Sabtu sudah, tanpa perancangan awal aku SMS Kak Chik mengatakan mahu menghantar loyang yang dibeli bulan lalu. Asalnya, aku hanya mahu ke Klang untuk membeli beberapa barang yang sudah habis di AVON Bukit Tinggi. Inilah payahnya bila dah mula memboikot sesuatu. Kena pergi jauh untuk dapatkan sesuatu. Usai kelas tuisyen, aku terus bersiap untuk ke pejabat. Mahu menyiapkan sedikit kerja berkaitan 5S. Kerana kelas mula lewat, maka habis pun lewat. Jadi aku gerak ke pejabat pun dah tengah hari. Tak sempat nak masuk dalam pejabat, dapat MMS dari bos menunjukkan kerja yang mahu aku buat sudah siap dibuat. Jadi, aku hanya siapkan papan kenyataan. Dah siap semua, terus gerak ke Shah Alam.
Sepanjang perjalanan perut berkeriuk menahan lapar. Nasib baik Kak Chik pun tak makan lagi jadi bolehlah aku ajak beliau makan bersama. Hehehe... Mula-mula pergi AVON dulu. Lama juga di situ sebab aku baru mendaftar keahlian. Kemudian baru rancang nak makan dimana. Berada di Seksyen 7, tak perlu risau tentang ketiadaan tempat untuk mengisi perut tapi perlu rusuh memikirkan restoran mana yang mahu dikunjungi. Banyak sangat kedai makan! Akhirnya Kak Chik bersuara;
"Pergi Subway jom." Macam kagum kejap sebab selalu kalau pergi tempat pelik ni aku yang ajak. Tiba-tiba pada hari tersebut Kak Chik yang ajak? Hahaha... Aku yang hanya tolak batu dan kayu ni setuju saja. Pengalaman makan di Subway buat pertama kali akan diabadikan dientri lain sebab panjang sangat nak cerita. Hiks..
Habis makan, masing-masing macam tak berapa nak kenyang lagi. Aku macam terasa nak makan Tutti Fruitti. Tapi Kak Chik dah serik. Maka Kak Chik cadangkan kami makan aiskrim di tepi tasik. Hah, cantik la tu! Dah lama tak buat aktiviti buang tebiat ni. Dulu kami buang tebiat makan aiskrim tepi tasik ni di Unisel. Malam-malam lepas balik usrah, pergi Pusat Pelajar beli aiskrim bekas besar punya. Tamak kan, kenalah ambik bekas besar. Lepas tu baru lepak kat bangku tepi tasik. Makan aiskrim sambil tengok bintang dan berkongsi cerita. Oh, rindunya saat itu! Disebabkan niat nak buang tebiat tu ada sedikit terpesong, maka kami terpaksa berjalan jauh untuk mencari aiskrim. Lama jugalah kami berada di sini sebelum pulang.
Ini memang betul-betul tepi tasik.
Dalam kereta, masing-masing terasa lapar balik sebab tadi cuma makan sandwich. Jadi, sebelum naik rumah Kak Chik, singgah makan dulu di salah sebuah restoran berdekatan. Kali ni memang kena makan nasi. Nama restoran dia adalah Lawang Sari. Kedainya adalah cantik dan sangat bersih. Makanan pun banyak dan sedap. Sesuailah dengan harganya.
Nasi goreng cili padi
Nasi goreng ayam kunyit
Tom yam campur
Lepas makan, naik rumah Kak Chik kejap baru aku bertolak pulang. Macam biasa, kalau tak beli apa-apa bila keluar memang tak sah. Jadi, aku menggatalkan diri singgah di Jusco Bukit Tinggi. Dari dulu nak jadi ahli J-Card tapi tak kesampaian. Maka pada hari tersebut, aku menggagahkan diri ke kaunter khidmat pelanggan dan bertanya prosedur yang perlu dibuat. Isi borang, dengar penerangan kejap, bayar yuran untuk 3 tahun terus, pilih beg, dapat kad keahlian yang mempunyai nama sendiri dan siap! Ek eleh, senang je rupanya. Kalau taulah senang macam ni, awal-awal lagi aku jadi ahli.
Dah dapat kad, mulalah aku menjelajah. Bahagian pertama aku pergi adalah bahagian kasut. Cadangnya nak cari sandal. Tapi masalahnya mata ni asyik berkenan dengan kasut formal. Bertambah parah bila diskaun dia bagi bukan main banyak lagi untuk ahli J-Card. 3 kali jugaklah aku tawaf kat bahagian kasut tu. Tapi akhirnya tak beli pun sebab niat nak beli sandal bukan kasut formal. Tak nampak sandal yang melekat di hati. Terus pergi dari situ cepat-cepat. Lepas tu pergi ke bahagian baju. Ingat nak cari blazer yang labuh. Sebelum ni ada nampak blazer labuh yang menutupi punggung dan tidak mengikut potongan badan sangat. Macam biasa, bila berniat mahu membeli sesuatu, sesuatu itu mesti tak ada. Jadi terus jalan laju-laju pergi ke Speedy.
Bila berseorangan, memang aku jalan laju dan tak toleh kiri kanan macam kena kejar penjahat. Hahaha... Tiba-tiba aku dengar;
"Assalamualaikum ustazah!" Tapi aku buat dono je, tak pandang pun sebab takkanlah orang tu tegur aku. Lepas tu dengar lagi;
"Ustazah. Sombong ye sekarang." Ah, ni tak ada orang lain mesti aku la ni. Terus aku berhenti kejap dan tengok orang yang tegur tu. Memang sah la dia tegur aku sebab dia sorang je yang panggil aku ustazah kat Unisel dulu. Bertegur sapa kejap baru aku teruskan perjalanan. Jadi hasilnya rembatan tak terancang pada hari tersebut adalah;
-2 DVD Korea (beli satu percuma satu)
-2 pewangi dari Lovely Lace
-Sebuah novel
-Satu set cadar
Bahaya betullah bila pergi ke pusat beli-belah waktu ada duit ni. Walaupun tak ada duit tunai, tapi sejak aku tukar kad ATM kepada kad debit Visa, terus aku hulur je kad tu kat kaunter. Dush..dush..dush..!