Engagement Fund ;)

Wednesday, 20 June 2018

Kiriman Dari Korea

Tragedi tak jadi balik 'kampung' tahun ni rupanya meninggalkan parut yang sangat dalam hati. Masih dalam proses penyembuhan lagi dan harap-harap ada rezeki balik 'kampung' tahun depan, InshaAllah. Haritu Aten ke Korea, kirimlah BB Cushion Missha juga sebab memang target stok cukup-cukup sampai sesi balik 'kampung' seterusnya. Kirim seketul je pun sebab bajet tak mengizinkan.

Kali ni dapat dengan harga 10 000 Won seketul tapi tak ada pek isian semula dan bekasnya pun macam tak eksklusif sangat. Kategori marhain mungkin? Jenisnya sama juga, Missha Magic Cushion SPF50+ / PA++. Tapi dekat nama tu takde M macam yang lama dan ada tulis Cover Lasting.

Tak lama dapat stok, stok sedia ada pun habis. Eloklah tu walhal baru je tukar puff dia. kirim dekat Aten juga. Sepaket ada 4 keeping, bahagi dua dengan Aten. Jadinya, 2500 untuk dua keeping puff. Okeylah tu sebab kalau puff untuk BB yang tak ada cap Missha pun dah lebih kurang harga tu. Macam biasa, calit sikit je dah buat muka cun. Cumanya bau dia tak wangi macam yang dulu. Boleh diterima lagilah setakat ni.

Sekarang masih setia lagi dengan Missha. Teringin nak beli bedak kompak Skinfood tapi kedeks pula haritu. Bajet ada je lebih padahalnya. Pada saya, BB Missha ni jatuh dalam kategori best, begitu juga dengan bedak kompak Skinfood. Best tapi harga dikira murah. Dengan syarat beli dekat Korea sana. Hehehe..

Monday, 18 June 2018

Kisah Kuih Raya Cik Fara

Sejak mak meninggal, urusan menyediakan kuih raya diambil-alih sepenuhnya oleh saya. Dulu-dulu macam tak percaya bila mak kata bajet untuk kuih raya yang beli siap saja, mencecah RM 300. Belum termasuk kuih yang buat sendiri, belum termasuk kerepek-kerepek ye. Wow! Sekarang ni, memang percayalah jumlah 300 tu adalah sebenarnya minimum. Biasanya lebih lagi sebab rumah kami adalah rumah tumpuan dan memang tiap tahun akan jadi #teamrayatuanrumah. Haruslah tetamu ramai kan? Lagi-lagi kalau ada orang tua, sudah tentulah yang berpangkat muda akan datang ziarah.

Sebab dah tahu memang perlu bajet banyak, memang dah sedialah awal-awal. Salah satu persediaan adalah dengan menjual kuih raya. Dapatlah tamping lebih daripada separuh jumlah keseluruhan. Bajet-bajet lain untuk kerepek dan barang rumah biasanya minta dari Abang-abang la. Kata rumah keluarga kan?😜😜

Saya pula jenis yang memang suka makan biskut, maka pantang nampak. Semua nak dibeli, nak ditempah. Hahaha.. Mujurlah beringat tang bajet tu, kalau tak lagi banyak agaknya. Hehehe.. Rezeki jugalah sebab Mada dengan Kak Chik bagi kuih raya sebalang waktu jumpa untuk buka puasa tempoh hari. Kak Chik punya lagi la, sebalang besar terus dia bagi. Terima kasih banyak-banyak, moga murah rezeki yang memberi dan bersedekah waktu bulan ramadhan haritu.

Sempena Syawal keempat, saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf atas segalah salah silap dan keterlanjuran dalam perbuatan, lisan mahupun yang terdetik di hati. InshaAllah saya juga memaafkan kesalahan awak semua pada saya walaupun mungkin ada beberapa yang masih dalam ingatan. Forgive but not forget? Hhmmm... Hopefully forgive and forget forever. Ambil masa la kan nak sembuhkan luka di hati. Gituu..

Sunday, 10 June 2018

Tradisi Geng Makan Selamanya Diteruskan

Alhamdulillah, tahun ni berjaya berkumpul untuk majlis berbuka bejemaah. Tahun lepas tak buat sebab ada seorang ahli yang dalam pantang. Lokasinya di Shah Alam saja. Tempat yang senang dituju dan murah harganya berbanding tempat lain. Saya yelah kena bayar untuk seorang je, yang lain-lain rakyat ramai. Kenalah bertimbang rasa.

Kami gerak asing-asing sebab ada agenda lain sebelum majlis berbuka. Saya gerak terus dari tempat tuisyen dan singgah dulu ambil kuih raya yang ditempah dalam perjalanan. Kemudian, singgah juga Jusco Bukit Tinggi untuk cari baju raya Abah. Haritu dah belikan sehelai, ni nak cari lagi sehelai. Waktu sampai tu dah pukul 5 lebih nak dekat pukul 6, jadi orang pun dah ramai balik. Tenang tak tenang jugalah memilih walaupun orang tak ramai sebab mengejar masa.

Belek punya belek, pusing punya pusing, berkenan dekat kemeja yang harga mahal juga. Fikir punya fikir, takpelah, beli je. Potong bajet baju raya sendiri sebab yang harga murah sikit kainnya kurang selesa. Habis pilih baju. 'ter'singgah tempat kasut. Ter ke masalahnya? Kahkahkah.. Pilih punya pilih, nak juga beli sepasang untuk kasut kerja. Macam biasa, mesti Alain Delon dan mesti ada hiasan dekat belah atas. Lepas bayar, terus laju-laju turun ke tempat parking dan tuju ke Seksyen 7 Shah Alam.

Waktu sampai tu dah azan maghrib pun dan parking pun penuh. Sudahnya tawakal je parking tepi jalan. Masuk-masuk, orang dah mula makan tapi Kak Dahiyah belum sampai lagi. Teruslah saya ambil makanan. Pilihan makanan tak banyak sangat tapi makanan semua sedap! Nasi putih dia lembut dan wangi dipadankan dengan ayam masak kicap, memang menyuap tak berhenti hingga suapan terakhir. Gambar makanan tak ada sebab saya bersungguh-sungguh makan dan seterusnya beramah-mesra dengan orang lain. Hehehe.. Moga tradisi tahunan Geng Makan Selamanya ni dapat diteruskan sampai bila-bila.

Buka Puasa Dengan GBBP Kali Kedua

Tahun ni buka puasa dengan geng bujang aje sebab merajuk dengan geng lain pasal aktiviti yang tahun lepas masih bersisa. Semangat tau kami rancang aktiviti dengan mengambil kira keselesaan mak-mak yang menyusukan anak dan anak-anak kecil yang sedang aktif, lepas tu semua krik..krik..

Untuk cerita berbuka kali pertama, boleh tekan entri sebelum ni. Patutnya kali kedua ni nak ke BGR macam biasa sebab sana makanan ada banyak jenis dan murah dan pencuci mulutnya daebak. Kebetulan Mada pergi berbuka dengan kawan-kawan pejabat tempoh hari dan dia bagi komen yang makanan dekat BGR dah tak macam dulu. Hhmmm.. Bincang punya bincang punya bincang, masing-masing kata tak puas makan dekat Sweetree.

Akhirnya, kami ke Sweetree semula. Punyalah gigih nak dapatkan tempat, Mada banyak kali WhatsApp tanya tempat kosong sampai Mada cakap; "Mesti berbulu orang Sweetree ni. Persistent betul Mardiah ni." Lepas tu Aten pula menyampuk; "Rasanya yang berbulu Radin." Kahkahkah.. Sebabnya kali ni Radin tak dapat turut serta. Yang pertama kali hari tu memang dirancang sempena Radin ada dekat Semenanjung.

Gedebuk gedebak, dapat juga tempat dan tak lama lepas sahkan tempahan, keluar pengumuman dekat laman Instagram diorang bagi tahu tempahan ditutup sampai hari terakhir operasi. Fuuhh, rezeki kami. Pada hari kejadian iaitu Jumaat 8 Mei, saya ke Shah Alam dulu jemput Aten. Disebabkan waktu kami nak gerak keluar tu dah waktu puncak, dia punya sesak, sampai keluar saka baran. Mak incik kan duduk kampong, mana biasa sesak-sesak yang sampai tak bergerak langsung ni? Dekat 40 minit rasanya tersekat dekat tol nak keluar ke PLUS.

Jauhnya perjalanan kami sebab pusing satu KL dari belah sini ke KL yang belah sana. Azan maghrib masih atas jalan. Sampai dekat depan Sweetree, berpusing lagi cari parking. Duhduhduh.. dugaan. Bila perut lapar, tapi dah makan jammed tadi, mula la nak marah je. Heee.. Akhirnya parking je dekat tepi jalan besar. Masuk kedai, lengang takde orang beratur ambil makanan dah. Kami terus je kutip pinggan dan kaut makanan sebelum naik ke tempat duduk. Drama pada waktu berbuka 23 ramadhan pun tamat. Hahaha..

Kali ni tak sesak macam yang pertama kali dating. Suasana pun tenang je dan memang fokus untuk makan. Dapat meja pula dekat kawasan strategik, lagilah layan. Waktu sampai dekat meja tu, dah bersusun mangkuk dan pinggan Hani dengan Mada. Diorang sampai awal, jadi memang patutlah dah habis makan. Takpe, ada masa lagi. Saya terus boleh makan sebab ABC. Hehehe.. Aten solat dulu.

Lama sungguh duduk makan kali ni. Memang objektif tercapai. Yang pertama kali tu huru-hara sikit sebab dah lama tak jumpa satu, lepas tu sibuklah borak. Keduanya, masing-masing pun teruja nak bertukar barang dagangan dan kebetulan pula jumpa FarEl, borak manjang jelah. Perjumpaan seterusnya inshaAllah raya nanti, sekali dengan mesyuarat untuk sesi ukur jalan, sukat Tanah Geng Bujang Bilik Prep tahun 2018.

Wednesday, 6 June 2018

Buka Puasa Dengan Kak Chik

Aktiviti yang satu ni pun tradisi tahunan juga. Sebelum-sebelum ni gigih juga mengumpulkan geng satu rumah untuk buka puasa bersama. Cuma sejak yang bujang tinggal berapa kerat je, saya berkumpul dengan Kak Chik jelah. Ini pun bukan mainlah payahnya nak tetapkan tarikh. Tak saya yang sibuk, dia yang dah penuh jadualnya. Sudahnya, kami berjumpa pada hari bekerja. Nasib baik juga bulan ramadhan ni saya balik awal, jadi dapatlah gerak ke Shah Alam lebih awal.

Dalam perjalanan ke Shah Alam, sempatlah singgah rumah si kembar nama di Maahad dulu untuk hantarkan tempahan kuih. Biasanya saya akan caj kos penghantaran kalau di luar kawasan, tapi sebab rumahnya kira satu jalan nak ke tempat tujuan, percuma saja.

Keadaan trafik biasa-biasa je, tak lengang sangat, tak sibuk sangat. Cuma ada beberapa jalan yang ditutup disebabkan pembinaan LRT. Nasib baiklah Klang dan Shah Alam ni tempat bertendang, maka bolehlah fikir nak lalu jalan alternatif yang mana. Sampai dekat kawasan rumah Kak Chik dah pukul 4 lebih. Turunkan barang-barang dagangan dan zaaasss ke AEON Shah Alam. Sebab sambil nak tunggu waktu buka, nak membeli juga. Maka cari sau tempat yang mudah dan semua ada.

Sempatlah pusing-pusing tengok kawasan dan beli baju raya Abah sehelai. Ingat nak cari lagi sehelai, tapi tak nampak yang berkenan di mata pula. Kak Chik pun dapat hasil untuk orang kampung. Lepas meronda, terus turun ke bahagian makanan untuk cari makanan berbuka.

Siap tapau, sambung jalan dekat bahagian atas sambil-sambil tengok restoran mana yang best untuk makan berat nanti. Dalam 10 ke 15 minit nak azan, kami terus duduk dekat bangku-bangku yang bersepah dalam tu menanti waktu. Azan je, terus baca doa dan berbuka dengan kurma dulu. Bagus Kak Chik ni, siap-siap bawa bekal kurma dah. Dah makan-makan sikit, Kak Chik gerak solat dulu dan kemudian baru saya pula. Sebab barang banyak, maka ambil giliran untuk solat.

Selesai solat, duduk kejap dan barulah tuju ke kedai makan. Selepas berkira-kira, kami ke Secret Recipe. Saya memang dah jarang sangat ke sini sejak komitmen banyak dan SR cawangan Banting hampeh. Alhamdulillah, Secret Recipe AEON Shah Alam ni bagus betul! Servis laju, pelayan semua membantu dan peramah. Bagus, bagus!

Dah pesan makanan, saya cakap dengan Kak Chik nak tengok-tengok kek. Dalam hati macam nak beli, macam tak nak. Bila tengok, memanggil-manggil kek yang ada tu. Akhirnya, 'ter'pilih sepotong kek yang baru pertama kali nampak. Tak ingat nama tapi macam ada brulee dekat nama dia. Yang penting sedap! Untuk makan berat, saya pesan mi tom yam (nama saintifik tak ingat) dan Kak Chik pesan nasi goreng ada udang besar-besar, pun nama saintifik tak ingat. Hahahaha...

Sambil makan, sambil borak sampailah akhirnya saya habiskan semua makanan yang ada. Lama juga duduk di sini sampai pekerja-pekerja dia dah nak berkemas. Hahaha.. Habis makan, terus turun dan teruslah balik. Esok kerja weh! Terima kasihlah Kak Chik sebab belanja makan hamper kesemua makanan pada hari tersebut. Segan saya dibuatnya sebab makan tempat mahal kan, dan banyak pula pesannya tu. Moga dimurahkan lagi rezeki awak sedari.