Engagement Fund ;)

Wednesday, 12 December 2018

Staycation 2.0: From 13 to 30

Pada 1 dan 2 Disember yang lalu, Geng Bujang Bilik Prep kembali berkumpul selepas cadangan spontan dari Hani disokong penuh oleh semua ahli. Asalnya sebab komen dekat IG Mada je pasal tukar-tukar hadiah, terus Hani cadang untuk buat tuka-tukar hadiah juga dan berkumpul untuk santai-santai.

Sekarang lebih senang nak kumpulkan ahli Geng Bujang sebab doktor-doktor yang dulu di seberang laut semua dah balik. Pertemuan kali ni diadakan di Cyberjaya. Adil untuk yang duduk KL dan duduk Banting sebab tengah-tengah. Kami pilih PineBox@Mirage by The Lake dari booking.com berdasarkan harga, lokasi dan kemudahan yang disediakan. Rumah ni memang super daebak! Best gila! Ulasan untuk rumah, saya akan karang entri lain.

Tengah hari tu, kami semua ke kenduri kahwin adik Dyaz dulu di Putrajaya. Hani je tak dapat datang sebab ada locum rupanya pagi tu. Memang dah sign mati dengan si Dyaz ni kalau melibatkan jemputan kenduri. Dari dia tunang, nikah, kahwin, akikah Harraz dan sekarang, kenduri adik nombor dua, muka kitoranglah yang muncul dekat situ. Kikiki.. Terima kasih wei, sudi jemput kitorang. Tak mustahil Harraz kahwin nanti, muka-muka ni juga yang muncul kondangan. Hahaha..
Sekeping dengan Chik serta tuan rumah


Satu keping dengan Makcik Huzanah

Buah tangan beserta berkat


Dari tempat kenduri, kami pecah dua. Radin dengan Mada gerak dulu sebab diorang ada misi yang perlu diselesaikan manakala saya dengan Aten duduk dulu menanti kedatangan salah seorang Geng Bilik Prep, Chik. Chik ada beli kimchi jadi nak serah terus pada dia selain memang dah lama sangat tak jumpa.

Kami sampai di PineBox kurang lebih jam 3.00 petang. Memang tak nak buang masa kalau boleh. Sampai je waktu check-in, terus masuk. Dah masuk dalam rumah, macam biasalah, wajib ambil gambar satu rumah dan juga gambar diri sendiri. Hahaha...

Sekeping daripada berpuluh keping yang ada..kahkahkah..

Lepas solat, terus masuk dapur untuk siapkan menu makan malam yang bertemakan Korea. Kitorang kalau jumpa, memang masing-masing terus tukar jadi Korea. Menu kali ni adalah rabuki, ayam yangnyeom, dimsum dan kek DFCC dari Sabrina Bakery.

Memang riuh sungguh dekat dapur tu sebab masing-masing nak bercakap, masing-masing nak cerita. Menu yang masak dari mula, cuma rabuki je. Ayam yangnyeom tu kami dah siapkan dari rumah. Aten paksa rela hati untuk goreng ayam manakala saya paksa rela hati untuk sediakan sos. Paksa rela sebab nak beli siap, mahal tapi nak makan, tapi kedekut. Kahkahkah.. Sudahnya Aten tawar diri nak buat je sendiri.

Panskan sos untuk yangnyeom dan kukus dimsum..gigih bawa pengukus tu ye

Masukkan ayam dalam sos dan gaul rata

Rabuki yang siap dimasak..telur tu asalnya nak jadikan telur rebus 8 minit, tapi sudahnya jadi ala-ala egg benedict sebab haba dapur tak cukup kuat macam dapur gas kot

Memandangkan saya tahu nak masak ayam yangnyeom ni agak leceh terutamanya bab nak sediakan ayam, saya pun tawar diri untuk buatkan sos. Bahan-bahan pun memang sentiasa ada je dalam peti. Resipi ayam yangnyeom saya kongsikan kemudian nanti. Jadinya petang tu cuma panaskan je semula ayam goreng untuk bagi dia rangup sebelum digaulkan dengan sos. Dapur ada dua, jadi sambil kukus dimsum, sebelah tu masak ayam dulu baru masak rabuki.

Tengah-tengah masak, loceng rumah berbunyi. Ah sudah, siapa pulak? Rupanya Hani dah sampai. Masuk-masuk je mengadu lapar. Suruh makan nasi berkat, tak nak. Jadi, terus laju-laju masak dan bersedia untuk hidang. Dalam pukul 5 lebih macam tu, makanan semua dah siap hidang dan kami pun duduk berkumpul di ruang tamu untuk makan. Mestilah kena makan depan tv, baru meriah. Hehehe... Sambil makan, sambil tengok Home Alone.

Lantai hidangan..tikar Hani bawa

Ayam Yangnyeom

Devil Food Chocolate Cake dari Sabrina Bakery..inilah sebab Mada dengan Radin kena gerak awal dari tempat kenduri sebab cawangan Cyberjaya tutp pukul 2 petang

Dengan cuaca yang sejuk lepas hujan, makanan sedap dan hiburan yang tepat, menggamit kenangan zaman sekolah betul. Haih, sayu pula mengenangkan waktu tu. Sambil makan sambil bergosip juga, sambil tengok tv. Habis makan, tibalah masa ke acara seterusnya iaitu acara tukar-tukar hadiah. Nilai yang ditetapkan adalah RM30 dan kami undi nama serta buat senarai benda yang diinginkan. Nak pilih benda pun masalah juga tu. Panjang berjela mesej dalam WhatsApp tentang nak minta hadiah apa.

Saya minta apron sebab dah lama betul rasanya tak beli apron baru. Selain tu senaraikan juga dua benda lain. Kira bagi plihanlah dekat orang yang nak beli. Akhirnya, saya dapat dua helai apron cantik. Memang suka sangatlah! Lepas ni nak gaul kimchi boleh pakai apron baru. Dan nak kata panjang jodoh kami ni, kami dapat nama satu sama lain. Maksudnya, saya bagi dia, dia bagi saya. Berjodoh sungguh. Terima kasih Mada belikan apron cantik dari Kaison. Nak beli sendiri apron kat Kaison tu, ala-ala kedeks la juga sebab harga dia boleh tahan. Hahaha... Kalau minta orang lain beli, tak adalah terasa sangat.

Himpunan hadiah

Habis aktiviti rasmi, teruslah buat aktiviti bebas. Kali ni memang nak lepak santai je. Maka, masing-masing melekat depan tv. Tv ada dua biji, dua-dua ada Netflix dan boleh tengok YouTube. Memang pergghhh, daebak! Masing-masing tak berganjak la jawabnya. Yang penting, tema dia semua Korea. Dimulakan dengan 2 Days 1 Night dan diakhiri dengan lagu-lagu dan rancangan realiti Korea yang melibatkan artis kegemaran masing-masing. Hani pun boleh layan 2 Days 1 Night, memang kami kagum sebab biasanya dia kurang sikit bab-bab Korea ni. Hehehe.. Malangnya, Hani tak dapat bermalam sebab di saat akhir kena gantikan rakan setugas untuk on call keesokannya. Jadi dalam lepas isya macam tu kot, Hani pun gerak balik. Sobsss...


Esoknya bangun pagi tak pagi sangatlah. Aktiviti pagi adalah melihat keadaan sekitar dan berendam dalam kolam renang yang ada. Landskap dekat sini memang cantik sangat. Dah berendam dekat kedua-dua kolam renang yang ada, naik atas dan sediakan sarapan. Terima kasih kawan-kawan yang tolong siapkan sarapan pagi tu.
Sesi rendaman di saltwater pool



Sarapan..leftovers rabuki, dimsum serta telur hancur dan sosej...ada juga buat kaya toast


Selesai sarapan, melingkar depan tv la semula layan YouTube dan Netflix. Cuba nasib minta kebenaran untuk check-out lepas zuhur sebab zuhur awal sekarang. Alhamdulillah Encik S bagi keluar lepas zuhur. Memang tenang-tenang aje kemas barang dan melepak depan tv sampailah masa nak check-out. Siap sempat layan episod 1 Memories of Al-Hambra lagi.

Untuk Geng Bujang Bilik Prep, terima kasih sebab sentiasa untuk waktu-waktu kritikal suka dan waktu-waktu kritikal duka juga. Dari kita semuda 13 tahun, sampailah dah mencecah 30 tahun, perangai tetap tak berubah bila sama-sama berkumpul. Moga persahabatan kita kekal hingga ke syurga. Geng Bilik Prep, saranghaja!

Sunday, 9 December 2018

Ulang Sampai Muntah Pun Takpe

Bila dah kenal-kenal dan 'ter'minat dengan EXO ni, mestilah ada lagu takpe nak ulang sejuta kali pun. Tak jemu. Untuk lagu berbahasa asing, saya akan cari dulu lirik dan tengok maksudnya. Kalau maksudnya mengarut, tak payah dengar; cari lagu lain. Tapi satu lagu ni, memang merdu sangat rasanya pada telinga dan lirik pun okey. Sambil buat kerja, boleh ulang dia je dari pagi sampai petang, dalam kereta pun sama. Nah tengok video persembahan secara langsung dari EXO. Video ni adalah salah satu video kegemaran. Gerakan tarian untuk lagu Don't Go ni lemah gemalai je berbanding lagu-lagu lain. Kalau sambil tengok video sambil ikut diorang menari, inshaAllah boleh kurus ni. Hahaha... Tapi malangnya sambil tengok sambil menelentang. Kau ghaser? 😂😂😂


Sedap kan lagu ni? Lagu-lagu diorang ni boleh tahan sedap dan pelbagai juga. Tidaklah hanya fokus pada cinta manjang. Ada juga yang berunsurkan motivasi. Awal tahun ni rupanya diorang ada keluarkan album Jepun dimana semua lagu dalam tu menggunakan bahasa Jepun. Saya okey je kalau lagu Jepun pun asalkan melodi merdu, lirik sedap dan yang nyanyi tu EXO. Eh!? 😆 Dulu-dulu sebelum kenal K-pop, saya layan je beberapa lagu Jepun. Masih ingat X-Japan? Ada beberapa lagu mereka yang saya catatkan dalam ni. Sekarang mari dengar pula lagu bahasa Jepun kegemaran saya yang dinyanyikan oleh EXO dah tentunya. Yang mana emosi tengah tak stabil tu, listen at your own risk. Lirik dia memang sangat puitis. Selamat menangis mendengar.


Wednesday, 5 December 2018

Barulah Nak Minat Dekat Penyanyi Berkumpulan

Semenjak dua menjak ni, entah macam mana tersampuk dengan K-pop Band pula. Hahahahadoi... Dulu-dulu kan, bila jumpa peminat tegar penyanyi kumpulan, mesti saya hairan serta pelik. Apa yang best sangat K-pop Band ni? Sekarang kau dah tersampuk, barulah kau rasa kan? Sebab ada teman serumah di universiti dulu yang kipas susah mati dengan Super Junior, jadi tahulah macam mana rupa bila awak jadi peminat. Siap hafal nama semua 13 ahli SUJU tu, memang saya rasa pelik bin ajaib betul!

Sebelum ni, saya cuma minat tonton drama Korea dan dengar OST saja. Drama yang best, memang simpan dan lagu-lagu setiap drama, memang saya akan muat turun. Carilah macam mana cara sekali pun. Sekarang ni, kena tambah satu folder lagi dalam My Music untuk lagu EXO. Ouch!

Asalnya minat dekat D.O. je bila tengok dia berlakon dalam It's Okay, That's Love. Lepas tu dia ada berlakon juga dalam Hello Monster. Watak dia dalam dua-dua drama tu memang sesuai sangatlah dengan dia. Tu yang bila pergi Korea tahun 2016, asal nampak D.O. dekat mana-mana mesti sengih sampai telinga sebab tengah minat dekat D.O. gara-gara baru habis tengok drama Hello Monster. Kahkahkah...

 Dapat gambar D.O. dari Hani yang beli set penjagaan kulit Nature Republic. Beli barang mahal je boleh dapat kad gambar ahli EXO. Sebab saya masih setia dengan Clinique, tak adalah beli pun. Rezeki dapat gambar dari Hani yang, "D.O. who?" Hahaha..

Baru ni, D.O. kembali dengan drama baru dan kali ini, jadi hero terus dalam 100 Days My Prince. Memang 5 bintang akak bagi dekat awak dik! Menjadi betul watak putera mahkota yang awak lakonkan tu. Dah dekat sama dengan Kim Soo Hyun dalam Moon That Embracing The Sun. Yang minat drama saguk, wajib tengok okey? Nanti saya buat ulasan drama tu.

Habis je tengok 100 Days My Prince, terus terminatlah pula dengan EXO. Sekarang saya faham dah macam mana peminat SUJU tu boleh hafal dan kenal semua ahli dan kalau boleh, nak tahu semua benda pasal mereka. Saya sedang melalui fasa yang sama. Kenapa EXO? Sebab imej diorang ni agak sopan berbanding yang lain dan suara pun semua sedap.

Dan D.O. adalah antara vokalis utama. Kalau suara lembut(istilah saintifik acik tak tahu), ada tiga, Suho, Xiumin dan Lay. D.O. suara lembut boleh, suara tinggi boleh. Tapi kalau yang tarik tinggi, Chen paling daebak! Seram dengar bila dia tarik suara tu. Chanyeol pula suara garau gitu. Kira semua pun boleh nyanyi lah ceritanya. Muka pun semua boleh tahanlah hensem dan jambu belaka. Balik kampung lepas ni nak cari album-album diorang pula. Sekarang dengar dan tonton di YouTube je.

Ahli asal EXO ada 12 orang. Baris atas dari kiri, Tao, Kris Luhan, Lay, Xiumin dan Chen. Baris bawah dari kiri: Sehun, Suho, D.O., Kai, Baekhyun dan Chanyeol. Dan dulu dibahagikan kepada dua, EXO M dan EXO K dimana M adalah Mandarin dan K adalah Korea.

Lepas beberapa isu berbangkit dengan ahli EXO M, akhirnya EXO tinggal 9 orang saja. Berdiri dari kiri: Kai, Baekhyun, Xiumin, Chen dan Sehun. Manakala duduk dari kiri: D.O., Suho, Chanyeol dan Lay.

Tapi, untuk tahun 2018 ni, tiba-tiba EXO tinggal 8 orang sebab Lay bergerak solo. Kisah terperinci, acik belum sempat kaji. Kalau rajin karang acik buat kajian ye. Hehehe..  Bagi laluan kejap dekat acik okey nak minat dekat EXO? Bak kata Mada, late bloomers. Hahahaha.. Moga minat ni berpada-padalah ye sebab semua benda pun kena bersederhana. Kalau melebih-lebih, apa pun tak jadi kang. Tengah fikir nak daftar jadi EXO-L ke tidak. Eh!😁😂😂😂

Monday, 3 December 2018

Tak Ada Tajuk

Annyeong! Bertemu kembali setelah menyepi beberapa hari selepas kemunculan entri umum pertama untuk tahun 2018. Penulisan-penulisan yang sebelumnya dicatatkan semasa Atas Nama Cinta direhatkan. Bila dah lama tak menulis, ada dua masalah besar yang melanda selain masalah-masalah asas seorang blogger bernama Cik Fara. Pertama, nak fikir tajuk untuk setiap catatan. Kedua, nak mulakan catatan. Masalah tambahan, nak ingat semula label-label yang pernah wujud dalam ni. Pelan-pelan kayuhlah ye.

Entri sebelum ini ditulis semasa sedang menanti hujan lebat reda. Ngam soi je punch out dan nak melangkah keluar dari pejabat, hujan turun selebatnya dengan disertai guruh dan kilat sabung menyabung. Demi keselamatan, masuk balik dalam pejabat dan dapatlah mengarang entri pembukaan tu.

Banyak benda berlaku sepanjang tahun ni dan hari ini, sudah pun hari ketiga dalam bulan terakhir tahun 2018. Masing-masing sibuk dengan kehidupan masing-masing. Ada masanya, rasa nak putus asa membuak-buak tapi akal masih waras fikirkan baik buruk keputusan yang bakal dibuat. Nak putus asa pun bukan senang; entah entah, lagi susah berbanding terus berusaha. Jadi, jalan jelah terus. Ada masa, kena jalan laju. Ada masa, kena melangkah setapak demi setapak. Ada waktunya, perlu berhenti seketika melepas lelah. Dalam pada melangkah, ada ketikanya tersandung dan ada ketikanya jatuh tersungkur. Berhentilah sejenak dan ubati kesakitan sebelum kembali melangkah. Kerana, kebahagiaan bukan datang dari orang lain, tapi bergantung pada tingkah laku kita. Fikir yang positif, positiflah hasilnya. Fikirkan yang negatif, suramlah masa depan.