Engagement Fund ;)

Showing posts with label Resepi: Lauk-pauk. Show all posts
Showing posts with label Resepi: Lauk-pauk. Show all posts

Saturday, 16 May 2015

Kari Ikan Merah

Lama benor tak tampal resepi dalam ni, maka malam ni merajinkan diri letak resepi ni untuk rujukan sendiri di masa hadapan. Kalau korang nak cuba pun boleh, tapi kalau tak jadi, jangan marah haa. 



Bahan-bahan:
3 potong ikan merah
1 biji bawang besar (dihiris)
5 ulas bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1 inci halia*
1 inci kunyit hidup*
3 sudu besar rempah kari (bancuh macam pes)
1 1/2 sudu besar serbuk cili
1 camca jintan manis
Rempah 4 sekawan secukupnya (kayu manis, buah pelaga, cengkih, bunga lawang)
1 camca pes asam jawa
2 tangkai daun kari
1/2 cawan santan
4 cawan air
Bendi dan terung

*ditumbuk bersama-sama

Cara memasak:
1. Goreng jintan manis sampai dah tak meletup, masukkan hirisan bawang besar dan tumis sampai layu. Kemudian baru masukkan bahan yang ditumbuk. Tumis sampai garing.
2. Masukkan serbuk cili dan kacau cepat-cepat sebab dia senang hangus; lepas tu baru masukkan pes kari. Kacau sampai sebati dengan bahan tumisan, letak air sikit dan biar sampai pecah minyak. Waktu menumis ni memang kena guna banyak minyak baru rempah dia menjadi.
3. Dah pecah minyak, masukkan daun kari. 
4. Masukkan pes asam jawa dan air, biarkan mendidih barulah masukkan santan.
5. Masukkan ikan dan bendi serta terung. Kacau dan tunggu sampai mendidih.
6. Ikan dah masak, sayur pun dah lembut, boleh matikan api dan hidangkan.


Macam gambar atas ni, takde makna nak hidang dalam mangkuk cantik sebab makan sendiri je pun. Angkat mangkuk ni dari atas dapur, terus hidang atas meja. Senang kerja; tu yang nampak mangkuk ni comot sebab tepi-tepi tu adalah percikan kuah mendidih daripada proses memasak. Ini cara Tuan Tanah masak selepas dikacukkan dengan cara masak resepi-resepi yang ditemui dari blog-blog masakan yang tersenarai dekat bawah nun. Kalau tak jadi, ampun ye sebab I main campak je. Heeee.... 

Wednesday, 7 January 2015

Regu Lauk Kampung Terhebat

Assalamualaikum....

Sudah tujuh hari kita berada di tahun 2015 tapi aku baru je nak tepek satu entri. Hehehe... Salah satu azam tahun baru, tak mahu bertangguh lagi. Apa-apa punlah macam, karang cerita dekat sini sebaik saja ia berlaku. Kalau tak, memang tak habis-habis ceritanya. Hari ni karangan cerita tahun lepas lagi. Cerita kali ni pasal lauk kategori kampung yang buat aku bertambah nasi sampai tiga kali kalau tak fikir orang belakang. Hehehe...Dua lauk ni, kalau dihidangkan sekali, memang sahih bertambah nasi. Masak lemak rebung madu dengan daging bakar dan sambal belacan kedai. Sebelum ni macam dah pernah kongsi cara nak masak lemak rebung ni tapi takpelah, kongsi lagi sekali.

Rebung masak lemak cili padi dengan daging bakar

Rebung ni dapat percuma Kak Is bagi waktu dia melawat kitorang dekat pejabat. Dapat dua bungkus; sebungkus buat masak lemak cili api dan lagi sebungkus aku masak dengan daging korban ni. Sebab rebung ni dah direbus terlebih dulu, jadi tak payah masak lama-lama.

Mula-mula bakar daging dulu. Aku bakar dua ketul daging bersaiz segenggam penumbuk. Lumurkan kunyit, garam dengan lada hitam je dan bakar sampai dia agak-agak empuk. Dalam 40 minit kot aku bakar; 20 minit untuk setiap sisi. Guna oven toaster je pun boleh. Bila dah sejuk, hiris nipis.

Untuk masak lemak, kisar bawang merah + bawang putih + cili padi. Didihkan air sikit dan masukkan bahan kisar. Masak sampai air surut. Letakkan serbuk kunyit dan serai yang diketuk dan kacau kejap. Masukkan daging, gaul dan biar kejap. Lepas tu masukkan rebung dan santan. Sebab pakai santan kotak, tak adalah nak kena masukkan santan cair dulu. Kacau dan biarkan mendidih tapi jangan sampai pecah minyak. Perasakan dengan garam dan gula. Ini cara aku masak la ek, cara orang lain tak tau. Tapi sedap je pun kejadian dia. Hehehe...

Sambal belacan kedai

Sambal belacan pulak, ilmu dari Cik Iti. Aku memang suka sangat sambal belacan ni tapi arwah mak tak gemar sangat. Kalau nak makan yang sedap, kena beli dekat kedai sebab bila buat sendiri dia tak jadi macam yang kat kedai. Kalau arwah mak buat sambal belacan, ikut cara arwah nenek kulon iaitu semuanya digoreng dulu baru ditumbuk. Sedap jugak yang tu tapi sebab tak rajin, selalu ngelat bila mak kata nak buat sambal belacan. Heee.. Sambal belacan kedai ni tak payah ngelat sebab masuk je semua dalam blender dan zeeeetttt.

Ada satu hari tu, Cik Iti datang rumah dan aku pun masak la untuk makan tengahari sebab waktu tu arwah mak kena pergi sekolah. Waktu nak buat sambal belacan ni, Cik Iti terus ajar cemana nak bagi rasa dia macam yang kat kedai. Cuma guna cili besar + cili padi + belacan bakar + air asam. Cili tu agak-agak tau dan belacan memang kena banyak. Kisar cili dan belacan dengan air asam dan siap! Bahan utama dia adalah air asam tu. La hai, senang je pun tapi kalau tak tahu, memang tak tahu. Terima kasih atas ilmu yang diberikan makcikku. Waktu nak hidang, perahkan limau kasturi. Nak lagi mengancam, boleh hiriskan sekali kulit limau kasturi dan campak je dalam sambal. Memang pergghhh! Nasib baiklah aku tak buat dua-dua lauk ni sekali, kalau tak memang hancur program catuan nasi.

Monday, 28 May 2012

Rendang Ayam

Kebelakangan ni memang tak berapa nak rajin menghadap laptop. Jadi tak berapa nak ada entri la kan. Tapi malam ni dah alang-alang buka laptop, tempek la entri tertunggak yang beratur ni. Hehehe... Ini adalah sesi rajin dua minggu lepas. Tiba-tiba terasa nak masak rendang ayam. Gigih la aku beli bahan dekat pasar pada petang Rabu. Tapi masaknya pada hari Sabtu sebab malas nak berkuntau kat dapur lama-lama lepas balik kerja. Dengan kudrat yang ada, aku Google resepi dulu sebab sangat jarang masak rendang ayam. Arwah mak dulu pun selalu masak rendang daging je. Jadi, kena cari resepi dulu untuk lebih yakin. Cari punya cari, terjumpa satu resepi yang kelihatan kena dengan anak tekak ni iaitu resepi di dapur Cendana Kasih. Kalau nak resepi, sila ke dapur CK ye. Tuan Tanah tak berapa nak rajin salin resepi.Hehehe... Rasa sedikit berbeza mungkin sebab ditambah cili padi, tak macam resepi rendang biasa yang hanya menggunakan cili kering. Sedap! Cumanya aku ni memang tak berbakat nak masak rendang ayam sebab dia jadi berkuah. Mungkin sebab tak letak kerisik kot. Yang penting, ada rasa rendang... Hahaha...


Nampak tu, cair dan berkuah. Warna pun tak menarik. Tapi bila dipanaskan beberapa kali, jadi la juga dia rupa rendang. Enak dimakan bersama nasi impit. Nyumsss...

Tuesday, 3 January 2012

Gulai Lemak Pisang Muda

Sudah agak lama tak tepek resepi kat sini. Kebetulan ada pisang muda berlambak-lambak kat dapur tu. Jadi bolehlah buat gulai ni. Ini versi belasah je tau. Kalau tak suka pedas boleh kurangkan cili. Mari zass resepi...

Bahan-bahannya:

1 Sisir pisang muda(dalam 7 biji)

5 biji bawang merah

3 ulas bawang putih

1 sudu ikan bilis

15 biji cili api

1 biji cili merah

Sebatang serai (diketuk)

1 potong ikan masin yu(dihiris)

1 camca serbuk ketumbar

1/2 camca serbuk jintan manis

1/2 camca serbuk jintan putih

Sedikit gula

Sedikit serbuk kunyit

Sehelai daun kunyit

Sekotak santan

Secawan air

1 keping asam gelugur


Cara masak

1.Kisar bawang merah,bawang putih,cili dan ikan bilis.

2.Masukkan 1/2 cawan air ke dalam periuk dan biar mendidih. Kemudian masukkan bahan kisar,serai,dan rempah ratus. Kacau dan biar hingga naik bau.

3. Masukkan ikan masin dan serbuk kunyit.

4. Seterusnya, masukkan pisang muda yang telah dipotong. Kacau dan biar hingga separa empuk.

5. Masukkan santan. Kacau secara berterusan untuk elak pecah minyak. Masukkan daun kunyit dan perasakan dengan gula dan garam(jika perlu) dan juga asam keping. Tambahkan sedikit air jika terlalu pekat.

6. Bila pisang dah empuk, bolehlah diangkat.


Published with Blogger-droid v2.0.2