Engagement Fund ;)

Thursday, 3 August 2023

Hai Ogos!





Tiba-tiba dah Ogos ye? Banyak benda belum tercapai, banyak benda nak kena capai. Tahun kedua di unit, dah boleh perhati pola kesibukan. Masuk bulan Julai lepas sampailah bulan November nanti memang bertimbun-timbun kerja. Moga ada rezeki untuk dapat APC tahun depan. Besar cita-cita ni. Hehehe..

Bagi menaikkan kembali motivasi untuk menulis dan mengekalkan azam untuk berblog, hari ni luangkan masa sikit bercerita. Terlebih rajin pagi tadi, lepas subuh terus dapat hidayah nak masak bekal tengah hari. Keluarkan salmon filet sepotong, perap dengan bahan yang ada. Sementara tunggu perapan mesra, sediakan nasi. Bila duduk sorang, memang masak nasi cara kukus. Takdelah leceh nak sental periuk dan bazirkan nasi ke kerak. Lama tak masak miyeok bap ni. Sejak selalu tengok rancangan masak Korea, memang suka tiru cara diorang masak. Mudah dan berkhasiat tanpa perlu serabut. Leburkan je semua. Sebab tak rancang nak masak, cendawan tu keras sikit sebab tak rendam dulu. Biasa rendam semalaman dan air rendaman digunakan untuk masak nasi. Hat ni campur juga barli sikit. Basuh beras dan barli macam biasa. Rendam kejap miyeok dan basuh. Sukat air beras. Letak miyeok dan cendawan atas nasi, tabur bawang putih cincang, perasakan dengan sesudu kicap perasa. Tabur sikit lada hitam. Kukuslah sampai masak. 

Nasi mula masak, masukkan ikan dalam oven. Ingat nak goreng, tapi memikirkan rumah bertutup, baunya melekat 2 hari 2 malam karang. Hahaha... Maka, lumur sikit minyak pada ikan dan masukkan je dalam oven selama 15 minit lebih kurang pada suhu 190°. Sementara tunggu masak, bolehlah pergi bersiap. By the time siap bertudung, nasi pun siap masak, ikan pun siap. Begitulah bila tiba-tiba kerajinan datang. Hehehe...