Engagement Fund ;)

Showing posts with label Resepi: Korea. Show all posts
Showing posts with label Resepi: Korea. Show all posts

Friday, 17 May 2019

Ayam Yangnyeom (Spicy Korean Chicken)

Fenomena ayam goreng pedas dari Korea ni dah lama melanda cuma saya jelah yang baru nak mencuba. Sebelum ni ada azam nak cuba buat sendiri tapi azam nak buat tu sampai makan tahun. Hahaha.. Sebabnya malas nak sediakan ayam dan saya rasa macam susah nak buat sosnya. Tapi bila dah buat sendiri, rupanya senang kacang je pun. Cara nak buat sos tu memang cara Koreans sungguh! Campak campak semua, gaul gaul sebati, letak atas dapur, kacau kacau kacau sampai mendidih, siap!

Selama ni yang tengok 3 Meals A Day sampai ulang tayang berkali-kali tu, lupa ke yang cara masak diorang ni senang? Yang senang tu senang la, bab yang susah tu, boleh tahan renyah macam masakan kita juga. Jadi, kalau nak jumpa jodoh dengan orang Korea pun, saya tak ada masalah nak sediakan makanan kegemaran awak terutamanya kimchi. Hehehe... Lain-lain menu pun inshaAllah saya boleh masakkan untuk awak sebab orang Jawa pun sinonim dengan organ dalaman haiwan macam gopchang awak tu. Cuma kena cari gopchang lembu la. Okey? Done berangan 😄😜

Berbalik semula pada tujuan entri ini ditaip, saya kongsikan resipi sos untuk ayam yangnyeom yang dirujuk daripada laman web ini dan diolah mengikut kadar kemalasan nak beli bahan serta bahan-bahan yang ditemui di dapur. Hehehe... Asalnya nak ikut resipi dari blog kegemaran, Korean Bapsang. Tapi sebab M besar sangat, kita cuba resipi yang tu lain kali.

Bahan-bahan sos:
3 sudu besar sos cili
2 sudu besar gochujang
1/4 cawan madu
1/4 cawan gula perang
2 sudu besar kicap
2 sudu besar bawang putih cincang
1 sudu besar minyak bijan

Caranya:
Campurkan semua bahan dan gaul hingga sekata. Masukkan dalam kuali dan masak dengan api perlahan hingga sos mendidih (bubbling). Tutup api dan bolehlah masukkan ayam yang dah digoreng. Gaul sampai sos melekat pada ayam. Hidangkan panas dan ngap!

Sedia untuk di makan. Nyums!

Ini proses menyalut sos pada ayam di rumah tempat staycation. Gigih kan angkut kuali bagai?

Cara nak sediakan ayam, boleh rujuk pada pautan blog yang disertakan di atas. Sebabnya, waktu ni saya cuma bertugas buat sos saja. Hehehe.. Sekian, resipi yang dah diperam hampir setengah tahun dalam draf. Selamat mencuba.

Wednesday, 2 August 2017

Resepi Kimchi Cik Fara Edisi Kemaskini

Memandangkan resepi asal yang saya gunakan untuk buat kimchi telah diolah beberapa kali, maka saya kongsikan resepi terkini yang saya guna sekarang. Cerita pertama kali saya buat kimchi boleh baca di sini dan resepi sebelum ni pula boleh tengok di sini.


Baechu Kimchi
Sumber: Pelbagai

3 kg kobis cina (nappa cabbage)
1 cawan garam kasar

Bahan untuk dihiris
1 biji lobak merah (saiz kecil, dihiris seperti batang mancis)
1 biji lobak putih (saiz kecil, dihiris seperti batang mancis juga)
3 pokok daun bawang (batangnya dihiris halus manakala daunnya dipotong sepanjang kira-kira 1 inci)
1 batang leek (belah dua dan hiris halus)

A
3/4 biji bawang Holland
3/4 biji Korean pear (kulit warna gelap)
1 biji epal Pink Lady (kalau guna Royal Gala, boleh guna 1 biji setengah)
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/4 cawan air masak
1/2 cawan gochugaru
1 sudu saeujeot (orang Malaysia cakap, cencalok)

B
1 sudu besar gula
1 sudu besar minyak bijan
1/2 cawan serbuk cili - gochugaru
2 sudu besar ssalyeot

C
4 sudu besar tepung pulut
1/2 cawan air
1/4 cawan sos ikan

Cara membuat;

Kobis
1. Bersihkan kobis dan potong besar-besar sebab lepas diperap dengan garam dia akan kecut.

2. Dalam satu besen besar, buat satu lapisan nipis kobis dan ditabur garam di seluruh permukaannya. Buat sampai habis dan tutup bekas dan tindih dengan benda berat. Biarkan selama 1 jam.

3. Selepas satu jam, gaulkan kesemua kobis dan bilas dengan air bersih sebanyak 3 kali. Ambik secebis dan rasa; kalau masin sangat boleh bilas lagi sekali.

4. Kemudian, perahkan kobis yang telah dibilas dan ketepikan.

Sebatian cili (Pes)
1. Kisar bahan A hingga halus.

2. Bancuh bahan C hingga larut dan masak atas api kecil hingga mendidih. Perlu sentiasa kacau supaya tidak hangus dan berketul. Kalau terlalu pekat, boleh tambahkan air. Dah mendidih, boleh matikan api.

3. Seterusnya, tuangkan bahan kisar dalam satu bekas besar. Masukkan serbuk cili dan gaul hingga sebati. Masukkan bancuhan tepung dan gaul lagi. Kemudian masukkan gula dan minyak bijan dan kacau sampai semuanya mesra.

4. Masukkan bahan-bahan yang dihiris tadi dan gaul sampai semuanya sekata menggunakan tangan. Sila pakai sarung tangan sebelum menggaul.

5. Akhir sekali, masukkan kobis dan gaul lagi sampai semua bahan mesra.

6. Masukkan dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti. Sila makan dalam masa dua minggu. Kalau nak cepat masam, biarkan kobis pada suhu bilik semalaman sebelum disimpan dalam peti sejuk. Sekian, terima kasih.

Ini rupa botol ssalyeot yang saya beli dari Shin Sun Mi. Gigih muat turun aplikasi Google Translate sebab nak pastikan bahan ni selamat untuk muslim. Rasa dia manis dan rupa dia pekat sikit daripada madu.

Resepi ni dari pelbagai sumber dan rujukan utama adalah Maangchi. Kemudian bila baca dari pelbagai laman web, resepi bertukar lagi. Ada juga saya rujuk pada blogger Malaysia, Our Kizuna. Kalau blogger Korea, saya rajin tengok Korean Bapsang selepas Maangchi. Kemudian bila tengok rancangan masak-memasak Korea waktu dapat siaran percuma tvN tahun lepas, bertambah lagi bahannya.

Nak olah kobis pun ada cara juga. Kalau nak cepat, belah empat kobis tu dan lepas tu terus potong kasar. Ada la beberapa kali buat macam tu tapi rasa tak puas dan rasa macam kurang bersih sebab tak tengok sehelai-sehelai. Saya lagi suka ceraikan satu-satu sebab bolehlah nampak kalau ada ulat ke diantara helaian tu kan. Memang makan masa tapi puas hati.

Bila tengok orang Korea masak ni, punyalah banyak bahan perasa dia. Berbotol-botol! Seronok la tengok dan seronok nak buat sebab campurkan yang tu sikit, masukkan yang ni, tuangkan yang ni, gaul-gaul dan siap! Kalau rasa macam leceh nak buat, bolehlah tempah aje dengan saya. Hehehehe.. Untuk tempahan, bolehlah tengok butiran di bahagian kanan blog ye. Nak buat kimchi tak susah, tapi leceh. Macam manalah saya boleh jadi gigih benor bergelumang dengan kimchi ek?

Saturday, 25 February 2017

Bila Crime Partner Teringin Nak Makan Gyeran Mari

Bila banyak sangat hadap cerita Korea, kau memang akan teringin yang tak tertahan-tahan nak makan apa yang diorang makan. Gyeran Mari adalah salah satunya sebab makanan ni memang menduduki carta teratas untuk diletakkan dalam dosirak. Waktu bentangkan menu untuk perkelahan haritu, tiba-tiba tak tahu nak masak apa; lebih kepada mim alif lam sin benornya. Hahaha...

Sudahnya, bila Aten cakap teringin nak makan gyeran mari ni, laju-laju aku cakap nak buatkan. Bukan dia jelah teringin sebenarnya, aku pun. Hahaha.. Sebelum ni pernah tengok video Yuko Kinoshita kot nama dia dekat YouTube yang boleh makan banyak gila sekali hadap. Ada sekali tu tengok dia masak telur gulung ni, nampak macam senang kacang je rupanya. Bermula dari saat itu, simpan hasrat nak cuba buat. Simpan hasrat ye, bukan terus masuk dapur cuba buat.

Sebelum hari kejadian, aku cuba-cuba buat guna kuali kecik je dan 2 biji telur sebab orang dalam rumah ni kurang sikit makan telur goreng. Bentuk dia tak jadi empat segi tapi lonjong sebab kuali bulat dan bahan tak lengkap serta kuantiti telur kurang banyak.
Hasil eksperimen kali pertama.

Sehari sebelum nak masak, buka YouTube lagi sekali untuk tengok cara terbaik bagi menghasilkan gyeran mari yang cantik. Rupanya mula-mula kena buat scramble dulu sebelum diketepikan untuk digulung dengan lapisan telur yang seterusnya. Faham ke ni? Kalau tak faham pergi buka YouTube, cari video Gyeran Mari oleh Seonkyoung Longest.

Untuk bahan sampingan, boleh ikut suka hati. Macam aku haritu, guna bawang holland, crabstick, lobak merah dan leek; semua bahan ni potong dadu halus-halus. Aku tumis dulu kejap isi perut gyeran mari ni dan sejukkan kejap sebelum tuangkan ke dalam adunan telur + susu segar + garam + serbuk lada putih. Nak dapatkan hasil yang gebu dan cantik, memang kena letak susu dalam adunan tu.

Nak buat gyeran mari ni memang guna banyak gila telur. Macam haritu, aku dapat 3 gulung dengan menggunakan 12 biji telur. Dua gulung letak inti tumis tadi, satu gulung lapiskan dengan seaweed. Adunan untuk yang guna seaweed tu aku cuma bubuh leek + garam + lada putih. Lagi sedap yang letak seaweed rasanya sebab lebih perisa. Gituuu..

Rupa sebelum dipotong.

Hasil pada hari kejadian. Cantik kan? Masuk lif tekan sendiri. Hahahaha.. Tapi ada bahagian yang kurang masak sebab tak pandai nak agak masa lagi.

Pada hari kejadian, aku guna pemanggang ajaib sebab bentuk dia ala-ala empat segi. Pun begitu, mencabar la juga waktu nak gulung. Sabar tu kena himpun banyak-banyak untuk yang buat pertama kali. Kalau nak mudah, pergilah beli kuali bentuk empat segi dekat Daiso. Lebih senang nak gulung sebab penjuru kuali dia tajam, tak macam pemanggang ajaib ni. Tengok orang lain gulung pakai chopstick, senang je. Aku? Siap chopstick, siap sudip besar, sudip kecil, baru selamat gulungan tu dari terkoyak. Kahkahkah.. Memang noob sangat!

Monday, 31 October 2016

Hotteok Tak Manis (?)

Ini satu lagi sindrom rindu teruk yang berlaku. Antara makanan wajib makan yang masuk dalam senarai tempoh hari adalah hotteok tapi tak jumpa la pulak. Makanya, bila balik sini, asyik teringat-ingat dekat hotteok.

Tiba-tiba pada suatu hari, termasuk dalam satu blog ni dan nampak ada resepi hotteok. Eh eh, macam nak suruh buat je ni? Tengok bahan pun tak adalah renyah mana. Baca langkah demi langkah pun, tak leceh. Gigih aku beli barang dekat Speedmart dan memaksa diri untuk rajin menguli tepung. Meh tengok resepi meh..

Hotteok

Sumber: Blogger SueMiezi
Sumber asal: Maangchi

Bahan-bahan doh:
2 cawan tepung serbaguna - guna tepung naik sendiri cap MFM
1 cawan air suam
2 sudu besar gula putih
2 camca yis kering
1/2 camca garam
1 sudu besar minyak sayur - guna minyak zaitun je

Cara buat doh:
1. Campurkan air suam dengan gula pasir, yis, garam dan minyak sayur dalam satu mangkuk besar dan kacau bagi sebati.
2. Kemudian, masukkan tepung dan kacau guna senduk atau gaul pakai tangan.
3. Tutup mangkuk berisi doh dan biarkan pada suhu bilik selama 1 jam.
4. Selepas 1 jam, doh akan naik sekali ganda. Uli doh untuk keluarkan udara dan rehatkan lagi selama 10 - 20 minit.

Intinya boleh ikut suka hati. Biasanya guna gula perang dan kacang tumbuk. Aku letak labu lenyek yang digaul dengan madu dan sedikit badam tumbuk sebab tak ada gula perang. Lain kali kena guna gula perang dan kena letak BANYAK sebab kejadian hotteok aku ni tak manis langsung. Hahahaha.. Bajet labu dah manis kan? Memang tenggelam kemanisan labu dalam doh.

Cara buat hotteok:
1. Uli doh untuk buang lebihan udara.
2. Taburkan tepung atas papan pencanai dan letakkan doh untuk diuli lagi.
3. Bahagikan doh kepada 8 bahagian atau mengikut saiz kesukaan.
4. Ambil satu bebola doh dan leperkan.
5. Masukkan inti dan tutup doh. Bentukkan doh menjadi bebola. Buat sampai habis.
6. Panaskan kuali dan masukkan minyak sayur.
7. Letakkan satu bebola dalam kuali dan leperkan dengan sudip.
8. Masak untuk kedua-dua belah dan angkat dan hidangkan.

Kejadian hotteok aku adalah sangat cantik cuma tak manis jelah. Bila jadi tak manis, mulalah aku bayangkan inti sardin atau sambal ikan bilis dalam doh tu. Hahahaha.. Tekak Jawa sangat! Tapi memang sesuai pun kalau tukar inti dan silalah cuba ye awak semua. Senang kacang je dan sedap dah tentunya.

Saturday, 9 April 2016

Kimchi Jjigae Versi Cik Farae

Bila ada stok kimchi, hidup menjadi mudah. Tak tahu nak masak apa dan kejar masa? Kimchi jjigae adalah salah satu lauk lengkap sebab ada protein dan serat. Mudahnya memasak dengan kimchi. Tetiba buat iklan dekat sini. Hahaha...

Okeylah, nak tepek resepi kimchi jjigae versi campak-campak aku ni sebab kadang-kadang tu lupa juga apa bahan-bahan dia. Sekarang ni bolehlah masak ni selalu sebab Abah boleh terima rasa kimchi jjigae; kalau kimchi biasa tu memang Abah tak lalu makan.

Bahan-bahan nak buat ni senang kacang je. Kalau nak ikut, ikutlah. Kalau rasa tak yakin, boleh rujuk dekat blog Korean Bapsang atau blog Koreans yang lain.

Nasi putih dengan kimchi jjigae kasi banjir siap!

Bahan-bahan
Segenggam daging lembu (hiris nipis)
2 senduk kimchi
1/2 biji bawang besar (hiris)
1 sudu gochugaru (kalau tak tahan pedas sila kurangkan)
Daun bawang
Beberapa titis minyak bijan
Minyak untuk menumis
Air secukupnya
Garam secukup rasa

Cara memasak
1. Panaskan minyak dan titiskan sekali minyak bijan. Tumiskan bawang besar yang telah dihiris sampai layu.
2. Masukkan gochugaru dan kacau sampai agak-agak serbuk cili dah tak bau menyengat.
3. Masukkan hirisan daging dan kacau sampai kedua-dua bahagian daging masak. Biarkan seketika sampai daging lembut.
4. Masukkan kimchi dan tumis sekejap bersama daging.
5. Kemudian, tuangkan air secukupnya dan biarkan hingga mendidih. Perasakan dengan garam dan tutup api.
6. Sebelum hidang, boleh taburkan hirisan daun bawang. Siap!

Kebahagiaan masak kimchi jjigae ni adalah bila tengok dia tengah mendidih; seronok je tengok dia mendidih. Kalau ada tauhu, boleh juga masukkan tauhu. Ikut resepi asal, diorang guna green onion ataupun daun bawang yang daun dia lebar-lebar tu je, tak pakai bawang pun. Tapi sebab biasanya daun bawang tu tak ada stok, aku guna je bawang besar. Nak lagi sedap pakai bawang yang guna untuk masak tomyam tu.

Lauk ni paling best dihidang panas-panas dan nak lagi umph, letak kuah banjir macam gambar atas tu. Layannnn...

Thursday, 14 August 2014

Kimchi Bokkeumbap

Wah, tajuk tak nak kalah! Nak tulis nama Korea jugak. Padahal nasi goreng kimchi je pun. Hehehe... Ini cerita raya ketiga. Ko mampu makan makanan Korea waktu raya? Ala, itu pun sebab aku tak masak rendang tahun ni. Kalau tak aku sauk jugak rendang dari kuali nak makan dengan nasi impit. Tak ada mood nak makan sebenarnya padahal tengah hari tu dah masak sup ayam untuk orang lain. Sup ayam je senang, campak semua benda dalam satu periuk dan siap satu hidangan seimbang. Gituuu...

Petang tu waktu rehat-rehat lepas siap buat kerja dapur, lapar la pulak. Terus rajinkan diri masuk dapur balik nak masak nasi goreng kimchi. Lagi satu sebab kena masak jugak nasi goreng tu adalah takut kimchi yang buat sebelum puasa tu jadi rosak sebab kimchi ni jenis yang kena makan cepat. Tinggal sikit je lagi pun, memang ngam-ngam untuk satu hidangan. Untuk resepi ni, aku guna nasi segera dari Korea. Orang gi Korea bawak balik kimchi, aku bawak balik nasi segera. Kahkahkahkah... Resepi dia campak-campak je tau. Kalau tak sedap sendiri tanggung.

Nasi segera Korea

Kimchi Bokkeumbap

2 mangkuk nasi
1 mangkuk kimchi
1/2 biji bawang besar (dihiris)
2 ulas bawang putih (dicincang)
2 biji cili padi (dihiris)
2 batang sosej (hiris nipis dan goreng garing)
Beberapa titis minyak bijan
1/2 camca serbuk lada hitam
Garam secukup rasa
2 biji telur

Cara masak;
1. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga layu. Campakkan cili padi dan kacau.
2. Masukkan kimchi beserta jusnya. Kalau jus tu banyak, kaut dua sudu je cukup.
3. Kacau dan goreng kejap. Kemudian masukkan nasi dan gaul hingga sekata.
4. Masukkan sosej.
5. Akhir sekali, perasakan dengan garam, serbuk lada hitam dan minyak bijan.
6. Hidangkan dengan telur goreng.



Haritu pernah buat jugak tapi tak letak minyak bijan, rasa dia tak sedap sangat. Kali ni punya rasa memang daebak! Telur tu biasanya sunny side up style tapi haku tak reti nak goreng cenggitu. Ke malas nak tunggu? Nak kuning dia macam keras sikit tapi tak nak tunggu lama-lama, cemana tu? Terus aku terbalikkan dia tapi kejap je la, tu yang jadi macam tu. Hehehe... Kalau tak tahan pedas, tak payah campak cili padi okey? Kalau ada gochujang, guna gochujang je sebab kalau tengok sesetengah resepi, memang ada yang letak gochujang tu.

Monday, 14 July 2014

Kimchi Kobis

Sejak berkenalan dengan kimchi dan belajar cara nak buat melalui internet, ini kali keempat. Sebelum ni guna resepi super ringkas dan aku kukus dulu kobisnya. Kali ni guna resepi campur-campur dari tiga laman web dan ini percubaan kedua guna resepi campur-campur. Kiranya lepas balik dari Korea dah dua kali buat kimchi tapi yang ini guna serbuk cili(gochugaru) Korea. Tragis kan, dah sampai Korea tapi tak beli serbuk cili lepas tu akhirnya kirim kat orang untuk belikan. Ada juga mencari-cari waktu kat sana tapi tak nampak la pulak. Kisah mengirim gochugaru ni terjadi apabila seorang pembaca blog bertanya mengenai salah satu entri Korea yang aku tulis tempoh hari. Memandangkan bab-bab makan kami di sana diuruskan sepenuhnya oleh TG, maka terpaksalah aku roger TG untuk tanya benda yang ditanya tu. Lepas tu terkirim beli gochugaru ni. Segan benornya nak mintak tolong tu tapi it's now or never kan, maka gagah jugaklah aku buat permintaan.

Nasib baik beliau okey saja. Dah kirim tu, tak fikir pulak nak ambik tu karang macam mana. Waktu dia kata dah belikan tu, excited tahap Power Rangers dan terus mintak nombor akaun nak transfer bayaran. Eh, ko ingat ni online shopping kah? Hahaha... Terus ketuk kepala sendiri kejap. Bincang punya bincang, aku kata jumpa dekat airport jelah. Bukan jauh nau pun airport dari rumah. Maka, itulah kali pertama aku jejak kaki ke KLIA2. Nasib baik flight beliau delay maka touch down dalam 3.30 camtu kot. Gedebuk gedebak mesti 4 lebih jugak baru keluar. Itu pun pening macam mana nak balik awal sebab tak baik buat orang menunggu, dah la mintak tolong kat dia. Dengan alasan yang direka selepas berunding dengan teman jenayah, aku keluar awal sikit lepas dapat kebenaran bos. Heeee... Isi borang tau, bukan balik cenggitu je.

Sampai airport, flight dah touch down tapi WhatsApp tak on lagi. Lama jugak tunggu sampai aku dah naik cuak, baru beliau keluar. Terima kasih banyak-banyak TG kami yang tolong belikan serbuk cili ni. Lepas rindu saya dekat Korea. Hahaha...

10 000 won untuk sepaket kecik ni...tanjat ai!

Kali ni buat banyak sebab ada dua ke tiga orang dekat ofis ni mengidam nak makan kimchi jugak. Okeylah, layankan aje. Nah resepi hasil rujukan dari tiga sumber berbeza. Sumber mana, nanti aku update kemudian ye. Kena korek arkib dulu.

Baechu Kimchi


Hasilnya - warna merah yang lebih menawan


1.2kg - 1.5kg kobis cina (nappa cabbage)
1 cawan garam

Bahan untuk dihiris
1 biji lobak merah (dihiris seperti batang mancis)
1 biji lobak putih (dihiris seperti batang mancis juga)
2 pokok daun bawang (batangnya dihiris halus manakala daunnya dipotong sepanjang kira-kira 1 inci)

A
3/4 biji bawang Holland
3/4 biji Korean pear (kulit warna gelap)
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/4 cawan air masak

B
1 sudu besar gula
1 sudu besar minyak bijan
1 cawan serbuk cili - gochugaru

C
4 sudu besar tepung pulut
1/2 cawan air
1/4 cawan sos ikan

Cara membuat;

Kobis
1. Bersihkan kobis dan potong besar-besar sebab lepas diperap dengan garam dia akan kecut.
2. Dalam satu besen besar, buat satu lapisan nipis kobis dan ditabur garam di seluruh permukaannya. Buat sampai habis dan tutup bekas dan tindih dengan benda berat. Biarkan selama 1 jam.
3. Selepas satu jam, gaulkan kesemua kobis dan bilas dengan air bersih sebanyak 3 kali. Ambik secebis dan rasa; kalau masin sangat boleh bilas lagi sekali.
4. Kemudian, perahkan kobis yang telah dibilas dan ketepikan.

Sebatian cili
1. Kisar bahan A hingga halus.
2. Bancuh bahan C hingga larut dan masak atas api kecil hingga mendidih. Perlu sentiasa kacau supaya tidak hangus dan berketul. Kalau terlalu pekat, boleh tambahkan air. Dah mendidih, boleh matikan api.
3. Seterusnya, tuangkan bahan kisar dalam satu bekas besar. Masukkan serbuk cili dan gaul hingga sebati. Masukkan bancuhan tepung dan gaul lagi. Kemudian masukkan gula dan minyak bijan dan kacau sampai semuanya mesra.
4. Masukkan bahan-bahan yang dihiris tadi dan gaul sampai semuanya sekata menggunakan tangan. Sila pakai sarung tangan sebelum menggaul.
5. Akhir sekali, masukkan kobis dan gaul lagi sampai semua bahan mesra.
6. Masukkan dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti. Sila makan dalam masa dua minggu. Kalau nak cepat masam, biarkan kobis pada suhu bilik semalaman sebelum disimpan dalam peti sejuk. Sekian, terima kasih.