Engagement Fund ;)

Thursday, 17 August 2017

Beraya Rumah Pertama

Baiklah, sambung lagi cerita raya yang diselang-selikan dengan cerita makan-makan. Cik Fara dan makanan kan berpisah tiada? Untuk raya tahun ni, keluar beraya secara rasmi adalah pada raya kelima tak silap iaitu ke rumah salah seorang Geng Bujang Bilik Prep di Kuala Lumpur nun. Tahun lepas beliau datang beraya ke Banting, tahun ni orang Banting ke bandar pula.

Gerak dari rumah pun dah agak lewat juga. Kali ni naik Taejang sebab saya yang ajak berjalan, jadi afdhal sediakan pengangkutan sekali. Awal-awal dah bagi tahu nak datang sebab takut tak ada dekat rumah. Disebabkan tak ada urusan yang segera, memang berdondang sayanglah sepanjang jalan. Siap singgah beraya dekat R&R lagi; bukan satu tempat, dua tempat kami berhenti. Hahahaha...

Mula-mula tu berhenti sebab nak isi minyak lepas tu tapau Costa Coffee. Kisah kopi ni dah buat entri haritu, bolehlah selak karangan lama untuk baca. Kali kedua berhenti sebab nak makan berat. Lapor wei, tak makan berat lagi dari pagi. Singgah R&R makan nasi sebab perut Jawa kena isi nasi juga; lepas tu tamak beli lagi sate. Bukan senang nak jumpa Sate Hj. Samuri, maka marilah makan beberapa cucuk buat syarat.

Muka bahagia dah dapat kopi

Sate ayam dan sate perut. 

"Tudung aku tak sekolah la Ten,"

Lama juga berhenti dekat R&R ni sebab pakej makan dan solat sekali. Itu nasib baik tak masuk pakej membeli-belah. Dekat situ ada kedai jual baju kaftan dan bila tengok harganya, kira berbaloi la dengan kualiti kain. Lama juga belek sebelum disedarkan bahawa bulan Oktober nanti nak ukur jalan ke Pantai Timur nun. Okey, marilah teruskan perjalanan.

Sampai rumah Mada dah pukul 4 lebih macam tu. Mada dah siap masak bihun tomyam untuk tetamu yang jauhlah sangat ni. Hehehe.. Walaupun perut penuh dengan nasi separuh dan beberapa cucuk sate, bila orang jamu makan, tetap juga makan. Siap bertambah lagi. Sambil makan, sambil dengar Mada cerita pengalaman mengembara solo ke Eropah awal tahun ni. Sambil-sambil tu kunyah kuih raya dan juga buah tangan dari Belanda.

Inilah dia makanan dari Belanda tu. Rasa dia macam waffle tapi bila gigit lembut je teksturnya. Dekat luar tu ada salut madu tak silap.

Crime partner dari Banting

Bihun tomyam, pinggan saya dan Aten. Banyak haiwan woih! Besar-besar udang dia.

Muka gembira jumpa biskut raya yang pelbagai untuk pertama kali. Hahaha..

Siap makan, ada perhentian seterusnya. Sebelum menuju ke tempat tu, tumpang solat dulu. Memang tak sah kalau tak tumpang solat dekat rumah Mada ni. Terima kasih Mada atas layanan yang diberikan dan jamu kami makan sedap. Selesai borak, selesai solat dan selesai paksa Mada pakai baju kurung, marilah ke lokasi yang seterusnya. Cerita bersambung kemudian dan entri ini diakhiri dengan gambar depan rumah Mada.


Wednesday, 16 August 2017

Persiapan Raya Cik Farae

Lama tak membebel mengarang dalam ni, rindu pula. Manakan sama karangan pendek dalam Instagram dengan karangan berjela dalam blog kan? Lagipun kesian dekat pengikut di Instagram yang nak tengok gambar tiba-tiba kena baca karangan berjela kalau dekat sana sebab sana tak ada pintu. Dekat sini ada pintunya; agak-agak bosan baca cerita meleret, silakan tekan 'X' di hujung atas belah kanan.

Itu dia, mukadimah saja dah satu perenggan. Hahaha.. Baiklah, mari kembali ke pangkal jalan. Kali ni nak catatkan sikitlah cerita persiapan hari raya yang lalu. Biasalah, dah cukup tempoh peraman baru sedap nak karang kan? Macam kimchi, kena peram dulu baru sedap nak makan. Tahun ni persiapan raya biasa-biasa aje. Keadaan ekonomi pun kurang baik, jadi seadanya sajalah. Bila dah tak ada mak, sayalah satu-satunya orang perempuan dalam rumah ni yang kena urus semua benda. Mujurlah Arwah Mak dah latih dan kerah dari dulu, jadinya dah tahulah apa yang kena buat. Anak perempuan seorang, memang apa-apa pun sayalah yang kena dulu sebab saya yang sentiasa akan ada di rumah.

Bila nak raya, benda paling penting adalah mengemas rumah walaupun secara semulajadinya, bab mengemas rumah tak berapa nak minat dari dulu lagi. Kalau diberi pilihan nak kena mengemas atau kena memasak, saya lagi rela duduk dapur memasak dan kemaskan sepah selepas memasak. Agak tertekan la juga bila tiba musim raya sebab dari A sampai Z saya buat semua untuk bahagian dalam rumah. Sekarang dah tahulah kenapa suara Arwah Mak kerap naik tinggi waktu nak raya. Stress oi nak fikir dan buat semua benda! Tapi sebenarnya stress pasal ni tak boleh layan sangat sebab kalau layan jadilah macam saya ni ha, merajuk tak bercakap sampai seminggu.

Pasang langsir pun saya yang buat.

Orang lain mana? Abah memang uruskan bahagian luar rumahlah jadi tak adalah nak minta tolong Abah buat yang dalam rumah. Cuma dok membebel dekat abang-abang la minta tolong mengemop dan mengelap. Tapi bila banyak bebel, lagi buat tak tahu pula. Dah bahagi tugas, abang nombor 1 lap sana, abang nombor 2 lap sini. Cakap dari awal puasa, sampai beberapa hari nak raya, tak jalan! Sudahnya, saya buat satu senarai tugas dan tampal dekat peti sejuk dan tak cakap apa-apa dah lepas tu. Sengaja letak senarai tugas saya lagi panjang berjela berbanding diorang dengan harapan ada la diorang nak tawarkan diri untuk tolong buat sebahagian tugas saya, nan hado ye.

Oleh itu, malam raya mogok tak buat apa-apa tapi duduk depan laptop mengadap Korea. Tak pernah-pernah buat perangai ni, tahun ni perangai ni muncul. Tapi masih lagi fikir rasional. Lepas layan dua episod drama, bangun la balik sambung kemas mana-mana yang wajib. Siap mop dapur, mop ruang tengah, susun gelas, dan isi kuih dalam balang terus. Tugas orang lain sekali saya buat sebab nak merajuk punya pasal. Memang sepanjang raya banyak berkurung dalam bilik kecuali waktu makcik-makcik datang beraya, baru keluar. Lauk raya pun masak rendang je semata-mata walaupun dalam otak dah fikir nak masak macam-macam. Hehehe..

Tahun ni kuih raya kurang meriah sebab tak dapat nak beli biskut-biskut yang biasa beli. Terpaksa tempah dekat orang lain tapi tak sedap sangat. Sobs.. Bolehlah dari tak ada. Sebenarnya rindu nak buat biskut sendiri tapi biasalah, bila minta tolong orang lain tengokkan oven yang semput tu dari sebelum puasa sampai dah nak raya tak ditengokkan, tak adalah biskutnya. Kerepek-kerepek beli je dari tempat biasa, begitu juga dengan rempeyek. Mujurlah Wak Jiah buka juga tempahan untuk pelanggan-pelanggan yang memang rapat dan biasa ambil dengan dia walaupun keadaan kesihatan beliau tidak mengizinkan. Kalau tak, tak tahulah nak tempah dekat siapa. Moga Wak Jiah dikurniakan kesihatan yang baik supaya boleh terus buat peyek.

Sekuali besar rendang daging yang waktu potong daging ni, berjuraian air mata sebab banyak gila lemak degil pada daging. Sobs.. Sebenarnya sebab utama adalah stress kena uruskan rumah sendiri, bila ada sebab nyata, memang teresak-esaklah menangis dekat dapur sorang-sorang. Hahaha..

Satu bonet penuh dengan rempeyek dan tumpi untuk rumah dan juga kiriman orang lain.

Ini bahagian kerepek pula. Kerepek pun ada orang lain tempah juga, jadi belikan jugalah walaupun tahun ni tak ambil tempahan.

Balang-balang kuih yang nasib baik dah keluarkan dan basuh awal-awal.

Siap isi tiga set hidangan kuih raya untuk tiga tempat. Maklumlah ada orang tua dekat rumah, jadi tetamu pun boleh tahan ramai datang ziarah.

Isi perut balang. Balang dan Tupperware yang saiz besar ni isi kerepek sebab kerepek biasanya cepat surut. Letak dalam bekas besar jadi tak payah nak isi dengan kerap.

Baju raya pula ada cuma tak beria la macam selalu. Wajib ada, mestilah baju kurung. Tiap tahun pun baju raya mesti ada baju kurung dan sepasang baju berfesyen beli siap. Tahun ni tak adalah baju berfesyen tu sebab kena jimat, jadi cuma tempah baju kurung je sepasang dekat Kak Wan guna kain kapas yang beli dekat Gwangjang tahun lepas. Lepas tu bos bagi tudung satin mahal pula (tahu mahal sebab sebelum ni pernah tengok dekat Facebook harga dia) sebelum puasa tempoh hari, jadi tudung tu suai padan saja dengan blouse dari Bello Scarves dan kain batik pastel yang patutnya pakai untuk raya tahun lepas. Untuk Nenek pun alhamdulillah sempatlah tempahkan sepasang baju kurung. Baju Abah pula belikan kemeja ala-ala batik je sebab kalau bagi baju melayu, takut Abah tak pakai.

Kemeja raya untuk Abah. Saya suka beli jenama GMV ni sebab kainnya selesa dan coraknya ringkas tapi eksklusif walaupun harganya mahal. Tak apalah, untuk Abah kan? Baju sendiri selamba je beli sampai beratus, takkan untuk Abah tak boleh?

Duit belanja untuk raya hasil kutipan dari Abang-abang. Tak nak sumbang banyak tenaga kan? Bak sini duit banyak-banyak untuk tampung belanja. Muahahaha... Biasanya saya okey je keluar duit sendiri untuk belanja rumah ni tapi tahun ni memang minta semua orang bagi amaun yang ditetapkan. Bukan tak mampu pun, mampu je semua.

Jadi, itulah dia cerita persiapan raya untuk tahun 2017. Tiap tahun pun sama je rutinnya. Kena kemas rumah, kena sediakan kuih raya, kena sediakan juadah untuk raya, kena adakan baju baru mengikut bajet dan kena sabar banyak-banyak. Bila orang kata musim raya pakai banyak duit, memang betul. Jadinya, kepada yang bujang dan tak biasa ambil tahu aliran perbelanjaan untuk musim perayaan, bolehlah mula ambil tahu. Sumbanglah sorang sikit duit pada mak ayah untuk ringankan beban. Kalau tak mampu sumbang duit, sumbang tenaga pun dah cukup dah.

Lepas ni inshaAllah muncul cerita beraya pula walaupun orang lain dah mula buat persiapan untuk raya haji. Sekian, catatan Cik Farae untuk rujukan tahun depan supaya janganlah merajuk lagi waktu raya. Kahkahkah...

Friday, 11 August 2017

Drama Korea: Mask

Disebabkan tajuk drama ni dah tertaip dekat dalam draf, marilah gigihkan diri menaip ulasan dari pandangan sisi Cik Fara ye. Drama ni drama tahun 2015 tapi baru dapat tengok baru-baru ni. Kalau tak silap, pernah tayang dekat TV2 sebelum ni tapi tak tertengok pula. Jadi tersampuk nak tengok drama ni sebab ada Ju Ji Hoon. Kalau ikutkan, tak adalah minat sangat dengan Ju Ji Hoon. Tapi, bila tengok dia berlakon dalam Medical Top Team, kelihatan sungguh berkarisma dan kacak sekali. Mihmihmih...

Drama ni ada 20 episod dan pelakon utamanya semua pelakon veteran. Heronya dah tentulah Ju Ji Hoon yang memegang watak Choi Min Woo manakala heroinnya ialah Soo Ae yang memegang dua watak, Byun Ji Sook dan Seo Eun Ha. Kenapa Soo Ae ni ada dua watak? Nanti saya ceritakan. Pertama kali kenal Soo Ae dalam drama tahun 2007, 9 End 2 Outs.

Watak sampingan utama dalam drama ni pun pelakon veteran juga. Yoo In Young yang terkenal sebagai watak kedua dalam kebanyakan drama dan pertama kali kenal dia dalam A Man Called God. Dalam drama ni dia pegang watak Choi Mi Yeon, kakak tiri kepada Choi Min Woo yang juga isteri kepada Min Seok Hoon. Yang jadi Min Seok Hoon ni adalah Yeon Jung Hoon. Siapa tengok Sad Love Story, mesti kenal dengan dia ni.
Poster rasmi Mask.

Drama ni mengisahkan tentang Byun Ji Sook yang bertukar tempat dengan Seo Eun Ha selepas Seo Eun Ha mati dalam satu kemalangan sebabnya dua orang ni muka sama sebiji. Seo Eun Ha ni patutnya kena kahwin dengan Choi Min Woo atas kepentingan perniagaan dan juga politik kedua-kedua keluarga. Kiranya bukan kahwin atas dasar suka sama suka. Sebelum kahwin, Seo Eun Ha dah bagi tahu awal-awal dengan Choi Min Woo yang dia kahwin sebab keluarga dan dia dah ada pakwe dan akan teruskan hubungan dengan pakwe dia.

Choi Min Woo ni pula jenis tak ada perasaan dan sama juga, patuh dengan kehendak keluarga. Jadinya dia setuju je dengan syarat yang dikenakan. Dia cakap dengan Seo Eun Ha, dia tak kisah kalau Seo Eun Ha nak teruskan hubungan dengan pakwe dia dengan syarat jangan sampai tertangkap. Tapinya, waktu diorang nak kahwin, kakak Choi Min Woo ni tentang habis-habisan dan tak suka dengan Seo Eun Ha sebabnya pakwe Seo Eun Ha tu adalah Min Seok Hoon.

Disebabkan Min Seok Hoon ni ada agenda dan kepentingan bila setuju untuk kahwin dengan Choi Mi Yeon, dia sedaya upaya usahakan agar perkahwinan antara Choi Min Woo dengan Seo Eun Ha jadi supaya mudah dia nak teruskan agenda dia tu. Kebetulan, Min Seok Hoon ni tahu tentang kewujudan Byun Ji Sook. Jadi, bila Seo Eun Ha mati selepas kemalangan tu berlaku, dia ugut Byun Ji Sook dengan satu insiden yang melibatkan masalah keluarga Byun Ji Sook ni. Sebab Byun Ji Sook ni terdesak juga, dia setuju untuk ganti tempat Seo Eun Ha.
Ini waktu pertama kali Seo Eun Ha terserempak dengan Byun Ji Sook. Sebab tulah Min Seok Hoon tahu yang dekat Korea, ada orang lain yang sama mukanya dengan Seo Eun Ha.

Gambar pada majlis perkahwinan. Dua-dua muka pasrah sebab Choi Min Woo tak nak kahwin dengan Seo Eun Ha sebab dia rasa dialah penyebab kepada kemalangan yang berlaku. Byun Ji Sook pula cuba nak lari dari terjebak lebih jauh lagi tapi tak jadi bila ternampak orang jahat yang menyebabkan dia diugut bunuh sampai terpaksa jadi Seo Eun Ha.

Akhinya, Choi Min Woo pun kahwin dengan Seo Eun Ha palsu. Bila dah kahwin, Choi Min Woo perasan yang perangai Seo Eun Ha tak sama langsung dengan perangai yang dia tunjukkan sebelum kahwin. Walaupun Byun Ji Sook ni dari keluarga biasa, lama-lama dia dapat suaikan diri juga dengan dunia orang kaya. Banyak la insiden yang berlaku sepanjang perkahwinan dia dengan Choi Min Woo sebab dia dikawal oleh Min Seok Hoon yang memang cita-cita dia nak musnahkan keluarga Choi Min Woo sebab berdendam dengan ayah Choi Min Woo atas satu kejadian yang belaku waktu dia kecil.

Macam-macam benda jahat Min Seok Hoon buat untuk halang Choi Min Woo daripada menjadi waris syarikat ayah dia. Byun Ji Sook ni pula, dalam pada terpaksa ikut telunjuk Min Seok Hoon, dia cuba juga tolong selamatkan keadaan. Makanya, daripada tak suka, Byun Ji Sook dengan Choi Min Woo saling jatuh cinta. Akhirnya, Choi Min Woo dapat tahu yang Seo Eun Ha tu adalah Byun Ji Sook dan waktu tu keadaan jadi tunggang langgang. Walaubagaimanapun, pengakhiran drama ini adalah membahagiakan jadi tabah jugalah tunggu sampai episod 20 tu.

 Ini waktu dua-dua dah mula suka sama suka. Choi Min Woo ajar isteri dia main biola.

Nak tahu apa yang berlaku pada Seo Eun Ha hingga menyebabkan kematian? Kenapa Min Seok Hoon ni jahat sangat sampai sanggup tukar Seo Eun Ha dengan Byun Ji Sook? Apa kesudahan dendam Min Seok Hoon dan waktu bila identiti Byun Ji Sook terdedah? Silalah tonton sendiri ye.

Ulang tengok ke? Setakat ni belum lagi sebab tak sanggup nak tengok babak Min Seok Hoon ugut macam-macam dekat Byun Ji Sook. Ugutan tu pula bukan hanya bawa mudarat pada yang diugut, tapi siap ugut nak libatkan keluarga dan suami sekali. Kau ghaser? Belum campur lagi waktu Choi Mi Yeon aniaya Byun Ji Sook.

Kesimpulannya, drama ni disarankan untuk ditonton sebab jalan cerita agak berbeza dengan drama-drama cinta biasa. Cuma hati kena kuatlah nak hadap watak-watak jahat. Tapi saya suka sebab dia cerita tentang cinta lepas berkahwin. Comellah kan bila nampak isteri cuba sedaya upaya nak tolong suami selesaikan masalah walaupun dia sendiri dalam cengkaman masalah. Paling penting, pengakhiran dia tak hampeh macam sesetengah drama. Hehehe.. Sekian.

Monday, 7 August 2017

Selera Gergasi

Cerita makan-makan waktu lepas balik dari kenduri Pijak. Sebelum belok ke tempat kenduri, Aten cakap dekat tepi jalan tu ada gerai jual roti sardin sedap. Nak berhenti dah terlepas dan baliknya tu lupa nak singgah. Sobs.. Maka, bila dah sampai dekat Jalan Olak Lempit tu, beloklah ke satu tempat RnR tepi jalan tu untuk makan pisang goreng dan cendol. Sambil makan, sambil tengok kereta bergerak macam kura-kura ke arah Banting.
Pisang tanduk + pisang abu goreng, keladi goreng, sambal kicap, cendol

Habis makan, singgah solat dekat Petronas baru tu sebelum ke pusat tuisyen sebab saya ada kelas pukul 5. Kelas yang pukul 2 sampai 4 dah tuang, kelas pukul 5 sampai 6 ni kita kutip balik. Hehehe.. Sementara mengajar, crime partner tunggu sebab sejam je. Lagipun lepas tu ada rancangan lagi katanya. Terima kasih Ten tolong hantar dan tunggu sampai habis kelas.

Habis kelas tu, fikir samada nak ke Kota Kemuning untuk makan kek keju mangga atau ke Jenjarom untuk cuba makanan hipster dekat satu kedai baru ni atau ke KLIA 2 untuk cari jodoh ngopi. Disebabkan kena tunggu adik bos kutip kunci pusat tuisyen sampai nak dekat 6.30, terus semua rancangan tu batal dan pusing ke bangunan belakang dan makan sushi dekat Sushi King. Hahaha..

Punya jauh merancang lepas tu berhenti dekat kedai belakang je. Pun bolehlah. Ini kali kedua saya ke Sushi King dalam seumur hidup ni. Dulu rasa macam mahalnyalah nak makan dekat sini sebab tak pernah masuk kan? Lepas dah pergi, harga dia kira okeylah. Mampu milik untuk kunjungan sekali-sekala. Kali ni makan sushi dan pesan satu set yang boleh padan dua menu kalau tak silap.

Ini set suai padan dua menu untuk 14 hengget 90 kalau tak silap. Mula-mula nak ambil udon, sekalinya semua udon habis. Sobs..

Kulit salmon goreng.

Jarak dekat. Sedap juga.

Antara sushi yang diambil pada hari tersebut.

Selesai.

Kalau tamak, setiap sushi yang lalu tu diangkutnya. Kehkehkeh..

Makan dari langit cerah sampai dah gelap. Gerak dari situ dalam pukul 8 lebih macam tu kot dengan perut kembung. Terlebih nasi. Waktu ambil tu tak ingat dunia, sudahnya kenyang. Hehehe.. Kunjungan seterusnya adalah waktu promosi yang sepinggan 3 ringgit lebih untuk ahli. Bila tu? Sila Google okeh?

Friday, 4 August 2017

Drama Korea: My Sassy Girl

Annyeong! Bertemu lagi dalam siri ulasan drama Korea. Sebab saya kan berat sebelah dengan drama sageuk, maka kali ni ulasan tentang satu lagi drama saeguk terbaharu. Tak lain dan tak bukan, My Sassy Girl.
Salah satu poster rasmi.

Mula-mula tengok pra-tonton drama ni, kelihatan menarik jalan ceritanya dan pelakon-pelakonnya pun mantap! Pelakon utamanya adalah Joo Won sebagai Gyeon Woo dan Oh Yeon Soo sebagai Puteri Hye Myung. Kalau nak tengok drama sageuk yang tak begitu menyerabutkan dengan jalan cerita yang berliku dan konflik yang melampau, inilah drama yang saya syorkan. Konflik tu tetap ada, cuma tak serumit drama sageuk lain.

Permulaan cerita, banyak babak kelakar dan comel dan plot cerita macam tak ada isi. Tapi bila dah separuh jalan, barulah muncul isu yang tersembunyi di sebalik babak kelakar tu. Bila kata drama sageuk, isu utamanya sama je iaitu cubaan nak gulingkan maharaja dan tamak dengan kesenangan dunia.

Drama ni mulanya fokus semata-mata pada Puteri Hye Myung yang dianggap bermasalah sebab selalu curi keluar dari istana dan tidak menjaga perilaku ketika berada di luar istana hinggakan dia menjadi bahan untuk pihak berhaluan kiri menjatuhkan maharaja.

Gyeon Woo pula pada mulanya cukup tak berkenan dengan Puteri Hye Myung ni sebab perangai dia kasar. Memang bergaduh jelah dua orang ni bila jumpa. Tapi orang-orang tua cakap, kalau asyik bergaduh je, nanti berjodoh. Betullah tu. Akhirnya dua-dua saling jatuh cinta.

Ni waktu Puteri Hye Myung kenakan Gyeon Woo di awal cerita.

Oh ye, satu lagi watak tipikal wajib ada dalam drama Korea adalah watak misteri macam pakcik ni. Nak tahu siapa dia? Sila tonton sampai habis.

Watak comel dalam drama ni adalah adik kepada Puteri Hye Myung, Won Ja.

Bila tonton drama sageuk, mesti ada watak maharaja yang serba salah nak buat macam mana dengan pihak berniat jahat tu, barisan menteri baik, barisan menteri jahat, gundik jahat, maharani, permaisuri yang teraniaya, dan pengawal istana yang setia. MESTI watak-watak ni ada punyalah dan ketua penjahat dalam kalangan menteri MESTI Jwasang! Samalah dalam drama ni pun, Jwasang dia jahat tahap gaban. Jwasang ni kalau bandingkan dengan kabinet moden, peranan macam perdana menteri kot. Tu yang dia rasa berkuasa dan bila-bila masa je boleh buat pakatan untuk gulingkan maharaja.

Satu lagi yang membuatkan drama Korea ni menarik adalah lagu latarnya atau biasa disebut sebagai OST. OST drama ni tak banyak macam sesetengah drama lain yang sampai 20 lagu, jadi senang la nak cari. OST dia sedap dan ada satu lagu yang dinyanyikan sendiri oleh hero, Joo Won. Lagu-lagu lain pula banyak yang dinyanyikan oleh tauke OST drama macam The One, Gummy dan Ben. Kalau nampak mereka ni tersenarai sebagai penyanyi OST drama, memang sah lagu-lagunya sedap.

Perkara utama yang membuatkan saya sangatlah seronok menonton drama ni adalah kebanyakan tempat yang menjadi lokasi penggambaran adalah Korean Folk Village khususnya di Seowon, tempat sama penggambaran Moon Embracing the Sun dijalankan. Ohoi, terus terkenang memori melawat tempat bernama Seowon dengan Radin waktu ke Korea tahun lepas. Rindu! Cuma waktu kami pergi tu tengah awal musim luruh jadi sekeliling kawasan tu rimbun dengan pokok-pokok besar berdaun. Waktu penggambaran ni dijalankan, musim sejuk jadi pokok-pokok togel dah dan boleh terus nampak tasik depan tu.

Empat watak utama dalam drama ni. Sebelah kiri Gyeon Woo adalah watak antagonis perempuan, Jung Da Yun yang merupakan anak kepada Jwasang. Kemana tumpahnya kuah kalau ke nasi bukan? Sebelah kanan Puteri Hye Myung pula watak antagonis kedua, pengawal istana yang setia iaitu Kang Joon Young.

Kesimpulannya, drama ni tak bosan dan boleh masuk dalam senarai untuk ditonton ye. Pelakon-pelakon pun semua pelakon biasa muncul dalam drama. Paling penting, hanbok yang muncul dalam drama ni semua cantik. Warna-warni dan bersulam-sulam. Sebabnya cerita banyak berkisar tentang golongan bangsawan dan kerabat diraja, puaslah cuci mata dengan hanbok yang pelbagai.

Thursday, 3 August 2017

Sementara Diberi Masa

Bila tahun ni waktu bekerja bukan lagi waktu bekerja normal 8 hingga 5, dapatlah hantar Nenek ke hospital untuk pemeriksaan rutin di hospital. Dengan Arwah Mak, tak merasa sebab waktu Arwah Mak dulu, saya masih di universiti dan tak duduk di rumah. Tapi, waktu kecil dulu memang ada memori ulang alik ke hospital ikut Arwah Mak hantar Arwah Nenek Kulon untuk pemeriksaan rutin di Hospital Banting.

Untuk Nenek Wetan ni, pemeriksaan rutinnya adalah di DEMC sebab dulu Nenek pernah masuk wad di situ. Jadi rekod semua dah ada di sana dan teruslah sampai sekarang pun pergi ke sana. Biasanya pergi berempat, saya, Abah, Bibik, dan tentulah yang mahu diperiksa, Nenek. Senang dan lebih cepat bila ramai ahli.
Sementara nak tunggu doktor, bagi Nenek sarapan dulu dekat luar klinik. Ada kiosk Daily Fresh dekat situ. Yang dah sarapan sebelum tu pun jadi tamak juga nak beli waffle yang mengiurkan dalam gambar menu. Hahaha... Malangnya, waffle hanya mula dijual mulai jam 10.30 pagi. Baiklah.

Sebagai pemandu, saya turunkan dulu orang lain di pintu masuk dan Abah akan terus bawa Nenek untuk ambil darah manakala Bibik terus naik ke klinik untuk ambil nombor. Urusan tu jadi lagi cepat la kan. Penat orang tua nak menunggu lama-lama. Sehari sebelum pergi hospital, memang Abah akan hantar Nenek ke rumah Bibik dulu supaya tak letih duduk dalam kereta dari Banting nak sampai ke Shah Alam. Letih orang tua lain, tak sama macam kita yang masih sihat.

Temujanji baru ni, Bibik tak ikut sebab masih dalam edah. Jadi cuma Abah la yang uruskan dekat dalam. Lepas letak kereta, saya terus masuk dan duduk menunggu sama-sama. Tapi sebab datang awal, doktor pun belum habis pusing wad dan kena tunggu lama juga untuk jumpa doktor. Sampai mengantuk dan terpaksalah turun beli kopi. Alasan tu nak beli kopi mahal. Hahaha.. Kebetulan dah ada depan mata, kaut jelah kan peluang yang ada? Hehehe..

Caramel Latte. Ikut nafsu nak beli sekali kek yang ada, tapi pagi tadi dah makan nasi goreng lauk paru sepinggan, sila minum kopi je ye.

Muka segar lepas minum kopi. Sebab orang tak ramai, berani la selfie. Kehkehkeh.. Shawl dari Tulip Hijab dan blouse dari Bello Scarves.

Biasanya urusan selesai sebelum pukul 12 kalau orang tak ramai. Waktu nak bayar dan ambil ubat pun, boleh tahan lama juga nak menunggu. Tapi tak kisah sangat sebab tempat menunggu selesa dan sejuk. Temujanji seterusnya adalah pada bulan Oktober nanti.

Wednesday, 2 August 2017

Resepi Kimchi Cik Fara Edisi Kemaskini

Memandangkan resepi asal yang saya gunakan untuk buat kimchi telah diolah beberapa kali, maka saya kongsikan resepi terkini yang saya guna sekarang. Cerita pertama kali saya buat kimchi boleh baca di sini dan resepi sebelum ni pula boleh tengok di sini.


Baechu Kimchi
Sumber: Pelbagai

3 kg kobis cina (nappa cabbage)
1 cawan garam kasar

Bahan untuk dihiris
1 biji lobak merah (saiz kecil, dihiris seperti batang mancis)
1 biji lobak putih (saiz kecil, dihiris seperti batang mancis juga)
3 pokok daun bawang (batangnya dihiris halus manakala daunnya dipotong sepanjang kira-kira 1 inci)
1 batang leek (belah dua dan hiris halus)

A
3/4 biji bawang Holland
3/4 biji Korean pear (kulit warna gelap)
1 biji epal Pink Lady (kalau guna Royal Gala, boleh guna 1 biji setengah)
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/4 cawan air masak
1/2 cawan gochugaru
1 sudu saeujeot (orang Malaysia cakap, cencalok)

B
1 sudu besar gula
1 sudu besar minyak bijan
1/2 cawan serbuk cili - gochugaru
2 sudu besar ssalyeot

C
4 sudu besar tepung pulut
1/2 cawan air
1/4 cawan sos ikan

Cara membuat;

Kobis
1. Bersihkan kobis dan potong besar-besar sebab lepas diperap dengan garam dia akan kecut.

2. Dalam satu besen besar, buat satu lapisan nipis kobis dan ditabur garam di seluruh permukaannya. Buat sampai habis dan tutup bekas dan tindih dengan benda berat. Biarkan selama 1 jam.

3. Selepas satu jam, gaulkan kesemua kobis dan bilas dengan air bersih sebanyak 3 kali. Ambik secebis dan rasa; kalau masin sangat boleh bilas lagi sekali.

4. Kemudian, perahkan kobis yang telah dibilas dan ketepikan.

Sebatian cili (Pes)
1. Kisar bahan A hingga halus.

2. Bancuh bahan C hingga larut dan masak atas api kecil hingga mendidih. Perlu sentiasa kacau supaya tidak hangus dan berketul. Kalau terlalu pekat, boleh tambahkan air. Dah mendidih, boleh matikan api.

3. Seterusnya, tuangkan bahan kisar dalam satu bekas besar. Masukkan serbuk cili dan gaul hingga sebati. Masukkan bancuhan tepung dan gaul lagi. Kemudian masukkan gula dan minyak bijan dan kacau sampai semuanya mesra.

4. Masukkan bahan-bahan yang dihiris tadi dan gaul sampai semuanya sekata menggunakan tangan. Sila pakai sarung tangan sebelum menggaul.

5. Akhir sekali, masukkan kobis dan gaul lagi sampai semua bahan mesra.

6. Masukkan dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti. Sila makan dalam masa dua minggu. Kalau nak cepat masam, biarkan kobis pada suhu bilik semalaman sebelum disimpan dalam peti sejuk. Sekian, terima kasih.

Ini rupa botol ssalyeot yang saya beli dari Shin Sun Mi. Gigih muat turun aplikasi Google Translate sebab nak pastikan bahan ni selamat untuk muslim. Rasa dia manis dan rupa dia pekat sikit daripada madu.

Resepi ni dari pelbagai sumber dan rujukan utama adalah Maangchi. Kemudian bila baca dari pelbagai laman web, resepi bertukar lagi. Ada juga saya rujuk pada blogger Malaysia, Our Kizuna. Kalau blogger Korea, saya rajin tengok Korean Bapsang selepas Maangchi. Kemudian bila tengok rancangan masak-memasak Korea waktu dapat siaran percuma tvN tahun lepas, bertambah lagi bahannya.

Nak olah kobis pun ada cara juga. Kalau nak cepat, belah empat kobis tu dan lepas tu terus potong kasar. Ada la beberapa kali buat macam tu tapi rasa tak puas dan rasa macam kurang bersih sebab tak tengok sehelai-sehelai. Saya lagi suka ceraikan satu-satu sebab bolehlah nampak kalau ada ulat ke diantara helaian tu kan. Memang makan masa tapi puas hati.

Bila tengok orang Korea masak ni, punyalah banyak bahan perasa dia. Berbotol-botol! Seronok la tengok dan seronok nak buat sebab campurkan yang tu sikit, masukkan yang ni, tuangkan yang ni, gaul-gaul dan siap! Kalau rasa macam leceh nak buat, bolehlah tempah aje dengan saya. Hehehehe.. Untuk tempahan, bolehlah tengok butiran di bahagian kanan blog ye. Nak buat kimchi tak susah, tapi leceh. Macam manalah saya boleh jadi gigih benor bergelumang dengan kimchi ek?

Saya dan Kimchi

Sedar tak sedar, dah masuk tahun kelapan saya buat kimchi sendiri. Daripada buat guna cara paling ringkas, sampailah sekarang ni guna cara yang 95% orang Korea guna. Tahun ni merupakan tahun ketiga saya menjual kimchi secara serius dan tahun pertama kimchi saya diberi nama.

Bila dah sering buat kimchi ni, memang tak boleh tak ada stok kimchi dalam peti walaupun ada masanya tak lalu dah nak tengok kimchi buatan sendiri. Tapi bila makan dekat restoran Korea, kemain bersungguh makan kimchi yang dihidangkan. Hahaha..

Agasshi Kimchi dalam balang besar. Sempena meraikan hari lahir bulan lepas, saya buat promosi percuma 100 gm untuk setiap pembelian.

Nak makan kimchi dengan apa? Sebagai peminat tegar makanan Korea, cicah lemang dengan kimchi pun layaaann. 

Isnin baru ni, selesai buat kimchi untuk kali yang kesembilan bagi tahun 2017. Alhamdulillah, ada pelanggan yang sudi nak beli walaupun tak adalah menderu tempahan masuk. Tapi bila buka tempahan tu, memang ada je akan tempah dan ada je pelanggan baru. Sebenarnya buat kimchi ni kadang ikut nasib. Ada masa, sedapnya lahai. Ada masa, rasa macam apakah yang terkurang ni? Bila buat guna sukatan agak-agak, beginilah jadinya. Hehehe...

Tengok juga resepi tapi ada la beberapa bahan yang diubah-ubah mengikut kuantiti kobis yang digunakan. Macam batch yang lepas, kobis terlebih masin. Jenuh la fikir dah kenapa masin lain macam kobis ni? Waktu tengah nak garamkan kobis untuk batch baru ni, baru teringat yang saya guna garam halus. Patutlah! Kalau guna garam halus, tak boleh perap lama sebab garam tu cepat hancur. Hadoi..

Ni nak kena senaraikan beberapa peringatan ni supaya tak lupa di masa hadapan. Macam baru ni, ada pelanggan yang minta nak kurangkan bawang putih. Disebabkan dia tempah sampai 4 balang, maka permintaan ditunaikan sebab boleh buat pes dia asing cukup-cukup untuk kuantiti 4 balang tu. Masalahnya, saya terlupa yang kali ni kobis tu lagi banyak dari biasa sebab nak lebihkan 100 gram setiap balang kan? Lepas tu bila dah siap gaul kimchi yang permintaan khas tu, tiba-tiba kimchi yang adunan biasa macam tak cukup pes. Hahaharu..

Tak lawak ye sebab tak sempat dah nak keluar cari bahan nak buat pes. Makanya, saya tawakal buat pes baru dengan kekurangan bahan. Pes baru tu tak ada Korean pear dan tak ada epal merah sebab memang tak ada bendanya. Belasah letak epal hijau separuh, bawang Holland suku, bawang putih seulas kecil, satu camca cencaluk, setengah camca minyak bijan dan tiga sudu besar gochugaru. Dalam hati berdoa banyak-banyak supaya rasa dia kekal sedap.

Alhamdulillah, rasa dia tak lari malah lebih sedap dari biasa. Heeee.. Tapi memang tau, kalau ada kejadian tak cukup atau terkurang bahan, kimchi tu jadi lebih sedap dari biasa. Dah kenapa? Kepada yang rasa nak cuba buat kimchi sendiri, bolehlah korek entri lama dalam blog ni untuk resepi kimchi olahan saya.