Kalau tak salah, satu malam dalam RM 160 - RM 180 untuk bilik yang boleh memuatkan 4 orang dewasa.
Pintu masuk

Bilik kami di tingkat dua dan betul-betul depan water cooler. Memang sesuka hati jelah sarung tudung senget pun sebab sekangkang kera je water cooler tu. Hehehe.. Dekat sini tak ada lif ye, cuma ada tangga je. Jadi tak payahlah bawa beg yang gabak-gabak sangat; semput nak mengangkat. Marilah lihat keadaan dalam bilik pulak.
Satu katil queen, dua katil single..malam-malam semua lepak dekat katil queen sebab nak tengok Lee Teuk...hehehe

Tv, sofa di hadapan pintu masuk dan rak kecil

Tempat selfie bersolek yang betul-betul depan bilik air...

Bilik air yang serius luas dan sangat bersih

Keseluruhannya, selesa duduk dekat sini sebab biliknya besar; masih ada ruang yang selesa untuk solat dan ada balkoni. Pagi-pagi boleh keluar ke balkoni dan hirup udara segar. Gitu. Lokasinya pun cantik sebab terletak di tengah-tengah antara Tanah Rata dan Brinchang. Bolehlah korang pertimbangkan untuk menginap di sini kalau ke Cameron Highland. Cuma dia tak sediakan mug untuk minum air panas. Jadi pandai-pandailah korang minum kopi 3 dalam 1 tu pakai gelas yang ada atau korang bungkus mug siap-siap.


Pemandangan dari balkoni pada hari terakhir